Rabu, 12 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


PRU13 semakin dekat tetapi bila?

Posted:

PRU13 semakin dekat tetapi bila?

PRU13 semakin dekat tetapi bila?

Oleh AZNAN BAKAR
aznan.bakar@utusan.com.my

"PILIHAN Raya Umum Ke-13 hanya tinggal dua tiga hari lagi." Itu ungkapan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Maslan ketika berucap pada majlis Penerangan Perdana Barisan Nasional Wilayah Persekutuan Ahad lalu.

Tetapi Ahmad tidak bermaksud Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 benar-benar akan diadakan esok lusa. Apa yang dimaksudkan, ia boleh berlangsung pada bila-bila masa. Yang memerlukan semua pihak terlibat sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

Secara perbandingannya pun, PRU13 memang makin dekat. Jika dibanding dengan tahun lalu, tahun ini tentu lebih dekat. Bulan ini pula pasti semakin dekat ke tarikh PRU13 berbanding bulan lepas.

Semakin hari, mandat yang diberikan kepada BN pada pilihan raya umum 2008 semakin mendekati tarikh akhir iaitu Mac 2013. Berdasarkan peruntukan undang-undang, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas mandat itu tamat.

Mengambil congakan mudah, kerajaan BN sekarang ada masa hingga Mei 2013 sebelum mengadakan PRU13. Tetapi dalam sejarah pilihan raya umum negara, kerajaan tidak pernah tunggu sampai tarikh akhir untuk membubarkan Parlimen.

Selalunya pada penghujung tahun keempat dan awal tahun kelima Parlimen dibubarkan untuk membolehkan rakyat memberi mandat baru kepada kerajaan.

Jadi bila tarikh PRU13? Mulai Mac tahun depan, mandat yang diberikan kepada kerajaan sekarang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu bakal memasuki tahun kelima.

Sebab itu, pelbagai pihak kini mula sibuk meramal dan mencongak. Tetapi tidak siapa mengetahui tarikh sebenar. Ramai orang boleh membuat ramalan dan congakan. Hanya Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak sahaja memiliki ilham bila Parlimen akan dibubarkan.

Tetapi ramai pemerhati dan penganalisis sama ada yang bertauliah atau tidak, meramalkan pemimpin BN tidak akan tunggu hingga tempoh maksimum.

Najib tentunya tidak akan genap lima tahun sebelum menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

Persoalannya sekarang, apabila dikatakan PRU13 itu semakin dekat ialah bila?

Berapa dekat yang dikatakan semakin dekat itu? Adakah pada tahun ini? Awal tahun depan? Pertengahan tahun depan? Atau akhir tahun depan?

Setakat ini ramai yang meramalkan PRU13 akan diadakan pada hujung tahun ini. Salah satu tarikh yang diberikan ialah pada November tahun ini. Lebih tepat lagi ialah 11 November.

Alasannya, 11 ialah angka kegemaran Najib. Sama seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memilih angka tiga dan 13 ketika mengumumkan PRU12 lalu.

Tarikh itu masuk akal juga. November ialah waktu cuti persekolahan yang membolehkan sekolah-sekolah digunakan sebagai pusat mengundi. Tetapi tarikh 11 November tidak mungkin kerana ia jatuh pada hari Jumaat.

Beberapa pemerhati pula berkata, November atau Disember terlalu suntuk untuk Perdana Menteri membubarkan kerajaan.

Ini termasuk masih terdapat beberapa negeri yang beliau belum lawati yang mana ia merupakan prasyarat sebelum kerajaan dibubarkan.

Untuk melengkapkan lawatan ke seluruh negara itu, ia sekurang-kurangnya memerlukan masa hingga hujung tahun, iaitu hujung Disember.

Tetapi adakah cukup dengan satu pusingan lawatan sahaja sebelum kerajaan dibubarkan? Bagaimana dengan negeri-negeri yang kritikal? Tentunya ia memerlukan sekurang-kurangnya sekali lagi kehadiran Perdana Menteri.

Selain itu, belanjawan yang dianggap sebagai terbaik yang dibentangkan baru-baru ini juga memerlukan sedikit masa untuk diluluskan.

Tidak mungkin pilihan raya diadakan sebelum apa yang dibentangkan itu diluluskan oleh Parlimen dan manfaatnya diterima oleh rakyat.

Parlimen yang sedang bersidang sekarang pula hanya akan selesai pada Disember ini. Jika faktor itu diambil kira, November sudah boleh dikira terkeluar daripada senarai untuk diadakan pilihan raya.

Jangan pula lupa musim haji yang baru saja bermula. Ini juga perlu diberi pertimbangan dalam mengadakan pilihan raya kerana sejumlah pengundi kini berada di Tanah Suci.

Kumpulan jemaah terakhir hanya akan kembali ke tanah air pada Januari tahun depan.

Adakah mungkin pilihan raya umum diadakan ketika sebahagian daripada rakyat negara ini sedang memberi tumpuan menunaikan Rukun Islam kelima?

Bagaimana pula dengan dua akta baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akan dimansuhkan?

Jika, dua akta itu mahu direalisasikan sebelum PRU13, sudah tentu akan mengambil sedikit masa.

Tentunya, ramai dari kalangan pengundi mahu melihat akta baru tersebut sebelum mereka memilih kerajaan baru. Jika itu yang dihasratkan, sudah tentu ia tidak mampu direalisasikan pada tahun ini.

Pendek kata, untuk mengadakan PRU13 pada penghujung tahun ini, masanya terlalu suntuk.

Bukan sahaja suntuk daripada segi penyusunan jentera oleh BN, tetapi juga dalam melaksanakan segala perancangan yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

Berdasarkan congakan mudah itu, ada yang pendapat paling cepat PRU13 diadakan ialah pada Mac 2012.

Cuti penggal persekolahan pada pertengahan Mac dilihat masa yang sesuai untuk rakyat keluar memilih kerajaan baru. Itu pun, ada pemimpin BN merasakan Mac bukan masa yang sesuai kerana ia masih terlalu dekat. Banyak lagi persediaan perlu dibuat sebelum mereka berhadapan dengan pilihan raya.

Mengenal pasti calon, menyelesaikan masalah dalaman parti-parti komponen dan menggerakkan jentera akar umbi merupakan antara isu yang masih membelenggu BN ketika ini.

Setelah hujah ini diambil kira, maka timbul satu lagi tarikh yang kemungkinan PRU13 akan diadakan iaitu pada penghujung Mei atau awal Jun tahun depan.

Masa itu merupakan cuti persekolahan yang panjang yang akan memudahkan sekolah-sekolah dijadikan pusat mengundi.

Apa pun, seperti yang diperkatakan oleh banyak pihak, PRU13 dianggap yang paling mencabar kepada BN ekoran situasi politik dan ekonomi yang mencabar.

Tamparan hebat pada PRU12 yang menyebabkan BN hilang kelebihan dua pertiga di Parlimen pastinya terasa hingga ke hari ini.

Najib tentunya mahukan mandat yang besar bagi membolehkannya melakukan transformasi seperti yang dirancang. Di bahunya kini terpikul tugas yang cukup berat untuk memastikan BN terus diyakini rakyat dalam memimpin negara.

Begitu juga di pihak Pas, DAP dan PKR. Penguasaan mereka di empat negeri sekarang ini tentunya mahu dipertahankan.

Masa yang panjang hingga sekurang-kurangnya tahun depan sebelum PRU13 diadakan tentunya akan memberi kelegaan.

Yang pasti, tidak ada siapa yang dapat meramalkan dengan tepat bila PRU13 akan diadakan. Ia sentiasa penuh dengan kejutan.

Seperti kata Najib pada majlis penerangan itu, PRU13 boleh berlaku pada bila-bila masa mulai sekarang.

Full content generated by Get Full RSS.

Membina kepercayaan kepada BN

Posted:

Membina kepercayaan kepada BN

Membina kepercayaan kepada BN

PROF. MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia

Sewaktu merasmikan Perhimpunan Agung MCA baru-baru ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa kemenangan BN banyak bergantung kepada sejauh manakah kemampuan jentera parti untuk membina kepercayaan dalam kalangan bukan sahaja penyokong tegar tetapi juga pengundi atas pagar dan keseluruhan rakyat umumnya.

Usaha berterusan dilakukan oleh beliau untuk melahirkan kepercayaan semula ke atas parti yang berhadapan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan pasca Mac 2008. Keputusan Mac 2008 memberi isyarat bahawa kelemahan bukan kerana lawan kuat.

Kepercayaan kepada parti BN terhakis kerana wujud pelbagai kekecewaan, perasaan marah, rungutan, spekulasi, tohmahan dan nilai kepimpinan yang dipersoalkan ketika itu. Maklumat dimanipulasi dan mempengaruhi persepsi pengundi menyebabkan BN tersungkur dalam permainan politik angka yang bukan disusun oleh pemainnya tetapi oleh penyokong yang memerhatikan permainan politik dua parti gabungan besar ketika itu.

Proses membina semula kepercayaan bermula pada April 2009 apabila Najib mengambil alih kepimpinan dan memahami segalanya bermula dengan 'kepimpinan'. Beliau mahu diteladani dan diiktiraf sebagai bukan sahaja Presiden UMNO atau Pengerusi BN tetapi lebih daripada itu, Perdana Menteri untuk keseluruhan warga Malaysia. Pelbagai pendekatan digunakan untuk mendekati setiap kelompok masyarakat dan kumpulan sasar berbeza dengan gaya tersendiri.

Setiap yang diperkenalkan ada tempoh masa yang ditetapkan untuk mempertontonkan hasil akhir supaya umum melihat ia bukan sekadar bersifat retorik tetapi ada dokumentasi bukti yang menunjukkan apa sahaja yang dilancar dan dipersetujui sebagai 'Doktrin Najib,' ia akan dilaksanakan. Kesemuanya juga bersifat luaran kerana boleh diukur secara saintifik dan bersifat empirikal.

Yang sama penting dengan pencapaian luaran adalah kemampuan untuk memperbaiki sistem integrasi dalaman yang mempunyai hubungan dengan nilai psikologi kemanusiaan. Ia diperincikan ketika Najib bertemu dengan para penyokong parti BN Wilayah Persekutuan minggu lalu.

Ramai yang kecewa dalam pilihan raya lalu kerana keangkuhan sebilangan pemimpin yang mahu arahan dituruti dan enggan akur kepada kuasa 'pemimpin akar umbi' yang lebih berinformasi serta tahu dan peka ke atas landskap politik lokal. Sabotaj bermaharajalela dengan dikuasai oleh perasaan dendam, ancaman dan merajuk kerana merasakan dirinya dipermainkan oleh kuasa politik atasan. Jurang pemimpin dan penyokong jelas ketara.

Begitu juga dengan pemilihan calon kerana Najib sedar ia adalah petunjuk kepada rakyat bahawa BN sudah bangkit semula. Kini, acapkali Najib menyatakan bahawa biar keputusan dibuat oleh barisan kepimpinan tertinggi kerana masing-masing sudah mengakui diri mereka sebagai calon yang pasti menang.

Najib bersedia mengambil risiko dan bertanggungjawab jika calon yang dipilih dan dirasakan sesuai oleh pasukannya tewas. Hatta, sudah pasti yang dipilih oleh beliau adalah yang terbaik bukan sahaja dirasakan boleh menang tetapi akan memenangkan parti.

Calon yang berkemampuan memenangkan parti bermakna mesti diterima oleh jentera parti dan bersedia 'menggempur' dalam misi hidup atau mati. Calon ini 'dipercayai' oleh pengundi sebagai wakil kepada bukan sahaja penyokong parti tetapi juga masyarakat umum secara amnya.

Membina kepercayaan bergantung kepada pemilihan calon yang tepat barang sesiapa sekali pun tanpa mengira latar belakangnya, calon itu adalah yang terbaik dalam perjuangan politik angka. Misalnya, pemimpin lama yang terlalu lama berjawatan dalam kerajaan biarpun parti, sudah boleh memberi laluan dengan sukarela kepada calon lain.

Perincian membina kepercayaan juga bergantung kepada amalan atau praktis parti kerana kelemahan perlu diminimumkan dan ditonjolkan kekuatan terutama dari aspek kesepaduan dan tindakan kolektif. Kepimpinan atasan BN perlu memapar imej 'perpaduan' dan menjamin nilai 'satu' dalam melentur keselarasan parti-parti komponen.

Jika itu dapat dilakukan dengan pengukuhan nilai 'kepunyaan', maka penyokong pelbagai pemimpin dan parti komponen dengan sendirinya akan akur kepentingan nilai tersebut untuk memulihkan semula imej parti BN dan memperkasakan parti seiring dengan usaha menjamin wujudnya kepercayaan.

Membina kepercayaan barangkali dapat dilakukan tetapi lebih daripada itu adalah untuk memelihara atau mempertahankan kepercayaan. Ia bergantung kepada keupayaan barisan kepimpinan memobilisasi sokongan bertunjakkan kepada nilai kepimpinan Najib dan menggunakannya sebagai nilai tambah kepada parti.

Komunikasi langsung beliau dengan rakyat dan bagaimana siri perjumpaan berterusan baik masyarakat bandar mahupun luar bandar memberi refleksi ke atas kesungguhan beliau untuk membina dan memelihara kepercayaan ke atas parti.

Jika Malaysia mengamalkan pilihan raya memilih Presiden dan Najib bertanding, beliau akan menang dengan pendekatan dan gaya kepimpinannya. Pemasaran politik dan mereka cipta agenda imej beliau sudah memberi impak kepada pentadbiran beliau tetapi sama ada ia akan diterjemah sebagai sokongan kepada parti masih samar-samar kerana 'mood pilihan raya' hanya kelihatan ketika beliau membuat lawatan atau gerak kerja ke kawasan terpilih.

Momentum tersebut sudah masuk fasa kedua dan boleh dimanfaat oleh kesemua 222 kawasan Parlimen jika dirungkai strategi yang bersesuaian sebelum mencapai kemuncak atau fasa ketiga selepas melepasi fasa pertama yang lebih bersifat melahirkan kesedaran, kefahaman dan penerapan aktiviti dan program yang menunjukkan BN sudah berubah di bawah Najib.

Perlu dizahirkan sesuatu yang ada 'umphh' atau melahirkan perasaan 'wow' dalam kalangan pengundi setempat. Tidak perlu diterangkan Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Pelan Transformasi Ekonomi (PTE), Konsep 1 Malaysia atau Rancangan Malaysia Ke-10 mahupun belanjawan 2012 kerana kesemuanya hanya akan difahami bila dihubung kait dengan pencapaian atau hasil dapatan akhir yang menjadi tapak pembinaan keyakinan dan kepercayaan tanpa dilihat bersifat retorik ataupun kosmetik tetapi rangkuman 'janji di kota'.

Disember 2011 atau selepas Mac 2012

Malahan, pilihan raya boleh diadakan sama ada pada Disember 2011 atau selepas Mac 2012. Mengapa Disember 2011 adalah untuk menunjukkan bahawa kesemua hasil akhir termasuk pelaksanaan 'belanjawan rakyat' dapat dilakukan jika diberikan mandat besar melalui cabang pilihan raya.

Mungkinkah Perhimpunan Agung UMNO akhir November dan awal Disember menjadi amanat terakhir Presiden parti untuk memastikan parti benar-benar bersedia untuk bertarung dalam visi 'mempertahankan Putrajaya'?

Tetapi, jika ada yang merasakan memerlukan masa tambahan, maka seeloknya selepas Mac 2012 untuk menunjukkan bahawa Najib komited ke atas reformasi dan pembaharuan termasuk pindaan ISA dengan memperolehi persetujuan di Parlimen dan pada waktu yang sama, memberi petunjuk bagaimana segala yang terkandung dalam Bajet 2012 dilaksanakan dengan baik mulai awal tahun 2012 yang akan membina kepercayaan umum yang mengharapkan kestabilan dan keadaan yang lebih menentu ketika global berhadapan dengan krisis ekonomi yang melarat (jika ramalan benar).

Mengadakan PRU hampir kepada lima tahun tempoh masa matang bukan baru kerana selepas melalui keadaan politik yang tidak menentu di PRU Ke-8 pada 21 Oktober 1990, PRU Ke-9 diadakan pada 25 April 1995 dan BN menang besar.

Apakah Najib mampu lakukannya kerana sudah pasti beliau mahukan mandat keputusan yang jauh lebih baik daripada tahun 2008 serta kembali kepada majoriti dua pertiga untuk menunjukkan beliau sudah keluar daripada lingkaran tsunami 2008?

Ia juga untuk mengelak desus-desus bahawa tidak ada bezanya dengan kepimpinan lalu dan ini merupakan antara cabaran besar beliau dan pasukannya. Apakah pasukan Najib sedar pentingnya PRU Ke-13 kerana ia soal 'kepercayaan' kepada mereka?

Membina, memelihara dan mempertahankan kepercayaan bukan bergantung kepada Presiden parti semata-mata. Masing-masing, baik pemimpin atasan, akar umbi mahupun penyokong ada peranannya jika ikhlas, jujur dan berpegang kepada amanah.

Kedudukan dan pangkat bukan satu anugerah untuk persaingan tetapi adalah tanggungjawab yang andainya dipikul dengan penuh kesyukuran dan rendah diri, maka kepercayaan akan datang dengan sendirinya. Jika tidak merasakan mempunyai integriti, akhlak untuk berjuang kepada rakyat, maka seelok-eloknya beri peluang kepada mereka yang berani mengharungi cabaran PRU Ke-13 demi memenangkan parti.

Ini kerana PRU Ke-13 bukan sebagaimana mana-mana PRU yang lain tetapi ia juga menguji 'kepercayaan' kepada dasar kepartian dalam negara ini supaya rakyat kembali yakin kepada sistem politik tanah air.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved