Ahad, 22 September 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


16,978 pesakit kritikal di negara ini perlukan organ

Posted: 22 Sep 2013 03:10 AM PDT

KUALA TERENGGANU 22 Sept. - Sebanyak 16,978 pesakit kritikal di negara ini memerlukan penderma organ untuk meneruskan hidup mereka, kata Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata sehingga 31 Ogos lepas seramai 16,945 pesakit buah pinggang, lima pesakit jantung, tujuh pesakit paru-paru, empat pesakit jantung dan paru-paru serta 17 pesakit hati yang berdaftar menunggu giliran untuk mendapatkan organ daripada penderma.

Beliau berkata setakat ini terdapat 235,573 pengikrar yang sanggup menderma organ, namun ia tidak memadai untuk menampung keperluan.

"Sejak 1976 hingga Ogos 2013, hanya 432 orang telah mendermakan organ mereka selepas melalui prosedur dan kesesuaian organ yang didermakan. Sehingga kini, negara sangat-sangat memerlukan penderma organ terutama buah pinggang yang merupakan sangat kritikal di negara ini.

"Untuk pendermaan setelah meninggal dunia, kadar pendermaan organ dan tisu di negara ini ialah sekitar 0.6 pendermaan bagi setiap juta populasi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Pendermaan Organ siri pertama di sini hari ini.

Tahun ini Terengganu dipilih sebagai lokasi pertama daripada empat jelajah sebelum ke Pulau Pinang, Sibu dan diakhiri di Sandakan, Sabah.

Lee berkata daripada jumlah 235,573 pengikrar, seramai 128,595 atau 56 peratus adalah wanita dan 103,897 (44 peratus) lelaki. Kaum Cina mencatat pengikrar paling ramai iaitu 119,637 (51.2 peratus), diikuti India 55,232 (23.7 peratus), Melayu 51,064 (21.7 peratus) dan lain-lain 7,575 (3.2 pratus).

"Angka itu bermakna hanya 0.83 peratus daripada 28.3 juta populasi rakyat Malaysia," katanya.

Menerusi jelajah yang diatur pihaknya dan Kementerian Kesihatan itu, beliau berkata selain memberi kesedaran kepada masyarakat umum, masyarakat berpeluang menzahirkan niat mereka mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ dan menderma selepas kematian.

"Sebab itu, kami mengadakan road show dan berusaha meramaikan lagi pengikrar dan individu yang sanggup mendermakan organ mereka untuk masa akan datang," katanya.

Mengikut statistik Pusat Sumber Transplan Nasional dari Januari hingga Ogos tahun ini, seramai 14,053 pengikrar telah mendaftarkan diri dengan golongan belia antara 21 hingga 40 tahun merupakan penyumbang terbesar iaitu 61 peratus, diikuti mereka yang berumur umur 41 tahun dan ke atas (22.52 peratus) dan golongan pelajar bawah 20 tahun (16.48 peratus). - BERNAMA

Gred gaji penyelia Kemas sedang dikaji semula

Posted: 21 Sep 2013 11:46 PM PDT

SEREMBAN 22 Sept. - Kerajaan sedang mengkaji semula gred kenaikan gaji bagi jawatan penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengkaji semula kedudukan dan gred membabitkan penyelia dan penyelia kanan Kemas di seluruh negara.

"Kita mahu pastikan kenaikan gred ini diteliti secara mendalam supaya setimpal dengan keadaan semasa.

"Pihak kementerian telah berbincang bersama pihak Kemas dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung perkara ini sekali gus memastikan ia diuruskan dengan baik,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar Majlis Perasmian Kompleks Komuniti Desa (KKD) Kampung Pantai, di sini malam tadi. - UTUSAN ONLINE

Perarakan raksasa bukti kesiapsagaan ATM

Posted: 21 Sep 2013 10:46 AM PDT

ANGGOTA Pasukan Khas 10Briged Para dengan seragam baharu celoreng digital berbaris sewaktu Perarakan Raksasa sempena Hari Angkatan Tentera Darat (ATM) ke-80 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Perarakan raksasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan sempena ulang tahun ke-80 angkatan itu membuktikan pasukan pertahanan sentiasa bersiapsiaga memelihara maruah serta kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun sebelum ini ATM tidak mempamerkan kekuatan sebenar menerusi aset-aset yang dimiliki kepada umum, tetapi hakikatnya kelengkapan pertahanan itu wujud.

"Mesejnya di sini, walaupun selama ini ATM tidak menunjukkan kelengkapan dimiliki kepada umum tetapi hakikatnya kami memilikinya. Seperti yang dapat kita lihat dalam perarakan raksasa hari ini.

"Perarakan ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan ATM serta semangat juang tinggi mereka dan insya-Allah kelengkapan yang ada sekarang mencukupi. Perarakan ini telah memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa ATM mampu terus memastikan kedaulatan negara terpelihara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perarakan Raksasa Hari ATM ke-80 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin serta Panglima-panglima perkhidmatan.

Dalam pada itu, pada sidang akhbar tersebut, Hishammuddin menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan akan memberi fokus kepada usaha memperkasa ekonomi serta kebajikan bekas dan veteran tentera.

Katanya, pihak kementerian akan bekerja lebih dekat dengan ATM dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) untuk memastikan setiap bekas serta veteran tentera menerima manfaat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved