Isnin, 19 Disember 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Sampai bila mahu bohong?

Posted:

Sampai bila mahu bohong?

Sampai bila mahu bohong?

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

PADA Sabtu lalu, di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah dengan menjunjung al-Quran bagi membuktikan bekas Perdana Menteri itu pernah menulis surat kepada Bank Dunia untuk meminta bantuan semasa krisis kewangan pada 1999.

Menurut negarawan itu, beliau tidak pernah berbuat demikian seperti didakwa Ketua Pembangkang itu sebaliknya menolak permintaan daripada wakil Bank Dunia yang datang untuk menawarkan bantuan.

Cabaran itu dibuat ekoran portal propembangkang, Malaysiakini melaporkan Anwar ketika berucap pada majlis makan malam membincangkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru-baru ini, mendakwa Dr. Mahathir telah melakukan perbuatan yang akan merugikan negara itu.

Dalam reaksinya sehari selepas itu, Anwar cuba mencari alasan untuk tidak menyahut cabaran berkenaan termasuk mendakwa apa yang dibangkitkannya melibatkan soal rasuah dan jenayah yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan bersumpah. Sebenarnya, berbohong, memutar-belit fakta dan memperalatkan siapa juga demi kepentingan politik yang menjadi tabiat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukanlah sesuatu yang baru.

Ini dapat dilihat pada 1998, apabila beliau mendakwa menyimpan enam kotak dokumen rahsia yang dikaitkan dengan kegiatan rasuah pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sehingga kini tidak pernah didedahkan.

Pada 1999 pula, Anwar digambarkan akan meninggal dunia dalam tempoh terdekat berikutan terdapat konspirasi terancang untuk membunuhnya menggunakan racun asernik. Isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menjadi penyampai segala dakwaan Anwar itu turut menuduh suaminya disuntik dengan virus HIV semasa dalam penjara dan akan meninggal dunia dalam tempoh singkat kerana AIDS.

Isu keracunan arsenik dan virus HIV itu dibangkitkan ketika Anwar menghadapi pertuduhan meliwat pemandu, Azizan Abu Bakar.

Pun begitu, walaupun diramal meninggal dunia dalam tempoh singkat, sehingga kini, Anwar segar bugar dan pemeriksaan yang dilakukan doktor mendapati tiada sebarang sisa arsenik dalam tubuhnya.

Biarpun berhadapan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah, kreativiti Anwar dalam menghasut dan meracuni fikiran rakyat tidak pernah luntur.

Semua ini dilakukan bagi mengalihkan perhatian masyarakat terhadap pelbagai isu moral yang dihadapinya dan untuk mencapai matlamat menjadi Perdana Menteri yang diidam-idamkannya.

Pada 2001, Anwar digambarkan berkeadaan sangat uzur hingga terpaksa berkerusi roda dan memakai pendakap leher kerana menghadapi sakit belakang yang kronik. Penipuan mengenai penyakit yang dihidapinya terbongkar apabila satu rakaman video menunjukkan Anwar dalam keadaan sihat ketika berada di hospital.

Apabila Anwar dibebaskan daripada penjara pada 2004, beliau dengan berkerusi roda dan memakai pendakap leher telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mendapat rawatan di Hospital Munich, Jerman.

Sebaik sahaja tiba di Munich, stesen televisyen CNN menyiarkan siaran langsung yang menunjukkan beliau tidak lagi memakai pendakap leher dan boleh berjalan sendiri tanpa kerusi roda walaupun belum dirawat.

Dalam pada itu, tidak semena-mena apabila bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa diliwat pada Jun 2008, Anwar berkejar ke kedutaan Turki bagi mendapat perlindungan dengan alasan menerima ugutan bunuh. Persoalannya siapa yang mahu membunuh Anwar? Pelbagai pihak selepas itu menyifatkan tuduhan beliau 'tidak masuk akal sama sekali', tambahan pula beliau tidak pernah membuat laporan polis berhubung ugutan itu.

Anwar juga mendakwa ulama terkenal, Prof. Dr. Yusuf Al- Qardawi turut menyokongnya apabila dituduh terlibat dalam kes meliwat Mohd. Saiful.

Akhirnya, penipuan itu terdedah apabila Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang juga bekas peguamnya mendedahkan bagaimana beliau diminta menyediakan soalan berbentuk berat sebelah bagi mendapatkan fatwa Yusuf untuk menyokong Anwar.

Pada 17 Mac 2010, sekali lagi tembelang Anwar terdedah apabila bekas sahabat baiknya yang Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu Dewan Rakyat bahawa Ketua Pembangkang itu pernah mendakwa mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melaksanakan misi 'rampasan kuasa 16 September' 2008 yang tidak kesampaian.

Antara pembohongan Anwar yang didedahkan Zahrain ialah 31 ahli Parlimen BN akan melompat parti bagi menyertai pembangkang dan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sedang menunggu di Istana Negara untuk mengesahkan bilangan yang melompat parti itu.

Bagi memperbaiki imejnya yang telah tercalar ekoran pendedahan Zahrain itu, Anwar sekali lagi menunjukkan taringnya sebagai 'raja putar alam' apabila mencanangkan di Dewan Rakyat kononnya gagasan 1Malaysia diilhamkan oleh Apco Worldwide, syarikat perunding Amerika Syarikat yang dituduhnya di belakang kempen One Israel. Walaupun dicabar beberapa kali supaya membuktikan dakwaannya itu, Anwar gagal menyerahkan bukti terbabit kepada Parlimen walaupun diberi tempoh yang cukup. Berikutan itu, Anwar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang kemudiannya memutuskan untuk menggantungnya daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 16 Disember 2010.

Zulkifli yang merupakan bekas orang kuat Anwar ketika mengulas isu Apco itu berkata, antara sebab beliau tawar hati untuk terus bersama PKR adalah berikutan sikap Anwar yang memutarbelitkan fakta.

''Kerana slogan 1Malaysia dan One Israel yang kelihatan sama, maka terus dituduh Malaysia telah diresapi dan dipengaruhi Yahudi.

''Bagaimana pula dengan lambang satu mata Illuminati Yahudi dengan lambang satu mata PKR? Adakah wajar kalau orang menuduh ia dipengaruhi dan diresapi oleh unsur Yahudi? '' katanya.

Mengenai isu sakit belakang yang dialami Anwar, Zulkifli berkata, beliau sendiri tidak sedar penipuan yang dilakukan berikutan kepandaian Ketua Pembangkang itu berbohong.

''Bayangkan saya yang menjadi peguamnya selama bertahun-tahun dan kerap menziarahi dia semasa dalam Penjara Sungai Buloh pun boleh kena kelentong begitu lama, ingat dia sakit belakang sampai tak boleh bangkit,'' ujarnya.

Sementara itu, Zahrain yang mengulas isu sama berkata, rakyat harus mengingati tarikh 16 September 2008 sebagai bukti pembohongan Anwar yang begitu jelas dan nyata.

Mengenai cabaran Dr. Mahathir supaya Anwar menjunjung al-Quran berhubung isu surat kepada Bank Dunia, beliau menyifatkan, dakwaan Penasihat PKR itu hanyalah strategi mengganggu kepercayaan rakyat terhadap bekas Perdana Menteri itu dan BN.

Katanya, beliau dimaklumkan Anwar pada masa ini amat tertekan dengan kes liwatnya itu dan berikutan negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Nampaknya setelah hampir 12 tahun berlalu, rakyat Malaysia terus dibohongi Anwar. Persoalannya sampai bila beliau perlu berbohong dengan menganggap ia tidak akan disedari oleh sesiapa.

Ingatlah, bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru buat selama-lamanya. Semoga kedatangan 2012 yang dikaitkan sebagai era transformasi besar-besaran terhadap evolusi umat manusia akan membuat Anwar sedar mengenai kewajipan seseorang muslim untuk bercakap benar walaupun pahit.

Full content generated by Get Full RSS.

Siap-siaga luar biasa Borneo

Posted:

Siap-siaga luar biasa Borneo

Siap-siaga luar biasa Borneo

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

BERDEGAR-degar sungguh pembangkang untuk menjadikan Borneo sasaran utama mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Terbaru, semasa wacana anjuran Sinar Harian beberapa hari lepas, salah seorang pemimpinnya menarik perhatian - kunci kemenangan pembangkang bergantung kepada penguasaan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak. Katanya, jika pembangkang tidak dapat menguasai satu pertiga daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah dan 31 kerusi lagi di Sarawak, agak sukarlah bagi mereka menawan Putrajaya.

Ungkapan itu seolah-olah membayangkan tugas pembangkang untuk menguasai kerusi-kerusi Parlimen di Semenanjung 'tidaklah susah sangat'. Jadi, Sabah dan Sarawak kini sasaran mereka. Kalau dengan lain perkataan, nada sentimen ke arah kemenangan pembangkang agak tinggi.

Di sebalik kenyataan pemimpin pembangkang itu, sewajarnyalah para pemimpin parti komponen BN dan ahlinya mengambilnya sebagai satu cabaran cukup besar untuk memastikan mandat parti pemerintah itu di dua negeri Malaysia Timur itu terus kekal status quonya.

Masih ingatkah lagi dengan penegasan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perhimpunan agung UMNO baru-baru ini - perlu kerja luar biasa untuk memastikan kemenangan. Masakan parti-parti komponen lupa akan amanat yang cukup besar itu kerana ia dibuat atas platform tonggak BN itu untuk menghadapi ibu segala pilihan raya tersebut.

Marilah kita analisis sedikit kemenangan BN di Sabah pada 2008. Di beberapa kerusi Parlimen dan DUN, BN cuma menang dengan majoriti yang cukup tipis.

Di kerusi Parlimen Sandakan, calon BN di situ iaitu Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong agak bernasib baik ekoran ketidaksepakatan calon DAP, Shanty Chong Chui Lin dan calon Bebas, Fong Vun Fui.

Vui Keong memperoleh 8,297 undi berbanding Shanty (8,121) dan Fong (2,929), sekali gus membolehkan BN merampas semula kerusi berkenaan dengan undi majoriti hanya 176.

Di DUN Kepayan (dalam Parlimen Penampang) pula, calon BN yang juga calon tunggal MCA, Datuk Edward Khoo Keok Hai memperoleh 6,162 undi manakala calon DAP, Stephen Jacob Jimbangan (4,100) dan calon PKR, Datuk Chau Chin Thong @ Chau Chin Tang (3,658). Di DUN Kuala Penyu (dalam Parlimen Beaufort), calon BN, Teo Kwan Chin @ Teo Mau Sing merampas semula kerusi berkenaan daripada calon Bebas yang juga penyandang, Datuk Johan @ Christopher O T Ghani. Bagaimanapun, Kwan Chin yang memperoleh 4,416 undi hanya menang dengan undi majoriti 257 berbanding Ghani (4,159 undi) dan calon PKR, Guandee Koh Hoi (889 undi).

Di DUN Bingkor (dalam Parlimen Keningau), peluang Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk merampas kerusi itu daripada penyandang, Justin Guka dari BN, digagalkan dengan kehadiran dua calon Bebas, masing-masing Victor Leornadus @ Victor Leonardus dan Uling @ Thomas Anggan. Jeffrey tewas dengan kekurangan 171 undi. Victor memperoleh 129 undi manakala Uling memperoleh 164 undi.

Jika kedua-dua calon Bebas itu memberi laluan kepada Jeffrey untuk berdepan dengan Justin, besar kemungkinan DUN Bingkor dirampas pembangkang. Keadaan sama dapat dilihat di DUN Inanam, Likas, Luyang dan Merotai. Ketidaksepakatan calon DAP, PKR dan Bebas menyebabkan calon BN menang di kawasan berkenaan.

Pada pilihan raya itu, BN mengekalkan penguasaan di 59 kerusi DUN dan 24 kerusi Parlimen. Ia menyamai prestasi pada Pilihan Raya Umum 2004 tetapi pada 2008 itu menyaksikan BN terlepas genggaman di kerusi DUN Sri Tanjong (dalam Parlimen Tawau) dan Parlimen Kota Kinabalu.

Begitupun, selain DUN Sri Tanjong, ada sekurang-kurangnya enam lagi kerusi DUN yang tampak seolah-olah mampu dirampas pembangkang iaitu Kepayan, Kuala Penyu, Bingkor, Inanam, Likas, Luyang dan Merotai. Ini berdasarkan undi diperoleh calon pembangkang yang bertelagah, tetapi turut bertanding di kerusi sama.

Demikian juga di Sarawak, jika BN tak cukup bersiap-siaga, kemungkinan masa depan yang agak gelap terpaksa ditempuh.

BN Sarawak ketika ini memiliki 29 kerusi Parlimen dan baki dua kerusi lagi milik DAP. Dan jika disingkap keputusan di kesemua 71 kerusi DUN Sarawak pada Pilihan Raya negeri April lalu, ia memberi gambaran sekiranya undi-undi yang dijumlahkan di peringkat DUN diselaraskan bagi Parlimen, BN berkemungkinan besar kehilangan sehingga 10 kerusi Parlimennya di Bumi Kenyalang kepada DAP dan PKR dalam PRU13.

Dengan kemenangan 13 kerusi DAP dalam pilihan raya Sarawak baru ini, jelas sekali kerusi Parlimen yang dimiliki sekarang iaitu Kuching akan terus kekal dalam PRU13 nanti. Ini kerana kerusi-kerusi DUN di bawah Parlimen Kuching seperti Pending dan Padungan dimenangi oleh DAP. Di bawah Parlimen Sibu, dari tiga kerusi DUNnya, DAP menang besar di DUN teramai pengundi iaitu di DUN Pelawan meskipun dua DUN lagi iaitu Bawang Assan dan Nangka dimenangi masing-masing oleh SUPP dan BN. DAP memang kalah di Bawang Assan tetapi tipis.

Namun begitu, menjumlahkan undi yang diterima oleh BN dan pembangkang di ketiga-tiga DUN di sini menampakkan keadaan menjadikan Sibu kawasan Kelabu bagi kedua-dua pihak. Jumlah diperoleh oleh BN di Parlimen Sibu ialah 21,953 undi manakala PR pula mendapat 21,234 dengan majoriti 719.

Dengan keputusan pilihan raya negeri itu, DAP dikatakan mampu merampas sehingga lima kerusi Parlimen Sarawak di dalam PRU13. Antaranya, kerusi Parlimen Stampin, Sarikei, Lanang dan Miri serta Bintulu.

Bagi Parlimen Stampin, pembangkang telah memenangi dengan undi banyak di DUN Batu Kawah dan Kota Sentosa melalui DAP dan DUN Batu Lintang melalui PKR. Di Parlimen Sarikei pula, kedua-dua kerusi DUNnya iaitu Repok dan Maradong dimiliki melalui DAP manakala di Parlimen Lanang, DAP menguasai kedua-dua DUN Bukit Assek dan menang tipis di DUN Dudong. Lonjakan penguasaan di Lanang adalah disebabkan populariti penyandangnya, Wong Ho Leng yang juga Ketua Pembangkang DUN Sarawak dan ahli Parlimen Sibu yang memperolehi majoriti melebihi 8,000 undi di DUN Bukit Assek.

Di Parlimen Miri pula, di mana salah satu kerusi DUNnya iaitu DUN Piasau yang menyaksikan kekalahan Presiden SUPP/BN, Tan Sri George Chan (kini bekas presiden) kepada calon muda DAP, Ling Sie Kiong. Dua DUN lagi, Pujut dan Senadin masing-masing dimenangi oleh DAP dan BN. Di DUN Senadin, PKR mewakili PR hanya kalah tipis 58 undi kepada calon BN.

Sementara itu, kedudukan 'kelabu' bagi DAP untuk menang mampu dicapai di Parlimen Bintulu meskipun dua daripada tiga DUNnya dimenangi oleh BN di Jepak dan Kemena. DAP berjaya mengekalkan kerusi DUN Kidurong dengan menambah majoriti sehingga 7,000 undi jika dibandingkan dengan majoriti sebanyak 1,664 pada PRN 2006.

Bagi PKR pula, dengan meningkatkan penguasaan mereka di tiga kerusi DUN dan pertambahan undi di banyak kerusi DUN yang mempunyai komposisi pengundi Cina dan di kawasan bandar juga membolehkan mereka memberi cabaran kepada BN Sarawak dalam PRU akan datang. Tentangan yang dikatakan boleh mencabar BN ialah di Parlimen Saratok di mana salah satu DUNnya dimenangi oleh PKR di DUN Krian dan satu lagi DUN Kelaka yang dimenangi oleh BN.

Apa yang boleh dirumuskan pada pilihan raya Sarawak April lalu ialah BN menang tetapi presiden-presiden komponennya semua hilang majoriti. BN mengekalkan penguasaannya di banyak kerusi meskipun majoriti yang diraihnya jatuh banyak.

Namun, analisis tadi adalah 'di atas kertas'. Tetapi tidak mustahil jika itulah risiko yang terpaksa ditanggung oleh BN jika amanat Najib baru-baru ini tidak disegerakan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved