Rabu, 12 Oktober 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Konservasi bahan seni visual

Posted:

Konservasi bahan seni visual

Konservasi bahan seni visual

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


Setiap proses konservasi yang dilakukan pada karya bermasalah akan dilakukan secara seminimum mungkin bagi mengekalkan keaslian karya tersebut.


MEMBELI dan mengumpul bahan seni visual seperti karya lukisan, cetakan, fotografi, catatan, seramik, media baru, arca dan kolaj sering dikaitkan sebagai hobi di kalangan peminat seni.

Namun, ramai yang tidak menyedari aktiviti mengumpul bahan seni itu sebenarnya satu hobi yang menguntungkan dan boleh diwariskan dari satu generasi ke satu generasi.

Apatah lagi nilai koleksi seperti ini akan terus meningkat seiring dengan peningkatan usianya terutama apabila membabitkan karya seni daripada seniman-seniman ternama.

Justeru persepsi sesetengah individu yang menganggap hobi mengumpul karya seni sebagai membazir dan tidak bermanfaat, adalah tidak relevan.

Hakikatnya, hobi mengumpul bahan seni visual tidak jauh bezanya dengan hobi mengumpul bahan lain cuma ada kalanya ia memerlukan belanja yang besar sehingga jutaan ringgit untuk mendapatkan karya agung milik seniman ternama tanah air mahupun artis dari luar negara.

Dalam pada itu, koleksi yang berharga jutaan ringgit kadang-kala umpama tidak bernilai dan langsung tidak dikenali selepas bertahun-tahun 'disembunyikan' pemiliknya yang tidak menjaga kondisi keadaan karya itu.

Tanpa disedari, koleksi lukisan atau arca yang dihasilkan oleh seniman ternama akan hilang satu persatu di telan arus kemodenan.

Tidak kurang juga yang rosak dimakan anai-anai, kulat kulapuk sehingga memaksa ia dibuang begitu saja seperti sampah tidak berharga.

Memelihara khazanah seni visual

Melihatkan kepentingan untuk memulihara karya-karya seni yang bernilai tidak kira koleksi milik syarikat-syarikat mega mahupun persendirian, Balai Seni Visual Negara (BSVN) kini menawarkan perkhidmatan pemuliharaan.

Perkhidmatan dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Seni, Pengurusan Koleksi dan Pemuliharaan, mampu membaik pulih lukisan lama menjadi seakan-akan baru selepas melalui proses-proses tertentu dalam makmal yang terletak di tingkat bawah bangunan BSVN.

Sebaik kaki melangkah masuk ke dalam makmal tersebut, sesiapa pun pasti akan rasa teruja dan kagum melihatkan pelbagai koleksi menarik tersusun kemas di setiap sudut ibarat berada dalam galeri mini yang menyimpan pelbagai barangan seni visual klasik dan moden.

Bezanya, bahan ataupun karya yang terdapat di tingkat tersebut ada di antaranya rosak, terkoyak, warna tertanggal dan tidak kurang juga yang hampir 50 peratus kehilangan rupa asal berbanding karya yang dipamerkan di galeri sebenar.

Bermula pada 1 Oktober 2008, penstrukturan BSVN atau dulu dikenali sebagai Balai Seni Lukis Negara telah mewujudkan bahagian tersebut melalui Waran Perjawatan Bil. JPA(S)253/78-5Klt.2sk2 bertarikh 28 Disember 2002.

Boleh dikatakan bahagian tersebut pada mulanya hanya tertumpu kepada aktiviti memulihara, memelihara, mendokumentasi dan mengadakan penyelidikan terhadap Koleksi Himpunan Tetap Negara sahaja.

Bagaimanapun, fungsi bahagian tersebut semakin berkembang dan mula menerima karya-karya milik persendirian yang berhadapan dengan risiko kerosakan.

Selain itu, ia turut menjalankan kerja-kerja konservasi rawatan basah dan kering, memeriksa dan mendokumentasikan koleksi dan memelihara rekod pemuliharaan.

Ia juga memberi khidmat nasihat pemuliharaan kepada institusi awam, komuniti dan individu, merancang dan menguruskan tatacara perolehan dan penggunaan bahan kimia, menyelaras program kerjasama berkaitan pemuliharaan dengan institusi berkaitan dan menjalankan kerja-kerja pembingkaian.

Menurut, Kurator Konservasi BSVN, Musrizal Mat Isa, peringkat awalnya iaitu sekitar 1990-an tenaga luar dari New Zealand dijemput ke Malaysia bagi melakukan kerja-kerja baik pulih.

Namun selepas BSVN bekerjasama dengan Pusat Pemuliharaan Bahan Budaya (CCMC) dari Melbourne, Australia dan Makmal Penyelidikan bagi Pemuliharaan Kebangsaan (NRLC), India, bidang pemuliharaan semakin berkembang kerana kedua institusi tersebut berkongsi kepakaran dan kajian terhadap cuaca tropika.

"Kebanyakan medium seni yang digunakan di negara ini dihasilkan di negara Barat, oleh itu bahan-bahan tersebut perlu dikaji sama ada ia sesuai digunakan di negara-negara lain dari segi tindak balas terhadap suhu.

"Selepas menganalisis maklumat itu, data yang diterima kembali membolehkan kami untuk mengenal pasti bahan yang sesuai digunakan di negara-negara Asia," jelasnya.

Musrizal berkata, pada tahun 2009, BSVN mula serius untuk mewujudkan sebuah pusat pemuliharaan dan sehingga tahun lepas mereka mula menerima bahan-bahan dari luar.

"Selain Koleksi Himpunan Tetap Negara, kami juga menerima bahan seni visual daripada pengumpul (kolektor) swasta dan orang persendirian yang inginkan perkhidmatan pemuliharaan.

"Malah sambutan yang diberikan amat menggalakkan dan permintaan semakin bertambah sehingga kami terpaksa mengawal permintaan tersebut kerana objektif utama kami adalah untuk menyokong kepada bahan sedia ada," katanya.

Bahan-bahan yang boleh dipulihara dan dibaik pulih di makmal tersebut ialah bahan daripada medium kertas seperti lukisan, warna air, gambar foto, skrol dan objek-objek arca.

Langkah pemuliharaan perlu dilakukan apabila sesebuah karya hendak dibawa keluar dari BSVN.

Lazimnya ia akan dikuarantin untuk kerja-kerja mencatitkan laporan keadaan karya tersebut.

"Selepas melihat keadaan fizikal karya tersebut kami akan mengenal pasti masalah yang terdapat pada karya itu contohnya karya lukisan.

"Jika ia terkoyak atau catnya tertanggal, kami akan menjalankan proses rawatan dengan beberapa proses pembaik pulih seperti proses cucian kering," ujar Musrizal.

Kertas tisu L2 (jenis bebas asid) akan ditampalkan di atas karya-karya catatan lapisan demi lapisan bagi menguatkan kembali keadaan kertas tersebut.

Bagi karya lukisan yang menggunakan asas kanvas seperti linen, jut, kain kapas dan belacu, proses patching iaitu menampal benang mengikut jalinan laluan asal kanvas tersebut akan dilakukan untuk mengukuhkan kembali struktur lukisan yang terkoyak.

Jika warna karya tersebut tertanggal, proses hatching pula boleh membaiki semula lapisan cat yang bermasalah.

Walaupun demikian, bagi menghormati karya tersebut, bahagian konservasi biasanya meminta artis asal yang menghasilkan karya tersebut untuk datang sendiri ke BSVN untuk proses bancuhan warna.

"Jika artis itu telah tiada, kami akan menghasilkan warna tersebut dan setiap proses pemuliharaan yang akan dilakukan secara seminimum mungkin pada lapisan pertama yang sering berhadapan dengan masalah kepudaran kerana dimakan usia," kata Musrizal.

Beliau berkata, faktor cuaca dan suhu sering menjadi penyebab mengapa sesebuah karya itu mudah rosak.

"Bagi saya, bahan lukisan dan medium berasaskan kertas paling mudah bermasalah dan kami kategorikan masalah tersebut sebagai kritikal, separa kritikal dan stabil.

"Oleh itu, saya nasihatkan agar pengumpun-pengumpul yang menyimpan pelbagai karya perlu menjaganya dengan selalu membersihkan permukaan luar karya itu.

"Jika ia dipamerkan di bahagian ruang tamu, karya itu perlu disimpan ditempat gelap kerana jika ia selalu terdedah kepada lampu tiruan warnanya mudah luntur atau pudar," jelas Musrizal.

Tambahnya, jika bahan seni visual itu dijaga dengan baik maka jangka hayatnya boleh berpanjangan sehingga ratusan tahun.

Full content generated by Get Full RSS.

Muji korban masa jaga warga emas

Posted:

Muji korban masa jaga warga emas

Muji korban masa jaga warga emas

Oleh ZUHAYATI YAZID


Muji Sulaiman (kiri) menerima sumbangan untuk Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas daripada Fartini Zaharuddin.


MENJAGA bapa yang sakit akibat strok selama empat tahun membawa makna yang cukup besar kepada Muji Sulaiman.

Pengalaman tersebut dijadikan kenangan terindah dan paling berharga dalam hidup kerana baginya tidak semua anak diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk menjaga sekali gus berbakti pada orang tua mereka sehingga ke akhir hayat.

Malah Muji reda dicerai suaminya hanya semata-mata mahu menjaga orang tuanya yang sedang sakit.

Biarpun sedih mengenang ditinggal suami, ibu tunggal tiga anak ini tidak berganjak daripada niatnya untuk menjaga bapa sehingga nafas terakhir.

Kini biarpun bapa sudah tiada di sisinya, Muji bangga dengan pengorbanan yang pernah dilakukan itu.

Malah dengan pengalaman yang ada dia mampu menjaga lebih ramai lagi warga emas yang sudah tiada keluarga melalui penubuhan Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas.

Rumah perlindungan yang ditubuhkan pada 2004 di Puchong, Selangor itu, adalah titik tolak daripada rasa belas dan simpati Muji apabila melihat ramai warga emas yang tiada tempat tinggal selepas mendapatkan rawatan di hospital.

Ibu tunggal itu beriltizam menjadikan rumah tersebut sebagai tempat warga emas berteduh, menumpang kasih serta menghabiskan hari-hari terakhir mereka dengan lebih bermakna.

"Saya menjadi pilu melihat orang-orang tua ini yang kesemua mereka saya anggap seperti ibu dan bapa saya sendiri.

"Biarlah dibuang anak sendiri namun kami tetap membantu untuk menjaga mereka sebelum dijemput Ilahi,'' ujar wanita kelahiran Muar, Johor ini.

Katanya lagi, biarpun perlu bermain dengan najis dan hancing air kencing ibu bapa orang lain, hatinya tetap gembira dengan tugas yang dilakukan sekarang.

"Memang mereka bukan darah daging saya tetapi hati saya tenang dan puas dapat membantu mereka walaupun sesetengahnya hanya dapat saya jaga dalam tempoh yang sekejap sebelum meninggal dunia,'' ujarnya lagi.

Ceritanya, pada awal penubuhan Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas , ia hanya mempunyai 10 penghuni sahaja.

"Ketika itu saya hanya dibantu oleh anak-anak sendiri untuk menguruskan jadual seharian warga emas ini.

"Tidak dinafikan masa itu ada yang menganggap saya gila kerana sanggup menjaga ibu bapa orang lain sedangkan anak mereka sendiri tidak mahu membela.

"Apa pun yang orang kata saya teruskan juga perjuangan semata-mata untuk membela orang tua yang disisihkan oleh anak-anak serta yang tiada waris,'' kata Muji sambil menguntum senyum.

Kini selepas hampir lapan tahun berlalu, rumah jagaan tersebut mampu memuatkan 50 orang penghuni yang kesemua tiada keluarga.

Kebanyakan warga emas tersebut adalah pesakit dari hospital-hospital kerajaan yang tiada waris dan menghidapi penyakit yang kronik.

Bagaimanapun, ada juga sebilangan penghuni yang dihantar sendiri oleh anak-anak atas alasan tertentu.

"Semua ini saya anggap amanah Allah. Saya percaya Allah akan tetap membantu kami di sini dan memberi rezeki ,'' ujarnya yang menggunakan bekas surau lama yang telah diwakafkan untuk rumah pelindungan tersebut.

Setakat ini semua kerja-kerja mengurus kan penghuni dilakukan sendiri olehnya dengan dibantu beberapa pekerja.

Katanya lagi, menjaga orang tua memerlukan ketahanan kesabaran yang tinggi memandangkan mereka mudah sensitif dan kerenahnya seperti kanak-kanak.

"Ada juga di kalangan mereka ini nyanyuk dan lupa ingatan, jadi sebagai penjaga kita perlu bersabar dengan kerenah mereka.

"Golongan ini tidak memerlukan apa-apa sekadar mahukan perhatian dan belaian daripada insan yang sayangkan mereka," katanya.

Selain aktiviti harian biasa, penghuni rumah tersebut turut diberikan kelas bimbingan al -Quran serta kuliah agama setiap hari.

"Saya upah ustaz dan ustazah untuk mengajar mereka mengaji selain mengendalikan kelas agama,'' ujarnya lagi.

Mengenai kos pembiayaan rumah tersebut, Muji berkata, setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 sebagai perbelanjaan untuk menguruskan semua keperluan .

Bagaimanapun, dia bersyukur sejak penubuhan rumah tersebut sehingga hari ini, rezeki tidak pernah putus.

Ada sahaja bantuan yang diterima bukan sekadar wang ringgit tetapi juga makanan dan keperluan harian daripada golongan korporat serta orang perseorangan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved