Ahad, 22 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


3 orang kuat Johor tidak dicabar

Posted: 21 Sep 2013 10:46 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
dan IFQDAR A. RAHMAN
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 21 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara nama besar dalam politik Johor yang menang tanpa bertanding dalam mempertahankan jawatan ketua di bahagian masing-masing di negeri ini.

Beliau kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Pagoh sementara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin masing-masing tidak dicabar sebagai Ketua UMNO Bahagian Sembrong dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Turut menang tanpa bertanding ialah tujuh Ketua UMNO bahagian yang lain iaitu Datuk Ab. Aziz Kaprawi (Sri Gading); Datuk Ir. Hamim Samuri (Ledang); Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Datuk Samsolbari Jamali (Ayer Hitam); Datuk Ir. Dr. Hasni Mohamad (Pontian); Datuk Maulizan Bujang (Tebrau) dan Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahman (Kota Tinggi) menjadikan keseluruhannya, 10 jawatan Ketua UMNO bahagian menang tanpa bertanding.

Sebanyak lima jawatan Ketua UMNO bahagian di negeri itu menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala lima lagi tiga penjuru pada pemilihan parti kali ini.

Pertandingan empat penjuru melibatkan UMNO Bahagian Pengerang, Kulai, Mersing, Segamat dan Simpang Renggam manakala tiga penjuru pula membabitkan Johor Bahru, Gelang Patah, Tanjung Piai, Labis, Bakri.

Enam jawatan Ketua UMNO bahagian lagi iaitu Batu Pahat, Muar, Parit Sulong, Kluang, Tenggara dan Sekijang menyaksikan pertandingan dua penjuru.

Antara yang menjadi tumpuan ialah Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru ditentang Ketua UMNO Cawangan Taman Suria, Datuk Ahmad Kemin dan Ketua UMNO Cawangan Jalan Utama, Kampung Melayu, Zulkifli Ismail.

Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru telah menjadi ketua bahagian tersebut sejak 31 tahun lalu tanpa pernah dicabar.

Bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut dicabar oleh tiga lagi iaitu Timbalannya, Datuk Harun Abdullah; Ketua UMNO Cawangan Bandar Penawar, Abdul Jalil Kahar dan Bendahari bahagian, Mohamed Long.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad turut menghadapi saingan sengit empat penjuru termasuk daripada bekas Timbalannya, Datuk Zainal Abidin Osman, Ishak Awang dan Abdul Razak Pon yang merupakan ahli biasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dicabar Ketua UMNO Cawangan Parit Tunggal, Jalaludin Kassim.

Anak Ghani Othman bertanding untuk teruskan legasi bapa

Posted: 21 Sep 2013 10:46 AM PDT

JOHOR BAHRU 21 Sept. - Bagi meneruskan legasi bapanya yang merupakan bekas Menteri Besar, Mohammad Jamil Helmi Abdul Ghani menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang yang dilepaskan penyandangnya, Musa Khatiran yang telah melepasi had usia.

Mohammad Jamil, 31, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sungai Mati hadir menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 11 pagi dan bakal berdepan pencabar, Aidil Roslan Mohamad dan Mohd. Razali Ismail.

Beliau ketika ditemui pemberita berkata, hasratnya untuk bertanding adalah kerana mahu membawa suara generasi muda dalam usaha meremajakan parti.

"Saya mahu mereka melihat saya sebagai anak muda yang mahukan proses transformasi politik dalam UMNO terlaksana. Janganlah melihat saya sebagai anak seorang bekas menteri besar yang sudah menerajui negeri ini selama 18 tahun.

"Bapa juga menyokong saya dengan keputusan ini, malah turut menasihatkan saya untuk bersaing secara sihat. Sokongan yang diberikan adalah sebagai seorang bapa kepada anak, tidak lebih daripada itu," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi anak bekas pemimpin negeri ini iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Nornekman Osman juga bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru.

Nornekman, 39, yang merupakan anak Datuk Osman Sapian bakal menghadapi tentangan empat penjuru apabila dicabar Ketua Pemuda UMNO Cawangan Jalan Cempaka, Musbah Yusof dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Putera, Saiful Rizal Abd. Ghani serta Ketua Pemuda UMNO Cawangan Jiran Sepakat, Tom Gaddafi Anwary.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved