Isnin, 10 Oktober 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Phang tak sedar perbezaan harga tanah

Posted:

Phang tak sedar perbezaan harga tanah

Phang tak sedar perbezaan harga tanah

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak tahu dan tidak menyedari tentang perbezaan terma harga tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Phang berkata, beliau hanya menyedari perbezaan harga RM25 sekaki persegi (skp) tidak termasuk kadar faedah pada Januari lalu ketika pegawai penyiasat (IO) yang menjalankan siasatan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik menunjukkan beberapa dokumen kepadanya.

Jika perbezaan tersebut disedari lebih awal, kata Phang, nescaya beliau akan mengarahkan supaya perkara itu dirujuk semula kepada kementerian tersebut dan kerajaan.

Katanya, RM25 skp dalam surat daripada bekas Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Datuk Sahari Mahadi kepada Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bertarikh 29 September 2000 adalah melibatkan pengeluaran bon.

Ia tidak konsisten berbanding dengan surat bertarikh 2 Oktober 2000 oleh bekas Ketua Setiausaha Bahagian Maritim di Kementerian Pengangkutan, P. Chandrasekaran.

Menurutnya, beliau juga tidak mengemukakan perkara tersebut kepada Jemaah Lembaga LPK sebaliknya hanya memberikan tumpuan kepada perkembangannya semata-mata.

Phang, 65, juga bersetuju, terdapatnya dua terma yang berbeza oleh JPPH.

Beliau berpendapat, penjelasan yang dibuat oleh Sahari dalam suratnya kepada kementerian tersebut bertarikh 29 September 2000 adalah berbeza dengan surat Chandra Sekaran bertarikh 2 Oktober tahun yang sama.

Saksi pendakwa ke-14 itu bersetuju bahawa surat Chandra Sekaran telah tersilap.

Beliau juga disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengenai surat bertarikh 27 Disember 2001 daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Seri Tiong King Sing kepada beliau mengenai mesyuarat sehari sebelum itu.

Ia berkenaan minit mesyuarat 12 Disember tahun yang sama berkaitan arahan Jemaah LPK agar Phang berbincang dengan KDSB berhubung pembelian tanah pada 26 Disember 2001.

Tun Abdul Majid sehubungan itu bertanya kepada Phang, sama ada beliau telah diarahkan oleh seseorang untuk mengeluarkan bon.

Saksi itu menjawab: ''Tidak.''

Dalam satu soalan lain, Phang yang ditanya mengenai surat bertarikh 3 April 2002 daripada Liong Sik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, saksi mengesahkan ia tandatangan tertuduh.

Namun menurut Phang, beliau tidak pernah merangka sebarang surat untuk Liong Sik.

Dalam jawapan yang diberikan oleh Phang sepanjang perbicaraan hari ini, saksi itu kerap kali mengatakan tidak ingat dan 'tidak sedar'.

Liong Sik dibicarakan atas satu tuduhan utama pindaan dan dua tuduhan pilihan pindaan berhubung penipuan terhadap Kerajaan Malaysia.

Menurut pertuduhan, bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan perbuatan itu dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Perbuatan tersebut didakwa berlaku antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi itu yang masuk hari ke-20 hari ini bersambung esok.

Full content generated by Get Full RSS.

Kamaruddin dipukul kerana disukai Sosilawati

Posted:

Kamaruddin dipukul kerana disukai Sosilawati

Kamaruddin dipukul kerana disukai Sosilawati

SHAH ALAM 10 Okt. - Tindakan Datuk Sosilawati Lawiya menunjuk ke arah Kamaruddin Shamsudin semasa disoal oleh tertuduh pertama, N. Pathmanabhan siapa yang paling disukainya, menyebabkan pemandunya itu dipukul dengan kayu kriket pada kedua-dua belah kakinya pada 30 Ogos tahun lalu.

Melihat Kamaruddin dipukul, jutawan kosmetik itu yang pada mulanya enggan mengikut arahan dikatakan telah membuat panggilan kepada keluarganya dan mengatakan dia hanya akan pulang selepas tiga atau empat hari kerana ada urusan di Genting Highlands.

Pathmanabhan kemudiannya dilihat berbisik kepada tertuduh keempat, R. Kathavarayan sebelum dia memberitahu tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan bahawa peguam itu menyuruh mereka menghabiskan atau membunuh Sosilawati, Kamaruddin dan dua lagi mangsa.

Itu merupakan cadangan-cadangan yang diajukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin kepada K. Sarawanan semasa menyoal balas saksi pendakwaan ke-59 di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Bagaimanapun, kesemua cadangan itu dijawab ''Tidak setuju'' oleh Sarawanan yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang Melaka bagi kesalahan melupuskan mayat Sosilawati dan tiga lagi.

''Saya katakan kepada kamu, abang lawyer (Pathmanabhan) tanya pada kakak (Sosilawati), siapa antara tiga lelaki Melayu yang paling disukai, kakak jawab banker. Sekali lagi ditanya soalan itu kepada Sosilawati dan kali ini Sosilawati tunjuk ke arah pemandu (Kamaruddin).

''Setelah mendengar jawapan itu, kamu telah disuruh untuk memukul pemandu itu dengan kayu kriket pada kedua-dua kakinya. Kamu dan Suresh kemudiannya memukul pemandu itu,'' cadang Saiful Edris.

Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, Kamaruddin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff mencadangkan bahawa Kathavarayan dan Thilaiyalagan telah datang berjumpa Sarawanan pada pukul 4.30 petang, 29 Ogos 2010 di tempat kerjanya dan menyuruh mekanik motosikal itu datang ke 'palm house' di Ladang Gadong pada keesokan hari.

Sarawanan yang mengaku mengenali Pathmanabhan sejak dua tahun sebelum kejadian dikatakan datang ke ladang itu pada pukul 6 petang, 30 Ogos 2010 dan ternampak peguam itu berada di situ manakala Thilaiyalagan, Suresh dan Matan pula sedang menyusun kayu.

Semasa berada di tempat tersebut, Sarawanan dicadangkan bahawa dia melihat Kathavarayan menyerahkan sebilah parang kepada Thilayalagan serta lelaki itu menyediakan senjata lain seperti kayu, parang dan kayu kriket bagi menangkap, mengawal dan memukul individu-individu yang akan datang ke ladang itu pada hari itu.

Pada pukul 7.15 petang, Saiful Edris pula mencadangkan bahawa Sarawanan melihat dua buah kereta tiba dan Kathavarayan telah merangkul leher salah seorang pemandu dari belakang, Thilaiyalagan membuat perkara yang sama terhadap Ahmad Kamil manakala dia sendiri memegang kedua-dua tangan salah seorang daripada empat mangsa.

''Saya katakan kamu ada melihat Kathavarayan mengugut untuk gunakan senjata parang terhadap semua yang hadir dan menyuruh mereka mengeluarkan telefon bimbit, jam tangan dan dompet serta menyuruh membuka baju dan seluar mereka.

''Saya katakan Thilaiyalagan pula bertindak mengikat tangan keempat-empat mangsa menggunakan dawai. Kamu juga melihat Kathavarayan ada meminta Pathmanabhan menyuruh keempat-empat mereka membuat panggilan kepada keluarga masing-masing dan memberitahu akan balik selepas tiga hari sebab ada urusan kerja di Genting,'' kata beliau.

Sebagaimana cadangan lain, saksi menafikan dan hanya memberikan jawapan 'tidak setuju' dan 'tidak tahu' dalam bahasa Tamil yang diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah.

Sebaik sahaja timbalan pendakwa raya itu mencadangkan bahawa Sosilawati, Kamaruddin, Ahmad Kamil dan Noorhisham kemudiannya telah dibunuh oleh Thilaiyalagan dengan kerjasama Sarawanan, Suresh, Matan dan Pathmanabhan, peguam Manjeet Singh Dhillon bangun membantah.

Hakim Datuk Akhtar Tahir yang sebelum itu membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas Sarawanan memerintahkan kedua-dua pihak berhujah tentang skop prosiding dan bagaimana ia sepatutnya dikendalikan.

Sementara itu, seorang jurutera, K. Sree Ganashan yang turut memberi keterangan hari ini mengesahkan beliau membantu ibu saudaranya menguruskan penjualan ladang kelapa sawit di Ladang Gadong kepada Pathmanabhan pada Ogos tahun lalu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-39 bersambung esok.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved