Rabu, 14 Disember 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


'Keamanan negara bukan datang bergolek, merosakkannya amat mudah'

Posted:

'Keamanan negara bukan datang bergolek, merosakkannya amat mudah'

'Keamanan negara bukan datang bergolek, merosakkannya amat mudah'

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM)

SESIAPA sahaja yang menonton filem Ombak Rindu, pastinya terpesona dengan keindahan latar belakang dan pemandangan lokasi penggambaran filem tersebut.

Persekitaran yang sungguh permai dengan sawah padi menghijau yang terbentang luas, air laut yang jernih serta burung-burung helang sayup-sayup berterbangan mencari mangsanya di permukaan laut.

Sesekali ombak membadai lembut pantai dan batu-batuan di tepiannya. Pendek kata, bagi sesiapa yang ingin mencari ketenangan, di situlah tempat yang paling sesuai. Di manakah lokasi sebenar penggambaran filem Ombak Rindu? Tidak lain tidak bukan di negeri Kedah Darul Aman.

Negeri ini menjadi tumpuan bukan sahaja rakyat seluruh negara tetapi juga dunia. Baru sahaja Sabtu lalu, berakhirnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11) yang menggamit pelancong tidak kira tempatan mahupun luar negara.

Keindahan Langkawi semasa berlangsungnya Pameran LIMA '11 sungguh terserlah sehinggakan ramai para pelancong datang ke Langkawi sempena cuti sekolah. Maka, tidak menghairankanlah, syarikat produksi filem Ombak Rindu memilih Langkawi sebagai lokasi utama penggambaran filem tersebut.

Jika sekiranya sebelum Langkawi dibangunkan, namanya hanya dikenali dengan kisah lagenda Mahsuri. Namun, kini rezeki yang melimpah ruah dek kerana pembangunan pelancongan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan memberi impak positif kepada sosio-ekonomi penduduk Langkawi.

Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi dilancarkan minggu lalu bagi meletakkan nama pulau lagenda ini di peta dunia agar sebaris dengan pulau-pulau terkemuka di dunia seperti Seychelles, Mauritius, Bali, Maldives dan Hawaii. Kelebihan Langkawi sebagai antara pulau terindah di dunia bakal menjayakan Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi.

Apa yang penting di sini, semua pihak terutamanya pihak pelaksana dan penduduk Langkawi bekerja keras bagi menjayakannya. Bantuan yang diberikan oleh kerajaan patut digembleng sebaik mungkin. Kerjasama kerajaan negeri juga amat diperlukan.

Di sini perbezaan fahaman politik di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menjadi halangan bagi meningkatkan kerjasama kedua-dua pihak.

Objektif utama ialah menjaga kebajikan rakyat dengan meningkatkan pendapatan mereka pada tahap yang lebih tinggi melalui sektor pelancongan. Kejayaannya bakal menjadikan negara kita sebagai destinasi utama pelancongan dunia.

Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan kesepuluh terbaik dari segi jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia. Tidak mustahil satu hari nanti dengan pelan perancangan pelancongan yang rapi, Malaysia berada sebaris dengan negara Perancis (berada di kedudukan pertama).

Agenda melonjakkan pelancongan negara kini berada dalam 'kamus' Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA).

Selepas berakhirnya LIMA '11, minggu ini sekali lagi negeri Kedah menjadi tumpuan seluruh negara dan dunia. Sultan Kedah ditabalkan buat kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Sembah tahniah ke bawah Duli Tuanku. Semoga Malaysia di bawah pemerintahan ke bawah Duli Tuanku akan sentiasa aman sejahtera sebagaimana negeri Kedah yang selama ini sentiasa aman dan damai bertepatan dengan namanya Kedah Darul Aman.

Keamanan negara bukan datang bergolek. Ia perlu diusahakan. Negara kita pernah mengalami rusuhan kaum yang merencatkan pembangunan ekonomi negara. Namun, selepas itu semua pihak bingkas bekerjasama untuk menyatukan balik rakyat Malaysia.

Keamanan yang dinikmati pada masa sekarang adalah usaha semua pihak terutamanya para pemimpin terdahulu. Merosakkannya amat mudah. Sekelip mata sahaja. Tetapi membinanya memakan masa bertahun-tahun.

Dengan keamanan yang dinikmati oleh rakyat jelata. Kini, negara kita menuju ke arah negara maju. Sasaran pendapatan per kapita AS$15,000, tiga juta pekerjaan baru dan pendapatan negara kasar (PNK) RM1.7 trilion pada tahun 2020 mampu dicapai jika sekiranya keamanan negara sentiasa terjaga.

Agenda memajukan negara melalui pelbagai program transformasi seiring dengan keamanan negara yang sentiasa dijaga mampu merealisasikan Wawasan 2020.

Negara kita aman damai sehinggakan berjuta-juta warga negara asing berlumba-lumba untuk datang ke sini bagi mencari rezeki.

Ketika pengangguran di negara-negara Barat berada pada tahap tertinggi, negara kita masih mampu menjana peluang-peluang pekerjaan yang sebahagiannya dikuasai oleh warga asing.

Tiada gunanya segala transformasi dipersembahkan untuk rakyat tetapi rakyat secara keseluruhannya tidak mengambil peluang yang terhidang di depan mata. Rakyat juga perlu berusaha meningkatkan pendapatan, selain daripada usaha kerajaan membantu rakyat meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos sara hidup seharian.

Sekarang terpulanglah kepada rakyat sama ada ingin 'berlari' bersama-sama dengan kerajaan untuk mencapai kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang atau selesa dengan keadaan sekarang. Semuanya terletak pada rakyat yang merupakan agen transformasi paling utama dalam memacu ekonomi negara pada tahap terbaik.

Full content generated by Get Full RSS.

Apa lagi Pas nak perjuangkan!

Posted:

Apa lagi Pas nak perjuangkan!

Apa lagi Pas nak perjuangkan!

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

NEGARA berkebajikanlah, Buku Jinggalah. Sesiapa pun kalau 'membacanya', pasti mengerti semua yang terkandung di dalam dua agenda pembangkang ini sudah pun terangkum dalam pelan pembangunan negara sejak merdeka lagi.

Berkehendakkan sekolah, klinik dan hospital, nah! semuanya beribu-ribu terpampang di muka bumi Malaysia ini. Itu belum lagi soal yang lain-lain sehinggakan rakyat asing pun 'tercengang-cengang' sebaik sahaja tiba di tanah air ini termasuklah kira-kira dua juta pekerja mereka.

Tambah manis lagi apabila aspek pembangunan negara ini digarap dengan pelan transformasi yang digerakkan Datuk Seri Najib Tun Razak sejak menyandang jawatan Perdana Menteri. Manfaat pelan ini mula menebar rezekinya di kalangan rakyat.

Kerana itu, kalau secara kasar kita boleh ungkapkan: 'apa nak lagi'? Tapi biarlah secara tertib 'bukankah semuanya sudah ada'. Buat apa ibarat 'tikus membaiki labu'.

Sewajarnyalah Pas yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuktikan dahulu parti itu boleh membangunkan ummah dalam bidang ekonomi dan ilmu. Ini khususnya di sebuah negeri Pantai Timur yang diperintahnya hampir lebih 20 tahun itu.

Pas perlu berfikiran besar. Jangan terlalu jumud dan kecil. Janganlah gunakan diri sendiri untuk mengukur alam yang luas ini.

Cuba renung-renungkan cerita orang buta dan gajah. Bila yang seorang terpegang ekor gajah, maka disangkanya gajah itu panjang dan tirus. Yang seorang lagi terpegang telinga gajah, lalu disangkanya gajah itu nipis. Seorang lagi memegang badan gajah dan disangkanya gajah itu keras macam tembok.

Islam itu hakikatnya lebih besar dari gajah yang ditafsir oleh tiga orang buta tadi. Malah Islam itu lebih besar dari tafsiran sempit sebilangan pengikut yang berpartikan Pas yang menganggap mereka lebih Islam daripada orang lain.

Dalam Islam, kenalah keutamaan yang betul dalam soal agama ini. Kalau kita asyik kejar yang sunat dan yang kecil, kita akan abaikan yang besar atau yang penting.

Masalahnya, sebilangan dalam Pas ini lebih utamakan yang kecil dan cabang dari itu yang besar dan yang penting. Kelak, lama-kelamaan kita pentingkan apa yang sebenarnya perkara luaran sahaja. Bukan isi atau semangatnya. Kita hanya pentingkan cara menangkap daripada mengajar atau membetulkan.

Ini penting untuk kita fahami sedalam-dalamnya supaya kita dapat melahirkan umat Islam yang berhati besar, yang kuat, yang kaya dan yang berilmu. Itu sahaja caranya kita nak lawan orang lain.

Kalau kita lawan dengan air liur dan cakap sahaja seperti mana Abdul Hadi dalam memperkatakan Negara Berkebajikan Pas sedangkan di negeri Pantai Timur itu pun sampaikan pembangunan pesat di Jeli termasuk projek Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pun diusahakan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed dari parti kerajaan, tak akan ke mana kita.

Cuba sekali lagi kita renung-renungkan kisah Pas semasa pilihan raya. Antara yang paling menarik ialah tentang kedudukan wanita sebagai calon pilihan rayanya. Ya, memanglah calon wanita pertamanya yang diturunkan ialah Khadijah Sidek ketika pilihan raya (umum) pada 1955 yang ketika itu negara ini dikenali nama Tanah Melayu.

Tetapi sejak itu, calon-calon wanita dari parti itu lenyap terus kelibatnya. Tiba-tiba pada Januari tahun ini, Pas mengakui parti itu membuat tafsiran semula ayat al-Quran berhubung keputusan meletakkan calon wanita bertanding pilihan raya apabila menurunkan Normala Sudirman pada pilihan raya kecil Tenang di Johor.

Isu calon wanita menjadi bukti betapa Pas sebenarnya membuat sesuatu dasar bukanlah kerana mereka benar-benar ingin mengikut ajaran Islam sebenar. Tetapi lebih kepada soal kepentingan politik.

Kalaulah kita melihat gejala atau fahaman yang dianuti Pas itu jelas menunjukkan kaum wanita tidak ada tempat dalam Pas. Ini bermakna jika Pas memerintah negara ini selepas negara kita merdeka dulu, kita tidak akan dapat melihat bakti dan jasa yang telah dicurahkan oleh tokoh-tokoh pejuang wanita kita seperti Tan Sri Kontek Kamariah, Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Aishah Ghani malah Ibu Zain yang sama-sama berjuang dengan golongan lelaki untuk meletakkan martabat wanita Melayu setaraf dengan lelaki dalam perjuangan menegakkan maruah bangsa.

Malah, dalam zaman pasca merdeka pula, jika kita mengikut dasar Pas sudah tentu kita tidak akan dapat memperoleh khidmat bakti daripada seorang menteri yang gigih dan cekap seperti Tan Sri Rafidah Aziz dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Ini menyusul pula tentang Negara Berkebajikan Pas. Sejak bila pula negara Malaysia tidak mempraktikkan amalan kebajikan kepada rakyatnya. Kita tidak tahu apa pula motif Pas kali ini.

Hakikatnya undi orang Melayu tidaklah banyak - sekitar 6.3 juta manakala bukan Melayu lebih 4 juta. Namun jika diambil perhatian, pengundi Melayu memang tersangatlah liat untuk keluar mengundi lebih-lebih lagi jika hujan lebat di sebelah pagi hari pengundian.

Tambah pula lagi sikap kurang kesedaran peri pentingnya mengundi masih tebal, justeru umat Melayu jangan mimpilah untuk terus memegang tampuk kuasa memerintah negara ini.

Dengan kepimpinan Pas, DAP dan PKR masih terus bermain teka-teki untuk membentuk gabungan yang mantap seperti Barisan Nasional (BN), maka sebab itulah kita ternampak bermacam-macam 'manifesto pilihan raya' dikeluarkan.

Sekejap oleh Pas, sekejap lagi oleh PKR dan tidak lama lagi oleh DAP. Sehingga hari ini tidak ada pula bayang atau kelibat orang Pas, DAP mahupun PKR tiba di muka pintu pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Presint Diplomatik, Putrajaya untuk mengusul mahupun menyerahkan borang pendaftaran gabungan parti-parti sekutu itu.

Dan kerana fikiran yang berkecamuk inilah kita lihat nada kenyataan yang berbeza tentang isu-isu semasa politik meskipun dari satu parti diungkapkan oleh Nik Abdul Aziz di Kelantan, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah), Datuk Seri Nizar Jamaluddin (Perak) dan Khalid Samad di Selangor.

Kepada Pas, sekali lagi renung-renungkanlan kata-kata pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi ini: "Di atas dunia ini semua sudah sempurna untuk memuaskan keperluan kita tetapi tidak pernah cukup untuk memuaskan ketamakan kita."

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved