Sajian Ramadan terbaik RTMSajian Ramadan terbaik RTM
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
SEIRING dengan kehendak penonton setia mereka yang sentiasa dahagakan rancangan berkualiti, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mengambil inisiatif dengan menyediakan rancangan terbaik untuk tontonan sepanjang Ramadan 1432 Hijrah.
Barangkali RTM sendiri telah mencipta rekod baru sepanjang 65 tahun bersiaran apabila untuk Ramadan kali ini, stesen keramat negara itu menawarkan 63 rancangan menarik menerusi tiga saluran mereka iaitu TV1, TV2 dan TVi (saluran 180, Astro).
Kesemua 63 program yang disediakan itu merangkumi pelbagai genre bersesuaian dengan sambutan Ramadan itu sendiri.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail berkata, kesemua rancangan yang diterbitkan itu telah dibahagikan kepada empat slot yang sudah pun ditayangkan sejak 31 Julai lalu sehingga 26 Ogos ini.
"Ia termasuklah rancangan khas berbentuk keagamaan, kulinari dan kesihatan, kanak-kanak, serta telemovie dan drama bersiri yang pastinya akan menarik perhatian penonton setia kami.
"Daripada jumlah itu, sembilan rancangan adalah merupakan tonggak kepada rancangan keagamaan yang merangkumi majalah, dokumentari dan bicarawara yang diterbitkan khusus untuk menyambut Ramadan kali ini.
"Tujuh daripadanya ditayangkan di TV1 manakala selebihnya adalah untuk TV2 dan TVi setiap satu," jelas Norhyati yang optimis dengan sambutan penonton RTM terhadap program-program yang disajikan sepanjang Ramadan ini.
Sudah pasti, dokumentari kegemaran ramai, Syahadah kembali menghiasi saluran TV1 dan TV2 yang sudah pun menjadi signature programme untuk RTM sejak tujuh musim lalu.
Kali ini, krew Syahadah memberikan pendekatan yang sedikit berbeza berbanding musim terdahulu di mana musim ketujuh ini akan menyingkap perkembangan Islam di Malaysia.
Paparannya pula lebih menjurus kepada peranan ulama dan tokoh-tokoh Islam tempatan selain tentang sejarah kedatangan awal Islam dan kejayaan umat Islam di negara ini.
Tidak dilupakan, Syahadah musim ketujuh juga telah menyediakan bingkisan eksklusif dari Morocco dan Sepanyol khusus untuk penonton setia RTM yang tidak pernah henti memberikan sokongan terhadap program tersebut.
Syahadah yang mula ditayangkan di TV1 sejak 31 Julai lalu akan bersiaran pukul 6.30 petang manakala siaran ulangannya pula pada 5.30 pagi keesokannya.
"Sebagai memberi pilihan kepada penonton kami, Syahadah musim terbaru ini juga diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris yang boleh ditonton menerusi TV2 bermula hari ini (4 Ogos) pukul 4 petang," katanya lagi.
Rancangan keagamaan lain termasuklah siaran secara langsung solat tarawih dari Masjidil Haram, Mekah setiap hari pukul 1.30 pagi sementara Tadarrus al-Quran pula pada 2.45 pagi.
Selain itu, sebuah lagi dokumentari menarik berbentuk majalah berjudul Hasratun pula ditayangkan setiap hari Rabu dan Khamis pukul 4.30 pagi di TV1.
Menariknya tentang Hasratun apabila ia menyentuh tentang lapan jenis serangga seperti mana yang pernah disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran termasuk lebah dan semut.
"Kami juga tidak melupakan penonton cilik kami terutama pengikut setia rancangan Adik-Adikku. Untuk itu, istimewa untuk Ramadan ini, kami menyajikan program Kisah Adik-Adikku yang diterajui oleh juara Adik-Adikku musim pertama, Muhammad Wajih Zakwan Hanif dan teman-temannya yang lain.
"Penonton akan dapat menyaksikan telatah dan gelagat kanak-kanak ini menceritakan pelbagai kisah tentang bulan Ramadan yang ditayangkan di TV1 pukul 7 pagi," jelas Norhyati panjang lebar.
Drama, telemovie terbaik
Bukan itu sahaja, RTM yang terkenal dengan penayangan telemovie dan drama bersiri terbaik juga menjanjikan sesuatu yang istimewa untuk penonton sepanjang Ramadan ini.
Menurut Norhyati, sebanyak 34 buah telemovie dan lapan drama bersiri akan ditayangkan yang sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat.
Ditambah pula dengan barisan pelakon hebat dan popular, Norhyati yakin ia akan mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.
"Setiap drama mempunyai mesej dan pendekatan positif yang memiliki sentuhan kerohanian dan ketuhanan seiring dengan sambutan Ramadan kali ini.
"Daripada jumlah telemovie yang telah ditetapkan itu, sebanyak 16 buah judul akan ditayangkan di TV1 manakala selebihnya di TV2.
"Begitu juga dengan drama bersiri di mana TV1 akan menayangkan lima judul, TV2 (lima) dan TVi (satu). Kesemuanya ditayangkan bagi mengisi slot dari 31 Julai hingga 26 Ogos ini sebelum rancangan untuk Aidilfitri dan Merdeka mengambil alih," katanya lagi.
Bagi siaran TV1, sebanyak lima slot untuk tayangan telemovie dan drama bersiri merangkumi Nurani, Panggung 1, Panggung Seri Sabtu, Panggung Ahad dan Cindai.
Sementara slot Mustika Khas Ramadan, Pilihan Jumaat, Citra, Sinema Ahad, Galeri Famili dan Seikhlas Ramadan pula akan menghiasi saluran TV2.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.