Ahad, 22 September 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Berani bersuara pertahankan hak Melayu

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

APABILA disebut nama DATUK TAJUDDIN ABDUL RAHMAN (gambar), banyak pihak sudah pasti mengenalinya sebagai pemimpin UMNO yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semata-mata kerana kelantangannya untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu.

Beliau juga pernah dipecat daripada parti setelah difitnah pihak tertentu yang bimbang keikhlasannya memperjuangkan nasib orang Melayu akan mengancam karier politik mereka.

Dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, AZMAN ANUAR dan NIZAM YATIM serta jurugambar, JEFFRI IRAN baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu mengingatkan ahli parti supaya tidak memilih pemimpin yang hanya mempergunakan parti untuk mendapat faedah diri sendiri.

UTUSAN: Bagaimanakah keadaan UMNO sekarang?

TAJUDDIN: Sejak 10 tahun lalu, saya dapati terdapat dalam kalangan mereka yang menyertai UMNO di semua peringkat bukan kerana bagi menegakkan perjuangan orang Melayu tetapi lebih kepada untuk mencari tempat dan kedudukan. Mereka juga nak mempergunakan parti bagi mendapat faedah terhadap diri sendiri.

Mereka yang oportunis ini mengejar jawatan sebagai jambatan untuk mencapai matlamat diri sendiri. Sebab itu, perjuangan sudah di kesampingkan dan suara-suara memperjuangkan hak orang Melayu sudah tidak kedengaran lagi.

Buktinya, apabila ada cabaran-cabaran terhadap agenda perjuangan parti untuk membela nasib orang Melayu dan agama Islam serta apabila kita diasak oleh musuh-musuh politik daripada dalam dan luar negara, begitu jarang kita mendengar suara-suara mereka mempertahankan hak-hak kita itu.

Mereka takut nak ke depan dan takut nak bersuara. Apa sebab? Mungkin banyak difikirkan termasuk dari segi takut tak popular dan takut membuat kenyataan salah yang boleh merugikan diri mereka sendiri.

Saya ambil contoh, ada pemimpin Cina mahu istilah bumiputera itu hendaklah dibuang. Ini bukan perkara kecil dan ia membawa erti yang sama seperti mana yang pernah dibangkitkan oleh bekas pemimpin Cina, yang menafikan Melayu sebagai pribumi.

Mereka bukan sahaja mempertikai dari segi istilah sebaliknya mempunyai matlamat untuk membuang hak-hak kita sebagai bumiputera. Kenyataan ini datang daripada parti komponen, bukan daripada luar Barisan Nasional (BN). Tetapi mana dia suara pemimpin UMNO? Kononnya takut nanti Cina berasa kecil hati. Bila kecil hati, kita takut mereka tak undi kita.

Sebelum Pilihan Raya Umum 2013, kita seolah-olah dibelenggu politik ketakutan. Kita takut tak dapat undi orang Cina. Sebab itu, orang Cina kata atau buat apa pun yang boleh menggugat kewibawaan dan keutuhan perjuangan UMNO, kita mendiamkan diri dan tidak mampu untuk bertindak balas.

Satu lagi contoh, apabila parti-parti pembangkang menghina pejuang kemerdekaan dan juga menghina raja-raja Melayu seperti yang berlaku di Perak dahulu, saya lihat orang UMNO yang berkumpul di Ipoh untuk membantah tak sampai pun 1,000 orang.

Mana suara-suara marah dan suara penentangan? Tak ada. Kita tak boleh terus begini, UMNO tidak boleh menjadi penakut.

Nampaknya peranan membela orang Melayu telah diambil alih pertubuhan bukan kerajaan (NGO)?

Apabila suara-suara memperjuangkan Melayu dalam UMNO tidak lagi lantang, maka orang Melayu terpaksa bersuara melalui saluran lain iaitu NGO. Akibatnya NGO ini dianggap rasis, seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dituduh rasis.

Sebenarnya Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali itu tak rasis. Saya tahu Ibrahim itu mati-mati tidak rasis dan tidak perkauman. Dia banyak kawan Cina dan rakan kongsi perniagaan dia pun orang Cina.

Tetapi kerana dia membawa agenda Melayu dan mempertahankan hak-hak kaum itu, maka orang Cina dan bukan Melayu mengecap dia dan Perkasa sebagai rasis.

Apakah nasihat Datuk kepada ahli dan pemimpin UMNO?

Pemimpin UMNO sama ada yang memegang jawatan atau tidak, kita tidak boleh hanya bercakap sahaja, sebaliknya kita kena bertindak mengikut kemampuan kita untuk membela nasib orang Melayu.

Hari ini kepimpinan kita di semua peringkat, banyak cakap sahaja. Mesyuarat sana dan mesyuarat sini, konvensyen sana dan konvensyen sini tetapi tiada tindakan. Kita sudah menang pilihan raya sebanyak 13 kali, tetapi apa yang orang Melayu dapat? Tidak keterlaluan kalau orang kata, kita menang sorak kampung tergadai.

Jadi nak tunggu berapa pilihan raya lagi, baru kita nak tolong orang Melayu. Mereka pun lama-kelamaan akan menjadi jelak dengan kita kerana tiap-tiap kali pilihan raya kita minta undi mereka. Sudah menang pilihan raya, mereka ditinggalkan dan apa pun tak dapat.

Bagaimanakah kejayaan agenda membangunkan ekonomi orang Melayu?

Selepas saya dibebaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada tahanan ISA pada 1987, Pemuda UMNO ada mengadakan perhimpunan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Saya yang ketika itu salah seorang Exco Pemuda semasa berdialog dengan beliau pernah berkata, Datuk Seri, saya tak kecil hati Datuk Seri tangkap saya. Cuma saya ada satu permintaan, Datuk Seri jangan lupa orang Melayu. Saya tahu Datuk Seri nak membangunkan Malaysia dengan begitu pantas sekali, tetapi saya tengok Datuk Seri macam tak yakin dengan orang Melayu.

Masa itu dia nak buat pembangunan dengan cepat termasuk di Langkawi dengan bantuan ahli perniagaan Cina. Dengar cerita dia fed up dengan orang Melayu kerana orang Melayu ni kalau bagi projek suruh buat, tak boleh buat.

Jadi saya terpaksa tegur dia. Saya kata, orang Melayu macam mana pun kerenahnya, bangsa kita dan Datuk Seri tempat mereka bernaung. Kalau Datuk Seri sebagai payung tempat bernaung sudah kecewa dengan orang Melayu, habislah mereka. Saya tak mahu besok Malaysia ini menjadi negara maju seperti Singapura dan Hong Kong, kepentingan orang Melayu tak ada.

Dr. Mahathir tengok saya dengan pandangan semacam. Mungkin dia berasa tidak senang dengan cakap saya itu. Sebagai pemimpin muda, saya ikhlas bersuara. Inilah perjuangan dan untuk menjayakan perjuangan orang Melayu, dengan Perdana Menteri pun saya cakap.

Dia tak jawab. Selepas 15 tahun pada 2002 di atas pentas pada Perhimpunan Agung UMNO ketika mengumumkan nak melepas jawatan, apa dia cakap? Dia menangis sambil menyatakan kekesalannya kerana gagal membangunkan orang Melayu.

Adakah terdapat perubahan sekarang dalam membantu membangunkan Melayu?

Alhamdullilah selepas Pilihan Raya Umum 2013, saya dapati baru ada semangat politik di pihak UMNO dan kerajaan untuk mengubah nasib orang Melayu. Allah SWT juga telah memberikan kekuatan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkenalkan Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PPEB).

Apa yang telah dibuat oleh Datuk Najib ialah mengembalikan hak orang Melayu dalam ekonomi. Beliau mewujudkan balik UPB dan dia telah beri arahan supaya diperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada syarikat milik kerajaan (GLC) bagi menilai pencapaian mereka dalam membantu bumiputera dan saya percaya KPI ini akan diperluaskan kepada kementerian-kementerian.

Saya harap mereka yang melaksanakan PPEB dipantau. Masalah kita ini selalunya di peringkat pelaksanaan apabila mereka yang diberikan tugas tidak bersungguh-sungguh.

Pihak kerajaan dan Perdana Menteri telah membuat satu dasar yang serius dan bersungguh-sungguh, tetapi apabila tiba di peringkat pelaksanaan oleh pegawai-pegawai, mereka tidak menjiwai dan menghayati roh perjuangan bagi membela nasib orang Melayu. Sebab itu, pelaksanaan boleh menggagalkan matlamat perjuangan kita.

Bagaimana pula perubahan di peringkat pimpinan bawahan?

Saya rasa dengan pengumuman PPEB oleh Datuk Najib ini, ia akan memberi semangat pula kepada pemimpin-pemimpin lain yang di bawah ini untuk berani bersuara dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu.

Masalahnya, kita pemimpin di bawah ini selalunya tengok isyarat daripada pimpinan di atas. Kita tidak berani memberikan pandangan yang ikhlas. Kita selalu takut pandangan kita itu tidak disukai oleh ketua atau Presiden kita. Jadi kita beri pandangan apa yang kita sangka bos ataupun ketua kita suka pada lahiriahnya.

Sebenarnya, saya percaya Datuk Najib berkehendakkan pandangan, teguran, idea dan nasihat yang berguna.

Walaupun ada kalanya mungkin teguran dan pendapat itu secara lahiriahnya seolah-olah sesuatu yang bercanggah dengan kemahuan ketua, tetapi kalau kita memberikan pandangan dan nasihat secara ikhlas, saya percaya seseorang ketua itu akan menerima pandangan berkenaan dengan baik. Jadi tak usah takutlah.

Kenapa kita mesti takut nak beri pandangan kepada ketua kita. Mereka manusia biasa, bukannya tahu semua pun. Mereka sebagai pemimpin mesti bersedia mendengar pandangan orang lain dan pengikut pula tak perlulah takut dan bimbang nak memberikan pandangan.

Sindrom takut ini masih ada dalam kalangan orang UMNO. Mereka takut melukai hati orang Cina kerana bimbang tidak mendapat undi. Pengikut-pengikut dalam parti pula, takut kepada bos. Takut kalau tersalah cakap, bos akan marah. Bila bos marah, pendek rezeki.

Orang yang ikhlas memperjuangkan hak-hak Melayu, dia tidak takut kerana dia percaya pucuk pimpinan mempunyai kebijaksanaan untuk menilai sama ada teguran itu ikhlas atau tidak ikhlas untuk kepentingan parti.

Boleh Datuk komen kewujudan golongan liberal dalam UMNO?

Saya akui memang wujud golongan seperti itu dalam parti. Mereka ini kekurangan jiwa dan roh kemelayuan. Melayu liberal akan mengorbankan dan mengkompromikan kepentingan Melayu pada saat dan suasana tertentu.

Mereka cuba nak jadi popular bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi kepada semua kaum. Inilah yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum 2013. Melayu liberal takut untuk menyatakan pendirian ataupun membuat kenyataan bagi mengukuhkan perjuangan orang Melayu kerana takut ia dianggap sebagai perkauman oleh kaum lain.

Kita takut nanti mereka tidak mengundi kita dan kita takut kehilangan sokongan. Tetapi akhirnya apa yang terjadi apabila mereka bertindak begitu? Pulangannya adalah tak sebagaimana yang mereka harapkan. Ia boleh diibaratkan sebagai satu perniagaan yang merugikan.

Dalam keadaan sekarang adalah jelas dan nyata bahawa pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat tidak boleh lagi bersikap liberal, bertolak ansur dan apologetik dalam mempertahankan dan menegakkan perjuangan orang Melayu.

Jangan mempedulikan apa orang lain kata, sebab kita tahu survival orang Melayu di tangan kita, bukan di tangan orang lain.

Orang Cina telah melakukan segala-galanya sehingga ke tahap maksimum untuk menguasai kerajaan tetapi mereka gagal. Ini menunjukkan Cina bukan penentu, sebaliknya kita mempunyai kekuatan sendiri untuk memastikan kejayaan membela nasib orang Melayu tanpa perlu mengharapkan belas ihsan orang lain. Kita jangan rasa bersalah, rendah diri dan takut untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu.

Jangan muda belaka sahaja

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

Petugas UMNO memegang 261 borang pencalonan bagi pemilihan UMNO 2013 setelah tamat penyerahan borang penamaan calon di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu. - BERNAMA

SETIAP kali UMNO hendak asah keris dalam memilih pemimpin baharu akan timbullah isu ini - kita amat perlukan gabungan tenaga tua dan muda.

Sebenarnya sejak 1946 lagi, UMNO telah mengamalkan gabungan tenaga yang sihat. Mana-mana pihak khasnya yang muda seandainya berasakan dengan program meremajakan UMNO hanya orang muda yang kebal - maka ini tanggapan yang cukup besar silapnya.

Ungkapan istilah meremajakan UMNO disebut oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak hasil dari terjemahan semua pihak tetapi dengan cara mengguna pendekatan idea-idea baharu. Dan bukan fizikalnya semata-mata, yakni harus muda-muda belaka.

Bagi orang lama, Tan Sri Dr. Rais Yatim, 71, yang pernah berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri dalam kerajaan (tetapi sebenarnya juga telah berkhidmat kepada kesemua Perdana Menteri termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman yang pernah menjadi Penasihat Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang waktu itu Rais timbalan presidennya), mempunyai pandangan tersendiri yang boleh 3.4 juta ahli parti timbang-timbangkan.

Saya menjadi ahli UMNO mulai 1965 dan mendapat gabungan tenaga muda dan berpengalaman, iaitu sesuatu yang dimestikan dalam parti waktu itu.

Sebab UMNO ini tidak ditubuhkan secara tiba-tiba oleh orang muda, tetapi diwujudkan oleh orang yang berpengalaman yang ada siasah kemelayuan keislamannya yang cukup," kata beliau ketika ditemui penulis di pejabat guamannya di Wisma Packer 195, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di ibu negara baru-baru ini.

Rais yang kini merupakan Penasihat Sosio Budaya kerajaan dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menarik perhatian bagaimana sejak era Presiden UMNO pertama, Datuk Onn Jaafar sehinggalah ke hari ini, gabungan tenaga lama dan muda tetap ada.

Ilustrasinya banyak. Iaitu semasa era Onn ada barisan pemudanya. Anaknya, Hussein yang baru pulang dari India digabungkan tenaganya bersama, tetapi Onn tetap memimpin UMNO.

Semasa Almarhum Tunku berjuang, sebarisan pemimpin bawahan beliau juga daripada kalangan orang muda. Tetapi semasa zaman Tunku, tiga perempat anggota pentadbirannya meliputi tenaga berpengalaman. Satu pertiga pula orang baharu.

Di era Tun Abdul Razak dan Datuk Harun Idris, mereka membawa ramai pemimpin muda seperti Suhaimi Kamaruddin, Mohamed Rahmat (Tok Mat) dan Rais sendiri.

Ketika era Hussein, ada gabungan kepimpinan mudanya, waima Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pun ada pasukan Puteri, Pemuda dan Wanitanya.

Cuma saya lihat keghairahan kononnya dikatakan orang muda sahaja boleh kepalai UMNO itu silap besar sebab UMNO ini ada tamadunnya yang baik. Jangan lagi dipolemikkan UMNO perlu dikepalai atau dikomplotkan oleh generasi muda sahaja.

Jika ini berlaku, kesinambungan nilai akan mati dan rencahan atau gaulan untuk membina parti akan terbengkalai sebab generasi muda tidak dapat perspektif menyeluruh mengenai orang Melayu," katanya.

Bagi Rais, nisbah gabungan pemimpin 50:50 lama dan muda adalah terbaik. Atau sekurang-kurangnya gaulan lama satu pertiga dalam pimpinan.

Barangkali mahu tak mahu kumpulan Naib Presiden, juga perlu diisi seorang muda dan dua lagi yang berpengalaman.

Malah, kalau diteliti ulasan Rais, UMNO sebenarnya telah tersedia ada enam Naib Presiden, iaitu tiga yang dipilih perwakilan manakala tiga orang lagi de facto - Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri.

Kalau dari kaca mata politik dunia pun, Jepun gemarkan kepemimpinan yang berpengalaman. Sebilangan besar Perdana Menteri dan menterinya melebihi usia 60 tahun kecuali Shinzo Abe (Perdana Menteri) dan beberapa orang kebelakangan ini. Demikian juga di China, semua pemimpinnya melebihi 50 tahun.

Malah, dari segi amalan untuk seseorang yang menjadi Perdana Menteri di bawah usia 49 tahun, mahu tidak mahu pergerakannya akan sentiasa dikaitkan dengan kegelojohan dan tidak rasional dalam konteks masyarakat pelbagai kaum.

Cuma, kata Rais, beliau agak hairan kerana dalam begitu banyak polemik politik, tidak begitu nampak pencabar-pencabar yang jelas atas kemampuan mewujudkan situasi mengatasi pihak pemegang jawatan masing-masing.

Kerisauan saya berasaskan semasa era Datuk Harun dan Sulaiman Palestin yang lebih rancak bertanding berbanding hari ini. Sedangkan dengan keadaan sekarang yang mana Perlembagaan UMNO dipinda, kalau sekadar nak jadi pencabar pun lebih mudah. Juga, tidak perlu kuota, dengan situasi itu pun telah terdapat riak-riak tidak begitu ramai muncul di muka pintu nak bertanding dan bersemangat memperjuangkan Melayu.

Ini nampakkan trend ketandusan pemimpin yang cekal dan berkhidmat untuk parti. Bagaimanapun di satu segi lain, ini menampakkan kejayaan pemimpin, yang timbul rasa hormat, budi bicara dan puas hati oleh leftenan-leftenan di bawah termasuk Naib-naib Presidennya yang masih memberi sokongan meluas kepada pucuk pimpinannya," kata beliau.

Dan yang agak dibimbangi Rais ialah apabila kurangnya pencabar terhadap penyandang jawatan, besar kemungkinan petanda orang tidak minat lagi dengan UMNO.

Kata beliau: Imej UMNO sekarang, barangkali tidak semua akan setuju dengan saya, ialah daya tarikannya pada masyarakat umum sudah kendur. Kita tidak nampak lagi ia parti gerakan massa yang sederhana, perbelanjaannya sederhana serta pandangannya berhubung pelbagai isu."

Yang nak masuk UMNO pula, mereka sekadar masuk sahaja. Tapi, fahamkah mereka akan Fasal 3 Perlembagaan UMNO yang menjadi nadi perjuangan parti itu. Inilah juga yang terjadi di bahagian saya (Jelebu) sendiri, nak dapat golongan muda yang faham perjuangan parti...agak susah," katanya.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyenarai tanggungjawab dan matlamat perjuangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved