Khamis, 19 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Rashid letak jawatan

Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT

Rashid Sidek

KUALA LUMPUR - Demi maruah dan enggan terus dilayan seperti pekerja kelas rendah, jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat iaitu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas 10 tahun berbakti buat skuad kebangsaan.

Semalam, Rashid, 45, mengejutkan BAM apabila menghantar surat peletakan jawatan dengan sebulan notis.

Apa yang lebih membimbangkan, khabar kini bertiup kencang bahawa tindakan Rashid bakal disusuli oleh beberapa lagi jurulatih kebangsaan.

Bukan penstrukturan semula dalam kejurulatihan yang terlalu menganggu barisan jurulatih kebangsaan ketika ini, tetapi campur tangan keterlaluan daripada beberapa orang kepercayaan Presiden, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang menyebabkan mereka hilang sabar.

Hampir semua jurulatih kebangsaan tidak gembira dengan keadaan sekarang. Mereka ini (orang kepercayaan Presiden) berada di gelanggang latihan pada setiap hari untuk mengajar kami bagaimana hendak melatih pemain.

Bukan kami tidak boleh ditegur atau tidak boleh menerima pandangan, tetapi kalau mereka datang setiap hari hanya untuk mencari kesalahan jurulatih itu saya memang tidak boleh bertoleransi.

Kami bukan baru sehari dua jadi jurulatih, tak akan sampai cara kami pukul bola pun hendak ditegur. Sampai sekecil-kecil perkara pun nak dipersoalkan, seolah-olah jurulatih ini tak pandai langsung pasal badminton.

Mereka juga ada kuasa untuk tukar program kami sesuka hati, tukar teknik latihan, cara latihan atau apa saja yang mereka mahu sesuka hati. Kami (jurulatih) tidak ada kuasa langsung hendak buat apa-apa, pemain pun dah tak hormat jurulatih sebab kami tak ada kuasa.

Ramai yang tidak gembira sekarang... Cuma mereka tak berani hendak cakap kerana jaga periuk nasi dan ada juga yang hanya tunggu masa hendak bertindak. Saya cakap tak mengapa biar saya buat macam ini, sekurang-kurangnya orang lain buka mata.

Saya kasihan dengan rakan-rakan jurulatih, sebab pengurusan baharu ini pandang kami macam buruh kelas bawahan. Kalau ada hierarki, kami paling rendah sekali dan macam tidak ada nilai," kata Rashid.

Rashid, yang menyertai BAM pada 2003 turut menambah, beliau tidak tahu, apakah kehebatan orang-orang kepercayaan Presiden ini dan atas dasar apa mereka diberi terlalu banyak kuasa sehingga boleh menganggu program latihan pemain.

Tegasnya lagi, di China sekali pun, ketua jurulatih terhebat mereka, Li Yongbo tidak pernah sesekali menganggu cara latihan jurulatih di bawahnya, sebaliknya beliau hanya memantau serta merancang program bersama mereka.

Saya tidak mahu sebut nama, lagipun kalau saya sebut nama nanti anda tanya, siapa orang ini hebat sangat ke macam Li Yongbo. Orang hebat macam Yongbo itu pun tak pernah kacau kaedah latihan jurulatih kerana setiap jurulatih ada cara mereka sendiri.

Sebenarnya apa yang dilakukan jurulatih tiada salahnya, cuma disebabkan cara mereka tidak sama dengan cara orang-orang ini, itu akan menjadi satu kesalahan buat mereka. Kita bukan berurusan dengan budak-budak sekolah, kita bercakap tentang jurulatih kebangsaan," kata Rashid.

Menurut Rashid, beliau harap dengan tindakan drastik yang diambilnya akan menyelamatkan rakan-rakan seperjuangan daripada terus diperkotak-katikkan atau lebih membimbangkan, BAM bakal kehilangan lebih ramai jurulatih.

Katanya, biarpun sayang dengan anak-anak didiknya seperti Liew Daren dan Chong Wei Feng, namun beliau percaya Tey Seu Bock boleh melatih mereka dengan baik.

Khamis lalu, BAM mengumumkan perubahan drastik dalam struktur kejurulatihan mereka dengan memecahkan pemain kebangsaan kepada tiga kumpulan - elit, pelapis dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG), Tan Aik Mong membawa bekas ketua jurulatih kebangsaan, Razif Sidek untuk mengetuai Kumpulan Elit, di mana Rashid, Seu Bock dan Zhou Kejian berada di bawahnya untuk mengendalikan pemain perseorangan lelaki.

Bekas juara dunia, Hendrawan pula mengetuai Kumpulan Pelapis,yang turut dibarisi oleh Wong Tat Meng (jurulatih perseorangan lelaki) dan Rosman Razak (jurulatih beregu lelaki).

Sementara itu, Aik Mong ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai peletakan jawatan Rashid, sebaliknya menegaskan semua akan dijawab pada sidang akhbar tergempar yang akan diadakan hari ini.

FAM sedia belanja besar

Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT

Oleh DHIYA'ZULHILMI DAUD
sukan@utusan.com.my

Pengarah Bahagian Pemasaran Watson Malaysia, Jessica Ng (depan, kiri) bersama tetamu dan pemain-pemain bola sepak tempatan yang menjayakan majlis penajaan Piala Malaysia oleh Watsons di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/WAHIDAH ZAINAL

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk berbelanja besar bagi mendapatkan khidmat jurulatih terkenal antarabangsa yang berkaliber bagi meningkatkan prestasi skuad kebangsaan pada masa hadapan.

Kesediaan itu dinyatakan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang menyatakan keyakinan ingin melihat kehadiran seorang jurulatih berkaliber bagi pembangunan bola sepak ke arah yang lebih tinggi.

"Jika kita lihat itu yang terbaik demi pembangunan bola sepak tempatan khususnya ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang, bermakna dari sekarang kita perlukan seorang jurulatih yang berkaliber atau berprofil tinggi.

"Tambahan pula, sekarang ini kita lihat seperti ada satu keyakinan yang tinggi dari pihak kerajaan yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin," katanya kepada pihak media selepas majlis penajaan Piala Malaysia oleh Watsons di sini, semalam.

Sebelum ini Hamidin mendedahkan bukan sahaja bekas pengendali Jepun, Phillippe Troussier, sebaliknya sudah ada dua atau tiga nama jurulatih lebih terkenal berminat mahu mengendalikan pasukan Harimau Malaya sebaik sahaja kontrak Datuk K. Rajagobal berakhir pada 31 Disember ini.

Malah, menurut Hamidin, jurulatih-jurulatih itu berkaliber dan sama hebat seperti Troussier yang pernah membawa Jepun menjuarai Piala Asia 2000 dan pusingan kedua Piala Dunia 2002.

Ketika ditanya adakah badan induk itu tidak mengalami sebarang masalah kewangan dan kesediaan untuk membayar permintaan jurulatih-jurulatih tersebut, Hamidin berkata, sekiranya FAM boleh melabur jutaan ringgit untuk pembangunan Harimau Muda dengan berkelana di luar negara dan dapatkan aksi perlawanan antarabangsa, masakan tidak untuk dapatkan seorang jurulatih terbaik bagi pasukan kebangsaan.

"Saya tidak nampak ada sebarang masalah, namun kita perlu dapatkan seorang calon yang benar-benar sesuai dengan apa yang akan dilaburkan, kerana pelaburan kewangan melibatkan kos yang tinggi.

"Namun, saya tidak katakan yang FAM tidak mengalami sebarang masalah kewangan.

"Tetapi jika itu yang perlu, kita akan ikhtiar kerana jurulatih sangat mustahak pada setiap pasukan dan kualiti permainan adalah penting serta tidak boleh dikompromi.

"Tidak boleh disangkal, ini adalah antara jalan terbaik.

Pada masa sama, Hamidin tidak menolak sebahagian calon yang disebut-sebut melalui media adalah antara yang telah menghantar permohonan serta kira-kira 90 peratus permohonan boleh dikatakan hadir dari jurulatih luar negara manakala 10 peratus sahaja merupakan anak tempatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved