Rabu, 14 Disember 2011

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


40,000 anggota ditugaskan banteras jenayah tahun depan

Posted:

40,000 anggota ditugaskan banteras jenayah tahun depan

40,000 anggota ditugaskan banteras jenayah tahun depan


ISMAIL Omar bersalaman dengan seorang peniaga di Taman Tun Dr. Ismail, Selvaraj ketika membuat lawatan ke kedai-kedai di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Mahmood Adam (kiri).


KUALA LUMPUR 14 Dis. - Seramai 40,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) disediakan di seluruh negara bagi mengurangkan peratusan kegiatan jenayah bermula 1 Januari tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, anggota berkenaan telahpun diberikan latihan untuk memulakan tugas bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjaga melalui rondaan.

"Sebagai permulaan, hari ini adalah hari pertama mereka membuat rondaan bagi kawasan Brickfields dan Damansara.

"Lebih 5,000 daripada anggota-anggota ini pula akan menjalankan rondaan bersama di seluruh kawasan Lembah Klang bermula tahun depan dalam kadar sekerap yang mungkin," katanya pada sidang media sempena majlis pelancaran Rondaan Bersama PDRM, JPAM dan Rela di sini, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan alat elektronik juga merupakan salah satu cara mempertingkatkan lagi pengurangan kadar jenayah di negara ini.

"Melalui bajet (Belanjawan 2012) yang dikeluarkan Perdana Menteri, memang ada peruntukan untuk kamera CCTV. CCTV sedia ada akan dipasang semula secara berperingkat di setiap negeri mengikut kawasan-kawasan yang kami pilih terutama kawasan hotspot," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pula berkata, peratusan kebimbangan persepsi masyarakat terhadap jenayah sehingga Oktober lepas menunjukkan prestasi yang baik.

"Dua tahun lepas perasaan takut yang wujud di kalangan penduduk menunjukkan lebih kurang 58 peratus tapi tahun ini perasaan itu turun 48 peratus. Ini adalah sumber yang dikeluarkan dari TNS (syarikat yang dilantik oleh PDRM untuk mengkaji peratusan NKRA)," katanya.

Beliau berkata, JPAM dan Rela telah diberikan kuasa pasukan Simpanan Sukarelawan Polis (PVR) yang sama seperti polis biasa untuk membuat tindakan dalam keadaan yang tertentu.

"Anggota Rela dan JPAM adalah aset PDRM untuk bekerjasama, mereka telah dilatih untuk mengawal lalu lintas dan membantu mencegah jenayah.

"Dalam kuasa ini saya telah diberi kuasa di bawah Akta Polis iaitu memberikan anggota Rela dan JPAM sebagai kuasa PVR kerana Akta Polis telah menyatakan saya sebagai Ketua Polis Negara boleh memberi kuasa ini untuk mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis masih menyiasat mengenai kes seorang perompak ditembak mati oleh pengawal keselamatan dalam rompakan di sebuah bank di Pandan Indah, Ampang semalam, untuk menentukan sama ada suspek adalah seorang anggota tentera kerana dia menggunakan senjata api jenis Steyr (sama jenis dengan yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia) dalam rompakan itu.

"Setakat ini kami tengah siasat latar belakang suspek tersebut sama ada dia mempunyai asas daripada sudut penggunaan senjata api yang dimilikinya dan melaluinya baru kami boleh menyiasat dari mana datangnya senjata tersebut," katanya.

Semalam, seorang perompak yang mengambil masa 10 minit melakukan rompakan di sebuah bank ditembak di bahagian belakang kepala dari jarak 50 meter oleh seorang pengawal keselamatan dengan pump gun semasa suspek hendak melarikan diri. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Budak parah diserang siamang

Posted:

Budak parah diserang siamang

Budak parah diserang siamang

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


Anita Sulaiman menemani anaknya, Muhammad Afiq Haziq yang masih trauma menerima rawatan di Hospital Besar Melaka, kelmarin. - UTUSAN/Gaie Uchel


MELAKA 14 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki yang melawat Zoo Melaka bersama ibu bapanya diserang dan dicakar seekor siamang jantan menyebabkan daging kaki kanannya terkoyak hingga menampakkan tulang dalam kejadian yang berlaku petang semalam.

Haiwan tersebut sebelum itu bertindak ganas terhadap seorang kanak-kanak perempuan menyebabkan kecederaan ringan di tumit kanan.

Muhammad Afiq Haziq, berusia tiga tahun sembilan bulan kini mendapat rawatan di Hospital Melaka manakala kanak-kanak perempuan itu, Zukrina Abdul Hadi, 5, dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan pesakit luar di hospital sama.

Ketika kejadian yang berlaku pukul 2.30 petang itu, Muhammad Afiq didukung bapanya, Kamarul Baharin, 38, bersama isteri, Anita Sulaiman, 36, bersiar-siar di dalam zoo berkenaan.

Kata Anita, selepas sejam bersiar-siar, dia sekeluarga melewati kawasan khas seperti pulau terbuka yang di kelilingi kolam menempatkan siamang jantan.

"Tiba-tiba saya dikejutkan dengan jeritan orang ramai dan apabila menoleh ke belakang saya melihat 30 hingga 40 pengunjung lari bertempiaran seperti dikejar sesuatu," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka hari ini.

Dalam suasana panik ketika itu, kata Anita, secara tiba-tiba seekor siamang jantan muncul lalu bertindak agresif dengan menerkam dan menggigit kaki kanan anaknya.

"Dalam ketakutan saya terus berlari ke arah anak bongsu saya dan cuba menyelamatkannya," ujarnya.

Katanya, dalam suasana cemas itu dia melihat suaminya menarik bulu di kepala siamang itu supaya melepaskan kaki anaknya yang ketika itu sudah terkulai dan berlumuran darah.

"Haiwan itu langsung tidak berganjak dan mujurlah seorang pengunjung yang kebetulan berada di situ bertindak menyepak perut siamang itu menyebabkan haiwan itu melarikan diri," katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja haiwan itu melepaskan gigitan pada kaki Muhammad Afiq, suaminya terus berlari ke pejabat zoo untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.

Menurut Anita, dia difahamkan anaknya adalah mangsa kedua serangan haiwan tersebut yang sebelum itu menyerang seorang lagi kanak-kanak menyebabkannya cedera ringan.

"Doktor yang merawat memberitahu luka yang dialami Muhammad Afiq memang dalam dan saya sendiri melihat daging betisnya hancur sehingga nampak tulang," katanya.

Anita berkata, peristiwa hitam itu bukan sahaja menyebabkan anaknya trauma, malah dia sekeluarga serik untuk mengunjungi mana-mana zoo lagi selepas ini.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Zoo Melaka, Masri Mohd. Arof memohon maaf kepada keluarga terbabit di atas kejadian yang berlaku itu.

Menurutnya, pihaknya akan membuat siasatan terperinci dengan pakar-pakar haiwan dari universiti tempatan serta zoo lain dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelak perkara itu berulang.

"Haiwan tersebut telah ditangkap dan diasingkan bagi menyiasat punca ia boleh terlepas kerana ia memang tidak pernah keluar dari kawasan pulau khas itu. Siamang sebenarnya tidak akan menyerang sekiranya tidak berlaku provokasi," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved