Ahad, 22 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Proses pencalonan berjalan lancar

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
Nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 22 Sept. - Proses pendaftaran calon-calon yang mahu bertanding bagi jawatan di peringkat UMNO bahagian di negeri ini semalam berjalan lancar tanpa berlaku sebarang kekecohan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemilihan UMNO Negeri, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata, beliau berpuas hati dengan proses pendaftaran tersebut yang melibatkan 14 bahagian.

"Cuma ada sedikit masalah iaitu ada calon datang terlalu awal kerana mahu mendapat nombor pertama dalam kertas undi nanti," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, calon diberikan masa 72 jam untuk menyatakan bantahan ataupun menarik diri.

"Jika ada bantahan, mereka boleh datang terus ke Ibu Pejabat UMNO ataupun ke pejabat UMNO negeri, dua-dua pun boleh sebab jika datang ke UMNO negeri, kita akan terus bawa bantahan itu ke UMNO Pusat," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi jawatan Ketua Bahagian seramai 29 calon telah menghantar borang ke 14 bahagian.

"Bagi Timbalan Ketua Bahagian pula sebanyak 26 calon diikuti Naib Ketua Bahagian (31) dan ahli jawatankuasa (672).

"UMNO Bahagian Indera Mahkota mencatatkan calon teramai bagi jawatan Ketua Bahagian iaitu tujuh orang manakala Rompin, Bentong, Lipis, Pekan dan Temerloh tiada pertandingan," katanya.

Menurut beliau, jawatan Ketua Wanita Bahagian pula melibatkan 30 calon yang menawarkan diri untuk bertanding di 14 bahagian.

Katanya, Naib Ketua Wanita Bahagian pula melibatkan 27 orang dan ahli jawatankuasa sayap itu pula menerima 358 calon.

Beliau memberitahu, bagi jawatan dalam sayap Pemuda bahagian pula, sebanyak 30 calon menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda diikuti Naib Ketua (32) dan 424 calon bagi ahli jawatankuasa.

Katanya, jawatan Ketua Puteri Bahagian pula menerima pencalonan sebanyak 25 diikuti Naib Ketua (22) dan ahli jawatankuasa (279).

Bertanding demi perubahan di Kuantan

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

Ab. Mutalib Shamsuddin (tengah) menunjukkan borang pencalonan kepada rakan-rakannya selepas menyerahkan borang tersebut di Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 22 Sept. - Kegagalan Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Parlimen Kuantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu menjadi pencetus semangat kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Kuantan, Ab. Mutalib Shamsuddin, 42, untuk bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuantan.

Menurutnya, beliau mahu menggunakan pengalamannya berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kuantan, Datuk Fu Ah Kiow dari 2004 hingga 2008 bagi membawa perubahan di kawasan berkenaan.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Kuantan itu berkata, keputusan menjadi calon itu tidak dipengaruhi sesiapa tetapi kekalahan di Parlimen Kuantan memberi keazaman tinggi untuknya bertanding.

"Perjuangan saya sudah pasti untuk menentukan hala tuju UMNO Kuantan lebih maju, gerak kerja dan pentadbiran lebih sistematik dan pendekatan baharu yang mampu menarik semua golongan," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang pencalonannya di Pejabat UMNO Bahagian Kuantan di sini semalam.

Pada pemilihan parti Oktober nanti, Ab. Mutalib akan menentang penyandang jawatan tersebut, Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan Ketua UMNO Cawangan Bandar Kuantan Pusat, Bahuri Geran.

"Biarpun saya mencabar orang lama, saya yakin ada sokongan kerana sudah tiba masanya Kuantan diterajui individu baharu yang boleh mengaktifkan semula parti di peringkat bahagian," katanya.

Bersaing secara sihat - Adnan

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

KUANTAN 22 Sept. - Calon yang bertanding dalam pemilihan UMNO di peringkat bahagian di negeri ini dinasihatkan bersaing secara sihat demi perpaduan parti.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pemilihan yang akan berlangsung pada bulan depan itu diharap tidak menimbulkan masalah kepada parti.

Menurut beliau, perselisihan faham dan juga sengketa antara mereka harus diketepikan sebaliknya bersaing demi perjuangan parti yang membawa kebaikan kepada UMNO, masyarakat dan negara.

"Soal pertandingan lebih daripada seorang calon untuk bertanding bagi satu jawatan, itu terpulang kepada diri masing-masing.

"Kalau mahu bertanding semata-mata untuk kepentingan agenda sendiri berbanding perjuangan Orang Melayu, baik mereka tinggalkan parti ini kerana UMNO berjuang untuk orang Melayu dan rakyat negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan dan Pelancaran Sistem Pengurusan Sekolah Menengah Agama (SPSMA)di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Adnan yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut menasihatkan calon-calon yang bertanding mengukur keupayaan mereka sebelum membuat keputusan untuk meneruskan niat itu.

"Jika sudah tahu tidak menang, kenapa perlu bertanding juga, lepaskan kepada yang lebih layak kerana bagi saya, jika masuk bertanding kita mesti mahu menang," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved