Sabtu, 21 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Sarawak baham Perak

Posted: 21 Sep 2013 10:46 AM PDT

Oleh FARHANA JONI, IFQDAR RAHMAN, MOHD. YASIR JAAFAR, SITI AIRUNNISA ALAUI, MOHD. SHARIZA ABDULLAH, YATIMIN ABDULLAH dan MUHAMMA DAYNE AZMIN

Pemain-pemain Sarawak meraikan kemenangan menewaskan Perak 6-1 dalam saingan Piala Malaysia, di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi sekali gus layak ke suku akhir. - MINGGUAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR - Pelbagai kejutan dan drama berlaku pada saingan terakhir perlawanan Piala Malaysia dengan juara Liga Perdana, Sarawak meraih tumpuan apabila membelasah Perak 6-1 di Stadium Negeri, Kuching bagi mengetuai enam pasukan lain menempah slot ke suku akhir selain PKNS yang telah melayakkan diri lebih awal.

Selain Sarawak, Pahang yang sudah bagaikan tersingkir pada satu ketika bernasib baik layak ke suku akhir hasil bantuan pasukan jiran, Terengganu yang mengikat Negeri Sembilan 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman walaupun Tok Gajah dibelasah 4-0 oleh juara musim lalu, Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Johor Darul Takzim (Johor DT) juga mara ke suku akhir meskipun dimalukan 0-2 di kandang sendiri oleh PKNS sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sime Darby mencukupkan senarai lapan pasukan terbaik yang akan meneruskan perjuangan memburu piala berprestij bola sepak negara musim ini.

Carta saingan suku akhir akan memperlihatkan ulangan perlawanan akhir Piala FA apabila Kelantan akan bertemu Johor DT sementara ATM akan bertembung Lions XII, lain-lain saingan pula Sarawak menentang Sime Darby dan PKNS berdepan Pahang.

Sebaik wisel perlawanan dibunyikan, di hadapan 30,000 penonton, Sarawak tidak menunggu lama untuk mengganas apabila pertahanan Perak, Khairi Kiman tertanduk ke dalam gawang sendiri dan penyerang berbisa, Bobby Gonzales menggandakan kelebihan seminit kemudian sebelum Yong Kuong Yong cuba meniupkan api perjuangan pasukan Perak apabila merapatkan jurang pada minit ke-22.

Namun, kegarangan Sarawak ternyata sukar disekat lagi apabila Muamer Salibasic meledak hatrik pada minit ke-43, 59 dan 72 dengan satu lagi jaringan disumbangkan oleh Zamri Morshidi pada minit ke-56 sekali gus menempah pertemuan dengan Sime Darby di suku akhir, 28 September ini.

Juara Liga Super, Lions XII juga penuh bergaya membenam Kedah, 3-1 di Stadium Darul Aman hasil jaringan Hariss Harun (minit ke-24), Baihakki Khaizan (minit ke-38) dan Muhammad Hafiz Abu Sujad (minit ke-65) untuk Lions XII sementara gol sagu hati skuad Kenari dijaringkan Alen Guc pada minit ke-44.

Negeri Sembilan seperti melepaskan rezeki yang terhidang di Paroi apabila jaringan pada minit ke-87 oleh Ashari Samsudin membunuh segala harapan skuad Hoben Jang Hoben walaupun mereka telah mendahului 2-1 sebelum itu menerusi Fabio Leandro Barbosa pada minit ke-19 dan Nazrin Nawi pada minit ke-70, memadamkan kelebihan awal pelawat menerusi Effa Emmanuel Owona.

Dickson Nwakaeme juga tidak ketinggalan menunjukkan belangnya yang tersendiri apabila meledak jaringan hatrik di Kota Bharu untuk menang 4-0 ke atas Pahang dengan semua gol pada babak kedua iaitu pada minit ke-66, 83 dan 89 manakala satu lagi jaringan datang daripada Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-19, namun kedua-dua pasukan Pantai Timur itu tetap melangkah ke suku akhir.

Pasukan berstatus kelab, PKNS melaungkan amaran awal kepada semua pencabar Piala Malaysia musim ini apabila mencatat kemenangan kelima dalam enam perlawanan dengan Johor DT terus tunduk kepada kehebatan kepada skuad Red Ants di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin hasil jaringan Reeshafiq Alwi pada minit ke-18 dan Roman Chmelo pada minit ke-64.

Kekalahan Johor DT itu bagaimanapun masih belum cukup buat T-Team sekali pun menang 2-1 mengatasi Felda United melalui jaringan Ahmad Syamin Yahaya pada minit ke-21 dan 61 sementara gol tunggal dicipta Mohd. Kamal pada minit ke-86 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu biarpun terikat sama mata dengan Harimau Selatan kerana perbezaan gol yang terlalu jauh.

Sementara itu, gol awal pada minit ke-3 oleh Amiridzwan Taj tidak cukup memberikan kemenangan kepada Gladiators apabila Sime Darby menerusi Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-35 membuatkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata di Stadium Majlis Perbandaran Selayang manakala Selangor akhirnya mengecapi kemenangan pada saingan Piala Malaysia apabila menang 2-1 mengatasi Johor di Stadium Shah Alam, namun sudah tidak memberikan sebarang makna.

BAM nafi beri kebenaran

Posted: 21 Sep 2013 10:46 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Tan Aik Mong

KUALA LUMPUR - Seperti dijangka Rashid Sidek tidak hadir pada pertemuan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Kelmarin, Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff mengarahkan semua jurulatih, termasuk Rashid untuk hadir pada pertemuan yang dipengerusikan oleh Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG), Tan Aik Mong itu bagi membincangkan mengenai perancangan badminton negara.

Aik Mong enggan mengulas ketika ditanya mengenai Rashid, terutama melibatkan isu peletakan jawatan bekas jurulatih tersebut.

"Saya tidak mahu memikirkan perkara itu kerana fokus saya kini hanya untuk melaksanakan perancangan BAM.

"Saya juga kalau boleh tidak mahu terlibat dengan isu berkaitan Rashid lagi, saya hanya mahu menumpukan kepada jurulatih yang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas bertemu jurulatih di sini, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai mengakui, satu mesyuarat khas telah diadakan semalam bagi membincangkan kedudukan Rashid yang dikatakan melanggar kontrak sedia ada apabila menyertai kelab Liga Badminton India (IBL), Smashers.

"Mesyuarat ini dihadiri oleh empat peguam dalam kalangan pegawai BAM, namun saya tidak boleh dedahkan hasil perbincangan kerana perlu diberikan kepada Presiden terlebih dahulu," kata Chin Chai.

Dalam perkembangan berkaitan, BAM menerusi satu kenyataan akhbar semalam menafikan telah memberikan kebenaran kepada Rashid untuk menandatangani kontrak dengan sebuah kelab di India.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh dalam kenyataan itu memberitahu, badan badminton itu tidak tahu mengenai kontrak tersebut, malah perkara itu tidak pernah dibawa kepada majlis ketika di bawah kepimpinan Presiden lama, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh.

BAM dalam kenyataan akhbar berasingan turut menafikan dakwaan akhbar bahawa mereka akan mengeluarkan surat amaran kepada pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei kerana mempertahankan Rashid.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved