Khamis, 19 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Suami isteri direman

Posted: 19 Sep 2013 11:39 AM PDT

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

PETALING JAYA 19 Sept. - Pasangan suami isteri yang nekad membunuh diri sehingga meragut nyawa anak perempuan mereka berusia lima tahun di Sri Manja Square 1, Jalan Klang Lama ditahan reman selama enam hari mulai hari ini.

Kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu ditahan sejak semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan lanjut masih dijalankan selepas pihaknya mendapat perintah tahanan reman ke atas pasangan itu.

"Kita sedang menunggu laporan bedah siasat terhadap anak perempuan pasangan tersebut untuk mengetahui bila dan punca kematiannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Media hari ini melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan, Mable Shiew Mun, 5, maut setelah terhidu asap arang yang dibakar di sebuah rumah kedai di Sri Manja Square 1 pada 12 September lalu.

Siasatan awal polis mendapati, ibu bapa kanak-kanak itu cuba membunuh diri bersama anak lelaki mereka berusia tujuh tahun dikenali sebagai Matthew sehari sebelum dan selepas kematian kanak-kanak itu namun gagal.

Tiga percubaan telah dilakukan dan pada percubaan kedua, hanya Mable yang mati tetapi perbuatan suami isteri itu terbongkar apabila kenalan mereka datang ke rumah pagi semalam, untuk bertanyakan tentang ketidakhadiran Mable selama seminggu di sekolah tadika.

Ditanya tentang masalah kewangan yang menyebabkan pasangan terbabit nekad membunuh diri dengan pelbagai cara itu, Arjunaidi enggan mengulas lanjut

"Saya hanya cakap dia (keluarga ini) mengalami masalah kewangan... itu sahaja," katanya yang enggan mengulas sama ada wujud penglibatan ah long dalam kejadian itu.

Mahkamah tetapkan 5 Disember bicara kes Alvin, Vivian

Posted: 19 Sep 2013 11:39 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 5 dan 6 Disember depan perbicaraan kes pasangan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee yang menghadapi tiga tuduhan termasuk menerbitkan gambar menghasut umat Islam, Julai lalu.

Hakim Murtazadi Amran menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes berkenaan di kamar beliau hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Haffiza Jemali dan dua peguam yang mewakili tertuduh, Chong Joo Tian serta Wong Kee Them.

Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, hadir ke mahkamah memakai sut berwarna hitam dan Vivian atau Lee May Ling, 24, berpakaian blaus berwarna kelabu dan seluar jeans biru.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Joo Tian berkata, tarikh bicara itu ditetapkan sementara menunggu permohonan anak guamnya untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan tersebut di Mahkamah Tinggi di sini yang akan didengar pada 31 Oktober depan.

Pasangan itu memfailkan permohonan pada 21 Ogos lalu untuk membatalkan pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang didakwa tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak sah di sisi undang-undang.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial facebook "Alvin dan Vivian-Alvivi" di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini pada pukul 10.48 malam antara 11 Julai dan 12 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada masa dan tarikh yang sama, pasangan penulis blog itu turut didakwa memuat naik penerbitan yang sama yang dibaca di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi, di sini.

Perbuatan itu didakwa berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Selain itu, mereka didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu di tempat yang sama di Kompleks Mutiara.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 5(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved