Rabu, 14 September 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Memperingati pejuang negara

Posted:

Memperingati pejuang negara

Memperingati pejuang negara

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my


BEKAS anggota pasukan keselamatan yang tercedera termasuk hilang kaki ketika bertempur dengan pengganas komunis meluangkan masa meninjau persekitaran Balai Polis Bukit Kepong yang mencatat peristiwa berdarah pada 23 Februari 1950, di Muar, Johor, semalam. – UTUSAN/ISHAK RAHMAD


PAGOH 13 Sept. – Laungan 'Hidup Pejuang!' bergema sebanyak tiga kali di tapak bersejarah Balai Polis Bukit Kepong apabila hampir 1,000 orang bekas polis dan tentera serta waris peristiwa Bukit Kepong berhimpun bagi membantah tindakan pihak yang mempersoalkan kewibawaan pasukan keselamatan negara.

Dalam Majlis Memperingati Pejuang Negara yang julung kali diadakan di pekarangan balai polis itu di sini hari ini, linangan air mata dapat disaksikan di kalangan bekas anggota keselamatan serta waris keluarga mereka mengenangkan tragedi menyayat hati pada 23 Februari 1950 itu.

Segala peristiwa pahit dan duka dalam perjuangan memerangi Parti Komunis Malaya (PKM) kembali terimbau dalam segmen pantomin peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong pada majlis itu.

Dalam reaksi senada, kesemua bekas anggota pasukan keselamatan telah bangkit mengecam kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mempersendakan pengorbanan pasukan polis.

Pada majlis itu, Persatuan Bekas Polis Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia serta Persatuan Veteran Tentera Melayu turut sepakat mengeluarkan Deklarasi Bukit Kepong bagi mengingatkan semua pihak agar tidak mengguris hati dan perasaan para pejuang yang menjaga kedaulatan negara.

"Bahawa kami seluruh ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia pada 13 September 2011 dengan ini membantah serta menolak apa-apa jua kenyataan yang boleh mengguris hati dan perasaan pejuang yang mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta," menurut deklarasi itu yang dibacakan pada majlis itu.

Deklarasi itu kemudian diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Bekas Polis Johor, Datuk Mohd. Shah Isnin kepada Kurator Muzium Polis, Supritendan Said Zainal Abidin Said Zain.

Majlis yang dihadiri bekas polis serta tentera dan waris keluarga anggota peristiwa Bukit Kepong dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat.

Turut diadakan ialah forum bertajuk, Siapa Pejuang Sebenar dengan ahli panel bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor; Pengarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam dan pensyarah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Dr. Rosli Salehuddin serta bekas Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof. Shaharuddin Abd. Aziz sebagai moderator.

Selain mengunjungi tapak bersejarah di Bukit Kepong itu, bekas polis, tentera serta waris keluarga turut meluangkan masa melawat Pameran Memperingati Pejuang Negara, bacaan tahlil serta lawatan ke tanah perkuburan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa tersebut.

Sementara itu, dalam majlis forum tersebut, Rahim menempelak pihak-pihak yang mengocak kedamaian negara dengan mempersoalkan kewibawaan pasukan keselamatan dan cubaan halus membangkitkan semula perjuangan PKM yang mengorbankan banyak nyawa pasukan keselamatan dan orang awam.

"Sekarang sudah ada suasana di mana orang mempersoalkan peristiwa Bukit Kepong, orang putar belitkan fakta. Ada yang berpendidikan doktor falsafah yang turut mempertikai sejarah dengan matlamatnya menghalalkan cara," katanya.

Jelasnya, beliau bimbang kenyataan sebagaimana yang dikeluarkan Mohamad yang mempertikaikan sejarah akan menimbulkan gelombang sehingga menimbulkan ketidakstabilan dan menjejaskan keselamatan negara.

Dalam pada itu, Ramlah berkata, usaha untuk menerangkan fakta sejarah negara kepada generasi muda perlu diperluaskan agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan pembohongan yang tersebar luas terutamanya di Internet.

"Saya sudah menulis banyak buku tetapi orang tidak baca, orang baca laman web, jadi kita semua kena membetulkannya dengan cara mendidik anak kita tentang sejarah dan dasar negara," katanya.

Menurutnya, walaupun Mohamad Indera yang mengetuai serangan komunis terhadap Balai Polis Kepong dikatakan warak dan kuat agama, fakta sejarah menunjukkan ramai dalam kalangan orang yang berpendidikan agama dipengaruhi PKM sehingga menjadi kuda tunggangan.

"Latar belakang pemimpin PKM seperti Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh adalah daripada pendidikan agama tetapi mereka tidak diberitahu mengenai tujuan sebenar komunis untuk menakluk negara," katanya.

500 penduduk Bukit Kepong bantah Mat Sabu

Posted:

500 penduduk Bukit Kepong bantah Mat Sabu

500 penduduk Bukit Kepong bantah Mat Sabu


TAHIR Taat (empat dari kanan) bersama orang ramai yang menyertai Majlis Semarak Merdeka Parlimen Pagoh di Bukit Kepong, Muar, Johor, semalam.


PAGOH 13 Sept. – Lebih 500 penduduk berhimpun di Bukit Kepong di sini hari ini bagi membantah kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mempertikai perjuangan pasukan keselamatan negara dalam peristiwa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Para penduduk yang lengkap dengan sepanduk serta kain rentang yang mengecam tindakan Mohamad atau Mat Sabu itu berkumpul di hadapan tapak sejarah Balai Polis Bukit Kepong sebelum berarak ke pekarangan gerai Majlis Perbandaran Muar (MPM) Bukit Kepong.

Mereka kemudiannya menjayakan Majlis Semarak Merdeka Parlimen Pagoh yang dianjurkan bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pagoh, Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Negeri Johor, Biro Penerangan UMNO Bahagian Pagoh dan penduduk kampung mukim Bukit Kepong.

Terdahulu, laporan polis bagi mengecam kenyataan Mat Sabu itu dibuat oleh waris keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa Bukit Kepong, wakil penduduk Bukit Kepong dan wakil Persatuan Bekas Tentera Cawangan Muar di Balai Polis Lenga.

Hadir sama mengiringi mereka membuat laporan polis itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat; ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Mohd. Salleh, Senator Noriah Mahat dan Senator Mohamed Ezam Mohd. Nor.

Menurut Tahir yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, tiada siapa boleh menafikan fakta sejarah mengenai perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan negara yang menentang pengganas komunis bagi memelihara keamanan negara.

Katanya, sejarah kemerdekaan negara yang dipelopori oleh UMNO juga tidak boleh dipertikai kerana parti itu telah membawa negara mencapai kestabilan, keamanan serta kemajuan.

"Hari ini perjuangan bangsa cuba dinafikan pembangkang untuk meraih sokongan sehingga tergamak memadam sejarah perjuangan negara semata-mata untuk mendapatkan undi," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Kata Tahir lagi, kenyataan yang dibuat oleh Mat Sabu itu sememangnya menampakkan pemimpin Pas tersebut sebagai dungu sejarah dan semua pihak perlu bangkit untuk menyatakan bantahan supaya sejarah negara tidak cuba dipadamkan sewenang-wenangnya.

Dalam Majlis Semarak Merdeka yang diadakan hari ini, pelbagai pengisian dilakukan termasuk pantomin peristiwa Bukit Kepong, pameran peristiwa Bukit Kepong dan ceramah umum oleh Mohamed Ezam.

Program tersebut diadakan dengan matlamat menyemarakkan semangat patriotik dan mengenang perjuangan anggota pasukan keselamatan bagi mempertahankan kemerdekaan negara sehingga ramai yang terkorban.

Dua projek mega di Brunei

Posted:

Dua projek mega di Brunei

Dua projek mega di Brunei

Oleh Zuhairi Ali

BANDAR SERI BEGAWAN 13 Sept. – Malaysia mencadangkan pelaksanaan dua projek mega di Brunei dengan penglibatan Petronas bagi pembinaan Kompleks Petrokimia bernilai RM4.85 bilion di Pulau Muara Besar, di sini serta limbungan fabrikasi (fabrication yard).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek dengan kerjasama BASF, sebuah syarikat gergasi dalam sektor petrokimia dari Jerman itu dijangka memberi kesan positif yang besar kepada kedua-dua negara termasuk dalam menawarkan kira-kira 650 peluang pekerjaan.

Perdana Menteri memberitahu, kompleks petrokimia itu dirancang pembinaannya di atas tapak seluas 60 hektar dengan sasaran untuk pasaran eksport.

Beliau menambah, Petronas juga berminat membina limbungan fabrikasi di Brunei menerusi anak syarikatnya, Malaysia Marine & Heavy Industries Sdn. Bhd., (MMHE), namun butiran terperinci projek itu setakat ini belum lagi dimuktamadkan.

''Saya sudah memaklumkan cadangan kedua-dua projek ini kepada Sultan Brunei, jika kerajaan Brunei bersetuju ia akan menjadi kenyataan.

''Ini sekali gus mencerminkan apa yang kita telah putuskan peringkat tertinggi kedua-dua negara sedang dimanfaatkan dalam bentuk pelbagai program yang memberi kesan positif kepada kedua-dua negara," kata Perdana Menteri pada sidang akhbar di sini hari ini sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Najib yang tiba di Brunei semalam untuk lawatan rasmi dua hari, mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman sempena Rundingan Tahunan ke-15 bagi pemimpin kedua-dua negara sebelum menyaksikan majlis menandatangani perjanjian projek pembinaan Jambatan Sungai Pandaruan serta tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara Brunei dengan Sabah dan Sarawak.

Beliau turut diiringi oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta delegasi yang disertai beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Pada sidang akhbar itu, Najib turut menjelaskan bahawa kerjasama Malaysia-Brunei dalam industri minyak diperkukuhkan apabila Petronas akan melakukan operasi cari gali hari ini di kawasan medan minyak Blok CA2 yang telah diserahkan oleh Brunei.

''Perkembangannya sangat menggalakkan, kita berdoa semoga kerja mencari gali ini akan menemui kejayaan," ujarnya.

Kerjasama dalam perkongsian hasil cari gali minyak di Blok CA1 dan CA2 dalam wilayah Brunei itu dicapai oleh kerajaan kedua-dua negara pada 2009.

Najib menambah, kerjasama di luar kawasan minyak CA1 dan CA2 dalam bentuk Blok N di Brunei juga telah dipersetujui dan Petronas telah mengambil langkah awal ke arah melakukan kerja mencarigali di situ.

Katanya, Brunei juga berminat bekerjasama menyertai sektor kewangan dengan mengambil kira reputasi Malaysia sebagai peneraju aktiviti perbankan Islam di dunia.

''Maklumat lanjut akan diumumkan kemudian tetapi pada prinsipnya Brunei berminat melihat kemungkinan mereka menyertai sektor itu di Malaysia," ujarnya. – Utusan

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved