Khamis, 19 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


'Tiada lama tentunya tiada baharu'

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan bersama tetamu memeriahkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di padang Majlis Perbandaran Seremban. - Utusan/Md. Shahjehan Maamin

SEREMBAN 18 Sept. - Apabila disebut tiada lama tentunya tiada baharu, maka terbayanglah kita betapa berkembangnya pembangunan dan kemajuan negara Malaysia yang dicintai ini.

Kenyataan yang cukup besar maknanya itu, menggambarkan betapa pemimpin terdahulu berkorban segala-galanya untuk memastikan sebuah negara Malaysia ini, terus dibawa ke hala tuju yang betul dengan rakyat di dalamnya hidup sejahtera tanpa ada yang perlu dibimbangkan.

Inilah antara kata-kata yang diucapkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam mengingatkan generasi pada hari ini yang harus sentiasa merujuk kepada sejarah pembentukan negara dalam usaha untuk memacu dan membangunkan negara.

Ibarat kata pepatah tiada lama tentunya tiada baharu, justeru sejarah pahit getir yang dilalui oleh negara hendaklah dijadikan sebagai asas perjuangan kepada generasi masa kini.

Di dalam serba kekurangan dan keterbatasan yang dihadapi oleh pemimpin dan pejuang terdahulu, negara ini berupaya dibentuk sehingga menjadi sebuah negara membangun yang serba berpotensi.

Dan insya-Allah berkat sokongan padu semua pihak menerusi kesepakatan tiga wilayah utama Semenanjung, Sabah dan juga Sarawak, didoakan Malaysia akan berdiri megah sebaris dengan negara-negara terunggul lain dalam tempoh tujuh tahun yang akan datang seperti mana yang dihasratkan dalam kerangka unjuran berwawasan pada 2020," katanya di hadapan lebih 10,000 hadirin sempena Hari Malaysia di padang Majlis Perbandaran Seremban, di sini baru-baru ini.

Mohamad berkata, rakyat tidak seharusnya mudah lupa dan alpa terhadap kepentingan dan signifikan sejarah kerana sejarah bukan sekadar memperingati tarikh dan peristiwa, sebaliknya menjadi penyemarak ke arah membuka minda bagi menyelami intipati perjuangan membina bangsa dan negara yang tidak berkesudahan.

Kenanglah jasa dan pengorbanan para pejuang lalu yang telah banyak berkorban harta benda dan nyawa bersatupadu menentang penjajah dan kemudiannya pula bersetuju menubuhkan sebuah negara berbilang kaum untuk hidup bersama-sama dengan aman dan sejahtera, demi meneruskan kelangsungan legasi perjuangan diamanahkan kepada kita," tegas beliau lagi.

Dengan semangat membara itu juga, Mohamad mengingatkan seluruh rakyat supaya menggenggam amanah berkenaan dengan jiwa kental.

Bebaskan diri kita daripada cengkaman pihak lain terutamanya seteru negara serta hindarilah sebarang bentuk penjajahan minda bentuk baharu yang cuba menerobos pemikiran masyarakat dengan ideologi kontra yang boleh mempengaruhi kita untuk menentang status quo keharmonian yang telah sama-sama dibangunkan selama ini.

Kita wajar berdikari dan mengasaskan tahap kematangan futuristik jauh ke hadapan, tanpa membiarkan kemewahan yang terdampar di hadapan mata direbut rakus pihak luar," ujarnya.

Beliau menyeru golongan anak muda agar bangun dan terus menyumbang bakti semaksimum yang boleh bagi mengekalkan prestasi terbilang.

Pagarilah kehidupan kita dengan benteng kekentalan supaya negara tidak mudah ditembusi anasir yang tidak diundang dan berniat jahat untuk mencetuskan huru-hara," tegas Mohamad.

Beliau juga berpesan, dalam keghairahan mengejar kemajuan, janganlah pula ada yang mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian masyarakat yang telah sedia diasaskan oleh para pejuang lalu.

Jangan pula sekali-kali kita rela memperjudikan diri kita sehingga semata-mata kerana terlalu berangan-angan dan asyik memikirkan perubahan dan pembaharuan yang kononnya akan menjamin dan membawa kebaikan yang jauh lebih baik berbanding dengan sedang apa yang kita nikmati sekarang.

Janganlah kita terikut-ikut dengan rentak dan tarian pihak yang cuba mengganggu gugat keamanan negara dalam usaha untuk mengejar sesuatu yang belum pasti diperolehi.

Pamerkanlah kematangan diri dalam apa jua perlakuan kerana segala tindakan susulan kita di dalam meniti dan menuju masa depan, haruslah berpihak kepada kewajaran di bumi yang nyata ini," katanya.

Di akhir laungan semangat cintakan Malaysia itu, Mohamad mahu supaya setiap anak bangsa di bumi bertuah ini, sama-sama mempertahankan kedaulatan negara dari sebarang ancaman dan pencerobohan.

Susun 20,000 kiub rubik dijadikan Jalur Gemilang

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Beberapa orang remaja dan belia gembira apabila berjaya menyusun kira-kira 20,000 kiub rubik untuk dijadikan Jalur Gemilang sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sempena Hari Malaysia peringkat negeri di padang Majlis Perbandaran Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 18 Sept. - Di sebalik sambutan sempena Hari Malaysia yang lalu, terdapat satu sudut yang menyaksikan penghasilan sejarah apabila 150 remaja dan belia menyusun kira-kira 20,000 kiub rubik dijadikan Jalur Gemilang.

Dengan ketekunan yang ditunjukkan oleh peserta serta penandaan dilakukan sejak beberapa bulan lalu terhadap kiub rubik, maka usaha itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai penghasilan terbesar Jalur Gemilang iaitu 11 meter panjang dan 5.5 meter lebar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini adalah usaha yang amat membanggakan apatah lagi dihasilkan oleh remaja dan belia berbilang kaum, sekali gus mencerminkan semangat 1Malaysia yang tinggi.

''Saya kagum dengan usaha ini dan mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat kerana mengharumkan nama negara. Nama Negeri Sembilan juga dimasukkan dalam buku rekod Malaysia," katanya selepas meletakkan kiub rubik terakhir pada Jalur Gemilang itu di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sempena sambutan Hari Malaysia, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM) Negeri Sembilan, Low Eng Tack berkata, pencapaian itu adalah cara remaja dan belia negeri ini menyatakan rasa patriotik, cintakan negara serta menghormati Jalur Gemilang dengan melibatkan semua kaum.

''Mesej kami adalah untuk penyatuan kaum dan menghargai keamanan, sebuah negara yang harmoni serta sama-sama meraikan hari penting ini dengan semangat 1Malaysia," katanya.

''Simbolik kepada mesej dan pemilihan kiub rubik ini adalah gambaran rakyat Malaysia yang hidup dalam pelbagai kaum, disatukan dengan semangat 1Malaysia dengan rakyat harus bergerak bersama, bermuafakat dalam menyelesaikan isu dah akhirnya bersatu dalam sebuah negara yang aman dan damai ini.

''Ia memerlukan pengamatan dan ketelitian supaya ia tidak tersilap pasang ketika dipamerkan di tengah padang sempena sambutan Hari Malaysia ini. Setiap pelajar dan belia yang sama-sama menyusunnya adalah terdiri peserta yang memang mempunyai semangat patriotik tinggi," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta yang terlibat dalam program tersebut, pelajar Sekolah Menengah King George V Seremban, Najwa Ahmad Wafa, 16, berkata, sebelum ini dia bermain kiub rubik secara suka-suka.

''Kali ini saya lebih fokus iaitu menyusun kiub rubik dengan betul bagi menghasilkan Jalur Gemilang gergasi ini. Ini satu kebanggaan kerana kami telah mencipta rekod dan pada masa yang sama meluahkan perasaan patriotik kepada negara.

''Kami berbangga dengan penghasilan ini dan ia adalah sebahagian daripada aktiviti kenegaraan dan tanda penyatuan kaum yang hebat," katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah (STAD), Lim Boon Hong, 17, pula memberitahu ada rahsia di sebalik penyusunan kiub rubik ini.

''Kami tidak melakukannya secara suka-suka tetapi hati kami disemai dengan semangat cintakan negara. Apabila kita menyusun kiub rubik menjadi Jalur Gemilang, secara tiba-tiba ada kelainan perasan timbul dalam hati. Itulah perasaan semangat cintakan negara," ujarnya.

Rakannya yang juga dari sekolah yang sama, Ong Soo Jet, 17, mengakui dia mempunyai ramai rakan berketurunan Melayu dan India.

''Kami tidak pernah bercakap soal rasis. Apa yang kami ucapkan adalah rasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Sebenarnya, kami amat rapat dan boleh berkawan dengan sesiapa pun dan apabila ada program ini, ia adalah peluang untuk kami membina persahabatan yang lebih akrab sesama manusia," katanya.

Bagi murid Sekolah Kebangsaan Paroi, C. Yasodah, 12, dia amat teruja apabila dipilih untuk menyertai program tersebut.

''Saya dapat ramai kawan dan merasa amat seronok kerana cipta rekod dan mengharumkan nama Negeri Sembilan," katanya.

Rakannya, Nor Aliah Natasha Aziz, 12, berbangga menjadi rakyat Malaysia yang merupakan sebuah negara aman, sejahtera dan bersatu-padu.

''Bila kita menyertai program ini, semua perasaan takut itu hilang. Kami gembira kerana dapat bersama-sama menyusun kiub rubik," katanya.

Pengarah JPJ bertemu pelanggan di Gadek

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

MELAKA 18 Sept. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan mengadakan program Pengarah Bertemu Pelanggan di Padang Awam, Kampung Gadek, Alor Gajah pada 28 September ini.

Pengarahnya, Mohd. Fadhil Hassan berkata, program itu bagi membolehkan orang ramai menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan dengan jabatan.

Menurutnya, pelbagai aktiviti diatur khusus untuk orang ramai membuat urusan seperti pendaftaran lesen memandu warga emas bagi umur 45 tahun ke atas, pembaharuan lesen kenderaan motor, pembaharuan lesen memandu, pembayaran saman dan semakan senarai hitam.

''Kita juga akan mengehadkan pemeriksaan motosikal bagi lesen yang tamat tempoh melebihi satu tahun, di samping pendaftaran Skuad Muda 1JPJ dan mengedarkan topi keledar dan baju pantulan cahaya secara percuma," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohd. Fadhil berkata, bagi tujuan tersebut, JPJ menyediakan beberapa kaunter urusniaga yang akan dibuka kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Menurutnya, antara agensi yang akan turut serta dalam program tersebut adalah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Biro Pengaduan Awam dan Unit Aduan Awam Melaka (e-Aduan).

Beliau berkata, antara agensi lain adalah Puspakom, Jabatan Penyiaran negeri, Jabatan Penerangan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

''Orang ramai juga akan diberi penerangan mengenai prosedur berdasarkan permasalahan yang sering ditimbulkan pelanggan dan program ini juga membolehkan JPJ mendapat maklum balas mutu perkhidmatan jabatan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved