Rabu, 14 September 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Jual PPR: Bila akan selesai?

Posted:

Jual PPR: Bila akan selesai?

Jual PPR: Bila akan selesai?

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Projek Perumahan Rakyat Seri Semarak di Setapak, Kuala Lumpur adalah antara perumahan yang ditawarkan oleh kerajaan untuk dijual kepada penyewanya tetapi ramai penyewa yang berdepan masalah terutama mendapatkan pembiayaan.


KUALA LUMPUR 14 Sept. - Ramai pembeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara yang menerima surat tawaran kini dihantui tanda tanya apakah impian mereka untuk memiliki rumah sendiri akan terlaksana atau sebaliknya.

Ini kerana sehingga kini tiada petunjuk jelas masalah yang mereka tanggung kini selepas pihak bank menolak permohonan pinjaman mereka atas faktor usia, disenarai hitam dan sebagainya, akan ada penyelesaiannya.

Namun, ada pula pembeli yang sudah diluluskan pinjaman oleh pihak bank tetapi tawaran lanjut pula masih tidak diterima daripada kerajaan walaupun mereka sudah dijanjikan rumah sebelum ini.

Sehubungan itu, mereka merayu Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kementerian supaya lebih serius dalam mencari penyelesaian segera dan terbaik bagi membantu menyelesaikan masalah pembeli itu.

Mereka turut merayu supaya prosedur jual beli dipermudahkan dan kerenah birokrasi agensi kerajaan dikurangkan.

Penghuni beberapa PPR dan PA yang telah diumumkan untuk dijual termasuk PPR Seri Semarak mahu masalah itu diselesaikan segera agar lebih ramai warga kota berpendapatan rendah mampu memiliki rumah sendiri.

Bagi Rosnah Hussian, 44, dia hairan kerana sehingga kini status jual beli rumahnya masih tidak diketahui sedangkan pinjaman telah diluluskan pihak bank.

Katanya, kali terakhir dia berurusan di pejabat DBKL ialah lebih enam bulan lalu dan selepas itu tiada sebarang perkembangan terbaru diterima sehingga kini.

Nasib yang sama menimpa Ella Abdullah, 36, yang juga sudah menyelesaikan urusan pinjaman dan melunaskan beberapa bayaran tambahan yang dikehendaki tetapi masih tidak menerima tawaran lanjut.

Anuar Shahahuddin, 51, pula mengakui dia terpaksa membuang jauh hasrat untuk membeli rumah yang disewa kini kerana faktor bekerja sendiri dan usia tidak memungkinkan pinjamannya diluluskan.

"Sekiranya kerajaan benar-benar ingin membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri, mekanisme terbaik perlu dicari segera. Jika beginilah sulitnya sehingga ke akhir hayat kami terpaksa menyewa," ujarnya.

Abdul Rahman Mohamad, 44, berkata, usia rumah dan banyak kerosakan yang dialami menjadi antara punca ramai penyewa memilih untuk terus menyewa daripada membeli rumah yang mereka diami itu.

Berbeza pula dengan Toriah Salleh, 54, yang dianggap lebih beruntung berbanding rakan-rakan lain.

"Alhamdulillah, dengan wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) serta pinjaman yang dihulur seorang saudara membolehkan saya membeli rumah secara tunai,'' ujarnya.

Kebakaran ragut keceriaan raya

Posted:

Kebakaran ragut keceriaan raya

Kebakaran ragut keceriaan raya

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusan.com.my

TANJUNG KARANG 14 Sept. - Kemeriahan sebuah keluarga menyambut Aidilfitri baru-baru ini musnah apabila rumah mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Sungai Tunggul di sini pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, lapan buah mesin jahit yang digunakan oleh Nurliza Sawadi, 35, untuk mencari rezeki turut musnah bersama 70 helai pakaian yang ditempah para pelanggannya.

Malah, kebakaran itu nyaris meragut nyawa anak tunggalnya, Azril Irsyad Hanafi, 7.

Menurut Nurliza, ketika kejadian pada pukul 4.45 petang, dia keluar seketika untuk menyelesaikan beberapa urusan dan meninggalkan anaknya itu yang sedang demam berseorangan.

"Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan memaklumkan kebakaran itu dan sebaik sahaja sampai di rumah, saya tergamam apabila melihat rumah telah musnah dan wajah Azril terus terbayang," katanya di sin.

Nurliza berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abd. Razak bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam.

Dalam kejadian tersebut, Azril Irsyad yang sedang bermain permainan video sempat melarikan diri sebaik sahaja menyedari rumahnya sedang dijilat api.

Kanak-kanak itu juga sempat mengambil kunci kereta ibu dan meminta bantuan jiran dan juga saudaranya yang tinggal di sebelah rumah untuk mengeluarkan kenderaan ibu dari garaj.

Sementara itu, Sulaiman berkata, pihaknya akan berbincang dengan keluarga terbabit mengenai pilihan bantuan yang boleh dihulurkan bagi meringankan bebanan mereka.

"Selain skim Program Bantuan Rumah (PBR) dengan kos pembinaan RM33,000 secara percuma, bantuan juga boleh disalurkan menerusi Skim Rumah Mesra Rakyat dengan kos RM70,000 sebuah rumah," kata beliau.

Pada lawatan tersebut, Nurliza yang kini menumpang sementara di rumah saudaranya turut menerima sumbangan barangan dapur seperti beras, gula dan minyak bagi meringankan bebannya akibat kejadian itu.

Penternak berang kandang lembu diroboh

Posted:

Penternak berang kandang lembu diroboh

Penternak berang kandang lembu diroboh


Nasha Kaur (dua dari kanan) cuba ditenangkan oleh ahli keluarganya ketika Majlis Perbandaran Subang Jaya mengadakan operasi merobohkan kandang lembu miliknya di Serdang Jaya, kelmarin.


KUALA LUMPUR 14 Sept. - Pemilik kandang lembu di Taman Serdang Jaya dekat sini bertindak membaling tong air kepada salah seorang wakil sebuah syarikat pemaju ketika kandang lembu miliknya dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) semalam.

Wanita itu berang dengan tindakan meroboh itu walaupun tahu tapak kandang lembunya yang berusia 25 tahun itu dibina di atas tanah milik pemaju berkenaan.

Penolong Pengarah Perancang Bandar MPSJ, Asmidar Shaarin berkata, tindakan meroboh itu diambil selepas pemilik kandang berkenaan gagal mematuhi notis yang dikeluarkan kepadanya.

"MPSJ sudah beberapa kali mengeluarkan notis pindah kepada pemilik kandang lembu ini, tetapi dia gagal mengambil sebarang tindakan untuk mengosongkan kawasan ini.

"Berikutan itu, kami terpaksa bertindak merobohkan kandang-kandang tersebut selepas notis terakhir dikeluarkan pada minggu lepas," katanya ketika ditemui semasa operasi meroboh itu dilaksanakan.

Asmidar berkata, pemilik kandang lembu tersebut bukan sahaja membina kandang di atas tanah milik pemaju, malah mereka turut menggunakan utiliti seperti bekalan air dan elektrik yang terdapat di kawasan berdekatan kandang secara haram.

Selain itu, katanya, pemilik itu juga didakwa mengaut keuntungan dengan meminta bayaran kepada pihak yang membuang sampah berdekatan kandang tersebut.

Beliau berkata, kesemua 80 ekor lembu milik wanita itu akan dipindahkan ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Sungai Nilam, Hulu Selangor di bawah Program Pemindahan Lembu yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor.

Beliau berkata, tanah seluas kira-kira empat hektar turut akan diberikan kepada penternak untuk mereka meneruskan usaha itu, di samping semua kemudahan asas telah disediakan di TKPM.

Sementara itu, pemilik kandang berkenaan, Nasha Kaur berkata, dia berasa tidak tenteram sejak beberapa hari lalu kerana memikirkan kandangnya yang akan dirobohkan itu.

"Apa yang paling saya risaukan adalah apabila memikirkan kos pembinaan semula kandang lembu tersebut yang memerlukan hampir RM100,000," katanya.

Operasi meroboh yang diketuai oleh MPSJ itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan pemaju, Tetuan Peringkat Istimewa Sdn. Bhd.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved