Isnin, 10 Oktober 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Unit khas pantau harga barang

Posted:

Unit khas pantau harga barang

Unit khas pantau harga barang

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my


Ismail Sabri Yaakob tertarik melihat penari cilik anak Orang Asli yang menyambut kehadirannya di Rancangan Penempatan Semula Perkampungan Orang Asli di Pos Iskandar, Bera, Pahang, semalam. - UTUSAN/ALI MAHMOOD


BERA 9 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mula menggerakkan unit khas bagi mengesan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan pemberian pelbagai imbuhan kepada rakyat dalam Bajet 2012.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, unit tersebut yang terdiri daripada pengawai penguat kuasa, majlis pengguna dan pemantau harga mula digerakkan di seluruh negara sejak kelmarin.

"Langkah ini menunjukkan kerajaan prihatin terhadap kepentingan rakyat supaya mereka tidak menjadi mangsa kerakusan peniaga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Koperasi Orang Asli Peringkat Negeri Pahang di Rancangan Penempatan Semula Perkampungan Orang Asli di Pos Iskandar di sini hari ini.

Ketika pembentangan Bajet 2012, Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelbagai imbuhan termasuk tambahan setengah bulan bonus kepada kakitangan awam serta bayaran RM500 untuk pesara.

Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan imbuhan yang tidak pernah diberi sebelum ini iaitu sumbangan RM500 untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, pendidikan sekolah rendah dan menengah percuma serta bantuan RM100 untuk murid tahun satu hingga pelajar tingkatan lima.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu, pihak kementerian telah menghantar notis tunjuk sebab kepada beberapa peniaga di negeri ini kerana menjual ayam sehingga mencecah RM10 sekilogram.

Menurutnya, notis itu diberikan apabila pihaknya menerima banyak rungutan daripada pengguna yang mengeluh dengan peningkatan harga ayam di pasaran.

Katanya, hasil siasatan di peringkat ladang, para penternak memberikan alasan harga makanan ayam yang diimport telah naik sejak seminggu lalu.

"Atas faktor tersebut, pemborong dan peniaga menaikkan harga ayam kerana berlaku peningkatan harga di peringkat ladang.

"Jika kita sendiri mendapati memang berlaku peningkatan harga makanan ayam yang diimport, kementerian tidak boleh mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan mengikut Akta Pencatutan," kata beliau.

Kemampuan kerajaan tidak harus dipersoal

Posted:

Kemampuan kerajaan tidak harus dipersoal

Kemampuan kerajaan tidak harus dipersoal

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Kemampuan kerajaan melaksanakan Bajet 2012 tidak harus dipersoal kerana komitmen yang ditunjukkan sebelum ini sudah memadai untuk membuktikan keprihatinan dalam soal kebajikan rakyat di samping memastikan pembangunan negara terus berjalan lancar.

Berbanding pembangkang dan Buku Jingga mereka yang disifatkan tidak masuk akal dan bersifat populis semata-mata, kerajaan dilihat realistik dan berkemampuan dalam memenuhi keperluan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, komitmen kerajaan meningkatkan perkembangan ekonomi daripada 4.7 peratus kepada 5.5 peratus tahun ini membuktikan kecekapan pengurusan kewangan negara di bawah pemerintahan sedia ada.

Kata beliau, rizab negara juga semakin meningkat meskipun ekonomi dunia semakin mencabar, menjadikan Malaysia kekal di tahap negara berpotensi menjadi negara maju di samping berpendapatan tinggi.

"Kerajaan sebenarnya mempunyai perancangan yang lebih teliti dan komprehensif untuk membantu rakyat, berbeza dengan pembangkang yang rancangan mereka hanya di atas kertas. Malah banyak elemen daripada manifesto pilihan raya umum dahulu pun mereka (pembangkang) belum laksanakan.

"Memang mudah untuk merancang apatah lagi membantah, namun mereka masih tidak mampu melakukan sebarang pelaksanaan walaupun hanya memerintah beberapa negeri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut menyifatkan pembangkang kini sudah ketandusan idea untuk menyerang Bajet 2012 berikutan ia sangat baik sehingga mereka berasa tergugat.

Jelasnya, ini ditambah dengan pembentangan belanjawan bayangan pembangkang yang tidak berlandaskan statistik kukuh dan jauh sekali daripada asas untuk memantapkan ekonomi negara.

"Rakyat semakin sedar dengan putar belit pembangkang dan mula menyedari keikhlasan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memfokuskan secara holistik kepada semua kumpulan sasar," ujarnya.

Perkara sama turut disuarakan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha yang menyifatkan tindakan pembangkang yang kurang mengkritik bajet tersebut membuktikan ia sangat baik sehingga mereka sudah tiada modal untuk bersuara.

"Keprihatinan Perdana Menteri dalam mendengar denyut nadi rakyat sememangnya meresahkan pembangkang, namun mereka seperti tergamam untuk membantah. Bajet kerajaan kali ini merangkumi pelbagai aspek secara holistik dan yang terpenting ia mampu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," ujarnya.

Cho Ha turut memuji kearifan Najib dalam mengupas segala rintihan rakyat di bawah pentadbirnya terutama dalam menangani tekanan ekonomi seperti inflasi serta kenaikan kos sara hidup.

Perhalusi rancangan liberalisasi 17 subsektor

Posted:

Perhalusi rancangan liberalisasi 17 subsektor

Perhalusi rancangan liberalisasi 17 subsektor

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Kerajaan diminta memperhalusi rancangan meliberalisasikan 17 subsektor perkhidmatan dalam Bajet 2012 bagi memastikan perkembangan usahawan bumiputera tidak terjejas.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Zubir Harun berkata, ini kerana rancangan liberalisasi yang membolehkan 100 peratus pemilikan syarikat asing itu dikhuatiri merugikan golongan usahawan bumiputera.

"Masa untuk meliberalisasikan 17 subsektor perkhidmatan adalah tidak sesuai kerana kemelesetan ekonomi seluruh dunia akan menyebabkan usahawan bumiputera terjejas teruk kerana bersaing dengan pemilik asing yang mempunyai pelbagai kelebihan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali.

Zubir mengulas Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat Jumaat lalu khususnya dalam hal berkaitan agenda bumiputera.

Dalam pembentangan itu, Najib antara lain menyatakan 17 liberalisasi subsektor itu akan dibuat secara berperingkat bermula tahun depan.

Kata Zubir, kerajaan juga perlu menambah peruntukan RM17 juta kepada RM500 juta bagi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) membimbing 5,100 syarikat bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia berbanding sasaran 1,100 syarikat yang diumumkan.

Menurutnya, ini kerana hak syarikat bumiputera seperti dinafikan dalam Bajet 2012 ekoran peruntukan besar RM700 juta yang diberikan kepada Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri.

Seterusnya, beliau menggariskan beberapa lagi perkara yang perlu dikaji semula kerajaan dalam memastikan perkembangan usahawan bumiputera terlaksana menerusi Bajet 2012 iaitu:

* Memastikan ketelusan dalam program management buyout Majlis Amanah Rakyat (Mara).

* Menambah peruntukan Dana Mudah Cara usahawan bumiputera kepada RM1 bilion berbanding RM300 juta.

* Menaikkan jumlah pinjaman maksimum Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) kepada RM100,000.

Dalam perkembangan sama, Syed Hassan kecewa dengan langkah kerajaan yang tidak mengumumkan sebarang insentif khas untuk pembangunan Islam dalam bajet berkenaan kecuali penglibatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam memastikan caruman orang ramai boleh disalurkan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memudahkan mereka mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

"Sebelum ini banyak pengumuman kerajaan menyentuh tentang pembangunan Islam dalam negara tetapi bukan dalam Bajet 2012," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved