Isnin, 19 Disember 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tidak pernah campur tangan

Posted:

Tidak pernah campur tangan

Tidak pernah campur tangan

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my


Mohd. Khir Toyo ditemani isterinya, Zaharah Kechik hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan kes rasuah, semalam. - Saharuddin Abdullah


SHAH ALAM 19 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tiada sebarang bukti menunjukkan bahawa bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pernah campur tangan dalam sebarang projek yang dikendalikan oleh Pengarah Ditamas Sdn. Bhd., Datuk Shamsuddin Hayroni.

Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin berhujah, Shamsuddin juga tidak pernah diberi layanan istimewa dan tindakan beliau membeli dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini dengan harga RM6.5 juta untuk dijual semula kepada Mohamad Khir didorong oleh perasaan tamak.

"Sekiranya bentuk campur tangan yang dimaksudkan oleh Shamsudin adalah bahawa beliau akan kehilangan layanan istimewa, di sini bukan hanya tiada bukti beliau menerima layanan itu, apa yang lebih penting adalah jangkaan beliau untuk layanan istimewa itu tidak terjumlah kepada sebarang bentuk tekanan ekonomi terhadapnya," hujah peguam tersebut di akhir kes pembelaan.

Menurut Kamarul Hisham, dakwaan Shamsuddin bahawa beliau terpaksa membeli hartanah tersebut selepas disuruh oleh Mohamad Khir adalah keterangan tokok tambah kerana ia hanya timbul selepas pertuduhan terhadap ahli perniagaan itu digugurkan oleh pihak pendakwaan.

Katanya, Shamsuddin tidak pernah memberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa beliau tidak mempunyai pilihan semasa kenyataannya dirakamkan pada 2009 dan beliau mengubah keterangan bagi menyesuaikan dengan kes pendakwaan.

Hujah beliau, dakwaan Shamsuddin bahawa Mohamad Khir menyuruhnya membeli hartanah tersebut berdasarkan cakap mulut dan bahasa badan hanyalah anggapan semata-mata memandangkan ahli perniagaan, Datuk Sumadi Ismail mampu menolak 'suruhan' itu dengan hanya memberi alasan beliau mempunyai komitmen lain.

"Kami berhujah bahawa intipati paling penting dalam pertuduhan bahawa Mohamad Khir mengetahui hartanah itu adalah satu balasan yang tidak mencukupi gagal dibuktikan melampaui keraguan munasabah. Sebaliknya pembelaan berjaya buktikan ia adalah mencukupi melampaui keraguan munasabah," katanya lagi.

Mohamad Khir, 45, didakwa atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zaharah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini daripada Ditamas melalui Shamsuddin dengan harga RM3.5 juta.

Sedangkan hartanah tersebut dibeli oleh syarikat terbabit pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Beliau yang memegang jawatan berkenaan sejak 2002 hingga 2008 didakwa melakukan perbuatan tersebut di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed pula berhujah bahawa tiada keterangan menunjukkan Shamsuddin menghadapi masalah kewangan atau dalam keadaan terdesak untuk menjual hartanah tersebut kepada Mohamad Khir.

Sebaliknya, kata beliau, tindakan itu dilakukan kerana takut atau bimbang akan pengaruh tertuduh sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terhadap urusan perniagaan syarikatnya.

"Adalah tidak mungkin untuk seseorang seperti Shamsuddin yang tidak mempunyai masalah kewangan untuk menuruti kemahuan tertuduh yang jelas akan mendatangkan kerugian yang banyak kepada beliau melainkan sebab tertentu iaitu pengaruh tertuduh sebagai Pengerusi PKNS dan Menteri Besar pada ketika itu," katanya.

Hujah beliau, penglibatan dan kepentingan Mohamad Khir terhadap hartanah tersebut juga bermula sejak 2004 atau sebelum perjanjian dibuat adalah antara fakta menunjukkan perancangan awalnya untuk memiliki rumah tersebut.

Begitu juga penafian Mohamad Khir bahawa beliau pernah memaklumkan harga RM3.5 juta kepada bank HSBC adalah tidak berasas sama sekali dan bercanggah dengan keterangan saksi pendakwaan serta saksi pembelaan sendiri.

Malah, hujah Abdul Wahab, harga pembelian dan nilai hartanah untuk dibeli oleh Mohamad Khir telah ditetapkan tertuduh sendiri pada nilai antara RM3 juta dan RM3.5 juta sebelum laporan penilaian dibuat oleh Choy Yue Kwong daripada Rahim & Co.

"Nama 'client' (pelanggan) dalam laporan itu diletakkan sebagai Datuk Seri Mohamad Khir Toyo dan Datin Seri Zaharah Kechik walhal mereka bukan client Rahim & Co sebaliknya bank HSBC yang bertindak sebagai institusi pemberi pinjaman wang.

"Oleh itu pendakwaan menyimpulkan bahawa penyediaan laporan itu semata-mata dibuat bagi memuaskan hati tertuduh dan isterinya, bukan mencerminkan aspek sebenar penilaian hartanah itu," katanya lagi.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar kes itu akan membuat keputusan sama ada menyabitkan atau membebaskan Mohamad Khir daripada pertuduhan pada Jumaat ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Keputusan kes khalwat Salim, pasangan 9 Jan.

Posted:

Keputusan kes khalwat Salim, pasangan 9 Jan.

Keputusan kes khalwat Salim, pasangan 9 Jan.

PULAU PINANG 19 Dis. - Mahkamah Rendah Syariah di sini menangguhkan keputusan kes khalwat Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan dengan bekas pembantu peribadinya di sebuah hotel di Batu Feringghi, April lalu.

Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menetapkan tarikh 9 Januari depan untuk perbicaraan kes itu setelah dimaklumkan Pendakwa Syarie, Khairil Hafiz Nazari bahawa Salim tidak hadir ke mahkamah hari ini untuk mendengar keputusan kes khalwat itu kerana mempunyai urusan keluarga.

Bagaimanapun, pasangannya, Nur Diayana Norslan, 30, yang memakai jubah hitam dan bertudung warna sama hadir ke mahkamah sejak pukul 8.30 pagi lagi dengan ditemani dua ahli keluarganya yang turut memakai pakaian serupa.

''Mahkamah bersedia untuk menjatuhkan hukuman hari ini. Namun, mahkamah berpendapat kedua-dua tertuduh patut hadir bersama ketika hukuman ini dijatuhkan dan ia perlu dilakukan secara serentak kepada mereka berdua demi keadilan dan mengelakkan prejudis.

''Justeru, mahkamah menetapkan tarikh lain iaitu 9 Januari depan untuk menjatuhkan hukuman kepada kedua-dua tertuduh,'' kata Nik Bukhari Hashimy.

Ketika dihadapkan pertama kali ke mahkamah pada 19 April lalu, Salim, 51, dan Nur Diayana, masing-masing mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut, namun pada 21 November lepas, kedua-duanya yang tidak diwakili peguam syarie menukar pengakuan kepada bersalah.

Mengikut pertuduhan, pasangan tersebut yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 5 pagi, 16 April lalu di bilik bernombor 224 di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini.

Salim yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa mengikut Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana didakwa di bawah Seksyen 27(b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, setiap tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Sebaik sahaja prosiding selesai, Nur Diayana bersama kedua-dua saudaranya itu berlari ke arah sebuah kereta Perodua Myvi hitam yang telah menunggunya di luar mahkamah.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved