Rabu, 12 Oktober 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Simpang Equine-MEX dibina

Posted:

Simpang Equine-MEX dibina

Simpang Equine-MEX dibina

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


PROJEK pembinaan persimpangan bertingkat di Seri Kembangan, Serdang akan menghubungkan terus Taman Equine dan Seri Kembangan dengan pembukaan susur masuk dan keluar di kawasan itu. – UTUSAN/Abdul Nazir Mohamed


SERDANG 12 Okt. – Penantian lebih 250,000 penduduk di sekitar Taman Equine dan Seri Kembangan di sini untuk dihubungkan terus dengan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) yang melalui kawasan itu akhirnya bakal menjadi kenyataan.

Ini berikutan langkah kerajaan meluluskan cadangan pembinaan persimpangan bertingkat ke lebuh raya itu dalam mesyuarat Majlis Ekonomi (EC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Datuk Mohamad Satim Diman berkata, pelaksanaan projek itu juga dijangka mampu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan sejak sekian lama.

Menurutnya, kesesakan terpaksa dilalui penduduk terutama pada waktu puncak sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini berikutan pembangunan pesat di kawasan itu.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan pembinaan persimpangan bertingkat ini bagi kemudahan penduduk di sini yang sudah sekian lama diperjuangkan.

"Ini sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir, Penyelaras Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon dan Pegawai Penyelaras Kawasan DUN Kinrara, Datuk Wong Hock Aun.

Sementara itu, Pian Hon berkata, dianggarkan kira-kira 10,000 pengguna yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran menggunakan laluan sedia ada di kawasan itu setiap hari.

Katanya, apabila siapnya laluan itu kelak, mereka yang datang dari Seri Kembangan tidak lagi perlu mengharungi kesesakan sehingga satu jam untuk ke Kuala Lumpur, sebaliknya perlu mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja.

"Dalam surat yang dihantar Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bertarikh 16 Jun lalu, pihak LLM ketika ini sedang dalam proses akhir kajian terperinci bagi pelaksanaan persimpangan itu.

"Ia melibatkan kaedah untuk penyediaan pelan dan proses pengambilan balik tanah, penyediaan ringkasan reka bentuk dan reka bentuk terperinci berasaskan prosedur yang ditetapkan pihak kerajaan," ujarnya.

Beliau berkata, apa yang diharapkan proses itu dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dilaksanakan pada tahun depan.

Katanya, anggaran kos serta tempoh projek itu dijangka disiapkan akan diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kerja Raya semasa lawatan ke lokasi dalam tempoh terdekat.

Full content generated by Get Full RSS.

Majukan Kg. Baru jika dipersetujui

Posted:

Majukan Kg. Baru jika dipersetujui

Majukan Kg. Baru jika dipersetujui

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (belakang, empat dari kanan) bersama kanak-kanak Tabika Kemas yang menerima sijil pada Majlis Konvokesyen Mini Kanak-kanak Tabika Kemas Parlimen Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam. – utusan/Hafiz Johari


KUALA LUMPUR 12 Okt. – Kerajaan hanya akan memajukan Kampung Baru sekiranya mendapat persetujuan pemilik dan pewaris tanah dan tidak akan memaksa mereka jika sudah berpuas hati dan selesa dengan keadaan sedia ada.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, ini adalah sejajar dengan tujuan kerajaan yang ikhlas untuk memajukan tanah dan ekonomi orang Melayu khususnya pemilik dan pewaris Kampung Baru.

Katanya, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu hanya bertindak sebagai pemudah cara, penyelaras dan perancang tetapi tidak sesekali berniat untuk mengambil alih tanah itu seperti yang diuar-uarkan oleh sesetengah pihak.

"Kalau pemilik dan pewaris tanah tidak bersetuju kita akan berhenti tetapi di kawasan yang boleh dimajukan dan mendapat persetujuan, ia akan dimajukan dan turut dimajukan juga tanah milik kerajaan yang terdapat kira-kira 100 ekar.

"Jadi, ia tidak seperti yang diuar-uarkan oleh pembangkang yang menyatakan kita merampas tanah itu untuk menjadi pemaju atau menjual pada pemaju lain untuk mendapat untung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis mini konvokesyen kanak-kanak Tabika Kemas di kawasan Lembah Pantai di sini hari ini.

Minggu lalu, Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 telah dibentangkan serta diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat.

Raja Nong Chik berkata, pemilik dan pewaris tanah yang ingin memajukan kawasan mereka sendiri akan diberi galakan dan kemudahan lain oleh kementerian.

Sementara itu, mengenai tindakan pembangkang yang ingin mengemukakan bantahan terhadap rang undang-undang tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, beliau berkata, mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu.

"Semasa pengundian dibuat, hanya 28 daripada 77 anggota pembangkang berada dalam dewan untuk membantah rang undang-undang itu, malah pemimpin mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah pun tidak ada.

"Jika mereka benar-benar mahu membantah rang undang-undang itu, lebih ramai anggota parti pembangkang sepatutnya berada di persidangan Dewan Rakyat semasa pembentangannya," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Penduduk mohon lanjutan masa

Posted:

Penduduk mohon lanjutan masa

Penduduk mohon lanjutan masa

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Penduduk di Kampung Landasan Keretapi, Batu 3 1/2 Jalan Cheras di sini yang terlibat dalam jajaran dan pembinaan projek MyRapid Transit (MRT) memohon diberi lanjutan masa untuk mengosongkan rumah mereka.

Pengerusi Bahagian MCA Bandar Tun Razak, Chiew Lian Keng berkata, mengikut notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada 6 Oktober lalu, penduduk diberi masa sehingga 3 November untuk meninggalkan kawasan itu.

Menurutnya, tempoh yang diberikan itu dilihat terlalu singkat untuk penduduk yang terlibat membuat persiapan terutama mencari rumah lain dan mengemaskan barang-barang.

"Penduduk merayu pihak yang terlibat supaya lebih bertimbang rasa dan memikirkan kepayahan yang perlu dihadapi oleh penduduk jika tempoh sebulan itu dikuatkuasakan juga," katanya selepas melawat ke tapak Persatuan Kebajikan dan Perumahan Amitabha Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.

Lian Keng berkata, terdapat 27 buah rumah, lima buah tempat simpanan barang dan juga lima buah rumah ibadah yang bakal terlibat dalam operasi meroboh dan membersihkan kawasan tersebut.

Katanya, kebanyakan penduduk yang terlibat telah lama tinggal di kawasan itu dan mereka perlukan masa lebih panjang untuk berkemas, selain perlu menyelesaikan kerja harian mereka.

Sementara itu, pengerusi sebuah rumah ibadat di situ, Lee Yut Lan, 55, berkata, beliau memang menyokong rancangan pembangunan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan itu.

"Bagaimanapun, kami perlu diberi masa secukupnya untuk berpindah kerana tempoh sebulan tersebut sangat singkat dan menyusahkan.

"Kerajaan juga perlu mengambil kira rumah ibadat ini juga menjadi tumpuan penduduk berdekatan untuk melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved