Rabu, 14 September 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pasar borong MPHTJ diswastakan

Posted:

Pasar borong MPHTJ diswastakan

Pasar borong MPHTJ diswastakan

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 13 Sept. – Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Batu Berendam di sini akan diswastakan kepada syarikat yang berminat dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan terutamanya dari aspek kebersihan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, keputusan menswastakan pasar itu yang sebelum ini dikenali Pasar Borong Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terpaksa dilakukan setelah sebahagian daripada 211 peniaga di situ tidak menjelaskan sewa kepada MPHTJ.

Menurutnya, MPHTJ kini tidak mampu menampung kos penyelenggaraan pasar tersebut.

"Saya dimaklumkan kutipan sewa yang diperoleh MPHTJ daripada peniaga terbabit hanya sekitar RM7,000 sebulan sedangkan jika mengikut jumlah penyewa di 211 tapak niaga, kutipan sepatutnya berjumlah RM50,000 sebulan.

"Saya pun tidak tahu mengapa ada peniaga tidak mahu membayar sewa sedangkan dalam pertemuan dengan saya mereka memberitahu perniagaan masing-masing mencatatkan keuntungan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa melawat pasar borong itu di sini hari ini. Hadir sama, Yang Dipertua MPHTJ, Sapiah Haron.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, beliau telah meminta MPHTJ supaya mengeluarkan tender pada minggu depan supaya pasar berkenaan dapat diuruskan menerusi penswastaan.

"Saya sudah mengarahkan Yang Dipertua MPHTJ supaya mengeluarkan tender kepada syarikat yang berminat untuk menguruskan pasar ini secara penswastaan," katanya.

Katanya, tender akan dikeluarkan pada minggu ini dan tarikh permohonan akan ditutup dalam tempoh sebulan daripada tarikh ia dikeluarkan, justeru syarikat yang berminat diminta segera menghantar borang permohonan.

Jaringan kerjasama atasi gejala sosial

Posted:

Jaringan kerjasama atasi gejala sosial

Jaringan kerjasama atasi gejala sosial


SEORANG banduan mencium bayinya berusia lima hari ketika kali pertama bertemu pada Program Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri, di Penjara Seremban, semalam.


SEREMBAN 13 Sept. - Satu jaringan kerjasama akan diwujudkan antara kerajaan negeri dengan beberapa agensi meliputi Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (Pemadam) dan Jabatan Penjara dalam menangani gejala sosial di kalangan belia di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abd. Samad Ibrahim berkata, jaringan yang bakal diwujudkan itu memberi peluang kepada agensi berkaitan untuk melaksanakan pelbagai program kepada masyarakat khususnya golongan belia.

Kata beliau, ia juga adalah salah satu cara bagi pihaknya untuk memberi kesedaran kepada golongan belia yang mudah terdedah dengan aktiviti jenayah.

"Ini merupakan salah satu usaha sama yang akan kita jalinkan dengan agensi-agensi ini supaya ia bukan sahaja memberikan manfaat kepada kedua-dua agensi malah ia memberikan impak kepada golongan belia," katanya.

Abd. Samad berkata demikian selepas menghadiri Program Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jabatan Penjara Seremban di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Penjara Seremban, Komisioner Hafidz Osman.

Kata Abd. Samad, modul mengenai kerjasama itu akan dibincangkan kelak supaya ia memberikan impak kepada peserta yang akan mengikuti program berkenaan.

Mengulas program berkenaan, Abd. Samad berkata, program seperti ini merupakan salah satu landasan terbaik buat banduan untuk menginsafi diri atas kesiapan yang mereka lakukan dahulu.

Malah ia juga salah satu cara terbaik untuk banduan di penjara ini untuk mengeratkan silaturahim selain beramah mesra sempena Aidilfitri kali ini.

Melaka optimis capai Bandar Teknologi Hijau

Posted:

Melaka optimis capai Bandar Teknologi Hijau

Melaka optimis capai Bandar Teknologi Hijau

MELAKA 13 Sept. - Kerajaan negeri optimis dapat mencapai status Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020 melalui pelaksanaan pelbagai strategi termasuk pembinaan projek mega Melaka World Solar Valley di kawasan Rembia, di sini yang melibatkan pelaburan melebihi RM2 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek di atas tanah seluas 7246.23 hektar itu merupakan kawasan pembangunan teknologi hijau pertama di negara ini dan yang terbesar di dunia.

Menurutnya, prasarana itu bukan sahaja bakal mengeluarkan produk berasaskan teknologi hijau yang tenaganya boleh diperbaharui malah, berupaya memberikan nilai tambah kepada pendapatan rakyat negeri itu.

"Apabila projek ini siap kelak, penduduk akan memperolehi faedahnya kerana akan wujud peluang pekerjaan, perniagaan dan juga pembangunan insan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Seminar Pengurusan Buangan Terjadual Ke Arah Teknologi Hijau Peringkat Negeri Melaka 2011 di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Antara strategi yang telah dilakukan ke arah mencapai Bandar Teknologi Hijau adalah pelancaran Melaka Green City, penubuhan Akademi Teknologi Hijau Melaka dan melaksanakan beberapa projek kitar semula minyak masak terpakai sebagai sumber biodiesel.

Mohd. Ali berkata, bagi menjayakan matlamat berkenaan, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bermula daripada institusi kekeluargaan, agensi awam dan swasta serta sektor korporat.

"Kerajaan negeri telah bergerak aktif dalam menjayakan misi ini dan berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab bertepatan dengan slogan Melaka Maju, Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau," katanya.

Justeru itu, katanya, penggerak industri di negeri itu juga disaran menjalankan kajian mengenai pengurusan sisa buangan bersama pihak Akademi Teknologi Hijau Melaka, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (utem) serta Sirim bagi memastikan kaedah pelupusan sisa buangan bersifat mesra alam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved