Jumaat, 27 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


PBTM bina 350 rumah

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

MUAR 26 Sept. - Sebuah perkampungan bekas tentera akan diwujudkan di Batu 11, Pagoh dekat sini bagi menyediakan kediaman kepada 350 golongan berkenaan yang masih belum mempunyai rumah sendiri.

Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar, Shamsudin Rais (gambar) berkata, cadangan itu dipersetujui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh bagi membantu pesara yang tidak berpencen di daerah ini.

"Rumah bekas tentera itu akan dibangunkan di kawasan tanah seluas 54 hektar oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan akan dijual dengan harga berpatutan bagi membantu ahli PBTM memiliki kediaman.

"Usaha ini dibuat kerana seramai 350 pesara itu masih tidak mempunyai kediaman sendiri dan ketika ini mereka menumpang di rumah keluarga masing-masing," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Bagaimanapun, ahli PBTM tersebut yang terpilih perlu membuat aku janji untuk terus menyokong kerajaan sebelum layak mendapat rumah tersebut kerana tidak mahu golongan yang tidak mengenang budi mendapat kelebihan berkenaan kerana kerajaan sentiasa menjaga kebajikan serta membantu mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pejabat PBTM di Jalan Sulaiman kini sudah berubah wajah selepas dinaik taraf dengan kos RM60,000 yang disumbangkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman Jun lalu.

Shamsudin berkata, kerja-kerja menaik taraf dilakukan selepas persatuan itu berjaya mendapatkan status hak milik tanah tersebut daripada Pejabat Tanah Daerah, September lalu.

Kerja menaik taraf itu melibatkan penggantian dinding papan kepada batu, lantai jubin, membina tembok, mengganti papan tanda persatuan, membaiki sistem perparitan, mengecat bangunan dan menggantikan bumbung yang bocor.

"Bangunan asal pejabat ini ialah kuarters Jabatan Kerja Raya yang sudah lama terbiar. Ruang bangunan baharu pejabat ini boleh menampung 300 ahli dan jauh lebih selesa," katanya.

Shamsudin memberitahu, pihaknya juga merancang untuk membina sebuah stor bagi menempatkan peralatan.

Setakat ini persatuan itu mempunyai seramai 3,383 ahli termasuk dari Bakri, Ledang dan Pagoh.

Anak syarikat JCorp sedia bekal ternakan korban

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

JOHOR BAHRU 26 Sept. - Ihsan Permata Sdn. Bhd. (IPSB), anak syarikat Johor Corporation (JCorp) bersedia menawarkan bekalan haiwan ternakan bagi menampung keperluan ibadat korban sempena Hari Raya Aidiladha.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kasim berkata, syarikat IPSB yang menjalankan aktiviti penternakan lembu secara integrasi dan fidlot itu mempunyai bekalan haiwan ternakan yang mencukupi bagi tujuan ibadat korban tahun ini.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 181 lembu ditempah dan harga yang ditawarkan bagi seekor lembu adalah antara RM2,100 hingga RM4,200 bergantung kepada jenis dan saiz haiwan ternakan tersebut.

"IPSB mengamalkan aspek bio-security yang tinggi bagi memastikan haiwan ternakan sentiasa sihat tanpa dijangkiti sebarang penyakit kerana merupakan salah satu daripada syarat ibadat korban.

"Di samping itu, kualiti lembu yang mempunyai lima gred iaitu AAA, AA, A, B dan D jenis Brahman Cross Import serta KK Cross terjamin dan dijangka mempunyai peratusan daging yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kamaruzzaman, IPSB turut mendapat kerjasama yang baik daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memastikan kesihatan haiwan ternakan tersebut sentiasa dalam keadaan baik dan terjaga.

Katanya, pelanggan yang ingin mendapat bekalan haiwan tersebut boleh datang ke ladang ternakan IPSB yang terletak di Sedenak, Kulaijaya atau menghubungi pejabatnya di talian 07-2192692.

Selain itu, mereka juga boleh menghubungi Pengurus Besar IPSB, Kamarulzaman Othman di talian 019-7902692, Mohd. Zan Muda (012-2673677) serta Dr. Nurul Hidayah Khalid (017-7692953) dan tarikh akhir pendaftaran tempahan adalah pada 5 Oktober ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved