Rabu, 5 Oktober 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Phang mahu bertanggungjawab

Posted:

Phang mahu bertanggungjawab

Phang mahu bertanggungjawab

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my


DR. LING Liong Sik (kanan) ketika berada di luar kamar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 5 Okt. – Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang didakwa akan bertanggungjawab dengan pembayaran pendahuluan sebanyak RM21.7 juta berhubung pembelian tanah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah meskipun tiada surat kelulusan daripada Kabinet.

Itu antara intipati keterangan bekas Pengurus Kewangan LPK, Rohasnah Othman, 55, selaku saksi pendakwaan ke-10 pada perbicaraan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang masuk hari ke-17 hari ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Rohasnah yang telah bersara berkata, nota mengenai ketiadaan surat kelulusan Kabinet berhubung pembayaran itu ditulis oleh beliau pada 7 November 2002, iaitu sehari selepas berjumpa dengan Phang.

Menceritakan kembali perkara itu, Rohasnah berkata, pada 6 November 2002, beliau diarahkan secara lisan oleh Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran LPK, Paul Seo Tet Chong supaya membuat bayaran sebanyak dua peratus iaitu RM21,769,100 sebagai pendahuluan daripada keseluruhan harga tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB).

Bagaimanapun kata Rohasnah, beliau telah memaklumkan kepada Tet Chong bahawa pembayaran tidak boleh dibuat kerana ketika itu pihaknya tidak mempunyai sebarang dokumen.

Atas alasan tersebut dan disebabkan Tet Chong mengatakan ia arahan daripada Phang, Rohasnah berkata, beliau telah pergi ke bilik Pengurus Besar berkenaan untuk memberitahu kedudukan sebenar.

Tambahan pula ketika itu, menurut Rohasnah, wang LPK dalam bentuk simpanan tetap dan jika pembayaran hendak dibuat, beliau perlu mengeluarkannya terlebih dahulu.

''Tetapi Phang beritahu, beliau akan bertanggungjawab atas pembayaran ini. Jadi saya telah mengarahkan kerani akaun untuk menghubungi bank-bank yang terlibat bagi pengeluaran FD dan memindahkan dana LPK di Malayan Banking Bhd. (Maybank) untuk membuat cek pada hari yang sama (7 November 2002),'' kata Rohasnah.

Baki lapan peratus lagi, jelas beliau, dilunaskan pada 17 Disember 2002 membabitkan RM65,576,500 dan pada 28 Januari 2003 sebanyak RM21.5 juta.

Berbalik semula kepada persoalan tentang nota yang dibuat oleh Rohasnah untuk makluman Paul, kata saksi, ia menyentuh tentang empat perkara.

Pertamanya kata saksi, beliau membangkitkan masalah ketiadaan perjanjian dan keduanya, tiada kelulusan Jemaah Lembaga LPK.

Seterusnya saksi menyentuh tentang tiada surat kelulusan daripada Kabinet dan pentadbiran LPK selain perlu mendapatkan kelulusan Lembaga bagi pengeluaran FD yang belum matang.

Dalam nota itu juga, Rohasnah mengatakan, prosedur tersebut tidak mencukupi dan telah dimaklumkan kepada Phang tetapi beliau (Phang) bersedia memikul tanggungjawab.

Disoal lebih lanjut oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam pemeriksaan utama mengenai kerugian yang dimaksudkan itu adakah ia sudah dimaklumkan kepada Jemaah Lembaga.

Saksi menjelaskan, beliau telah memberitahu bahawa LPK kerugian RM43,000 dari segi faedah kerana pengeluaran FD sebelum tempoh matang.

Menjawab satu soalan lain, Rohasnah berkata, dalam kebanyakan kes walaupun tiada perjanjian lagi tetapi sekurang-kurangnya beliau memerlukan minit kelulusan daripada Jemaah Lembaga sebagai hitam putih untuk mengesahkan perkara itu.

Ini kerana, pembayaran tersebut membabitkan jumlah yang besar iaitu LPK perlu membayar RM108.8 juta sebagai bayaran pendahuluan atau deposit, ujar Rohasnah yang mengakui tindakan seumpama itu pertama kali dan terakhir dilakukan oleh beliau sepanjang perkhidmatannya di LPK.

Liong Sik dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi atas satu tuduhan utama pindaan dan dua tuduhan pilihan pindaan berhubung penipuan terhadap Kerajaan Malaysia.

Menurut pertuduhan, bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Perbuatan tersebut didakwa berlaku antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Perbicaraan bersambung esok.

Rayuan ditolak, 4 perenggan bertulis dipadam

Posted:

Rayuan ditolak, 4 perenggan bertulis dipadam

Rayuan ditolak, 4 perenggan bertulis dipadam

PUTRAJAYA 5 Okt. - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung permohonan kali ketiganya agar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menarik diri daripada terus mendengar prosiding kes liwat yang dihadapi Anwar.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara memutuskan demikian selepas berpendapat, Mahkamah Rayuan tiada bidang kuasa mendengar rayuan terhadap perintah yang dibuat dalam perbicaraan yang sedang berlangsung.

Sehubungan itu, mahkamah menolak permohonan peguam Karpal Singh agar panel itu meneliti semula satu penghakiman Mahkamah Persekutuan lain yang telah menjelaskan tafsiran 'keputusan' berdasarkan pindaan terhadap Seksyen 3 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (COJA).

Bagaimanapun, Hakim Zulkefli yang bersidang bersama Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong membenarkan permohonan Anwar agar empat perenggan dalam penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan itu dipadam daripada rekod rayuan.

Panel itu membenarkan perenggan 6, 15, 18 dan 75 dalam penghakiman yang ditulis oleh Hakim Datuk Abdul Malik Ishak dipadamkan selepas berpuas hati perenggan-perenggan berkenaan bersifat menyinggung dan merendah-rendahkan Anwar.

Penghakiman itu ditulis ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Julai lalu menolak rayuan Ketua Pembangkang tersebut agar Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada terus mendengar prosiding kes liwat Anwar.

Mahkamah Rayuan ketika itu membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan selepas berpendapat, perintah hakim bicara itu tidak boleh dirayu kerana ia bukan satu keputusan yang kesannya tidak melupuskan hak mana-mana pihak.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan berhujah, Mahkamah Rayuan betul ketika memutuskan ia tiada bidang kuasa mendengar rayuan Anwar atas alasan perintah hakim bicara itu bukan keputusan muktamad.

Pendakwa raya menghujahkan, keputusan yang boleh dirayu menurut tafsiran kepada pindaan Seksyen 3 COJA bermaksud keputusan, hukuman atau perintah tetapi ia tidak termasuk perintah yang dibuat dalam satu perbicaraan yang sedang berlangsung.

Hujah Nordin, tindakan Parlimen meminda seksyen itu bertujuan mempercepatkan perbicaraan bagi mengelakkan keputusan demi keputusan yang dibuat dalam perbicaraan yang sedang berlangsung, dirayu.

Karpal pula berhujah agar bantahan awal tersebut ditolak kerana perintah Mahkamah Tinggi itu muktamad dan boleh dirayu kerana ia memberi kesan langsung terhadap Anwar.

Berhubung permohonan agar beberapa perenggan dalam penghakiman Hakim Abdul Malik dipadam daripada rekod rayuan, beliau menghujahkan, perenggan-perenggan berkenaan mengandungi komen menyinggung bertujuan merendah-rendahkan kredibiliti anak guamnya.

Hujah Karpal, komen tersebut yang disifatkan oleh beliau sebagai sindiran yang tajam dengan ayat yang keras malah turut memperkecil-kecilkan barisan peguam bela yang mewakilinya sedangkan mereka tiada peluang untuk menjawabnya.

Bagaimanapun, Nordin menghujahkan, Hakim Abdul Malik mempunyai asas untuk mengutarakan komen berkenaan berdasarkan tindakan terus-menerus Anwar memohon hakim bicara menarik diri serta permohonan demi permohonan lain yang difailkan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Pada 6 Jun lalu, Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan ketiga Anwar agar beliau menarik diri sebagai hakim setelah mendapati alasan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bahawa beliau membuat pra-penghakiman dan berat sebelah dalam keputusannya di akhir kes pendakwaan, tidak mempunyai merit.

Anwar, 64, sedang membela diri atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved