Jumaat, 27 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Zon bebas rokok di jejantas

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Salleh Yusup (kanan) beramah mesra dengan tetamu jemputan selepas merasmikan Seminar Kesihatan Persekitaran di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/NOORADZRENE MOHD. NOOR

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang menjadikan semua jejantas pejalan kaki berbumbung di ibu kota sebagai zon larangan merokok.

Ketua Pengarahnya, Datuk Salleh Yusup berkata, langkah tersebut bagi memastikan keselesaan dan keselamatan orang awam terutama pejalan kaki.

Menurutnya, laluan tersebut juga termasuk dalam kawasan awam yang tidak sepatutnya menjadi tempat merokok sehingga menyebabkan orang ramai terdedah kepada bahaya asap rokok.

"DBKL sendiri menyokong hasrat yang dikemukakan oleh Persatuan Kesihatan Enviromen Malaysia (MAEH) yang mahu laluan berbumbung itu bebas daripada pencemaran asap rokok.

"Kementerian Kesihatan juga diharap dapat mempertimbangkan agar kawasan tersebut diwartakan sebagai salah satu tempat larangan merokok," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesihatan Persekitaran di Institut Latihan DBKL di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MAEH, Haw Ai Beng dan bekas Ketua Profesion dan Penasihat MAEH, Ungku Abu Bakar Abdul Rahman.

Tambah Salleh, DBKL telah mengambil pelbagai tindakan kepada perokok termasuk kompaun terhadap golongan itu yang membuang puntung rokok di merata-rata.

"Tahun lalu sahaja jumlah kompaun yang dikenakan mencecah sehingga RM300,000 sebulan termasuk kesalahan membuang sampah merata-rata dan sebagainya.

"Sebanyak 21 kategori tempat awam telah diwartakan Kementerian Kesihatan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan operator restoran termasuk pusat penjaja kendalian DBKL agar menjaga kebersihan premis mereka supaya tidak menjadi punca kepada pembiakan tikus.

"Masalah tikus berpunca daripada premis yang kotor dan peraturan baharu yang dilaksanakan DBKL adalah dengan tidak membenarkan restoran beroperasi selama 24 jam sehari.

"Ia bagi membolehkan mereka mempunyai masa untuk membersihkan kawasan premis termasuk menukar pakaian kerja," jelasnya.

Sementara itu, dalam seminar sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia itu, Ungku Abu Bakar diberikan Anugerah Pencapaian Khas berikutan jasanya dalam bidang tersebut termasuk sebagai salah seorang daripada ahli pengasas Persekutuan Antarabangsa Persekitaran Kesihatan (IFEH).

DBKL bangunkan dusun buah

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Di sebalik kesesakan dan hiruk-pikuk di ibu negara, warga kota kini mempunyai satu lagi alternatif untuk meredakan ketegangan atau tekanan kerja dengan berinteraksi bersama alam semula jadi di sebuah taman yang baharu dibuka.

Taman Dusun Bandar yang mula beroperasi sejak 1 September lalu dibuka oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhampiran Istana Negara Lama yang boleh diakses melalui Jalan Bellamy.

Tinjauan Utusan Malaysia ke taman seluas 19 ekar berkonsepkan taman awam yang ditanam pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan termasuk pokok buah-buahan turut dilengkapi kemudahan rekreasi.

Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr. Ismail Stapa berkata, taman yang melibatkan kos pembangunan sebanyak RM17.25 juta itu dibuka untuk lawatan pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, taman itu juga mengambil masa untuk dibuka kepada awam sebelum ini kerana pihaknya mahu memberi jaminan agar pokok-pokok di situ dapat membesar dengan sempurna tanpa gangguan.

Pada peringkat awal, pokok buah-buahan ditanam oleh kontraktor seperti yang terkandung dalam kontrak pembangunan, tetapi pada masa sama, DBKL turut mengambil inisiatif menambah dan menanam sendiri koleksi tambahan pokok buah-buahan.

Antaranya adalah pokok mangga, pisang, betik kelapa dan sebagainya, manakala tanaman buah-buahan nadir yang turut terdapat di taman ini adalah seperti Sentul dan Nam-Nam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kawasan itu merupakan tapak bekas setinggan Kampung Delima dan disempadani oleh Sekolah Menengah Kuen Cheng, kuarters Telekom dan tanah perkuburan Cina.

Tambah Ismail, taman dusun buah yang pertama dibangunkan di kawasan bandar itu mempunyai tarikan tersendiri untuk orang ramai beriadah disamping mengenali tanaman buah-buahan tempatan.

Penanaman spesis pokok-pokok buah yang baharu juga akan dilaksanakan dari semasa ke semasa selain kerja-kerja pengalihan dan penanaman pokok buah-buahan segera bersaiz besar.

Antaranya pokok dokong, manggis, langsat, duku, rambutan dan sebagainya bagi memberi impak teduhan kepada taman ini," katanya.

Terang Ismail lagi, pengunjung boleh membuat temujanji atau menulis surat secara terus kepada Jabatan Landskap dan Rekreasi DBKL bagi tujuan pembelajaran dan pendidikan untuk mendapatkan maklumat serta input berkaitan taman itu.

Selain itu, kemudahan yang terdapat di taman ini adalah laluan siar kaki termasuk untuk orang kurang upaya (OKU), tandas, kiosk, kafeteria, pusat jualan, surau, taman permainan kanak-kanak, kolam tadahan, pegola serta tempat meletak kenderaan untuk 40 kereta dan empat bas pada satu-satu masa," katanya.

Jejambat atasi kesesakan waktu puncak

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

SUBANG JAYA 26 Sept. - Masalah kesesakan lalu lintas di Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong pada waktu puncak bakal diatasi dengan pembinaan sebuah jejambat baharu yang menghubungkan Lebuhraya Damansara -Puchong (LDP) ke kawasan bangunan komersial Setiawalk, di sini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Asmawi Kasbi berkata, projek melibatkan kos RM11 juta itu dijangka siap Disember tahun hadapan.

Menurutnya, pembinaan projek tersebut dilaksana atas permintaan penduduk sekitar berikutan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin kritikal dialami.

Pihak MPSJ telah meminta pihak SP Setia dan pemaju Setiawalk membina infrastruktur berkenaan dengan mengambil kira hentian bas dan teksi yang berada di sepanjang LDP.

Selepas kita memberi kelulusan pihak terbabit telah berada di tapak dengan kerja-kerja pembinaan jejambat sepanjang 286 meter itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung cadangan Pembangunan Perdagangan Bercampur Antara Perdagangan Dan Kediaman Melibatkan Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 di Pusat Bandar Puchong, di sini hari ini.

Menurut Asmawi, pihaknya turut mengalungkan penghargaan kepada pihak pemaju terlibat yang telah menunaikan janji dan memberi komitmen sejak dua tahun lalu dalam usaha mengatasi masalah lalu lintas di kawasan Setiawalk itu.

Katanya, sebuah perhentian bas baharu sudah siap dibina sepenuhnya di kawasan berkenaan bagi menggantikan perhentian bas sedia ada yang akan ditutup kira-kira dua minggu lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved