Jumaat, 27 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Idris kekal Ketua Bahagian

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

KIRI Idris Haron, Baddrul Hissham

MELAKA 26 Sept. - Ketua Menteri, Datuk Idris Haron menyifatkan keputusan Baddrul Hissham Abdul Aziz, 45, menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu demi untuk kebaikan UMNO di bahagian itu.

Sambil mengucapkan terima kasih atas keputusan yang diambil itu, beliau berkata, keadaan tersebut sekali gus memberi laluan kepadanya untuk mengekalkan jawatan Ketua Bahagian yang disandang sejak 2004.

Saya telah berjumpa dia (Baddrul Hissham) dan pertemuan kami cukup mesra. Beliau ambil keputusan tarik diri kerana demi kebaikan saya.

Seperkara yang penting, dia luahkan rasa hati agar saya mengenangnya kerana sebelum ini dia sukar untuk berjumpa saya atas beberapa halangan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian Hari Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bertemu Pelanggan 2013 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini malam tadi.

Majlis perasmian disempurnakan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad.

Baddrul Hissham yang juga ahli cawangan Tok Suboh mengejutkan ahli akar umbi apabila menghantar borang pendaftaran menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian Tangga Batu, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, Baddrul Hissham menyerahkan surat penarikan diri bertanding jawatan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Melaka, Tan Sri Ahmad Nordin.

Abdul Ghafaar mahu pertandingan cara berhemah

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

KIRI Abdul Ghafaar Atan, Abdul Wahab

MELAKA 26 Sept. - Pemilihan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah dijangka sengit apabila penyandangnya, Datuk Abdul Ghafaar Atan akan dicabar timbalannya, Datuk Abdul Wahab Abdul Latip.

Abdul Ghafaar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan berkata, beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Abdul Wahab yang juga ADUN Durian Tunggal untuk mencabarnya bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Oktober ini.

Menurutnya, UMNO adalah sebuah parti demokrasi dan sesiapa sahaja boleh bertanding mana-mana jawatan berdasarkan Perlembagaan parti yang baharu.

Saya harap ini adalah pertandingan yang sihat kerana beliau (Abdul Wahab) adalah kawan saya dan pertandingan ini harus diterjemah sebagai pertandingan dalam keluarga.

Apabila Abdul Wahab menawarkan diri bagi saya ini adalah satu proses demokrasi berdasarkan sistem sedia ada dalam parti.

Saya serahkan kepada kebijaksanaan seluruh perwakilan di Alor Gajah yang mengenali saya dan kepimpinan sejak dua penggal lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi Abdul Ghafaar, usaha mempertahankan jawatan itu kerana ingin terus memperkasakan UMNO di bahagian tersebut khususnya menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sementara itu, Abdul Wahab yang juga Timbalan Speaker DUN berkata, keputusan yang diambilnya untuk mencabar penyandang jawatan tersebut adalah selaras dengan dasar parti mengutamakan demokrasi.

Menurutnya, beliau menawarkan diri bertanding jawatan itu bukan bertujuan memecahbelahkan parti sebaliknya ingin memperbetulkan perjalanan bahagian itu.

Apabila memikirkan perlunya UMNO bahagian ini diperkasakan, saya merasa terpanggil untuk menawarkan diri bertanding jawatan ketua pada pemilihan kali ini.

Saya menawarkan diri bertanding secara berhemah dan Abdul Ghafaar tetap kawan dan sahabat saya dan anggaplah ini satu pertandingan yang sihat untuk kebaikan semua," katanya.

Abdul Wahab berkata, beliau menyerahkan keputusannya menawarkan diri itu kepada seluruh ahli parti dari peringkat akar umbi hingga cawangan untuk menilai antara dua calon yang bertanding jawatan tersebut.

Masjid Tanah paling sengit

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Ab. Rauf Yusoh, Abdul Rahim, Ismail Othman

MELAKA 26 Sept. - Masjid Tanah disifatkan bahagian UMNO yang paling panas dan sengit di negeri ini bakal menyaksikan saingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua Bahagian dalam pemilihan parti Oktober ini.

Jika dibandingkan dengan Alor Gajah dan Jasin di mana jawatan ketua dicabar namun Masjid Tanah tetap menjadi bualan akar umbi dan pemerhati politik kerana menemukan tiga tokoh berpengaruh dalam arena politik.

Ini kerana tiga tokoh politik berpengaruh dan dikenali di negeri ini bersaing sesama sendiri mengisi kekosongan jawatan ketua yang dikosongkan Datuk Abu Seman Yusop.

Mereka yang mengesahkan penyertaan ialah Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman.

Bertanding jawatan Timbalan Ketua ialah Naib Ketua Bahagian, Datuk Talib Bachek, Setiausaha Bahagian, Jamaluddin Joned dan ADUN Ayer Limau, Amiruddin Yusof manakala bagi jawatan Naib Ketua pula ADUN Tanjong Bidara, Md. Rawi Mahmud, Ketua Cawangan Bukit Apit, Hanafiah Othman dan AJK bahagian, Azman Nordin.

Bagi tiga lagi bahagian di Kota Melaka, Tangga Batu dan Bukit Katil menyaksikan penyandang jawatan Ketua Bahagian diisytihar menang tanpa bertanding selepas tempoh bertenang 72 jam berakhir petang semalam.

Mereka ialah Ketua Menteri, Datuk Idris Haron di Tangga Batu, Datuk Latiff Tamby Chik (Kota Melaka) dan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (Bukit Katil).

Paling awal jawatan Ketua Bahagian menang tanpa bertanding ialah di Kota Melaka apabila penyandangnya, Datuk Latiff Tamby Chik diisytihar menang selepas tidak ada calon lain apabila pendaftaran ditutup Sabtu lalu.

Idris yang pada mulanya dicabar mendapat laluan untuk menang tanpa bertanding apabila pencabar tunggalnya iaitu ahli UMNO cawangan Tok Suboh, Baddrul Hissham Abdul Aziz, 45, menarik diri semalam.

Begitu juga dengan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam turut menang tanpa bertanding selepas ahli jawatankuasa bahagian Bukit Katil, Haron Abdullah, 62, turut menarik diri pada hari yang sama.

Tidak kurang hebatnya di Alor Gajah apabila penyandang yang juga ADUN Asahan, Datuk Abdul Ghaafar Atan bakal dicabar sahabat baiknya ADUN Durian Tunggal, Datuk Abdul Wahab Abdul Latip.

Di Jasin, Ahli Parlimennya, Datuk Ahmad Hamzah pula berdepan saingan tiga penjuru apabila bekas ADUN Merlimau, Datuk Nazari Azim turut mengesahkan bertanding bersama-sama ahli perniagaan yang juga bekas bendahari Pemuda UMNO Bahagian, Abd. Alim Alimon.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved