Ahad, 13 November 2011

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Usahawan muda ternak ikan keli

Posted:

Usahawan muda ternak ikan keli

Usahawan muda ternak ikan keli

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
Gambar SAFIYANA SALIM (Pelatih Unisel)


PROSES suntikan penggalak akan memudahkan ikan keli betina menjalani proses bertelur.


KETIKA mula-mula bapanya menyerahkan urusan penternakan kolam ikan keli kepada Mohd. Aminudin Mohd. Zaibani, dia baru berusia 19 tahun.

Kepercayaan itu diberikan selepas dia selesai menamatkan pengajian di Institut Skill Tech Mara, Melaka dalam kursus Sijil Kemahiran Perikanan.

Bermula waktu itu, kolam yang telah diusahakan sejak tahun 1991 perlu dikendalikannya secara bersendirian.

''Cabarannya cukup besar kerana bukan mudah untuk menguruskan operasi kolam ternakan di kawasan yang besar ini.

''Tambahan pula, saya langsung tidak mempunyai pengalaman selain hanya ada sedikit ilmu yang diperolehi ketika belajar dahulu,'' katanya ketika ditemui di kolam ternakannya di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini.

Bercerita mengenai tempoh masa lima bulan pertama selepas mengambil alih kolam berkenaan, dia berhadapan dengan masalah yang cukup besar.

Waktu itu, operasi ternakannya terbantut disebabkan kehabisan makanan ikan dan ubat-ubatan selain keadaan kewangan yang tidak stabil untuk tujuan pusingan modal.

Semuanya gara-gara dia gagal menguruskan perjalanan aktiviti jualan, penternakan dan pembenihan ikan secara konsisten.

''Selepas kejatuhan itu, saya mula berfikir untuk bekerja lebih keras dan memberi fokus terhadap aktiviti penternakan kerana tidak mahu perniagaan yang ayah usahakan selama ini terkubur begitu sahaja.

''Jadi, saya bertekad untuk bangun semula. Saya bermula secara kecil-kecilan dengan membeli benih ikan daripada pengusaha lain, menternak dan kemudian menjualnya kembali.

''Dalam masa enam bulan, saya berjaya mengumpul modal untuk membina perusahaan ternakan baru,'' jelas anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik itu.

Dia yang ketika ini berusia 21 tahun kemudian mengatur pelbagai strategi penternakannya yang didaftarkan di bawah penjenamaan High Tech Aquaculture.

Antara usaha tersebut adalah mencari lebih ramai pelanggan berpotensi selain menimba pengalaman serta ilmu daripada penternak berjaya.

Operasi penternakan dan pembenihan miliknya semakin stabil menjelang Jun 2010.

Melihat daripada segi aktiviti pemasaran, Mohd. Aminudin mengambil pendekatan menjual anak benih dan ikan matang pada harga yang rendah.

''Tujuannya untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dan penternak. Saya juga akan membantu penternak-penternak ini mencari pemborong bagi membeli hasil ikan mereka.

''Apabila anak benih dijual pada harga rendah di samping mempunyai pasaran tetap, saya yakin para penternak pasti akan lebih seronok dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti penternakan ini.

''Secara tidak langsung, saya juga akan dapat mengekalkan lebih 80 peratus pelanggan tetap,'' katanya yang mengusahakan operasi penternakan serta pembenihan ikan keli, puyu, sepat dan tilapia.

Di samping itu, Mohd. Aminudin turut membekalkan spesies ikan lain seperti patin, baung dan jelawat mengikut permintaan.

Setakat ini, dia mempunyai 17 buah kolam simen, 14 kolam separuh simen dan enam kolam tanah yang dibina di kawasan seluas satu ekar dengan pengurusan operasi kolam dibantu oleh tiga orang kakitangan.

Pada masa depan, dia bercadang untuk menukar sistem kolamnya kepada yang lebih moden menggunakan permukaan marmar.

Sistem tersebut mempunyai kelebihan boleh mengurangkan bau selain ikan dapat membiak dengan lebih selesa, tidak mudah luka dan berkualiti.

Full content generated by Get Full RSS.

Petua tanam flokoli

Posted:

Petua tanam flokoli

Petua tanam flokoli

Susunan Zaleha Ujang
Taman Pertanian Universiti zujang@putra.upm.edu.my


Flokoli boleh mengubat stres, sakit kepala dan anti kanser.


Flokoli boleh ditanam di pelbagai jenis tanah yang subur, gembur, mempunyai saliran baik dan kaya dengan bahan organik. Jenis tanah paling sesuai ialah bertekstur lom yang baik dalam membekalkan nutrien, air dan udara kepada akar tanaman, pH sesuai antara 5.0 hingga 6.5

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan  menggunakan jentera atau manual mengikut saiz disyorkan, lebar satu hingga 1.2 meter, tinggi 23 sm dan panjang mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.

Batas ditambak dengan bahan organik  tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kilogram semeter persegi.

Bahan ini digaulkan dalam tanah seminggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok atau antara tiga hingga enam tan sehektar bagi tanah mineral

Semaian

Flokoli perlu disemai terlebih dahulu sebelum penanaman kerana memerlukan penjagaan rapi di awal pertumbuhan.

Semai biji benih dalam dulang semaian yang mempunyai 100-110 sel. Gunakan 'peat grow sebagai media percambahan atau campuran kompos dan peat grow.

Letak biji benih setiap sel di rumah semaian yang mempunyai kira-kira 50 peratus lindungan antara tiga hingga empat minggu dan siram setiap hari.

Anak semaian boleh disembur dengan baja foliar setiap minggu bagi menambah kesuburan dan pembesaran pokok.

Semaian boleh dibuat menggunakan polibeg hitam kecil atau kotak semaian dan diletak di tepi rumah jika tidak ada rumah semaian khas, pastikan mendapat cahaya matahari sekurangnya tiga jam sehari.  

Penanaman

Anak benih sedia ditanam bila berumur tiga hingga empat minggu  di kawasan struktur lindungan hujan atau terbuka.

Aktiviti mengubah sesuai dibuat petang kerana redup berbanding pagi.

Jarak tanaman sesuai ialah 60 sm antara barisan dan 60 sm antara pokok dan secara sistem tiga segi dan boleh mencapai kepadatan 16,000 pokok sehektar.

Pengairan

Flokoli memerlukan pengairan mencukupi semasa pertumbuhan pokok.

Siraman sekali sehari secara manual di pangkal pokok atau gunakan pengairan jenis renjis yang disyor terutama selepas mengubah dan di peringkat anak pokok masih muda.

Elakkan penyiraman pada pucuk semasa pengeluaran bunga.

Pembajaan

Baja disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar bergantung pada keadaan tanah.

Pembajaan dibuat seminggu selepas mengubah anak benih ke ladang, penggunaan baja organik 8:8:8: (20 gm/pokok) di selang dengan baja  NPK biru 12:12:7 (30gm/pokok) disyorkan.

Ia ditabur keliling tanaman dengan jarak 15 hingga 20 sm dari rumpun tanaman dan dikambus bagi mengelak larut resap ke udara.

Pembajaan dibuat setiap minggu dan berterusan selama empat minggu.

Pengawalan rumpai

Rumpai dikawal menggunakan racun pracambah atau secara manual sama ada mencabut dengan tangan atau menggunakan cangkul atau tajak.

Sungkupan menggunakan agrosheet, rumput kering atau jerami padi digalakkan bagi mengawal rumpai dan membantu mengekalkan kelembapan dan suhu tanah.

Rumpai yang tumbuh antara lorong dikawal dengan racun rumpai sesuai, elakkan tempias semburan terkena tanaman menggunakan alat penyembur berteduh.

Kawalan perosak

Pelbagai jenis perosak dan penyakit menyerang tanaman flokoli dan bagi mengatasinya, kawalan secara integrasi merangkumi kaedah fizikal, mekanikal, kultura, biologi  dan penggunaan racun.

Serangga perosak yang biasa menyerang ialah ulat plutella (Plutella xylostella) yang memakan daun di semua peringkat pertumbuhan dan meninggalkan lapisan lut sinar pada daun, ulat helula (Helulla undalis) memakan pucuk, tunas dan mengorek batang, kumbang kutu (Phyllotretta sinuate) memakan daun dan meninggalkan lubang halus padanya.

Penyakit biasa menyerang ialah reput lembut (Erwinia carotovora), bahagian yang diserang reput berair, berlendir dan berbau busuk, reput hitam (Xanthomonas campestris) menyebabkan lekuk di bahagian daun, batang dan akar menjadi hitam dan reput.

Kawasan perlu dijaga kebersihannya, tanaman yang diserang perlu dimusnahkan, kawasan jangan terlalu lembab  dan jika serangan teruk sembur dengan racun sesuai.

Penuaian

Flokoli dikutip apabila bungkah berukuran 15 sm atau lebih dan 10 minggu selepas diubah ke ladang.

Kelewatan menuai menyebabkan bunga berpecah dan menjadi kuning. Anggaran hasil satu hektar ialah 9-15 tan.

Semasa penuaian beberapa helai daun pembalut ditinggalkan bagi setiap bunga bagi melindungi bunga flokoli rosak semasa pengendalian dan pengangkutan hasil.

Hasil tahan antara 3-5 hari tanpa penyejukan.

Apabila disimpan di tempat sejuk ia akan tahan hingga dua minggu.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved