Rabu, 14 September 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Bekas KSU tegur Dr. Ling

Posted:

Bekas KSU tegur Dr. Ling

Bekas KSU tegur Dr. Ling

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan, Datuk Zaharah Shaari memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau pernah menegur tindakan Tun Dr. Ling Liong Sik berunding dengan syarikat Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) berkaitan urusan tanah bagi projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Zaharah, 62, berkata, teguran yang dibuat terhadap bekas Menteri Pengangkutan itu adalah satu daripada tanggungjawab beliau sebagai pegawai kanan kerajaan bagi mengelak berlakunya perlanggaran kepentingan awam dan undang-undang.

Selain itu, beliau memaklumkan Dr. Ling cara terbaik melaksanakan projek PKFZ ialah melalui pengambilan tanah dan bukan pembelian.

"Kebiasaannya, kami (pegawai kerajaan) akan memberitahu sendiri kepada Menteri jika terdapat percanggahan, melainkan jika Menteri benar-benar tidak mengambil kira pandangan itu (hingga menjejaskan kepentingan awam dan undang-undang), barulah kita akan pergi kepada Ketua Setiausaha Negara," katanya ketika disoal balas peguam Wong Kian Kheong, yang mewakili Dr. Ling.

Dr. Ling, 68, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr. Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002.

Pada prosiding hari ini, Zaharah yang merupakan saksi keenam pendakwaan dan pernah berkhidmat di Kementerian Pengangkutan ketika diterajui dua menteri iaitu Dr. Ling dan Tan Sri Chan Kong Choy, berkata, beliau terlibat secara langsung dalam projek PKFZ bagi urusan pengambilan balik tanah.

Kepada soalan lain, Zaharah berkata, beliau tidak ingat sama ada pernah membangkitkan isu harga tanah ketika berkhidmat dengan kedua-dua menteri berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Dr. Ling tidak mempunyai apa-apa kepentingan berhubung pembelian atau pengambilan tanah di Pulau Indah.

Terdahulu, beliau berkata, dua pegawai bawahannya iaitu bekas Timbalan KSU, Datuk Abdul Rahman Mohd. Noor dan bekas Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Maritim, P.Chandrasekaran tidak pernah membangkitkan isu harga tanah.

Zaharah berkata, jika terdapat masalah dalam projek PKFZ, kedua-dua pegawai bertanggungjawab memaklumkan perkara itu kepadanya dan beliau perlu memberitahu Dr. Ling sebelum tertuduh memberi gambaran sebenar kepada Jemaah Menteri.

Mengenai harga tanah pada kadar RM25 sekaki persegi (skp), beliau berkata, ia merangkumi jumlah faedah dan segala kos bagi tempoh pembayaran balik selama 10 tahun.

"Pandangan saya berasaskan keputusan yang dipersetujui Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang menyatakan kadar kupon 6 peratus dan terma bayaran balik 10 tahun.

"Selain apa yang difahamkan (laporan JPPH), saya ada bertanya kepada wakil JPPH dalam mesyuarat, adakah RM25 termasuk faedah," katanya ketika ditanya Wong sama ada beliau yakin nilaian itu termasuk faedah.

Bagaimanapun, Zaharah berkata, beliau tidak membuat catatan atau sebarang rekod bahawa RM25 skp itu adalah termasuk faedah dan tidak ingat sama ada pernah menghantar memo kepada Dr. Ling berhubung perkara itu.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung esok. - BERNAMA

JAIS serbu gereja: UMNO Selangor saman Pas RM10 juta

Posted:

JAIS serbu gereja: UMNO Selangor saman Pas RM10 juta

JAIS serbu gereja: UMNO Selangor saman Pas RM10 juta


Mohd. Zin Mohamed (kiri) memfailkan saman terhadap Mustafa Ali sambil ditemani Mohd. Hafarizam Harun (tengah) dan Abu Bakar Isa Rahmat dari Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 14 Sept. - UMNO Selangor hari ini menyaman Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan lima lagi bagi menuntut ganti rugi RM10 juta setiap seorang kerana didakwa memfitnah parti itu dalam satu artikel yang disiarkan oleh akhbar Harakah edisi 19-21 Ogos lalu.

Saman itu difailkan oleh Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor melalui firma guaman Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 11.50 pagi.

Beliau selaku plaintif menamakan Mustafa sebagai defendan pertama, manakala Presiden serta Timbalan Presiden Pas Pusat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mohamad Sabu sebagai defendan kedua dan ketiga.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd.; penyunting Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel Pas akan dedah bukti, UMNO main peranan operasi JAIS, Khairul Azlam Mohamad.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd. Zin mendakwa artikel yang mempunyai kata-kata fitnah itu ditulis oleh Khairul Azlam hasil temuramah penulis dengan Mustafa pada 15 Ogos 2011.

Beliau turut mendakwa artikel itu antara lain membawa maksud UMNO memainkan peranan penting serta bertanggungjawab memberi arahan dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama.

Menurut Mohd. Zin, kata-kata fitnah secara sengaja itu sekaligus menggambarkan UMNO mengamal dasar politik kotor dan sempit, mengawal pentadbiran JAIS, menyalahguna kuasa, mencampuri urusan pentadbiran serta 'menceroboh' bidang kuasa kerajaan Negeri Selangor.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan sebanyak RM10 juta daripada setiap defendan serta faedah sebanyak empat peratus setahun mulai tarikh keputusan dibuat.

Mohd. Zin juga memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan-defendan atau ejen-ejen mereka daripada berbicara lanjut atau menerbitkan kata-kata fitnah tersebut atau perkataan seumpamanya terhadap plaintif secara lisan atau di media cetak mahupun di Internet.

Turut dimohon ialah satu perintah agar semua defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar-akhbar dan majalah yang akan dikenalpasti dan ditentukan kemudian oleh plaintif.

Mohd. Zin ditemani peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun serta puluhan ahli UMNO Selangor

Saman itu akan disebut di Mahkamah Tinggi di sini pada 28 September ini untuk pengurusan kes.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved