Jumaat, 27 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tok Gajah bangkit

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

Oleh Shahrinnahar Latib
nahar.latib@utusan.com.my

Penyerang import PKNS, Patrick Ronaldinho (tengah) diasak tiga pemain Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. Pahang menang 3-2. - Utusan/MAHATHIR ALI

KUANTAN - Skuad Tok Gajah sekadar membawa bekalan tipis selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas PKNS pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Penyerang import dari Argentina, Matias Conti meledak jaringan hatrik dengan turut merakamkan jaringan pantas sebaik sahaja 40 saat perlawanan dimulakan selain dua gol tercipta pada minit ke-50 dan 57 bagi memadamkan kelebihan pelawat yang mendahului 2-1 pada babak pertama.

Jaringan PKNS pula hadir daripada Patrick Ronaldinho pada minit ke-36 dan Mohd. Lot Abu Hassan, seminit kemudian yang mendiamkan seketika 30,000 penonton setia Tok Gajah di Darul Makmur.

Kelebihan satu gol itu ternyata masih belum selamat buat pasukan tuan rumah yang akan bertandang ke Stadium Shah Alam pula untuk separuh akhir kedua Jumaat depan memandangkan PKNS membawa pulang dua gol di tempat lawan.

Gol pertama Pahang terhasil hasil hantaran silang R. Gopinathan yang gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan PKNS sebelum Conti mudah menyepak masuk ke dalam gawang bagi memberikan permulaan sempurna kepada Tok Gajah.

Pahang yang mendapat sepakan percuma selepas Gopinathan dikasari pada minit ke-20 gagal memanfaatkannya apabila tendangan kencang Azidan ditepis keluar oleh penjaga gol tuan rumah Remezey Che Ros.

Pada minit ke-27, Pahang hampir menggandakan kelebihan namun gol yang terhasil daripada aksi akrobatik pertahanan import, Damion Delano Stewart dibatalkan kerana ofsaid.

Bagaimanapun, PKNS berjaya menjaringkan gol pertama mereka apabila tendangan percuma Mohd. Fauzan Dzulkifli pada minit ke-36 berjaya ditanduk masuk oleh Patrick Ronaldinho sebelum selang seminit kemudian, kerapuhan pertahanan tuan rumah sekali lagi dihukum melalui sepakan Mohd. Lot Abu Hassan yang gagal ditepis keluar penjaga gol Pahang, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid.

Walaupun ketinggalan 1-2 pada 45 minit pertama, Pahang bangkit mempamerkan karakter tersendiri apabila hanya mengambil masa selama lima minit sebaik babak kedua bersambung untuk menyamakan kedudukan apabila hantaran cantik daripada R. Surendren ditanduk masuk oleh Conti pada minit ke-49.

Akhirnya, gol kemenangan yang dicari tuan rumah berhasil pada minit ke-57 selepas tendangan Amirul Hadi Zainal sekadar ditepis lemah oleh Remezey dan Conti pantas menyambar bola muntah yang terhidang sekali gus menggamatkan suasana di Darul Makmur.

Rashid kembali minggu depan

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

Oleh Muhamad Azrin Mad Heder
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Rashid Sidek akan kembali menyambung semula tugas jurulatih badminton perseorangan negara bermula minggu hadapan.

Rashid ketika dihubungi memberitahu, keputusan itu didorong nasihat daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu beliau mempertimbangkan semula keputusannya sebelum ini dan terus kembali semula berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Saya membuat keputusan ini kerana memikirkan masa hadapan badminton negara. Sukan badminton adalah jiwa saya. Khairy juga sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan yang meminta saya terus melatih pemain kebangsaan berdasarkan pengalaman yang ada pada saya.

"Keputusan ini juga dibuat selepas banyak pihak memberi saya pandangan positif dengan meminta saya untuk kembali kepada BAM bagi membantu menaikkan nama badminton negara di mata dunia," kata Rashid ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Rashid, 45, sebelum ini meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan negara pada 19 September lalu kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan baharu badan itu.

Nasihat daripada anak didik Rashid yang merupakan jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei juga merupakan faktor buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu kembali ke pangkuan BAM.

"Kami ada berbual melalui telefon. Chong Wei juga menasihati saya untuk kembali sebagai jurulatih namun tidak memaksa saya," kata Rashid.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved