Jumaat, 11 November 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kecewa tindakan kerajaan Kedah

Posted:

Kecewa tindakan kerajaan Kedah

Kecewa tindakan kerajaan Kedah

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my


Sebahagian penduduk berdemontrasi secara aman membantah pengambilan tanah wakaf oleh kerajaan negeri Kedah di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 10 Nov. – Seluruh kariah Madrasah Sahiliah Kanchut, Jalan Tambang Badak dekat sini sebulat suara akan mempertahankan madrasah itu daripada dirobohkan walaupun notis mengosongkan bangunan daripada kerajaan negeri berakhir hari ini.

Pengerusi jawatankuasa madrasah, Ahmad Hamzah berkata, ahli kariah amat kecewa dengan tindakan kerajaan Pas Kedah yang membenarkan pengambilan tapak dan bangunan madrasah berstatus wakaf khas itu yang mendapat sokongan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak agar satu perbincangan semula diadakan dengan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Jabatan Mufti negeri dan Pejabat Tanah Kota Setar berhubung status sebenar premis di atas tanah wakaf itu.

"Seluruh pemegang amanah dan kariah sangat kecewa kerana kerajaan negeri dan pemaju projek ini melanggar dan mengabaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah sendiri yang dikeluarkan pada 21 Jun 2010.

"Jadi kami semua ahli jawatankuasa nekad untuk mempertahankan madrasah ini supaya dikekalkan tanah wakaf khas berusia 100 tahun ini daripada diambil dan membantah sekerasnya bangunannya dirobohkan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Difahamkan, tapak madrasah seluas 0.08 hektar akan dibangunkan menjadi sebahagian daripada projek pembangunan semula Plaza Tunku Yaacob yang turut membabitkan pembinaan kompleks beli-belah, pusat komersial, hotel dan kondominium.

Projek tersebut dikatakan dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri Kedah termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Bina Darulaman Berhad dan pemaju swasta.

Menurut Ahmad, pihaknya turut keliru dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 21 Jun lepas yang disifatkan membelakangkan pemegang amanah madrasah.

"Apa yang menghairankan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah bersetuju melakukan pindaan terhadap fatwa yang dikeluarkan sebelum ini iaitu menerima permohonan PKNK agar madrasah ini dirobohkan.

"Walaupun kita sudah memohon secara rasmi agar madrasah ini dikekalkan, namun nampaknya ia tidak diendahkan kerana kami masih menerima notis mengosongkan bangunan ini hujung Oktober lalu daripada Pejabat Tanah Kota Setar yang berakhir hari ini," katanya.

Katanya, madrasah berkenaan yang mempunyai kira-kira 200 ahli yang berstatus tanah wakaf dikhususkan untuk orang Islam bagi tujuan pembinaan masjid atau surau dan ia tidak pernah diganggu sejak sekian lama.

"Tanah ini adalah hak orang Islam yang sudah termaktub sekian lama dan kami memilih untuk mengekalkannya seperti sedia ada.

"Apa salahnya di sebalik pembangunan kawasan ini dengan pusat komersial, madrasah ini tetap dikekalkan di tempat asal tanpa diruntuhkan bagi manfaat jemaah untuk menunaikan ibadah serta melakukan aktiviti keagamaan," katanya.

Katanya, madrasah itu kini menjadi pusat kegiatan kelas bahasa Arab dan pengajian agama dan al-Quran selain menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk ketika bulan Ramadan.

Full content generated by Get Full RSS.

Hasil Laut Jamilah makin laris

Posted:

Hasil Laut Jamilah makin laris

Hasil Laut Jamilah makin laris


Jamilah Baharudin menunjukkan hasil laut yang dijual di gerainya di Jalan Titi Panjang, Lumut, kelmarin.


LUMUT 10 Nov. – Minat mendalam untuk menceburi industri hasil laut mendorong wanita ini membuat pertaruhan paling besar 22 tahun lalu apabila menutup perniagaan kraf tangan yang menjadi punca rezeki keluarganya sejak bertahun-tahun.

Berbekalkan modal RM600, Jamilah Baharudin, 46, berniaga kecil-kecilan di sebuah gerai kecil milik Majlis Perbandaran Manjung (MPM) pada tahun 1989 dengan menjual produk hasil laut seperti ikan bilis dan sotong kering dan keropok udang.

Mengakui cabaran besar dipikul, Jamilah, yang lebih mesra dengan panggilan 'Mama' memberitahu, dia mengorak langkah demi langkah memandangkan tidak ramai golongan bumiputera menceburi bidang tersebut ketika itu.

Selepas hampir dua dekad, pertaruhan Jamilah ternyata berbaloi apabila perniagaannya terus berkembang sehingga produk Hasil Laut Jamilah yang diusahakannya kini menjadi jenama yang cukup sinonim di daerah ini.

''Saya selalu mempunyai kepercayaan bahawa industri hasil laut ini amat berpotensi dan sejak menceburinya pada tahun 1989, saya tidak menoleh ke belakang walaupun terpaksa bersaing dengan peniaga bukan bumiputera yang lebih berpengalaman.

''Kini, saya bersyukur kerana pengorbanan sebelum ini ternyata berbaloi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jamilah memberitahu, dia mendapatkan hasil laut daripada nelayan dan pembekal di Pulau Pangkor yang cukup terkenal dengan perusahaan hasil laut khususnya di negeri ini.

Menurutnya, kerja pembungkusan dilakukannya sendiri dengan bantuan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Perikanan yang memberi bimbingan sehingga menjadi usahawan yang berjaya.

Ibu kepada seorang anak itu menambah, dia kini mempunyai dua kedai iaitu di Titi Panjang dan Waterfront Premonade berhampiran Lumut Waterfront yang dibuka dari pukul 8 pagi sehingga 12 malam.

Menurutnya, beliau menjual ikan bilis dengan harga RM2.80 hingga RM5.80 bagi 100 gram mengikut gred, ikan talang kering RM38 bagi sekilogram, sotong kering antara RM80 hingga RM90 bagi sekilogram dan udang kering RM6.80 bagi 100 gram.

Katanya, semua jenis barangan hasil laut segar itu boleh dibeli di kedainya di No 4, Jalan Titi Panjang, Lumut atau pun menghubunginya di talian 019-5571246.

Jamilah memberitahu, pihaknya juga akan membuka gerai sempena Karnival Pantai Utusan Malaysia & Mingguan Malaysia pada 19 dan 20 November ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Jabatan Pertanian taja 200 kelapa

Posted:

Jabatan Pertanian taja 200 kelapa

Jabatan Pertanian taja 200 kelapa

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@ utusan.com.my


Hirwan Datuk Ahamed Hambal (kanan) menyerahkan tajaan kelapa kepada Ajani Basri di Taman Herba, Batu Gajah, Perak, semalam.


BATU GAJAH 10 Nov. – Jabatan Pertanian Perak memeriahkan Karnival Pantai Utusan Malaysia & Mingguan Malaysia apabila menaja 200 biji kelapa sempena penganjuran karnival itu pada 19 dan 20 November ini.

Pegawai Pertanian (Pengembangan) negeri, Hirwan Datuk Ahamed Hambal berkata, penajaan yang julung-julung kali diberi itu sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kedua-dua akhbar tersebut dalam menganjurkan karnival berkenaan.

Menurutnya, kesemua kelapa tersebut akan digunakan dalam pertandingan boling dan mengupas kelapa sempena karnival itu.

"Selama ini, kita hanya menjual hasil tanaman, tetapi ini kali pertama kami menaja 200 biji kelapa yang diperoleh daripada kira-kira 300 pokok kelapa di Taman Herba di sini.

"Tajaan ini adalah sebagai menghargai akhbar Utusan Malaysia yang banyak mendidik masyarakat terutamanya dalam isu-isu pertanian melalui ruangan Agro," katanya selepas menyampaikan tajaan kepada Eksekutif Pemasaran Utusan Melayu Cawangan Perak, Ajani Basri di Taman Herba di sini, hari ini.

Karnival yang terbuka kepada orang ramai itu bertujuan mempromosi wajah baru akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia selain mendekati pembaca setia kedua-dua akhbar tersebut khususnya di sekitar utara tanah air.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dijangka merasmikan karnival tersebut di Dataran Hadari, Teluk Batik pada 19 November ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved