Jumaat, 14 Oktober 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tiada aduan Liong Sik tipu

Posted:

Tiada aduan Liong Sik tipu

Tiada aduan Liong Sik tipu

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi bersetuju bahawa jika pembelian tanah seluas 335.8 hektar bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dibiayai oleh terbitan bon maka harga sebenar tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) itu adalah tidak termasuk kadar faedah.

Perkara itu diberitahu oleh Effendi ketika disoal balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Bekas Presiden MCA itu didakwa atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Sebelum jawapan itu diberikan, Kian Kheong terpaksa mengolah soalan tersebut beberapa kali agar Effendi, 63, benar-benar memahaminya.

Berhubung pembelian tanah di Pulau Indah, Klang itu juga, Kian Kheong ingin tahu sama ada terdapat menteri pernah membuat aduan berhubung dakwaan penipuan Liong Sik dalam projek PKFZ.

Effendi memberitahu, pihak menteri tidak membuat sebarang aduan dan beliau juga tidak pernah membuat laporan polis bahawa bekas pemimpin itu disyaki menipu.

Katanya, kenyataan beliau berhubung siasatan ke atas Liong Sik membabitkan skandal PKFZ hanya dirakamkan tahun ini iaitu selepas bekas Menteri Kabinet itu didakwa di mahkamah.

Saksi pendakwaan ke-16 itu turut mengakui dan bersetuju dengan rumusan Kian Kheong bahawa keterangan dalam perbicaraan itu berdasarkan pandangan peribadi beliau semata-mata.

Ini kerana selain tidak membuat sebarang nota ataupun catatan, Effendi juga, menurut Kian Kheong tidak mendengar rakaman audio mesyuarat Kabinet dan tidak berpeluang melihat minit penuh mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Hakim Datuk Ahmadi Asnawi turut mendengar keterangan Ketua Pegawai Kewangan (CFO), syarikat penyedia penyelesaian telekomunikasi rangkaian selular, Silver Ridge Holdings Bhd. (Silver Ridge), Lim Kean Chai berhubung isu pemberian bon.

Menurut saksi pendakwaan ke-17, cadangan pemberian bon tersebut dikemukakan oleh KDSB.

Kean Chai, 51, berkata, terdapat surat sokongan dikemukakan kepada pihaknya daripada Liong Sik selaku Menteri Pengangkutan ketika itu sebagai pemegang amanah yang bertanggungjawab ke atas pemberian bon.

Beliau mengesahkan pihaknya menerima salinan perjanjian jual beli bertarikh 12 November 2002 antara Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan KDSB bagi pengeluaran bon.

Menurut kertas pertuduhan, Liong Sik, 67, didakwa melakukan penipuan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Perbicaraan yang masuk hari ke-23 hari ini bersambung 10 November depan.

Full content generated by Get Full RSS.

Jurujual alat elektrik edar ketamin dihukum mati

Posted:

Jurujual alat elektrik edar ketamin dihukum mati

Jurujual alat elektrik edar ketamin dihukum mati

SHAH ALAM 14 Okt. - Seorang jurujual peralatan elektrik dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis ketamin yang dibawa masuk ke negara ini pada Ogos tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Abu Backer Siddiq Abdul Kader, 28, selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, beliau mendapati pihak polis tidak mempunyai kepentingan dalam kes itu selain pembelaan tertuduh tidak munasabah, tidak masuk akal dan tidak logik.

Tertuduh turut dihukum penjara masing-masing setahun bagi kesalahan memiliki dua bahan larangan di bawah Akta Racun 1952 berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian yang sama, 6 Ogos tahun lalu.

Abu Backer Siddiq yang masih bujang didakwa mengedar 710 gram ketamin di Bahagian Tuntutan Bagasi G, Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 7.30 pagi.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Tertuduh juga didakwa memiliki 2,139 gram methylephedrine dan 1,507 gram ephedrine iaitu, kedua-duanya jenis bahan yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Zuraida Wan Nawan manakala tertuduh diwakili peguam P. Visnuvarma.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved