Isnin, 10 Oktober 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Guna kaedah PFI kawal banjir di Kedah

Posted:

Guna kaedah PFI kawal banjir di Kedah

Guna kaedah PFI kawal banjir di Kedah

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

KUBANG PASU 9 Okt. – Majlis Tindakan Persekutuan negeri akan mencadangkan projek tebatan banjir di negeri ini dilaksanakan menerusi kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) di bawah Pakej Rangsangan Khas yang diteruskan di dalam Bajet 2012.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, cadangan itu adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2012 bahawa beberapa projek awam termasuk rancangan tebatan banjir (RTB) akan dilaksanakan menerusi inisiatif berkenaan.

"Tahun lepas kerajaan Pusat meluluskan peruntukan lebih RM50 juta untuk menaik taraf Sungai Anak Bukit dan sebagainya. Sekarang ada beberapa projek lagi untuk dilaksanakan seperti lencongan selatan di Sungai Limau.

"Projek-projek ini kita akan cadangkan supaya dimasukkan di bawah PFI kerana dalam Bajet 2012, Perdana Menteri menjelaskan inisiatif ini diteruskan termasuk melibatkan RTB," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi di Jitra, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai ketiadaan peruntukan bagi melaksanakan RTB di negeri ini dalam Bajet 2012 seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri kelmarin.

Dalam pembentangan itu, Najib mengumumkan kerajaan akan melaksanakan RTB di Perlis, Perak dan Johor dengan kos RM1 bilion.

Mohd. Johari berkata, meskipun tiada peruntukan bagi melaksanakan RTB di negeri ini, peruntukan sebanyak RM50 juta yang diluluskan tahun lepas untuk menaik taraf Sungai Anak Bukit membuktikan kerajaan Pusat tidak mengabaikan usaha untuk menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku di negeri ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian berkata, pelaksanaan RTB di negeri jiran seperti Perlis juga memberi manfaat dalam membantu penduduk di negeri ini mengatasi masalah berkenaan.

"RTB itu merangkumi semua, bukan sahaja memberi manfaat di Perlis tetapi juga di negeri ini terutama di kawasan sempadan kedua-dua negeri seperti di Kodiang," katanya.

Perak lancar kempen kesihatan holistik

Posted:

Perak lancar kempen kesihatan holistik

Perak lancar kempen kesihatan holistik

IPOH 9 Okt. - Kerajaan negeri akan melancarkan kempen promosi kesihatan jangka panjang secara holistik yang memfokuskan kepada murid sekolah pada hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri dan memohon peruntukan daripada Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia dalam masa terdekat.

"Kita mahu pendekatan yang lebih menyeluruh berbanding kempen Kurang Gula, Lebih Sihat yang diperkenalkan sebelum ini dengan mengambil kira pencegahan obesiti, penyakit kardiovaskular dan kesihatan mental.

"Tumpuan akan diberikan kepada pelajar sekolah bagi membolehkan mereka mengambil langkah pencegahan dalam peringkat usia muda memandangkan lebih 20 peratus daripada mereka berdepan masalah berat badan berlebihan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Ahli Majlis Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Prof. Dr. Lekhraj Rampal di sini semalam.

Hang Soon berkata, antara program yang dirancang untuk dilaksanakan termasuk penganjuran ceramah, ekspo, rundingan kesihatan dan aktiviti sukan secara menyeluruh.

Tambah beliau, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan kempen tersebut, sebuah jawatankuasa di peringkat negeri telah ditubuhkan untuk menggerakkan program promosi kesihatan berkenaan yang akan turut melibatkan golongan dewasa.

"Langkah pencegahan perlu diambil kerana 50 peratus daripada orang ramai yang mengalami tekanan darah tinggi misalnya, tidak sedar bahawa mereka sebenarnya mengalami masalah tersebut kerana tidak pernah melakukan pemeriksaan pengesanan," katanya.

Restoran sajian China pertama diiktiraf Jakim

Posted:

Restoran sajian China pertama diiktiraf Jakim

Restoran sajian China pertama diiktiraf Jakim


Pemilik Restoran Cina Muslim, (dari kiri), Gao Min, Hashim Ismail dan K. L Ong di hadapan restoran mereka di Bayan Baru yang merupakan satu-satunya restoran masakan China asli berstatus halal di Pulau Pinang.


PULAU PINANG 9 Okt. - Usaha tiga sahabat berulang-alik dari Malaysia ke China lebih 10 kali bagi mencari resipi sesuai tidak sia-sia apabila mereka berjaya membuka restoran yang menghidangkan menu halal dari negara Asia Timur itu.

Diusahakan oleh Hashim Ismail, K.L. Ong dan Gao Min, ia merupakan satu-satunya restoran yang menghidangkan masakan dari China yang mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di negeri ini.

Menurut Hashim yang juga pengarah restoran, China Muslim Restoran itu yang terletak di D'Piazza Mall, Bayan Baru di sini menawarkan 50 sajian asli dari China kepada para pelanggannya.

"Semua rempah-ratus yang digunakan diimport dari China dan memenuhi cita rasa masyarakat tempatan. Ia disediakan oleh empat tukang masak yang didatangkan khas dari wilayah Ning Xia bagi memastikan cita rasa masakan kekal seperti asal.

"Keempat-empat mereka beragama Islam dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang masakan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selain itu, keistimewaan lain yang terdapat pada masakan di situ adalah penggunaan buah goji (gou ji) yang dipercayai berkhasiat dan digunakan dalam perubatan tradisional masyarakat China sejak dahulu.

"Masakan asli dari China sememangnya cukup diminati oleh pelbagai bangsa termasuk orang Melayu.

"Tidak banyak restoran seumpama ini ada di negeri ini," ujar Hashim.

Restoran dua tingkat yang beroperasi sejak setahun lalu mampu memuatkan kira-kira 250 pengunjung pada satu-satu masa.

Sempena ulang tahun pertamanya, restoran berkenaan menawarkan kupon potongan harga sebanyak RM10 bagi setiap hidangan bernilai RM50 sebagai menghargai sokongan pelanggan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved