Rabu, 5 Oktober 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jawapan ‘tiada isu’ serlah kelemahan3

Posted:

Jawapan 'tiada isu' serlah kelemahan3

Jawapan 'tiada isu' serlah kelemahan3

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 4 Okt. – Jawapan "tiada isu" seperti yang diberikan oleh Kerajaan Pas Kedah apabila dituntut memberi penjelasan mengenai tindakan menggunakan sebahagian peruntukan penyelenggaraan jalan raya bagi membayar gaji dan kos pentadbiran negeri disifatkan sebagai menyerlahkan lagi kelemahan parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kepimpinan Pas Kedah hanya mahu menutup kelemahan pentadbirannya apabila menuduh UMNO sengaja membangkitkan isu wang peruntukan berkenaan.

Kata beliau, isu berkenaan adalah jelas iaitu ke mana perginya lebihan peruntukan itu dan mengapa tidak digunakan untuk menyelenggara jalan sedangkan ramai penduduk merungut dengan keadaan jalan raya yang rosak serta sempit pada masa ini.

"Saya tidak faham mengapa Exco yang terlibat mengatakan perkara berkenaan bukan isu. Ia merupakan satu perkara yang sangat penting kerana melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini yang mahu tindakan diambil bagi membaiki jalan rosak," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi semalam yang menganggap tindakan menggunakan sebahagian peruntukan penyelenggaraan jalan raya bagi membayar gaji dan kos pentadbiran negeri sebagai 'tiada isu'.

Exco kanan itu dilaporkan berkata, isu berkenaan tidak berbangkit kerana kaedah kerajaan negeri membelanjakan peruntukan tersebut adalah sama dengan dilakukan semasa Barisan Nasional (BN) mentadbir Kedah dan mendakwa UMNO sengaja memainkan isu tersebut.

Isu penyelenggaraan jalan raya di negeri ini menjadi perhatian apabila ia dibangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini setelah kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM50 juta sahaja daripada RM150 juta peruntukan Kerajaan Persekutuan tersebut.

Ahmad Bashah berkata, jawapan tersebut sekali gus menyerlahkan sikap kepimpinan Pas Kedah yang hanya pandai mencari alasan apabila dituntut rakyat memberi penjelasan mengenai corak pentadbiran negeri oleh parti berkenaan.

"Pas Kedah jangan hanya pandai mencipta alasan tetapi tidak melaksanakan tugas sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kepada seluruh rakyat.

"UMNO membangkitkan perkara itu kerana ia melibatkan kepentingan umum, kepentingan seluruh rakyat dan pengguna jalan raya," ujar beliau.

Tegasnya, UMNO Kedah tetap mahukan penjelasan dan mendesak kerajaan negeri memperincikan perbelanjaan wang yang tidak digunakan untuk memperbaiki jalan berkenaan.

"Kita mahu jumlah hampir RM100 juta wang berkenaan yang masih berbaki disalurkan segera bagi memperbaiki kerosakan jalan di seluruh negeri," katanya.

Tiga calon duduki PMR di Hospital Kulim

Posted:

Tiga calon duduki PMR di Hospital Kulim

Tiga calon duduki PMR di Hospital Kulim


ABU Bakar Md. Ali (dua dari kiri) melawat Muhammad Azizi Daud (kiri) dan Muhamad Shahmizi Abdul Halim menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Hospital Kulim, Kedah semalam. Turut kelihatan ialah guru pengawas, Rohani Khalid.


KULIM 4 Okt. - Biarpun mengalami kecederaan dan terlantar akibat kemalangan, namun ia tidak mematahkan semangat tiga calon untuk menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Hospital Kulim di sini hari ini.

Tiga pelajar berkenaan ialah R. Tineskumar, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kob; Mohamad Azizi Daud, 15, (SMK Datuk Lela Pahlawan) dan Muhamad Shahmizi Abdul Halim, 15, (SMK Labu Besar).

Mereka merupakan antara 39,143 pelajar dari negeri ini yang menduduki ujian bagi kertas Bahasa Melayu 1 dan 2 hari ini.

Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu, Abu Bakar Md. Ali berkata, calon terbabit ditempatkan dalam sebuah bilik khas di Wad 4 Hospital Kulim dengan pengawasan seorang guru wanita, Rohani Khalid.

"Kecederaan yang dialami mereka adalah patah kaki dan tidak terlalu serius. Keadaan ini membolehkan tiga pelajar terbabit mengambil peperiksaan di hospital ini," katanya ketika melawat pelajar berkenaan di sini.

Abu Bakar berkata, tujuh calon kurang upaya turut menduduki peperiksaan itu di SMK Padang Serai, dekat sini.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Hospital Kulim terutama Timbalan Pengarahnya, Dr. Azrinah Azuar yang menyediakan tempat selesa bagi tiga pelajar terbabit mengambil peperiksaan PMR," katanya.

Sementara itu, Muhamad Shahmizi yang ditemui pemberita selepas peperiksaan itu berkata, ia adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.

"Saya akan cuba sebaik mungkin dan berharap memperoleh keputusan baik kelak," katanya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya hujung bulan lalu.

76.4% siswazah UUM dapat kerja dalam tempoh 6 bulan

Posted:

76.4% siswazah UUM dapat kerja dalam tempoh 6 bulan

76.4% siswazah UUM dapat kerja dalam tempoh 6 bulan


Sebahagian daripada graduan Universiti Utara Malaysia berjaya mendapat ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen ke- 24 universiti tersebut di Sintok, Sabtu lalu.


KUBANG PASU 4 Okt. - Sebanyak 76.4 peratus atau 5,686 daripada 7,447 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terlibat dalam analisis pengesanan graduan didapati berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Analisis itu dilakukan sempena majlis konvokesyen ke-24 UUM yang bermula Sabtu lalu, melibatkan seramai 8,556 graduan menerima ijazah masing-masing.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, peratusan itu mengatasi sasaran nasional sebanyak 70 peratus.

Katanya, UUM amat berbangga dengan pencapaian diperlihatkan oleh produk universiti itu yang diterima baik di pasaran kerja.

"Ternyata graduan lulusan UUM telah diterima baik di pasaran kerja. Ia merupakan testimoni kepada kebolehpasaran graduan universiti ini walaupun umum mengetahui keadaan pasaran kerja kini sangat kompetitif," katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen tersebut.

Menurut beliau, analisis pengesanan graduan menunjukkan program Sarjana Muda Matematik Perniagaan Dengan Kepujian memperoleh kebolehpasaran paling tinggi iaitu 85.7 peratus telah mendapat kerja dan 7.1 peratus sedang melanjutkan pelajaran.

Kata beliau, program Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa Dengan Kepujian berada di tempat kedua dengan 81.5 peratus mendapat pekerjaan, 2.9 peratus melanjutkan pengajian dan 1.3 peratus sedang menunggu penempatan.

"Tempat ketiga dalam senarai pula adalah Program Sarjana Muda pengurusan Risiko dan Insurans Dengan Kepujian yang mana 79.5 peratus mendapat pekerjaan dan 2.3 peratus lagi sedang melanjutkan pelajaran," ujar beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved