Khamis, 3 November 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Zoo Taiping gamit pengunjung

Posted:

Zoo Taiping gamit pengunjung

Zoo Taiping gamit pengunjung

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my


Seekor buaya menyambar makanan antara gelagat haiwan yang boleh dilihat di zoo berkenaan.


TAIPING 2 Nov. - Jika ditanya tentang Taman Mergastua Sultan Idris Shah, pasti ramai yang menggelengkan kepala dan tidak tahu di manakah letaknya tempat tersebut sedangkan ia merupakan zoo tertua di negara ini.

Namun, jika disebut Zoo Taiping, sudah tentu semua fikiran terarah kepada satu-satunya zoo di utara Semenanjung yang cukup terkenal dengan program Night Safari Taiping.

Taman Mergastua sebenarnya adalah nama rasmi bagi Zoo Taiping. Tempat berkeluasan 13.6 hektar itu terletak di kaki Bukit Larut atau Maxwell Hill.

Dengan keindahan persekitaran alam semulajadinya yang dilengkapi aliran anak sungai, tasik serta kehijauan flora, tidak hairanlah zoo itu cukup popular kepada pengunjung.

Selain itu, Zoo Taiping juga dikenali kerana mencetuskan pembaharuan apabila memperkenalkan pameran haiwan secara terbuka dengan mengambil kira habitat asal haiwan berkenaan melalui pembinaan kandang yang sesuai.

Menurut Pengarah Zoo Taiping, Dr. Kelvin Lazarus, zoo yang dibina pada 1961 itu menjadi habitat kepada lebih 1,300 ekor haiwan daripada 200 spesies ketika ini.

Katanya, antara haiwan yang menjadi tumpuan pengunjung ialah harimau, singa, gajah, badak air, zirafah, enggang dan orang utan.

''Di sini terdapat juga usaha pembiakan hidupan liar yang semakin pupus dan usaha pembiakan yang kita lakukan setakat ini terbukti berjaya.

''Antara hidupan liar yang berjaya dibiakkan termasuk harimau belang, singa, siamang, rusa, nilgai, burung kuak, gajah dan banyak lagi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tidak lengkap kunjungan ke Zoo Taiping jika tidak mengikuti program Night Safari Taiping yang bermula dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam itu.

Night Safari Taiping adalah satu produk pelancongan unik yang mempamerkan haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam dengan menggunakan lampu khas seperti cahaya bulan.

Aksi-aksi haiwan seperti kongkang, chimpanzi, lemur perang, lemur ekor gelang, siamang dan ungka tangan putih sudah pasti mencuit hati setiap pengunjung dengan aksi nakal mereka memanjat pokok dan pagar di dalam sangkar.

Gelagat haiwan itu ternyata sekali membuktikan ia sangat aktif pada waktu malam walaupun ada sesetengahnya kelihatan sebaliknya.

''Di sini, pengunjung diminta untuk meminimumkan bunyi-bunyian atau suara supaya mereka dapat mendengar bunyi haiwan selain tidak mengganggu ketenteraman haiwan tersebut.

''Pengunjung juga dilarang membawa lampu suluh dan kamera berlampu denyar (flash) supaya tidak mengganggu haiwan di sini.

"Memberi makanan, melintas halangan, memetik tumbuh-tumbuhan juga dilarang sama sekali di kawasan tersebut," katanya.

Kelvin memberitahu, pengunjung juga boleh melihat haiwan-haiwan lain terutamanya haiwan dari luar negara seperti antelop, dubuk, kanggaru, badak sumbu putih, badak air, unta, dan kuda belang dalam pengembaraan mereka menerusi Night Safari Taiping.

Full content generated by Get Full RSS.

Terpesona lihat gelagat haiwan

Posted:

Terpesona lihat gelagat haiwan

Terpesona lihat gelagat haiwan


Gelagat memerang pastinya menarik untuk dirakamkan dengan lensa kamera.


TAIPING 2 Nov. – Menyeronokkan dan memberi banyak pengalaman. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat daripada pelbagai reaksi yang diberikan oleh orang ramai kepada Utusan Malaysia mengenai pengalaman mereka melawat Zoo Taiping dan Night Safari di sini baru-baru ini.

Kebanyakan mereka mengatakan, walaupun bukan kali pertama mengunjungi zoo, pengalaman berkunjung ke Zoo Taiping nyata berbeza.

Seorang pengunjung, Arizalina Ibrahim, 34, berkata, keadaan persekitaran yang redup menyebabkan mereka sekeluarga selesa untuk menjelajah ke seluruh kawasan zoo tersebut.

''Ini kunjungan pertama saya ke sini dan saya cukup seronok untuk membawa anak-anak ke Night Safari bagi merasai sendiri pengalaman berjalan dengan ditemani hidupan liar yang aktif pada waktu malam.

''Ini bukan sahaja pengalaman yang menyeronokkan tetapi memberikan pengetahuan kepada anak-anak saya mengenai spesies haiwan yang ada di dalam zoo ini, '' kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Mohd. Shahrir Harun, 25, yang juga baru pertama kali berkunjung ke zoo itu, berkata, tempat tersebut bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, malah kepada pelbagai lapisan usia.

Katanya, penerangan yang diletakkan pada setiap pagar haiwan membolehkan pengunjung mengetahui lebih mendalam mengenai sesuatu habitat.

''Kunjungan ke zoo ini adalah lawatan sambil belajar. Kalau ada pertunjukan haiwan seperti di Zoo Negara, ia pasti lebih meriah," katanya.

Bagi seorang pelajar sekolah, Amar Asyraf Azhar, 7, pula, setiap kali berkunjung ke zoo, dia tidak akan melepaskan peluang untuk melihat reptilia seperti ular dan buaya.

''Saya suka lihat ular dan buaya. Paling seronok apabila saya dapat memegang ular. Selain tengok haiwan, saya dapat ilmu dengan membaca penerangan yang tertera di setiap pagar haiwan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Berhenti kerja jaga isteri, anak

Posted:

Berhenti kerja jaga isteri, anak

Berhenti kerja jaga isteri, anak

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my


Radzi Abdul sabar melayan keperluan isterinya yang menderita barah payudara sementara anaknya, Mohd. Azwandi, 25, (belakang) menyuap makanan kepada Nor Hafizi ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Teluk Talipon, Kuala Kedah, Kedah, semalam.


ALOR SETAR 2 Nov. - Seorang bapa yang tinggal di Kampung Teluk Talipon, Kuala Kedah di sini kehilangan mata pencarian setelah berhenti kerja sejak dua bulan lalu untuk menjaga isteri dan anaknya yang terlantar sakit.

Radzi Abdul, 58, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak lagi boleh bekerja kerana terpaksa menjaga isterinya, Sabariah Saari, 50, yang menghidap barah payudara manakala anak bongsunya, Nor Hafizi Abd. Aziz, 20, lumpuh kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.

Radzi yang dahulunya memperoleh gaji RM700 sebulan mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana tiada siapa yang boleh menjaga dan menguruskan keperluan harian isteri dan anaknya itu.

"Isteri saya menghidap barah payudara tahap empat sejak lima tahun lalu dan dia tidak boleh bergerak kerana rasa terlalu sakit sejak September lalu.

"Anak bongsu pula lumpuh, buta kedua-dua belah mata, tidak mampu bercakap dan hanya boleh minum susu serta nasi lembik sahaja. Jadi saya terpaksa berhenti kerja sebab kena jaga mereka berdua sepenuh masa," katanya ketika ditemui di rumah mereka di kampung tersebut, di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap hari dia akan memasak nasi, menyalin lampin pakai buang anaknya, memandikan dan menyuapkan makanan untuk mereka.

"Pendapatan yang ada cukup untuk kami sekeluarga dan saya beli barang dengan menggunakan wang pencen isteri serta duit simpanan yang semakin sedikit sekarang," katanya sambil menambah isterinya dahulu pernah bekerja di sebuah kilang dan wang pencen yang diterima ialah RM300 sebulan.

Dia memberitahu, anaknya yang lumpuh turut mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun masih tidak mencukupi.

Katanya, dia mempunyai lima anak dan Nor Hafizi adalah anak bongsunya.

Dalam pada itu, seorang jiran, Sabariah Hamid, 46, berkata, dia sedih dengan keadaan sahabatnya yang terlantar itu dan berharap ada pihak yang sudi membantu.

"Dulu Sabariah masih boleh berjalan dan dia yang menguruskan anaknya lumpuh ini. Namun sejak dia terlantar sakit, semua tugas menjaga rumah tangga diambil alih oleh suaminya.

"Saya juga miskin seperti mereka dan hanya mampu melawat keluarga ini setiap hari. Jadi saya harap pihak yang berkenaan boleh menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga ini," ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Radzi boleh menghulurkan sumbangan dengan menghubunginya di 012-5979138.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved