Khamis, 19 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Koperasi perlu modal RM10 juta

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

YUSOF Abu Bakar (dua dari kanan) pada majlis perasmian Seminar Organisasi Persatuan & Kelab Usahawan Belia serta Penubuhan Koperasi Usahawan Muda Pagoh Muar Berhad di Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 18 Sept. - Sebanyak RM10 juta diperlukan Koperasi Usahawan Muda Pagoh Berhad untuk pelaburan bertujuan merebut peluang perniagaan di kawasan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP).

Pengerusinya, Datuk Yusup Abu Bakar berkata, dana itu akan digunakan untuk membeli aset strategik antaranya bangunan rumah kedai dan pinjaman yang akan dilakukan menerusi Bank Rakyat dan Syarikat Kerjasama Malaysia (SKM).

"Ia juga sebagai salah satu usaha membantu ahli mendapat tempat untuk menjalankan perniagaan yang ada kaitan dengan hab pendidikan," katanya ketika ditemui selepas perasmian seminar Kelab Usahawan Muda Muar Pagoh di Muar Traders Hotel di sini kelmarin.

Bagi jangka pendek pula kata Yusup, koperasi akan membuka sebuah pasar mini di Taman Pagoh Jaya dan sebuah restoran dengan pelaburan bernilai lebih RM200,000.

Katanya, usaha awal itu dilaksanakan memandangkan kawasan tersebut yang berdekatan dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) adalah sebuah kawasan pertumbuhan baharu di Pagoh yang sedang pesat membangun.

Mengenai matlamat koperasi tersebut, pihaknya berharap akan dapat mengumpul sebanyak 300 ahli dalam tempoh terdekat dan setakat ini sudah pun mempunyai 80 ahli.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Usahawan Pertanian Moden mengalu-alukan pengumuman tambahan pinjaman Yayasan Tekun Nasional sebanyak RM700 juta untuk meningkatkan bilangan usahawan bumiputera kepada 370,000 orang menjelang 2015.

Yusup menyifatkan tambahan dana pinjaman tersebut yang diumumkan di bawah program Memperkasa Ekonomi Bumiputera oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai bukti kesungguhan kerajaan membantu usahawan kecil golongan itu terutama di luar bandar.

Penasihat Majlis Belia Daerah Muar itu turut menyokong tambahan peruntukan sebanyak RM300 juta kepada tabung Amanah Ikhtiar dan ia jelas boleh membantu golongan miskin.

"Kedua-dua peruntukan tambahan ini adalah tepat pada masanya dalam usaha kerajaan membantu melahirkan lebih ramai usahawan Melayu dan bumiputera di negara ini," ujarnya.

Mohd. Roze KPD baharu Kluang

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

KLUANG 18 Sept. - Asisten Komisioner Mohd. Roze Shaari dari Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah ini yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali.

Abdul Majid yang memimpin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang selama 22 bulan ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi mengambil alih tugas Mohd. Roze.

Sebelum itu dalam ucapannya Abdul Majid berkata, beliau terharu dengan kerjasama dan cara kerja berkumpulan yang diberikan oleh warga kerja IPD itu sebelum dan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

"Hasil daripada persefahaman yang baik daripada pegawai dan anggota tanpa mengira pangkat telah membawa penurunan kes-kes jenayah dalam daerah ini.

"Di samping itu, kerjasama dan persefahaman dengan semua jabatan kerajaan di dalam daerah ini turut membantu pihak polis melaksanakan penguatkuasaan yang lebih berkesan," katanya dalam majlis serah terima tugas yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Johor, Deputi Komisioner Datuk Ismail Yatim.

Sementara itu, Mohd. Roze pula bertekad untuk mengekalkan kecemerlangan yang telah dicapai IPD Kluang sebelum ini di samping menghasilkan kejayaan baharu.

"Saya juga akan merangka tiga pendekatan yang lebih ampuh untuk perlaksanaan setiap tugas yang telah diamanahkan seterusnya dikuatkuasakan di daerah ini demi kepentingan masyarakat.

"Di antara langkah yang dimaksudkan adalah meningkatkan usaha lebih proaktif kearah penurunan indeks jenayah serta mewujudkan persekitaran selamat dengan penyelarasan jadual tugas yang lebih optimum ke atas semua anggota," katanya lagi.

Tambah beliau, kejayaan itu bagaimanapun hanya akan dicapai sekiranya semangat kerja sepasukan dapat dipraktikkan dalam kalangan semua anggota tanpa mengira kedudukan dan pangkat mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved