Khamis, 19 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Agar-agar kering masih popular

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

MOHAMAD Aliff Shahimi Che Me dan Noorzakiah Fadzilah Ahmad menunjukkan agar-agar kering yang dihasilkan mereka dalam pelbagai bentuk dan warna di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM 18 Sept. - Agar-agar kering merupakan sejenis manisan tradisional yang biasa disajikan ketika kenduri perkahwinan atau pada musim perayaan.

Meskipun tidak popular seperti kuih tradisional lain seperti baulu, bangkit, dodol dan ros, agar-agar kering masih lagi diminati oleh sebilangan masyarakat walaupun agak jarang didapati di pasaran.

Proses penghasilannya yang agak rumit antara faktor menjadikan perusahaan membuat agar-agar kering tidak ramai diceburi oleh golongan muda.

Namun berbeza bagi pasangan suami isteri dari Kampung Tanah Liat di sini yang memiliki kemahiran membuat agar-agar kering untuk tujuan komersial.

Mohamad Aliff Shahimi Che Me, 31, dan isteri, Noorzakiah Fadzilah Ahmad, 30, mula menceburi perusahaan membuat agar-agar kering sejak empat tahun lalu selepas melihat manisan tradisional itu mempunyai potensi luas untuk dikomersialkan.

Menurut Noorzakiah, idea menghasilkan agar-agar kering untuk tujuan perniagaan diperoleh selepas melihat suaminya yang gemar makan agar-agar kering sejak kecil.

"Nenek suami saya mahir buat agar-agar kering dan setiap kali pulang ke kampung, suami pasti akan mencarinya kerana dia memang suka makan agar-agar kering buatan nenek.

"Bermula dari situ saya terfikir untuk belajar buat agar-agar kering dan jual. Pembuatannya tidaklah rumit mana tapi perlukan kesabaran dan ketelitian supaya agar-agar kering itu menjadi dan tahan lama," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Katanya, terdapat tiga proses yang perlu dilakukan untuk menghasilkan agar-agar kering iaitu memasak agar-agar, memotong dan menyusun serta menjemur.

Noorzakiah berkata, bagi memastikan agar-agar kering dihasilkannya digemari semua lapisan masyarakat, beliau dan suami membuat beberapa perubahan daripada segi reka bentuk dan rasa.

"Orang dulu buat agar-agar kering satu rasa sahaja, tapi sekarang kami menghasilkannya dalam pelbagai perisa seperti oren, strawberi, laici, pandan, blueberry dan tropika.

"Kami juga pelbagaikan jenis potongan supaya kelihatan lebih menarik contohnya dalam bentuk kelopak bunga ros, petak dan cengkerang," ujarnya.

Agar-agar yang dihasilkannya juga tidak dijemur di bawah terik matahari sebaliknya dijemur menggunakan mesin khas hasil rekaan suaminya.

Penggunaan mesin tersebut perlu bagi memastikan agar-agar kering tidak terdedah kepada cuaca yang tidak menentu selain habuk dan debu.

Dalam pada itu Noorzakiah berkata, sejak memulakan perniagaan agar-agar kering empat tahun lalu, permintaan pelanggan terhadap produknya itu semakin meningkat.

Pada peringkat awal, dia hanya menghasilkan kira-kira 50 hingga 80 kilogram setiap bulan.

"Dahulu memang susah sikit kerana pernah ada warga emas yang datang membeli tidak percaya kami suami isteri yang buat kerana biasanya agar-agar kering ini dibuat oleh orang tua.

"Lama kelamaan permintaan semakin meningkat pada musim perkahwinan dan perayaan. Untuk Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini kami mendapat tempahan untuk 250 kilogram agar-agar kering daripada pelanggan.

"Saya guna blog dan Facebook sepenuhnya untuk pasarkan produk agar-agar kering saya atas nama Agar-Agar Kering Adam Shoppe dan syukur rangkaian pelanggan saya kini berkembang hingga ke Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor, Singapura dan Brunei," katanya.

Harga yang ditetapkan pada setiap sekilogram agar-agar kering tanpa perisa adalah RM25 manakala bagi yang mempunyai perisa pula RM28 sekilogram.

Mereka yang berminat dan ingin membuat tempahan boleh melayari Agar-Agar Kering Adam Shoppe di laman sosial Facebook atau blog.

Mantapkan pentadbiran negeri

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
utusanperak@utusan.com.my

ZAMBRY Abd. Kadir (tengah) bersama barisan Exco dan ahli-ahli jawatankuasa yang dilantik pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada ADUN yang menjadi Ahli Jawatankuasa Exco di Bangunan Perak, di Ipoh, semalam.

IPOH 18 Sept. - Kerajaan negeri mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Exco yang dianggotai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi tujuan melicinkan pentadbiran di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ADUN yang menganggotai sesebuah Jawatankuasa Exco akan membantu ahli Exco untuk melaksanakan tugas dengan lebih efektif.

"Pelantikan ADUN ini berdasarkan pengalaman dan kecenderungan mereka untuk membantu di peringkat Jawatankuasa Exco.

"Malah Ahli Jawatankuasa Exco ini terdiri daripada ADUN Barisan Nasional (BN) dan pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada ADUN yang menjadi Ahli Jawatankuasa Exco di sini, hari ini.

Di bawah penubuhan Jawatankuasa Exco itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam yang dipengerusikan oleh Zambry, ia dianggotai oleh ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dan ADUN Chenderiang, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

ADUN Trong Dr. Zabri Abd. Wahid, ADUN Slim Datuk Mohd. Khusairi Talib dan ADUN Lintang Datuk Zolkafly Harun menganggotai Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan oleh Datuk Saarani Mohamad.

Bagi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor yang dipengerusikan oleh Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, ia dianggotai oleh ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin akan dibantu oleh ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Manaf Hashim dan ADUN Changkat Jong, Mohd. Azhar Jamaluddin.

Datuk Rusnah Kassim yang mempengerusikan Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional, akan dibantu oleh Adun Chenderoh, Zainun Mat Noor dan Adun Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali.

Bagi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil yang dipengerusikan oleh Datuk Samsuddin Abu Hassan, ia dianggotai oleh ADUN Selama Datuk Mohamad Daud Mohd. Yusof dan ADUN Kenering, Datuk Mohd. Termizi Idris.

ADUN Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Alias dan ADUN Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin pula menganggotai Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dipengerusikan oleh Mohd. Nizar Zakaria.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nolee Ashilin Mohammed Radzi akan dibantu ADUN Temengor, Salbiah Mohamed dan ADUN Manong Mohamad Kamil Shafie.

ADUN Lubok Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan ADUN Pasir Panjang, Rashidi Ibrahim menganggotai Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau yang dipengerusikan Muhammad Amin Zakaria.

Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mempengerusikan Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia akan dibantu oleh ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim.

Dua beradik termasuk OKU hilang tempat tinggal

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

ANGGOTA bomba dan penyelamat bertungkus- lumus memadamkan kebakaran rumah pusaka dua tingkat di Kampung Bakar Bata, Bongor, Baling, Kedah, semalam.

BALING 18 Sept. - Dua beradik termasuk seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) hilang tempat berlindung apabila rumah pusaka yang didiami hangus terbakar dalam kebakaran di Kampung Bakar Bata Bongor di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mengakibatkan mangsa, Mohd. Tarmizi Harun, 29, dan abangnya, Zainuddin, 46, yang mempunyai masalah mental tinggal sehelai sepinggang.

Lebih menyedihkan kata Mohd. Tarmizi, abangnya itu turut menghilangkan diri setelah kebakaran tersebut.

"Waktu itu saya sedang bekerja, tiba-tiba salah seorang abang saya memberitahu rumah saya terbakar. Namun ketika sampai api sedang marak dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk dua buah motosikal yang disimpan di dalam rumah turut rentung.

"Abang saya pula hilang entah ke mana selepas kebakaran operasi mencarinya yang giat dijalankan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, jiran-jiran memberitahu mereka ternampak abangnya masuk ke dalam rumah ketika kebakaran berlaku namun hasil pemeriksaan anggota penyelamat mendapati tiada mayat ditemui.

"Saya berharap dia selamat dan pulang selepas ini," katanya.

Dalam pada itu menurut Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Daerah Baling, Mohd. Sufian Alias, mereka mendapat panggilan kebakaran pada pukul 12.15 tengah hari dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Menurutnya, seramai tujuh anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang mengambil masa hampir sejam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan." kata Mohd. Sufian.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved