Isnin, 10 Oktober 2011

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Hayati sejarah kemerdekaan

Posted:

Hayati sejarah kemerdekaan

Hayati sejarah kemerdekaan

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com


PERARAKAN Jalur Gemilang dengan motosikal begitu sinonim di kalangan belia di bandar dan luar bandar turut diadakan di Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 10 Okt. - Program Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada 16 September lalu disambut dengan penuh meriah dan penghayatan sejarah oleh pelbagai kaum di negara ini.

Nilai penghayatan terhadap falsafah kemerdekaan terbukti apabila rakyat berazam sekali gus menaikkan semangat patriotisme dan jati diri sebagai tunjang kehidupan.

Semangat patriotisme terserlah ketika Jalur Gemilang dilihat berkibar di semua tempat, manakala nyanyian lagu patriotik berkumandang di media cetak dan elektronik.

Senario sambutan berkenaan yang disemarakkan setiap tahun oleh rakyat Malaysia mempamerkan semangat patriotik dan rasa cinta kepada negara tanpa berbelah bahagi.

Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela rakyat menyambut kelahiran Malaysia sebagai negara yang merdeka dan berdaulat.

Sekolah sebagai institusi pendidikan yang mewarnai akhlak, menyubur intelek dan menajamkan minda pelajar tidak ketinggalan daripada menganjurkan program berkenaan.

Kemeriahan sambutan menerusi kegiatan kokurikulum misalnya dapat mendidik kanak-kanak dan remaja mengenali perjuangan wira bangsa dan kemerdekaan negara selain dibantu maklumat yang diperoleh menerusi buku sejarah.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Hadi Aznan, 35, berkata, penganjuran pelbagai program kemerdekaan mampu menyuburkan semangat jati diri di kalangan murid.

"Sambutan itu yang diterapkan melalui pendidikan kokurikulum amat penting untuk menyuburkan cinta dan minat murid-murid terhadap sejarah pemimpin dan kemerdekaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Hadi yang juga Setiausaha Program Semarak Rukun Negara sekolah berkenaan berkata, kegiatan yang dilaksanakan dalam bentuk pertandingan juga dapat menguji pengetahuan, kemahiran dan bakat murid berkenaan.

Guru SK Kampung Pagi Hulu Tembeling, Norazizah Moktar, 27, berkata, pelaksanaan kegiatan luar bilik darjah bertemakan bulan kemerdekaan boleh menyemai minat murid terhadap sejarah.

Tambahnya, mereka dapat diasuh mengenali sejarah negara menerusi kegiatan mengibarkan Jalur Gemilang, bersajak dan nyanyian lagu patriotik sempena bulan kemerdekaan itu.

Katanya, program berkenaan juga dapat mendekatkan pemahaman golongan itu terhadap sesuatu peristiwa mengenai tokoh dan kemerdekaan negara.

Dalam pada itu Pengerusi Belia 4B Lipis, Azhari Rose, 39, berkata, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga ditagih untuk menyemarakkan sambutan itu setiap tahun.

Jelasnya, pihaknya telah melaksanakan perarakan Jalur Gemilang dan menyampaikan sumbangan untuk penduduk miskin secara kolaborasi dengan pemimpin setempat.

Azhari yang juga seorang guru menambah, program semarak bulan kemerdekaan merupakan serampang dua mata, iaitu mendekatkan belia dengan tokoh sejarah dan pemimpin setempat serta mengembalikan keyakinan mereka dengan kerajaan hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

224 pelajar Jerantut ikuti Kem 1Murid 1Sukan

Posted:

224 pelajar Jerantut ikuti Kem 1Murid 1Sukan

224 pelajar Jerantut ikuti Kem 1Murid 1Sukan


SEBAHAGIAN peserta Kem 1Murid 1Sukan selepas tamat menjalani program tersebut di Air Tenang Resort, Janda Baik, Bentong, kelmarin.


BENTONG 10 Okt. – Seramai 224 pelajar menyertai Kem 1Murid 1Sukan anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jerantut di Air Tenang Resort, Janda Baik, dekat sini yang berakhir kelmarin.

Program yang bermula sejak Khamis lalu itu melibatkan 128 pelajar sekolah menengah dan 96 murid sekolah rendah dari seluruh daerah Jerantut.

Penyelia Unit Sukan PPD berkenaan, Mohd. Supian Mohd. Kasim berkata, semua peserta dipilih oleh pihak sekolah masing-masing melibatkan empat murid bagi sekolah rendah manakala lapan pelajar bagi peserta sekolah menengah.

"Program ini diadakan selama tiga hari dan peserta didedahkan dengan pengenalan setiap jenis sukan, organisasi kelab dan pengubahsuaian permainan oleh guru-guru yang bertindak sebagai jurulatih," katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis penutup program tersebut kelmarin.

Mohd. Supian berkata, semua peserta dari sekolah rendah dan menengah digabungkan mengikut kumpulan masing-masing agar mereka dapat berkenalan dan berkomunikasi dengan baik.

Menurutnya, aktiviti pertama yang dijalankan adalah Pengenalan Pengurusan Kelab iaitu pendedahan kepada peserta mengenai organisasi sesebuah kelab sukan serta fungsi setiap pelajar berdasarkan jawatan yang disandang oleh mereka.

"Selepas mendengar ceramah daripada jurulatih, semua peserta kemudiannya membuat latihan dalam kumpulan bagi membentuk satu organisasi yang lengkap berdasarkan kelab sukan yang dipilih dan seterusnya membuat pembentangan kepada ahli kumpulan lain," ujarnya.

Beliau berkata, peserta kemudiannya diberi penerangan mengenai asas permainan terutama bagi sukan bola sepak, badminton, bola jaring, sepaktakraw dan hoki.

"Selepas itu, peserta diberi peluang untuk bermain semua jenis permainan tersebut secara bergilir-gilir agar mereka mendapat pengetahuan serta kemahiran yang akan digunakan apabila kembali ke sekolah," jelasnya.

Selain itu, katanya, para peserta turut diajar kaedah mengubah suai permainan menggunakan bola agar mereka dapat mencipta permainan baru sekiranya tidak dapat bermain permainan asas menggunakan bola seperti bola sepak dan bola jaring.

"Pada masa yang sama kita turut memberi penerangan mengenai asas pemakanan dan kecederaan dalam sukan.

''Sebagai hasilnya, kita harap para peserta akan menjadi duta sukan dan mengaplikasikan kemahiran yang mereka perolehi melalui kem ini di sekolah masing-masing," kata beliau.

Full content generated by Get Full RSS.

3 maut, 2 parah nahas berasingan

Posted:

3 maut, 2 parah nahas berasingan

3 maut, 2 parah nahas berasingan

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIMutusanpahang@gmail.com

KUANTAN 10 Okt. - Tiga maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan berasingan yang berlaku di Rompin, Temerloh dan Maran semalam.

Nahas pertama berlaku di Kilometer 186.2, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Maran membabitkan sebuah kereta jenis Proton Persona.

Dalam kejadian itu, pemandu kereta tersebut, Nurul Hana Jalaludin, 22, dari Parit Buntar, Perak terbunuh manakala rakannya, Siti Fatimah Rani, 23, berasal dari Jerantut cedera parah.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku pukul 4.10 petang ketika Nurul Hana dan rakannya dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

"Sampai di tempat kejadian, kereta dipandu Nurul Hana tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di kanan jalan menyebabkan ia terbalik beberapa kali.

"Berikutan itu, pemandu kenderaan tersebut tercampak keluar dari kenderaannya dan jatuh ke dalam longkang sebelum meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohamed Fauzi berkata, rakannya yang parah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, nahas kedua pula berlaku di Kilometer 62, Jalan Ibam-Rompin dekat Rompin pukul 1 tengah hari melibatkan sebuah pacuan empat roda (4WD).

Mangsa, Azhar Mohamad, 23, dari Dungun, Terengganu bersama rakannya, Mohd. Zahari Zakaria, 28, dari Felda Chini, Pekan dalam perjalanan dari Muadzam Shah menuju ke Rompin.

Katanya, ketika Azhar membelok ke simpang tiba-tiba datang sebuah motosikal dari hadapan menyebabkan mangsa cuba mengelak dari merempuhnya.

"Mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan merempuh pokok di bahu jalan menyebabkan jipnya terbalik dan terjatuh di kawasan curam," jelasnya.

Katanya, Azhar meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya yang cedera parah di hantar ke Klinik Kesihatan Rompin bagi mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, katanya, kemalangan ketiga berlaku di Kilometer 142, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Temerloh melibatkan sebuah kereta jenis Nissan dan motosikal jenis Suzuki.

Mohamed Azhar berkata, mangsa yang maut, penunggang motosikal, R. Monikah Raj, 18, dari Taman Desa Saujana, Mentakab.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, kereta tersebut dalam perjalanan dari arah Temerloh menuju ke Kuala Lumpur.

Jelasnya, sampai di tempat kejadian, kereta terbabit membelok ke kanan untuk ke stesen minyak.

"Pada masa yang sama, mangsa yang datang dari hadapan gagal mengelak lalu bertembung dengan kereta tersebut," ujarnya.

Katanya, kesemua kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved