Isnin, 10 Oktober 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Cosmopal peneraju ternakan kambing

Posted:

Cosmopal peneraju ternakan kambing

Cosmopal peneraju ternakan kambing

Oleh FAUZI MOHD.
utusanterengganu@utusan.com.my


PEKERJA Cosmopal memberi makanan kepada kambing ternakan.


MARANG 9 Okt. – Bukan satu keputusan yang mudah buat Zainudin Zakaria, 58, meninggalkan kerjaya dalam sektor hartanah di Kuala Lumpur dan pulang semula ke kampung, semata-mata mahu menternak kambing.

Ramai rakan Zainudin menganggap langkah yang diambil olehnya hanya sia-sia belaka dan tidak ada masa depan.

Ini kerana, dia ialah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentabiran Perniagaan dari Universiti Greenwich Australia dan pernah bertugas sebagai pegawai di Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu.

Beliau meninggalkan kerjayanya pada 2005 untuk bergiat sepenuh masa membangunkan Cosmopal Sdn. Bhd. dengan permulaan yang sangat sederhana, cuma 40 ekor kambing di kawasan seluas 8 hektar di Kampug Serating yang disewa dengan Jabatan Pertanian.

Tindakan suami kepada Zaiton Zakaria, 57, itu turut disambut gelaran sebagai 'hamba kambing' apabila beliau mula menghabiskan masa di kawasan itu yang berada dalam Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Usaha untuk terjun dalam bidang itu diragui tetapi Zainudin yang mahu membuktikan beliau tidak tersilap langkah menegaskan:

"Saya tahu apa yang saya buat. Sebelum berhenti kerja, saya bukan sahaja membaca banyak buku dan majalah, malah turut hadiri pelbagai kursus bagi mendalami ilmu berkaitan penternakan.

"Memang mengambil masa, malah saya juga membuat lawatan ke luar negara untuk melihat sendiri kelebihan serta cabaran dalam bidang ternakan ini. Permulaannya juga sukar," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Bermula dengan sebuah kandang, beliau membeli kambing jenis Jamnapari dan Boer dari Indonesia dengan berbekalkan keyakinan bahawa ternakan kambing baka adalah perusahaan yang menguntungkan serta mampu memberi pulangan yang cepat.

Dua tahun selepas itu, ladang tersebut dibesarkan dengan modal RM100,000 bagi menampung sembilan kandang yang mampu memuatkan lebih 2,200 ekor dalam satu-satu masa dan sehingga kini, lebih 10,000 ekor telah dijual.

Pada asalnya, Cosmopal hanya aktif dalam pengimport, pengedar dan juga penternak kambing baka serta menjadi pembekal daging kambing kepada pasaran dalam negara, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

"Melihat kepada prospek yang ada, kami meluaskan aktiviti kepada pengeluaran susu segar dan menghasilkan baja organik daripada najis atau tinja kambing yang dicampurkan ramuan lain pada 2006.

"Aktiviti sampingan itu bagi memaksimumkan pendapatan serta mewujudkan peluang kerja bagi membantu masyarakat setempat yang berpendapatan rendah," katanya.


Golongan orang kurang upaya tekun menghasilkan barangan kulit berasaskan kulit kambing menerusi syarikat Trg Leather Sdn. Bhd. di Kampung Serating, Marang, Terengganu,


Langkah demi langkah, Zainudin pergi lebih jauh dengan menubuhkan syarikat Trg Leather Sdn. Bhd. pada 2008 bagi menerokai pembuatan barangan kulit berasaskan kulit kambing.

Dia mendapat bekalan bahan mentah dari Indonesia dan lebih 15 jenis produk dihasilkan seperti jaket, topi, beg serbaguna, tali pinggan, beg duit dan cenderamata dengan dibantu 10 kakitangan termasuk beberapa orang kurang upaya dalam aspek jahitan.

"Sambutan cukup baik, selain mengadakan promosi ke Dubai, United Kingdom dan Australia, kami sasarkan beberapa negara di Timur Tengah untuk pasaran produk berkualiti yang jauh lebih murah berbanding produk keluaran negara lain.

"Ditambah pula dengan pengiktirafan persijilan halal pertama di Malaysia daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pada April 2011, kami yakin produk itu ada peminat tersendiri," katanya yang kini menetap di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu.

Kini Cosmopal menyasarkan untuk menternak 10,000 ekor kambing dalam satu masa dalam kawasan yang diperluaskan kepada 32 hektar dan pada masa sama merancang menggerakkan program inap desa di ladangnya.

"Di sini terdapat kawasan menghijau, pelbagai aktiviti boleh dilakukan dan produk berkaitan ternakan disediakan, amat sesuai mewujudkan program inap desa. Selain itu, penunjung juga boleh memancing di kolam ikan air tawar di sini," katanya.

Katanya, dia bersyukur mempunyai isteri dan anak-anak yang sering memberi dorongan dan semangat kepada dirinya.

Selain dibantu isteri, tiga anaknya yang kesemuanya lulusan dari universiti di United Kingdom turut terlibat menggerakkan syarikat iaitu Zaitul Afiza, 31, Mohd. Amir Hafiz, 27, Mohd. Hilmi, 21,

Menurut Zainudin, dengan kerjasama Jabatan Veterinar dan Jabatan Pertanian, Cosmopal turut terlibat dalam penganjuran kursus kepada penternak lain dengan kemudahan asrama di ladang itu.

"Kursus seperti penyembelihan halal, pekerja ladang ruminan dan penyelia ladang ruminan memakan masa antara seminggu hingga tiga bulan. Peserta kursus akan diberikan sijil yang diiktiraf oleh Jabatan Kemahiran Malaysia," katanya.

Selain menjadi ladang contoh kepada penternak lain, Zainudin mahu mempelopori sistem penternakan kambing lengkap di mana semua produk berasaskan kambing dihasilkan di ladang.

Terbaru, usahasama Cosmopal dengan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), sebuah restoran berasaskan masakan kambing, T'Cafe Cosmopal di Kelulut, Marang telah beroperasi sejak kira-kira dua bulan lalu.

"Selain mempromosi masakan berasaskan daging dan tulang kambing, restoran yang bakal dibuka di setiap daerah ini turut mendidik masyarakat mengenai cara menghasilkan masakan kambing yang betul," katanya.

Atas usaha gigih itu, Cosmopal turut mendapat banyak pengiktirafan seperti Anugerah Usahawan Penternak Ruminan Jaya peringkat kebangsaan 2008, Anugerah Usahawan Terengganu 2009 dan Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian dan Industri Asas Tani peringkat negeri 2011.

Loji kumbahan dipulih, naik taraf

Posted:

Loji kumbahan dipulih, naik taraf

Loji kumbahan dipulih, naik taraf

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 9 Okt. - Kerajaan Pusat telah memberikan pinjaman sebanyak RM30 juta kepada Kelantan bagi membaik pulih dan menaik taraf loji-loji rawatan kumbahan di daerah ini yang bakal memberi manfaat kepada lebih 50,000 penduduk.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri akan menggunakan sepenuhnya pinjaman itu untuk kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf loji-loji rawatan kumbahan yang dikendalikan oleh syarikat milik kerajaan negeri, Majaari Services Sdn. Bhd.

Beliau berkata, kerja-kerja membaik pulih loji-loji itu termasuk di Perumahan JPN Padang Tembak Pengkalan Chepa di sini, dengan kos pengambilan tanah sahaja sebanyak RM10 juta.

"Insya-Allah di jajahan lain sudah dikenal pasti tapaknya dan pihak berkenaan akan sempurnakan perkara ini. Terima kasih kepada pihak Pusat yang telah memberi pinjaman kepada Kelantan untuk jaga kebersihan awam, terima kasih," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan loji rawatan kumbahan awam Perumahan JPN Padang Tembak, Pengkalan Chepa dan Hari Bersama Pelanggan Majaari di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri yang juga Pengerusi Majaari, Datuk Md. Anizam Abd. Rahman dan Pengurus Majaari, Pauzi Mohamed.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri menubuhkan Majaari pada 2007 untuk mengurus dan menyelia sistem pembetungan dan kumbahan di negeri ini khususnya Kota Bharu bagi kesejahteraan penduduk.

Beliau berkata, kajian pembetungan bagi lapan daerah di negeri ini juga dimaklumkan telah disiapkan dan boleh digunakan untuk rancangan pembangunan pembetungan dan loji rawatan kumbahan.

"Tapak loji rawatan kumbahan berpusat wilayah untuk Kota Bharu, Kota Bharu utara dan selatan telah dikenal pasti dan sedang dibuat urusan pengambilan tanah untuk pembangunan," katanya.

Menurut Nik Abdul Aziz, kerja-kerja membaik pulih dan membina loji rawatan kumbahan merupakan salah satu agenda kerajaan negeri untuk menjaga kebersihan yang sangat dititik-beratkan oleh Islam.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan terhadap usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh Majaari dalam mengendalikan pengurusan bidang tersebut, begitu juga kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang turut memberikan bantuan.

Selain loji rawatan kumbahan di Perumahan JPN, loji-loji lain yang sedang dibaik pulih dan dinaik taraf ialah di Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa; Taman Desa Darulnaim, Pasir Tumboh; Taman Kurnia Jaya, Perumahan Taman Bendahara, Kasjaria bandar baru Kubang Kerian, Taman Tanjung Chat, Flat Buluh Kubu dan Rumah Kedai Buluh Kubu.

Terengganu taja 115 jemaah haji melibatkan perbelanjaan RM1.15j

Posted:

Terengganu taja 115 jemaah haji melibatkan perbelanjaan RM1.15j

Terengganu taja 115 jemaah haji melibatkan perbelanjaan RM1.15j


Mazlan Ngah (dua dari kiri) dan Mohammad Mokhzani Mukhtar menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 9 Okt. - Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1.15 juta untuk menaja seramai 115 orang termasuk penjawat awam negeri ini bagi menunaikan fardu haji pada tahun ini.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, selain kakitangan kerajaan yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), imam, bilal serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut menikmati faedah itu.

Katanya, pemilihan kakitangan kerajaan sama ada peringkat bawahan atau atasan dibuat berdasarkan prestasi kerja yang dinilai oleh ketua jabatan masing-masing manakala di peringkat JKKK pula, seorang daripada setiap Dewan Undangan Negeri ( DUN) bakal dipilih melalui kaedah yang sama.

"Tahun ini merupakan tahun kelima kerajaan negeri menaja golongan tersebut untuk menunaikan fardu haji sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan ikhlas selama mereka berkhidmat," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Khas Bakal-Bakal Haji di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar.

Mazlan berkata, program tajaan bakal haji itu akan diteruskan pada tahun depan yang dijangka turut melibatkan jumlah yang sama sebagai penghargaan dan terima kasih daripada kerajaan negeri.

"Bakal haji ini turut bertuah kerana berpeluang menaiki penerbangan terus ke Jeddah melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada 16, 17 dan 18 Oktober ini," ujarnya.

Sementara itu, Mohammad Mokhzani dalam ucapannya berkata, kira-kira 46,000 jemaah haji dari Terengganu masih menunggu untuk menunaikan haji dan jumlah itu dijangka bertambah setiap tahun.

"Tahun ini, seramai 2,480 jemaah dari negeri ini berpeluang menunaikan rukun Islam yang kelima itu," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved