Jumaat, 27 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Tiada kawasan terpinggir

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 27 Sept. - Setiap projek yang akan dilaksanakan kerajaan adalah berdasarkan perancangan yang rapi termasuk kajian daripada segi peruntukan serta manfaatnya kepada rakyat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sebab itu, kerajaan negeri tidak meluluskan sesuatu projek secara rambang, sebaliknya penelitian dilakukan terlebih dahulu sebelum pengumuman dibuat.

''Pemimpin kerajaan negeri hanya berjanji atau bercakap jika kita mampu melaksanakannya. Sebab itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah berbohong kepada rakyat.

''Banyak projek yang dijanjikan kerajaan pada pilihan raya umum lalu terutamanya membabitkan projek-projek kecil telah mula kita laksanakan manakala projek besar dan mega dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan," kata Mohd. Sharkar.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia semasa mengulas desakan Ahli Parlimen Temerloh daripada Pas, Nasruddin Hassan yang sebelum ini menggesa kerajaan membina projek yang dijanjikan di daerah ini seperti mana yang diumumkan pada kempen pilihan raya umum lalu.

Menurut Mohd. Sharkar, perkara ini tidak berbangkit kerana kerajaan BN mempunyai jadual dan program pelaksanaan setiap projek pembangunan yang dirancang di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkata, tidak ada daerah, kawasan ataupun kampung yang terpinggir daripada menikmati pembangunan kerajaan.

''Kerajaan BN akan melaksanakannya walaupun kawasan itu dimenangi pembangkang. Kita tidak pernah meminggirkan pembangunan kerana menjadi peranan serta tanggungjawab kita untuk melaksanakan projek pembangunan rakyat," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang.

Terapkan budaya penambahbaikan dalam setiap organisasi

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

MOHAMAD Ridzwan Mohd. Tahar (berdiri, lapan dari kiri) bersama johan setiap kategori iaitu Bahagian Pengurusan Kualiti dan Latihan MPK dan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPK pada majlis Konvensyen KIK Peringkat Negeri Pahang di Bukit Gambang Resort, Kuantan, Pahang, kelmarin.

KUANTAN 27 Sept. - Semua ketua jabatan di negeri ini disaran menerapkan kaedah 'Pengurusan Lean' yang menggalakkan budaya penambahbaikan dan inovasi di dalam organisasi.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, pelaksanaan 'Pengurusan Lean' akan mencetuskan budaya kerja baharu yang seterusnya akan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan jabatan dan dalam masa sama dapat memenuhi kehendak pelanggan.

"Antara jabatan yang boleh dijadikan contoh dalam 'Pengurusan Lean' ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka.

"Selain pelaksanaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), kaedah pengurusan ini dilihat lebih berkesan sebagai penggerak kepada inisiatif-inisiatif baharu kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Mohamad Ridzwan Mohd. Tahar sempena penutupan Konvensyen KIK Peringkat Negeri Ke-29 2013 di Bukit Gambang Resort City di sini semalam.

Sebanyak 27 kumpulan iaitu 13 kumpulan kategori pengurusan dan bakinya kategori teknikal membentangkan kertas kerja masing-masing sempena penganjuran kali ini.

Menurut Muhammad Safian, segala usaha perlu dilipatgandakan kerana hasrat kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan awam memerlukan perubahan berskala besar dan drastik.

"Kita harus menggunakan momentum sedia ada untuk mencipta inovasi yang strategik, unik dan berkesan.

"Lebih penting lagi, kita harus keluar daripada budaya 'silo' masing-masing ke arah transformasi perkhidmatan awam yang menyeluruh dan berlestari," ujarnya.

Tambahnya, sebagai peneraju inovasi, setiap penjawat awam mestilah berani mencari penambahbaikan yang baharu, berani mempersoalkan amalan yang lazim diamalkan, malah berani mencabar status quo.

"Segala cetusan idea yang baharu atau pemikiran alternatif sebenarnya lahir daripada keyakinan ilmu yang kita bina dan amalkan.

"Di sinilah letaknya keunggulan dan martabat ilmu. Sesungguhnya kayu ukur kejayaan inovasi bergantung rapat dengan kekuatan ilmu dan setakat mana kita memanfaatkan ilmu tersebut," jelasnya.

Kembalikan populariti Cherating sebagai pusat peranginan

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

MOHD. Sharkar Shamsudin (duduk, tengah) bersama pengunjung melepaskan penyu pada Program Sahabat Media, Cuti-Cuti Media 1Malaysia dengan kerjasama Hotel Legend Cherating di Kuantan, Pahang, kelmarin.

KUANTAN 27 Sept. - Cherating perlu dipromosikan secara menyeluruh bagi mengembalikan kegemilangan pusat peranginan itu kerana tarikan yang ada tidak hanya terhad kepada keindahan pantai sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, Cherating mampu untuk terus menarik kunjungan pelancong dari seluruh dunia seperti suatu masa dahulu jika tarikan yang ada dapat diketengahkan menerusi strategi yang betul.

"Justeru, melalui hotel yang terdapat di sekitar Cherating, mereka boleh menawarkan pakej pelancongan menarik supaya pelancong dapat pengalaman bermakna sepanjang bercuti di sini.

"Antara pengalaman baru yang menarik pastinya peluang melepaskan anak penyu di pantai selain peluang untuk melihat sendiri kelip-kelip pada waktu malam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Sahabat Media, Cuti-Cuti Media 1Malaysia dengan kerjasama Hotel Legend Cherating di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Ahmad Faisal Mohamed dan Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Idros Yahya.

Mohd. Sharkar berkata, industri pelancongan di negeri ini perlu lebih agresif mempromosikan aktiviti unik kepada pelancong dalam menghadapi persaingan semasa.

Beliau berkata, satu daripadanya adalah Cherating yang akan dimasukkan di dalam kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Saya yakin dengan pakej menarik yang ditawarkan pemain industri ini, lebih ramai pelancong akan datang dan menginap di hotel sambil menikmati keindahan pantai dan aktiviti yang disediakan.

"Fasiliti yang lengkap, pantai yang cantik dan budi bahasa orang kita yang sopan santun pastinya menjadi tarikan terbaik," katanya.

Tambah Mohd. Sharkar, Pahang mempunyai 10 produk pelancongan yang sangat terkenal namun selain Cherating yang ingin dipertingkatkan popularitinya, Bukit Fraser juga menghadapi masalah serupa dan diharapkan pembangunan tempat pelancongan itu dapat distruktur semula.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved