Rabu, 14 September 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Tolak anasir rosak perpaduan

Posted:

Tolak anasir rosak perpaduan

Tolak anasir rosak perpaduan

Oleh HAMDEN RAMLI
utusanperak@utusan.com.my


DR. ZAMBRY Abd. Kadir menunjukkan bakatnya menarik teh sambil diperhatikan isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli ketika rumah terbuka anjuran UMNO bahagian Bagan Serai, kelmarin.


BAGAN SERAI 13 Sept. – Kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati negara perlu terus dipertahankan oleh rakyat dengan mengekalkan perpaduan antara kaum.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dengan keharmonian dan kemakmuran negara, rakyat boleh menyambut pelbagai perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan secara serentak pada tahun ini.

''Ini keunikan yang kita perlu pertahankan. Oleh itu apa sahaja unsur atau fahaman yang boleh merosakkan keunikan itu perlu ditolak rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas ketika bersama ribuan tetamu menghadiri rumah terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Bagan Serai di Sekolah Agama Rakyat Az-Harul Jannah, Jalan Gula, Gunung Semanggol semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO bahagian tersebut, Datuk Zaili Cha dan Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Sham Mat Sahat.

Zambry berkata, rakyat juga boleh mengambil iktibar kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat di negara lain seperti Somalia akibat perang saudara dan kekacauan di negara berkenaan.

"Perpecahan yang berlaku di Somalia kerana wujudnya kabilah-kabilah, ketua-ketua puak yang akhirnya mereka berperang sesama sendiri sehingga menyebabkan rakyatnya terus hidup menderita,'' katanya.

Beliau menambah, kejadian yang berlaku di Somalia harus dijadikan iktibar oleh rakyat dengan mengutamakan perpaduan dalam kehidupan seharian.

Menurutnya lagi, penganjuran rumah terbuka perlu dipertahan dan diperluaskan kerana ia membantu merapatkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Saman: MDKP beri amaran kepada pemilik kenderaan

Posted:

Saman: MDKP beri amaran kepada pemilik kenderaan

Saman: MDKP beri amaran kepada pemilik kenderaan

JITRA 13 Sept. - Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) memberi tempoh sehingga 31 Oktober ini bagi pemilik kenderaan menjelaskan kompaun mereka atau berdepan tindakan disenarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan.

Ketua Penguatkuasa Tunggakan Hasil dan Parkir MDKP Zakariya Ahmad berkata, mereka juga ditawarkan kadar diskaun pada RM10 berbanding RM50 sepanjang tempoh itu.

"Selepas itu kompaun sebanyak RM50 akan dikenakan atau mereka perlu menghadapi tindakan mahkamah.

"Notis kompaun kepada yang disaman atas kesalahan meletak kereta sejak 2009 sedang diproses untuk dikirim. Mereka juga boleh datang menyemak status kompaun di pejabat MDKP," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Zakariya berkata MDKP telah mengeluarkan lebih 50,000 notis peringatan kepada pemilik kenderaan supaya menjelaskan kompaun terbabit sebelum 31 Oktober.

Beliau berkata, terdapat kes pemilik kenderaan terpaksa berhabis beribu ringgit untuk membayar 50 kompaun dalam tempoh tiga tahun lepas hanya kerana tidak mempamerkan kupon letak kereta dan mengabaikan notis yang dihantar.

"Orang ramai diingatkan tidak memandang ringan perkara ini kerana MDKP bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan agar tindakan menyenaraihitamkan kenderaan mereka dapat diambil," katanya.

Zakariya berkata, sekalipun MDKP telah melantik 41 ejen menjual kupon parkir, kajian rambang mendapati 95 peratus pemilik kenderaan masih gagal mempamerkan kupon tersebut di lot yang digazetkan.

"Mulai 1 November ini kompaun RM50 akan dikenakan kepada pemilik kenderaan yang tidak menggunakan kupon letak kereta atau meletak kenderaan sesuka hati di luar petak yang disediakan.

"Tayar kenderaan mereka akan dikunci atau ditunda manakala MDKP sedang mengenalpasti zon tunda untuk digazetkan sebagai langkah mendisiplinkan pengguna agar mematuhi undang-undang atau peraturan jalan raya," kata Zakariya. — BERNAMA

Permohonan pencen ilat ditolak Perkeso

Posted:

Permohonan pencen ilat ditolak Perkeso

Permohonan pencen ilat ditolak Perkeso


SULAIMAN Ibrahim (kiri) melihat beg plastik digunakan Aznan Wahab untuk membuang air kecil di Kampung Kamunting, Kulim, semalam.


KULIM 13 Sept. - Seorang pemandu lori melahirkan rasa kecewa apabila permohonannya untuk mendapatkan pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ditolak.

Aznan Wahab, 53, dari Kampung Kamunting, Karangan mendakwa, permohonannya ditolak selepas jemaah doktor pertubuhan itu tidak dapat mengesahkan penyakit kanser prostat yang dialaminya sejak tiga tahun lalu.

Lebih malang, dia kini tidak mempunyai pendapatan tetap kerana telah berhenti dan mempunyai dua lagi anak masih bersekolah.

"Saya pernah memohon untuk mendapatkan pencen ilat daripada Perkeso pada 2008 selepas menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, jantung, buah pinggang dan kini kanser prostat.

"Selepas itu saya dipanggil ke Kuala Lumpur untuk ditemu duga panel perubatan dan diminta untuk tunggu surat kelulusan. Selepas itu, saya terima surat mengatakan permohonan ditolak atas alasan saya masih bekerja ketika itu," katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Ahli Majlis Tindakan (DUN) Kulim, Sulaiman Ibrahim, di sini hari ini.

Aznan berkata, oleh kerana keadaan kesihatannya makin teruk, akhirnya dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada hujung 2008.

"Saya juga telah disahkan menghidap penyakit kanser prostat oleh Hospital Pulau Pinang (HPP). Kini badan saya makin lemah dan terpaksa mengunakan beg plastik untuk buang air kencing," jelasnya.

Dia juga terpaksa bergantung harap kepada isteri, Sabariah Darus, 48, yang bekerja sebagai buruh di kawasan perindustrian dengan gaji kira-kira RM450 sebulan," katanya.

"Dua anak saya masih bersekolah. Selain dibantu isteri, saya juga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

"Wang itu digunakan untuk keperluan keluarga dan juga perbelanjaan rawatan serta tambang berulang alik ke Hospital Kulim dan HPP," jelasnya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, pihaknya akan cuba membantu Aznan bagi meringankan bebannya dan merujuk semula kes itu kepada Perkeso untuk pertimbangan dalam kadar segera.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved