Ahad, 22 September 2013

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Cerato evolusi reka bentuk Kia

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

Oleh FAIRUS KASSIM
ekonomi@utusan.com.my

Dua varian Kia Cerato akan dipasarkan di negara ini iaitu enjin 1.6 dan 2.0 liter.

MODEL-MODEL keluaran Kia semakin hari semakin menarik untuk diperkatakan. Bermula dengan imej kereta murah, kini ia semakin menghimpit keupayaan jenama kereta Jepun seperti Honda dan Toyota.

Bagi mengubah imej dan persepsi orang ramai, Kia telah mengambil langkah yang cukup drastik dengan meletakkan tanda harga model segmen C terbaharunya iaitu Cerato tidak banyak berbeza dengan pesaing sekelasnya dari Jepun.

Sebelum ini, Kia memperkenalkan model Forte di pasaran tempatan dengan harga sekitar RM78,800 hingga RM97,800, namun dengan penggunaan nama baharu iaitu nama globalnya, Cerato, anjakan harganya begitu ketara bermula dari RM99,888 hingga RM118,888.

Peningkatan harga yang begitu ketara jika dibandingkan antara Forte dengan Cerato, namun sedikit lebih rendah berbanding model kereta Jepun sekelas dengannya tetapi mempunyai teknologi dan juga gajet yang jauh lebih baik.

Namun evolusi harga Kia itu dilihat berbaloi dengan apa yang telah dilakukan syarikat kereta Korea Selatan berkenaan dengan menampilkan reka bentuk cukup menawan, kualiti bahan, keselesaan eksekutif serta penonjolan pelbagai teknologi yang biasanya terdapat dalam kelas premium.

Kali pertama melihat Cerato, penulis terpegun dengan kecantikannya reka bentuk luarannya kerana seolah-olah adik kepada Kia Optima K5 yang berada dalam segmen D, cuma bentuknya sedikit kecil dan pendek.

Reka bentuknya menggunakan ciri konsep dinamik berotot boleh dilihat menerusi jalur bahagian tepinya dari depan hingga belakang, sekali gus tampak bergaya.

Bahagian depannya masih menerapkan jeriji hidung harimau, selain lampu hadapan yang dilengkapi dengan lampu siang LED.

Malah, lampu belakangnya yang berbentuk tajam dengan mengikuti arus rekaan terkini yang dipadankan sistem LED terbalik, memberikan imej moden serta tidak ketinggalan zaman.

Seiring dengan prinsip mahukan pertingkatkan kualiti, jentera itu turut didatangkan dengan teknologi canggih membabitkan kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kerusi elektrik dengan memori, skrin sesentuh, kamera belakang dan bumbung matahari.

Selain itu, ia dipadankan dengan Sistem Bantuan Tempat Letak Kereta, lengkap dengan pengesan di bahagian depan dan belakang serta cermin pandang belakang elektrokromik.

Apabila mendekati kereta ini, penulis telah disambut dengan lampu yang menyala secara automatik di bahagian pemegang pintu dan selepas dibuka, kemasan ruang kabin tampak eksklusif dan kelihatan seperti kereta mewah.

Sterengnya terhidang pelbagai butang yang jelas membuktikan jentera itu penuh dengan teknologi terkini, selain bersifat futuristik seperti kenderaan masa depan.

Ketika duduk di kerusi pemandu, mata penulis terpandang butang mod pemanduan pada stereng yang mana boleh ditukar kepada Comfort, Normal dan Sport. Apabila dilaraskan ke mod Sport, stereng menjadi lebih keras, sesuai untuk memandu pada kelajuan tinggi.

Paling menariknya, jentera segmen C itu dilengkapi sistem pembersihan udara, selain didatangkan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.

Jentera itu didatangkan dengan dua jenis enjin iaitu Gamma 1.6 MPI dan Nu 2.0 MPI, yang masing-masing menyalurkan kuasa maksimum sehingga 130 serta 161 PS.

Ia menggunakan transmisi enam kelajuan selain dilengkapi pedal penukaran gear pada bahagian belakang stereng untuk kedua-dua model berkenaan.

Sepanjang menyusuri lebuh raya yang merentasi padang pasir, model Kia Cerato yang menggunakan enjin 1.6 liter memberi pengalaman berbeza.

Pedal minyaknya bertindak balas dengan cepat untuk memecut selepas memasuki lebuh raya.

Bagaimanapun, kelajuan maksimum jentera itu tidak dapat dicatatkan berikutan sesi pandu uji itu dilakukan secara konvoi.

Sistem breknya juga memberi daya cengkaman kuat untuk memberhentikan kenderaan jika berdepan situasi kecemasan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Naza Kia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar berkata, pihaknya akan membawa masuk dua varian Kia Cerato dengan enjin 1.6 dan 2.0 liter.

Mazda CX-5 ke pasaran Thailand

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

Kereta-KERETA Mazda model CX-5 yang akan dieksport ke Thailand sedang dibawa naik ke dalam kapal di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

PELABUHAN KLANG 22 Sept. - Kira-kira 600 unit kenderaan utiliti sport (SUV) Mazda CX-5 yang dipasang sepenuhnya oleh Mazda Malaysia Sdn. Bhd. (MMSB) telah dihantar ke Thailand bagi menjengah pasaran negara itu, baru-baru ini.

Jumlah tersebut termasuk 200 unit SUV itu yang dihantar ke negara jiran itu melalui Westport di sini petang Jumaat lalu.

Presiden Mazda Malaysia, Shinji Sakatani berkata, pihaknya tidak dapat meletakkan sasaran eksport Mazda CX-5 model pemasangan tempatan (CKD) itu buat masa ini kerana semuanya bergantung kepada permintaan pasaran di Thailand.

"Kita akan membuat pelancaran di Thailand pada penghujung Oktober ini dan buat masa ini sasaran jualan masih belum dapat diputuskan memandangkan kita masih mengkaji kehendak pasaran di sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penghantaran 200 kereta Mazda CX-5 ke Thailand di Westport di sini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Wilayah Produk Mazda Motor Corporation, Inoue Hiroshi; Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Motor, Datuk Ben Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia, Mohd. Madani Sahari.

Mazda CX-5 yang dieksport ke Thailand menggunakan sepenuhnya teknologi Skyactiv dan reka bentuk Kodo.

Sementara itu, Ben pula berkata, Bermaz Motor yang merupakan pengedar eksklusif kenderaan Mazda di negara ini menyasarkan jualan 8,000 unit kenderaan keluaran syarikat itu sepanjang tahun ini dengan jangkaan Mazda CX-5 sebagai model terlaris.

Ujar beliau, jangkaan itu menunjukkan peningkatan berbanding jumlah jualan semua model kenderaan keluaran Mazda yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu 6,900 unit.

"Kita jangkakan jualan tahun ini akan lebih baik dengan pengenalan Mazda CX-5 di pasaran," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved