Jumaat, 27 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tiga pesalah muda disebat

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

Firman Shah Marzuki, 21, (kiri), Hazmirul Zulkefli (kanan) dan Mohammad Talip Abd. Kadir, kedua-duanya berumur 19 tahun, di Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Tiga pesalah muda yang mengaku melakukan rompakan berkumpulan menerima pengajaran paling bermakna apabila disebat menggunakan rotan halus di hadapan ahli keluarga dan orang awam di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini.

Mereka masing-masing disebat dua kali oleh pegawai dari Penjara Kajang di hadapan Hakim Manira Mohd. Nor sambil disaksikan ahli keluarga termasuk ibu bapa ketiga-tiga remaja itu, wartawan dan orang awam yang berada di galeri awam mahkamah.

Ketiga-tiga remaja terbabit ialah Firman Shah Marzuki, 21, yang bekerja sebagai jurulatih peribadi di gimnasium, Mohammad Talip Abd. Kadir, 19, dan Hazmirul Zulkafli, 19, kedua-duanya mekanik.

Mereka masing-masing kelihatan bersahaja semasa diperintahkan membongkok di bahagian meja hadapan galeri mahkamah untuk disebat menggunakan rotan sepanjang anggaran satu meter.

Terdahulu, mahkamah memerintahkan doktor yang hadir memeriksa tahap kesihatan ketiga-tiga pesalah muda berkenaan sebelum sebatan dijalankan.

Selepas ketiga-tiga mereka disahkan sihat, proses sebatan dimulakan terhadap Hazmirul dan disusuli oleh Firman serta Mohammad Talip sambil disaksikan ibu bapa dan ahli keluarga mereka yang diminta berdiri di belakang mereka.

Manira kemudian menasihati ketiga-tiga pesalah muda itu supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa hadapan dan bijak memilih rakan.

Mahkamah berharap agar pihak keluarga sentiasa memantau aktiviti anak masing-masing supaya tidak terlibat dengan jenayah. Hari ini mahkamah beri peluang kerana mereka pesalah muda.

Ini hanya sebatan ringan, cuba kamu bayangkan sebatan sebenar yang dijalankan di penjara," ujar beliau.

Mereka sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan merompak secara berkumpulan menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita, tahun lalu.

Ketiga-tiga mereka didakwa bersama Mohd. Ramdan Mohd. Ali, 24, dan seorang lagi yang masih bebas merompak Yeo Chai Nee, 32, dan mengambil kamera digital Sony, kunci kereta Toyota Vios, telefon bimbit Nokia, wang tabung RM600 milik mangsa yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1,200.

Kejadian didakwa berlaku di Jalan AG 1/4 Astana, Gombak dekat sini pada pukul 4.30 pagi, 17 Mei 2012.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pada 12 September lalu, Manira menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan sebatan empat kali terhadap Mohd. Ramdan yang turut mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Namun bagi Firman, Manira memberikan bon jaminan berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM5,000 berserta seorang penjamin mengikut Seksyen 293(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah dan sebatan ringan dua kali mengikut Seksyen 2(1)(c) kanun sama.

Sementara itu, pada 2 September lalu, Mohammad Talip dan Hazmirul diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama 12 bulan dengan cagaran RM5,000 berserta seorang penjamin dan sebatan ringan dua kali mengikut seksyen-seksyen yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie manakala Firman diwakili peguam bela Vasu Dev.

Peguam Mohd. Riza Zakaria mewakili Hazmirul dan Muhammad Talip.

Genneva: 6 hadapi 923 tuduhan

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

Marcus Yee Yuen Seng (kiri) menyimbah air mineral kepada jurugambar Utusan Malaysia, Zaini Husin di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Enam individu termasuk pengarah dan pengurus besar syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva (M) Sdn. Bhd. (GMSB) dan dua syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 913 pertuduhan pengubahan wang haram dan 10 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai hampir RM5.5 bilion, dua tahun lalu.

Pengarah GMSB, Datuk Tan Liang Keat, 41, dan Datuk Philip Lim Jit Meng, 56; Pengurus Besar, Lim Kah Heng, 42; penasihat-penasihat perniagaan syarikat itu, Datuk Ng Poh Weng, 63, Datuk Chin Wai Leong, 37, serta Datuk Marcus Yee Yuen Seng, 61, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut.

Syarikat GMSB dan Success Attitude Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Philip turut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Kesemua tertuduh didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan memiliki, memindah, menerima dan memperoleh wang berjumlah RM1.5 bilion yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd. dan CIMB Islamic Bank Bhd. di Jalan Kuchai Maju 1, Dynasty 2, Off Jalan Kuchai Lama, di sini antara Januari 2011 dan Disember 2012.

Philip menghadapi 246 pertuduhan, Liang Keat (226), Kah Heng (16), Poh Weng (155), Marcus (17), Wai Leong (23), GMSB (222 ) dan Success Attitude (8).

Timbalan Pendakwa Raya, Mardziatun Nisa Ahamad Kabir mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Mat Ghani membenarkan setiap tertuduh yang diwakili peguam J. Kuldeep Kumar dan A.S. Dhaliwal, diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin serta dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah sementara menunggu pengurusan kes pada 27 November ini.

Terdahulu di mahkamah sama, Philip, Liang Keat, Kah Heng, Poh Weng, dan GMSB mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah melalui satu skim melibatkan transaksi emas di CIMB Islamic Bank Bhd. di alamat sama antara 10 Januari 2011 dan 1 Oktober 2012.

Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Dzulkifli pada awalnya tidak menawarkan jaminan namun menegaskan jika mahkamah membenarkannya, beliau mencadangkan semua tertuduh diikat jamin RM5 juta seorang.

"Kes ini sangat serius kerana melibatkan nilai RM5.5 bilion dengan 35,000 pendeposit malah ia boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan ekonomi serta keyakinan orang ramai terhadap sistem perbankan negara," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah dan 27 November untuk pengurusan kes.

Mahkamah membenarkan kedua-dua kes itu dibicarakan bermula 7 hingga 24 April tahun depan.

Terdahulu di sebuah lagi mahkamah, GMSB, Philip dan Liang Keat masing-masing mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat pernyataan palsu dalam iklan di laman sesawang www.gennevaworld.com.my berhubung penjualan emas berlandaskan syariah.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aida Mastura Mohamed Aman mengikut Seksyen 18(1) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Hakim Rihaida Rafie membenarkan setiap mereka yang disaman itu dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan sebutan kes ditetapkan pada 28 Oktober ini.

Mahkamah membenarkan wang jaminan kesemua kes itu dibayar Isnin depan kerana prosiding kes berkenaan yang lewat dimulakan pada sebelah petang dan kaunter pembayaran di mahkamah telah ditutup.

Sementara itu, kamera jurugambar Utusan Malaysia, Zaini Husin mengalami kerosakan setelah disimbah air oleh salah seorang tertuduh yang berang dengan tindakan jurugambar mengambil gambarnya.

Walau bagaimanapun, beberapa jam kemudian, tertuduh itu memohon maaf kepada Zaini atas perbuatannya itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved