Rabu, 14 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


KR1M tidak ‘bunuh’ kedai runcit

Posted:

KR1M tidak 'bunuh' kedai runcit

KR1M tidak 'bunuh' kedai runcit

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PETANG semalam, sebuah lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dibuka di tingkat bawah atau Aras G di bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Presint 2, Putrajaya.

Tiga kali Syabas! diucapkan kepada kementerian yang terajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu. Kedai berkenaan adalah yang keempat dibuka selepas projek perintis model KR1M di Stesen LRT Kelana Jaya pada 22 Jun lalu, diikuti Bandar Tun Razak (21 Ogos) dan Pantai Dalam (26 Ogos).

Kita semua yang tinggal di ibu kota atau Lembah Klang maklum bahawa di lokasi- lokasi berkenaanlah, kemiskinan bandar seringkali menjadi warna-warna hitam di ibu kota. Kehidupan menghimpit dengan kadar gaji yang rendah acap kali membataskan perbelanjaan menyara hidup terutama di kalangan golongan berpendapatan rendah. Malah, bukan golongan itu sahaja, mereka di peringkat pertengahan pun serupa nasibnya.

Cuma baru kedai keempat dibuka, sudah timbul pula bunyi bising mempersoalkan KR1M ini. Ia dipertikaikan Isnin lalu oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif The Liong Group, Tan Sri William Cheng. Dakwanya, langkah itu sedikit sebanyak menjejaskan operasi peniaga-peniaga runcit kecil di bawah naungan Gabungan Dewan Perniagaan Perindustrian Cina (ACCIM).

Malah, seperti kenyataan Cheng yang ibarat 'besi waja', beliau dengan lantang pula menggesa kerajaan untuk berlaku adil dengan membekalkan produk harga patut yang sama kepada 30,000 kedai runcit sedia ada.

Hakikatnya, ada kekeliruan dan salah faham yang perlu diperjelaskan dalam isu pewujudan KR1M.

KR1M sebenarnya menjadi medium kepada kerajaan untuk mengawal harga barang dan mengurangkan monopoli sesetengah barang keperluan yang telah lama didominasi oleh pengilang-pengilang multinasional. Atas sebab itu, syarikat multinasional tersebut tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan tanpa sebab munasabah.

KR1M diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia atas keprihatinan beliau terhadap golongan penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar. Idea itu juga selari dengan slogan 'Rakyat Didahulukan' yang telah diperkenalkan oleh beliau sendiri.

Projek KR1M dipantau dan diuruskan oleh KPDNKK. Kementerian ini juga bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan lain dan pihak berkuasa untuk menyediakan lokasi kepada KR1M.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di pejabatnya semalam, Ismail Sabri menolak sama sekali tanggapan kononnya KR1M akan 'membunuh' kedai-kedai runcit.

Katanya, lokasi menempatkan kedai yang beroperasi menggunakan format pasar mini dengan menyediakan pelbagai barang keperluan pada harga rendah itu dipilih tidak terlalu hampir dengan kedai runcit.

Kedai-kedai runcit yang lain pun pada masa sama boleh menjual barangan keluaran KR1M seperti beras, minyak masak, susu tepung dan lampin yang dipak menggunakan logo 1Malaysia.

"Tak perlu bersaing sebab mereka (kedai runcit) boleh jual produk mereka sendiri, jadi kalau kata boleh 'membunuh' kedai runcit sedia ada, ia tidak benar sama sekali.

"Lagipun tidak semua orang mahu beli produk tak berjenama," kata beliau.

Ada dua cara untuk membuka KR1M. Pertama, KR1M yang dibuka oleh kerajaan dan dimiliki kerajaan tetapi diselenggarakan oleh Syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd. (MYDIN). Jenama 1Malaysia yang tersarung pada produk itu pula berdaftar di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Cara kedua pula ialah produk-produk KR1M itu dibekalkan ke kedai-kedai, contohnya kedai di bawah flat kos rendah di Seremban dan WAKAF Mart yang beroperasi di Senawang. Ia juga akan dibekalkan ke 226 kedai D'Mart Felda, 150 agro bazar dan juga 500 kedai TUKAR (projek transformasi kedai runcit). Ertinya ada dua konsep untuk mendapatkan barangan KR1M ini.

Dalam aspek ini, untuk memastikan projek KR1M berjaya dan memberi faedah kepada rakyat, tiga projek fasa telah digariskan untuk digerakkan. Fasa pertama melibatkan perluasan sehingga 84 kedai, Fasa Kedua berkaitan pemborongan dan pengedaran barangan/produk 1Malaysia dan Fasa Kedua melibatkan pengenalan 'KR1M KedaiBergerak'.

Dalam menjayakan hasrat untuk sampai kepada seluruh rakyat, perancangan 84 KR1M bermula Julai 2011 hingga Disember 2012. Antara yang bakal dibuka dan kini dalam perbincangan ialah di Pasar Besar Cheras (dianggarkan keluasan 5,000 kaki persegi).

Dalam memastikan seluruh rakyat mendapat manfaat daripada program ini, seluruh pasar raya MYDIN akan melaksanakan konsep borong dan edar terhadap barang/produk terpilih 1Malaysia. Kedai TUKAR dan kedai pertama WAKAF Mart yang beroperasi di Senawang, Negeri Sembilan juga akan memasarkan produk 1Malaysia. Sehingga sekarang, sejumlah 17 kedai telah menjual produk 1Malaysia di premis-premis mereka.

Idea untuk 'KR1M Kedai Bergerak' pula adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan kampung/pedalaman yang tidak dapat berhubung/mencapai ke KR1M.

Konsep di sebalik ini ialah "Jika anda tidak dapat pergi ke KR1M, KR1M akan datang kepada anda." Dalam aspek ini, kementerian akan menggunakan bas sebagai kenderaan 'KR1M Kedai Bergerak' sambil dibantu 2 unit 3 tan lori trak sebagai pusat penyimpanan kepada bas itu.

Bas tersebut akan diubah suai dan ditukarkan kepada 'KR1M Kedai Bergerak'. 'KR1M Kedai Bergerak' akan dibawa ke tempat tertentu untuk berkhidmat kepada rakyat (konsep sama dengan mamak roti atas motosikal).

Selain itu, KR1M juga akan digunakan sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain daripada menunggu barang keperluan untuk sampai kepada mangsa banjir. Sebagai contoh, KR1M kedai bergerak juga dapat digunakan dan boleh dibawa ke sana untuk membantu mangsa- mangsa terbabit sementara menunggu bantuan tiba.

Mengenai perkembangan projek perintis model KR1M di Stesen LRT Kelana Jaya, Ismail Sabri berkata, ia amat memberangsangkan dengan hasil jualan harian mencapai RM12,000 sehari.

"Memang kos terutamanya melibatkan harga barangan ada peningkatan, kerajaan tak nafikan tapi di bandar lebih tinggi sebab di bandar, penduduknya terlibat dengan kos bayaran sewa rumah.

"Sebab itulah tumpuan awal pewujudan KR1M ini kita berikan kepada bandar besar sebelum ke bandar atau pekan kecil."

Yang pasti pembukaan KR1M di KPDNKK semalam akan memberi manfaat kepada para penjawat awam yang merupakan warga terbesar menghuni Pusat Pentadbiran Persekutuan tersebut.

Dijangkakan sejumlah 21 lagi KR1M bakal dibuka sebelum akhir tahun ini. Difahamkan, KPDNKK akan mendapatkan lokasi itu sebelum akhir September ini dan akan memulakan pengubahsuaian sebelum memperluaskannya ke bandar-bandar kecil dengan harga barangan yang ditawarkan di KR1M ini 30 peratus lebih murah daripada harga biasa.

"Kita pastikan juga produk-produk ini dihasilkan oleh usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan. Ini salah satu projek yang bukan saja mengurangkan bebanan rakyat tetapi dapat membantu IKS-IKS bumiputera untuk bekalkan produk KR1M," kata Ismail Sabri.

KPDNKK diyakini akan sentiasa memantau kualiti produk KR1M dengan sentiasa bekerjasama dengan MYDIN.

Sebab itu MYDIN sahaja dilantik sebagai pengedar. Selain kualiti produk, yang lebih penting lagi untuk mengekang unsur mengaut keuntungan sewenang-wenangnya oleh orang tengah.

Sambutan Merdeka tarik orang muda

Posted:

Sambutan Merdeka tarik orang muda

Sambutan Merdeka tarik orang muda

Oleh WANDA IDRIS
pengarang@utusan.com.my

TARIKH 16 September amat bermakna buat negara kerana pada tahun 1963 itu, 14 buah negeri di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Malaysia dan hari tersebut kini diisytiharkan sebagai Hari Malaysia.

Dan esok, pada tarikh sama, ia bakal mencatat momen tersendiri apabila sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 dan Hari Malaysia dirai serentak buat julung kalinya menjadikan edisi kemerdekaan kali ini sesuatu yang istimewa.

Hari Malaysia telah diisytiharkan sebagai cuti umum pada tahun lalu, seharusnya kesempatan ini digunakan untuk merasai kegemilangan sambutan acara itu, tidak kira sama ada pergi ke Dataran Merdeka, lokasi sambutan atau menontonnya di televisyen.

Perasaan ini patut meresapi generasi muda masa kini agar pengertian kemerdekaan dan semangat patriotisme bukan sahaja dirasai tetapi dapat dipupuk sejak awal.

Justeru tidak hairanlah, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Kemerdekaan 2011, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menekankan aspek penyertaan anak muda khususnya pelajar sekolah dan yang berumur bawah 40 tahun pada sambutan kali ini dan generasi dahulu sebagai pelengkap acara.

Malah bagi memeriahkan acara sambutan Kemerdekaan yang bertemakan '1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera' ini, penyertaan anak muda mewakili 85 peratus daripada 10,033 orang yang terlibat dengan pelajar sekolah membabitkan seramai 2,300 orang.

Dalam menarik anak muda menonton acara ini di Dataran Merdeka mahupun televisyen, pelbagai pembaharuan dilakukan. Selain pembabitan golongan itu sendiri, lagu-lagu yang bakal diperdengarkan, biarpun lama, diberi nafas baru.

Pergerakan formasi yang digunakan untuk setiap penceritaan juga merupakan interpretasi generasi muda dengan paparan lebih banyak berhubung peranan mereka dalam aspek pembangunan dan kejayaan negara. Sesuai dengan kelincahan anak muda, acara perbarisan dan perarakan turut menampilkan pendekatan dan pergerakan lebih tangkas, pantas dan cergas mengikut kehendak semasa golongan tersebut.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli, biarpun pengisian acara kemerdekaan kali ini meneruskan kesinambungan penceritaan acara tahun lalu iaitu mengenai Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) namun ia akan memaparkan tentang kejayaan yang dikecapi menerusi keberkesanan dan keberhasilan pelaksanaan GTP khusus dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang ditunjangi kerajaan.

Beliau yang turut bertindak sebagai Pengarah Artistik bagi acara sambutan tersebut berkata, terdapat tiga komponen utama pada acara kali ini yang meliputi upacara istiadat keberangkatan tiba bermula seawal 7 pagi dan kepulangan para pembesar negara selain perbarisan dan perarakan yang berlangsung selama 90 minit.

Melalui komponen kedua yang melibatkan acara persembahan khas, Norliza memberitahu, ia terbahagi kepada beberapa segmen yang meliputi aspek formasi melalui penceritaan, perbarisan dan perarakan.

Antara yang menarik dan merupakan anjakan baru yang bakal memberi impak adalah persembahan penceritaan mengenai Rukun Negara selama 13 minit itu oleh 2,300 pelajar melalui pelbagai gerakan formasi mengenai lima prinsip Rukun Negara.

Ia diikuti dengan persembahan bertemakan Rakyat Asas Perpaduan oleh pelbagai kaum yang menampilkan 50 pelajar sekolah sekitar Wilayah Persekutuan yang mempersembahkan formasi drumline dan persembahan bendera berwarna dan panji.

Dalam menampilkan wajah Malaysia, seramai 800 orang daripada pelbagai kaum yang terdiri daripada wakil kesemua 14 negeri dalam Malaysia akan membuat persembahan bertenaga yang bergerak dengan satu nada, derap dan kostum yang sama sebagai perlambangan wajah 1Malaysia.

Segmen perarakan pula membabitkan tujuh kontijen meliputi pejalan kaki dan kenderaan dengan tema tersendiri yang mewakili generasi masa kini serta pelbagai kejayaan yang telah dikecapi.

Kontijen 1Malaysia Muda Cergas bakal memaparkan kesinambungan cerita kejayaan perhimpunan satu juta belia tidak berapa lama dulu dengan membabitkan penyertaan 100 anak muda negara dengan persembahan tersendiri.

Kontijen 1Malaysia Generasi Berjaya pula mengetengahkan anak-anak muda yang berjaya dalam pelbagai bidang di institusi pengajian tinggi (IPT) dengan menyelitkan beberapa ikon remaja di samping garapan 30 veteran yang akan diarak dengan kenderaan nasional sebagai lambang kejayaan anak muda yang dipelopori oleh golongan terdahulu.

Pada segmen perarakan turut menampilkan kontijen yang banyak memainkan peranan dalam kejayaan pembangunan negara seperti kontijen sektor swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC); sektor komunikasi dan 4P (perladangan, pertanian, perikanan dan penjaja kecil) serta konvoi 54 teksi yang melambangkan 54 tahun kemerdekaan yang didahului oleh konvoi 12 pacuan empat roda Kementerian Penerangan yang membawa Jalur Gemilang.

Sementara bagi perarakan kereta berhias, katanya, ia adalah mengenai penyampaian mesej berhubung NKRA yang meliputi pengurangan kadar jenayah dan membanteras rasuah; peningkatan pencapaian pelajar; meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dan menambah baik infrastruktur luar bandar dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Turut dipaparkan adalah ikon kejayaan dalam bentuk aset seperti Klinik Bergerak 1Malaysia, pos bergerak dan kenderaan Mawar Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang merupakan antara kemudahan kepada rakyat khususnya bagi penduduk luar bandar.

Pada sambutan Hari Kemerdekaan kali ini juga, generasi muda diberi peluang bersama-sama pasukan keselamatan melakukan formasi sebagai satu perlambangan bahawa kesejahteraan negara bukan sahaja terletak di tangan pasukan keselamatan tetapi didokong oleh badan-badan beruniform yang dianggotai oleh anak-anak muda di sekolah rendah, menengah mahupun di IPT antaranya Persatuan Bulan Sabit Merah, Kesatria, Palapes.

Pasukan kedua di bawah segmen ini adalah pasukan ketenteraman awam dan sukarelawan yang banyak membantu menjaga ketenteraman negara dan antara yang terlibat adalah Kelab Putera 1Malaysia, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) dan pelbagai kumpulan sukarelawan lain.

Sebagai antara persembahan yang mencuri perhatian penonton pada setiap kali acara Hari Kemerdekaan, buat pertama kalinya juga persembahan bersepadu kawad dan tempur oleh 400 anggota keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diadakan berbanding persembahan berasingan pada tahun-tahun terdahulu.

Bukan itu sahaja seramai 1,800 orang generasi muda dalam pasukan ketenteraan akan terbabit dalam persembahan tempur dan bukan tempur pada kali ini.

Pada perarakan selama satu jam setengah itu, persembahan akan diakhiri dengan paparan kisah-kisah kejayaan negara melalui pergerakan bersepadu dan nyanyian lagu-lagu patriotik selama sembilan minit membabitkan lagu-lagu Transformasi Berjaya rakyat Sejahtera, Gemuruh, Jalur Gemilang, Tanggal 31 dan Inspirasiku yang digarap dengan komposisi baru yang lebih bertenaga dan penuh semangat.

"Kalau dulu kita memaparkan budaya sebagai pengikat perpaduan tetapi kali ini generasi muda pelbagai kaum dan usia diangkat sebagai pengikat perpaduan rakyat masa kini.

"Pembabitan generasi muda ini bukan sahaja dapat memberi ruang kepada mereka untuk terlibat dalam acara Hari Kemerdekaan malah sebagai satu semangat bagi mereka sebagai penerus peneguhan masa depan kemerdekaan negara," kata Norliza.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved