Rabu, 21 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


RM200j bina rumah rakyat

Posted:

RM200j bina rumah rakyat

RM200j bina rumah rakyat

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

GUA MUSANG 20 Sept. - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoof berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan 1,500 buah rumah yang dibina melibatkan dua fasa.

"Fasa pertama melibatkan pembinaan 1,000 buah rumah, manakala bakinya akan dibina dalam fasa kedua dan projek ini sedang giat berjalan.

"Kita jangka apabila siap, ia mampu menyelesaikan isu pemilikan rumah dan setinggan di DUN Galas melibatkan kawasan berhampiran stesen kereta api, sungai dan beberapa kawasan lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Cabaran Nenggiri 2011 yang membabitkan 60 pelajar Politeknik dari seluruh negara di sini, semalam.

Ab. Aziz yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang memberitahu kos untuk membina sebuah rumah di bawah PPR itu bernilai RM85,000.

"Begitupun, pembeli hanya perlu membayar RM35,000 manakala selebihnya akan ditanggung oleh pihak kerajaan.

"Ini menunjukkan keprihatinan pihak kerajaan dalam membantu golongan yang berpendapatan rendah untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa seperti orang lain," katanya.

Hati-hati pilih maklumat sejarah

Posted:

Hati-hati pilih maklumat sejarah

Hati-hati pilih maklumat sejarah

KOTA BHARU 20 Sept. - Golongan muda menjadi keliru dengan sejarah kemerdekaan disebabkan sikap sesetengah pihak yang mahu menegakkan benang basah tanpa sebarang rujukan sejarah.

Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, generasi muda mesti berhati-hati dalam menerima maklumat yang diperoleh sama ada menerusi internet dan pelbagai medium lain bagi mengelak mereka terpengaruh tanpa mengetahui latar belakang sebenar.

Beliau berkata, perkara ini perlu ditekankan lebih-lebih lagi dengan timbulnya gesaan daripada pembangkang yang kian agresif meluahkan hasrat mahu menulis semula sejarah negara sehingga ke tahap mahu menukar Jalur Gemilang.

"Adakah kerana kita tidak setuju dengan keadaan sekarang, pemimpin sekarang, maka kita rasa mereka salah terutama dari segi sejarah, adakah masa kita (pembangkang) mentadbir nanti kita akan tukar bendera, tulis semula sejarah?

"Saya rasa ini berbahaya, sebab yang kita bercakap ini adalah sejarah negara, bukan sejarah parti politik, bukan sejarah individu, ia adalah sejarah negara, sejarah kebangsaan, usaha mencapai kemerdekaan itu bukan sejarah UMNO, Parti Perikatan tapi kemerdekaan adalah sejarah kebangsaan.

"Fakta Almarhum Tunku Abdul Rahman adalah orang yang bertanggungjawab membawa kemerdekaan negara kita tidak boleh dinafikan, kita tidak boleh kata orang lain yang dapatkan kemerdekaan, kita tidak boleh jadikan sejarah sebagai isu politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bicara Tokoh bertajuk Kemerdekaan: Mencari Maksud dan Bagaimana Mengurus Kejayaannya anjuran Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, hari ini.

Hadir sama pada program sempena sambutan kemerdekaan negara itu adalah Pengarah HUSM, Datuk Zaidun Kamari.

Ramlah berkata, pimpinan atau individu biasa tidak kira yang menyokong kerajaan ataupun pembangkang mesti bertanggungjawab ketika menulis dan mengeluarkan kenyataan dan memikirkan implikasinya.

"Dia kena ada rasa tanggunggjawab kepada negara, dia kena membaca, buat rujukan kemudian berbincang dan dia juga kena belajar dulu subjek itu, dia tidak boleh juga tegas dengan pandangannya kerana ilmu itu sentiasa berkembang.

"Pemimpin bila bercakap mereka ini didengari dan pandangan mereka menjadi ikutan, kita kena fikir impak pegangan kita kepada generasi muda yang pengetahuan dan pengalaman mereka terbatas dan hanya lebih meminati maklumat merapu yang mereka dapati menerusi internet," katanya.

Beliau menambah, apabila membincangkan bab kemerdekaan, perpaduan kaum mesti diutamakan kerana kemerdekaan hari ini didukung oleh parti pelbagai kaum yang dipilih rakyat sejak daripada pilihan raya pertama lagi.

"Perpaduan kaum sangat penting, sebab kalau kita tidak bersatu negara boleh kacau bilau, akan bergaduh, ini tidak bagus untuk pembangunan ekonomi, pendidikan dan politik.

"Dasar kerajaan sudah baik tapi masyarakat terutamanya bukan Melayu kena ikhlas mahukan perpaduan dan tidak membiarkan kerajaan sahaja yang beria-ia, janganlah lagi kita berpolitik mengikut kepentingan ras," katanya.

1,268 tidak tuntut wang zakat

Posted:

1,268 tidak tuntut wang zakat

1,268 tidak tuntut wang zakat

KUALA TERENGGANU 20 Sept. - Seramai 1,268 daripada 32,000 orang yang disenaraikan sebagai penerima zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada tahun ini tidak tampil mengambil wang berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman memberitahu, seramai 21 orang pula mengembalikan wang yang diterima dengan kesedaran bahawa mereka tidak lagi berhak menerimanya.

''Perubahan taraf hidup mereka yang semakin baik dan kesedaran masyarakat mungkin menggambarkan keadaan ini.

''Pada tahun lalu kira-kira 3,000 orang menolak pemberian itu kerana merasakan mereka tidak lagi layak dan telah keluar daripada kelompok asnaf," ujarnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini, beliau memberitahu, Maidam memperuntukkan RM12.7 juta bagi pemberian zakat kepada 32,000 penerima tahun ini.

Menyentuh mengenai pungutan pelbagai jenis zakat, beliau berkata, pihaknya menjangkakan sejumlah RM80 juta boleh dikumpul sepanjang tahun ini.

''Sepanjang Ramadan lalu, kita menerima RM22.36 juta, pertambahan sebanyak RM3 juta berbanding Ramadan 2010," ujarnya.

Katanya, hasil pungutan zakat digunakan sebaik mungkin untuk membangunkan kehidupan umat Islam termasuk dalam aspek peningkatan kesejahteraan hidup, menjana ekonomi dan meningkatkan tahap pendidikan.

Beliau menarik perhatian, pihaknya terus berusaha mempelbagaikan kegiatan seiring dengan keperluan dan tuntutan keadaan semasa.

''Segala apa yang kita rancang dan laksanakan akan diumumkan kepada masyarakat untuk membolehkan mereka mengetahui bahawa ke manfaat wang itu," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved