Rabu, 21 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Langkah pertama kebebasan media

Posted:

Langkah pertama kebebasan media

Langkah pertama kebebasan media

PENTADBIRAN Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjanjikan transformasi politik dan ekonomi nampaknya belum lagi bersedia untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, sama seperti yang ingin dilakukan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan beberapa akta lain yang dianggap mengongkong.

Buat waktu ini kesediaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-6 itu hanyalah untuk memanjangkan hayat permit penerbitan, yang diberi di bawah akta tersebut. Di bawah peraturan yang ada sekarang, seperti yang ditetapkan oleh Seksyen 12 (1) AMCP kesahan lesen/permit penerbitan adalah untuk tempoh 12 bulan dari tarikh diberi atau dikeluarkan.

Selepas tempoh itu berakhir, permit penerbitan itu – baik untuk akhbar atau majalah atau penerbitan berkala yang lain, perlu diperbaharui dengan sedikit bayaran yang kuantumnya ditentukan oleh kekerapan ia diterbitkan. Yuran tahunan yang dikenakan bagi akhbar harian ialah RM3,000 manakala majalah bulanan pula RM400.

Pembaharuan tahunan permit penerbitan itu juga bukanlah sesuatu yang automatik. Pemegang permit perlu mengemukakan permohonan. Permohonannya boleh ditolak oleh menteri yang bertanggungjawab. Dalam kes-kes tertentu, kesahan permit penerbitan itu juga boleh jadi lebih singkat, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan sewaktu permit dikeluarkan.

Dalam kes yang ekstrem pula, ada permit penerbitan, atas sebab-sebab tertentu seperti yang telah digariskan oleh AMCP, digantung atau dibatalkan. Dalam sejarah persuratkhabaran negara, akhbar-akhbar The Star, Sin Chew, Watan, Suara Rakyat, Sarawak Tribune, Makkal Osai pernah digantung permit penerbitan mereka kerana menyiarkan tulisan-tulisan yang dianggap memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kemoralan.

Di bawah pindaan yang dijanjikan oleh Najib dalam ucapan sempena menyambut Hari Malaysia ke-48 pada 15 September 2011, permit penerbitan – sebaik-baik sahaja dikeluarkan adalah untuk selama-lamanya kecuali ia dibatalkan oleh pihak berkuasa. Pembaharuan tahunan, seperti yang diamalkan sekarang, tidak lagi diperlukan.

Seperti yang dijangka, pengumuman Najib itu disambut dengan reaksi yang bercampur baur. Para pengarang akhbar dan majalah ada yang melompat kegembiraan apabila diberi jaminan yang permit penerbitan untuk mereka tidak lagi perlu diperharui secara tahunan.

Tetapi pada waktu yang sama ada juga kalangan yang berpandangan apa yang dijanjikan oleh Najib itu adalah langkah kecil yang superficial dan tidak menggambarkan transformasi politik dan ekonomi yang mahu dilaksanakan. Mereka berpendapat seiring dengan pindaan yang mahu dibuat terhadap AMCP, mereka juga mahu melihat bahawa kuasa pembatalan permit yang berstatus kekal itu dibuat dengan cara yang lebih telus.

Kuasa menteri di bawah peraturan sekarang adalah mutlak. Keputusan yang telah dibuat, termasuk menolak pemberian permit penerbitan tidak boleh dicabar di mahkamah. Lalu ada yang mencadangkan supaya kuasa mutlak menteri itu hendaklah turut dimansuhkan dan digantikan dengan suatu sistem yang lebih terbuka dan bertamadun.

Mana-mana penerbitan yang permitnya digantung atau dibatalkan hendaklah diberi ruang untuk mengemukakan rayuan kepada pihak ketiga yang tiada kaitan dengan cabang eksekutif – dalam kes ini tentulah mahkamah.

Dengan itu kaedah check and balance, yang memang dituntut oleh sebuah demokrasi yang matang, boleh beroperasi sepenuhnya. Lagi pun seperti yang berulang kali dinyatakan oleh Perdana Menteri, sendiri era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir. Maka itu, pertimbangan daripada pihak kehakiman berkait dengan pembatalan permit penerbitan itu, jika ia mahu dilakukan juga, dirasakan wajar.

Ada juga pandangan, jika kerajaan benar-benar serius untuk melakukan pembaharuan politik khususnya dalam kerangka untuk mewujudkan sebuah masyarakat demokratik yang matang seperti yang dihasratkan oleh Wawasan 2020, ia patut memikirkan untuk berhijrah kepada sistem penerbitan akhbar dan majalah tanpa permit penerbitan.

Siapa juga yang ingin menerbitkan akhbar dan majalah bebas berbuat demikian asalkan ia diusahakan oleh sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Serahkan kelangsungan hidup sesebuah penerbitan itu kepada pasaran, bukannya kerajaan. Serahkan hala tuju dasar editorial sesebuah penerbitan itu kepada pemiliknya dan para pengarangnya yang profesional dan berpegang kepada kewartawanan yang bertanggungjawab bukannya AMCP atau garis panduan khusus yang digubal oleh KDN untuk membantu mengawal selia media cetak.

Organisasi persuratkhabaran dan majalah adalah entiti perniagaan yang masa depannya ditentukan untung rugi syarikat.

Jika benar ada antara mereka melakukan kesalahan, mereka boleh didakwa menggunakan pelbagai undang-undang lain, baik yang mengawal media secara langsung atau tidak langsung.

Ini termasuklah Akta Hasutan, 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hakcipta 1987, Akta Fitnah 1957, Akta Iklan Lucah, 1953, Akta Percetakan Teks Al-Quran, 1986, Akta Perubatan (Iklan dan Jualan), 1956, Akta Paten 1983, Akta Penapisan Filem 1952, Akta Polis 1967, Kanun Keseksaan dan dua undang-undang baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Bergantung pada kesalahan yang dilakukan, media dan penerbitan juga boleh didakwa antara lain di bawah Akta Syarikat 1965, Akta Perpustakaan Negara, 1972, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959, Akta Arkib Negara 1966.

Memandangkan terdapat begitu banyak undang-undang yang boleh digunakan untuk mendisiplinkan media, maka kalangan pengamal media cetak ada yang berpendapat bahawa apa yang patut dilakukan oleh kerajaan selepas ini bukan sekadar meminda AMCP secara adhoc, tetapi secara komprehensif. Ini termasuk mempertimbangkan kemungkinan memansuhkan AMCP sama sekali.

Bagi mereka pengekalan AMCP hanya melambangkan sikap double standard kerajaan terhadap kebebasan media. Media cetak – akhbar dan majalah khususnya masih dikawal menerusi akta itu dan satu garis panduan khusus yang telah digubal di bawah AMCP, manakala portal berita dan media sosial yang lain bebas untuk melaporkan apa sahaja, termasuk pembohongan dan tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka.

Malah kekangan AMCP itu kini didakwa menjejaskan kewibawaan akhbar-akhbar itu sendiri di kaca mata audiennya, menyebabkan berlakunya penghijrahan pembaca ke portal berita. Persepsinya di sini adalah selagi ada AMCP, media khususnya akhbar dan majalah sebenarnya berada di bawah telunjuk kerajaan, walaupun kita tahu persepsi itu tidak tepat seratus peratus.

Ini kerana dasar editorial sesebuah penerbitan itu sebenarnya ditentukan dan dicorakkan bukan oleh AMCP tetapi oleh tuan empunyanya. Tetapi selagi persepsi ini wujud, selagi itulah kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia kekal terperosok di tangga terendah.

Atas sebab-sebab itu ada yang mencadangkan selain memansuhkan AMCP, beberapa akta lain yang turut mengongkong pengaliran maklumat turut dijadikan sejarah. Secara lebih spesifik yang disebut adalah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tiga orang wartawan pernah didakwa mengikut akta itu pada 1985 kerana menggunakan bahan-bahan yang dianggap rahsia rasmi dalam penulisan berita dan rencana. Seorang wartawan telah didenda RM7,000 manakala dua yang lain masing-masing didenda RM10,000.

Agaknya sudah tiba masanya Akta Rahsia Rasmi 1972 itu digantikan dengan Akta Pengaliran Bebas Maklumat yang dianggap penting untuk membolehkan para wartawan memainkan peranannya dalam mengukuhkan demokrasi yang dianggap matang.

Selain itu, cadangan juga dibuat oleh sebilangan pengamal media supaya kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus yang melindungi para wartawan daripada mendedahkan sumber atau pemberi maklumat yang digunakan untuk menghasilkan berita atau rencana khususnya dalam kes-kes yang membabitkan kepentingan umum.

Beberapa buah negeri di Amerika Syarikat sudah pun mewujudkan undang-undang serupa itu yang dikenali sebagai shield law. Kongres negara itu juga sedang menimbang untuk mewujudkan akta yang sama pada peringkat Persekutuan.

Sudah tentu impian terakhir yang didambakan oleh pengamal media dalam perjuangannya, di mana juga termasuk di Malaysia adalah untuk melihat status kebebasan media itu dimaktubkan dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan sama seperti wujudnya apa yang dipanggil sebagai First Amendment dalam Perlembagaan Amerika Syarikat.

Dalam mengejar impian ini, kita henalah realistik. Perjuangan ini memerlukan ketabahan dan sudah tentu penuh dengan onak dan duri. Ia mengambil masa yang panjang. Kita kena ingat bahawa kota Rome atau malah Putrajaya yang berdiri gagah sekarang, tidak dibina dalam masa satu hari. Jika kita berpegang dengan ingatan ini, maka keputusan Najib untuk memansuhkan tempoh hayat tahunan permit penerbitan bolehlah dianggap sebagai langkah pertama ke arah mengejar cita-cita mewujudkan kebebasan media yang sejati.

DATUK CHAMIL WARIYA

ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut

Akhbar Malaysia (MPI).

Jual Kompleks PKNS: Labur atau lebur?

Posted:

Jual Kompleks PKNS: Labur atau lebur?

Jual Kompleks PKNS: Labur atau lebur?

Oleh Badrul Hisham Abdul Aziz


Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam menjadi pusat perniagaan orang Melayu.


KEWUJUDAN Kompleks PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) di Shah Alam sinonim dengan pembangunan dan kemajuan bandar tersebut. Dari sebuah bandar kecil pada tahun 1970-an, Shah Alam muncul sebagai ibu negeri Selangor menggantikan Kuala Lumpur, yang bertukar tangan menjadi Wilayah Persekutuan pada tahun 1974.

Kompleks tersebut adalah pemangkin kepada perkembangan Shah Alam, kota raya Melayu yang turut menempatkan Istana Bukit Kayangan, kegunaan rasmi Sultan Selangor.

Kompleks PKNS Shah Alam juga sinonim dengan kemunculan dan perkembangan Institut Teknologi Mara (ITM) yang kemudiannya meningkat menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM). Para mahasiswa dan siswazah ITM/UiTM pasti tidak dapat melepasi nostalgia dengan kompleks Melayu itu kerana di sanalah mereka bertumpu saban hari setelah kepenatan berkuliah.

Kompleks PKNS Shah Alam adalah pusat perniagaan usahawan kecil Melayu bertapak di bawah satu bumbung yang diurus sempurna oleh perbadanan tersebut. Di sana bermulanya, perniagaan kecil orang Melayu, perusahaan orang Melayu dan perkhidmatan orang Melayu.

Pendek kata, segala-galanya bermula di situ. Pemusatan tersebut juga merupakan timbal-balik kepada PKNS sendiri. Para peniaga kecil berkenaanlah yang selama ini telah menghidupkan kompleks tersebut sehingga ia bertahan sehingga ke hari ini.

Kini, para peniaga berkenaan yang telah menjadi 'talian hayat' kepada PKNS meneruskan nafasnya mungkin terpaksa berundur. Manakan tidak, mereka telah diberikan notis rasmi baru-baru ini mengenai kadar sewa yang bakal berkuatkuasa mulai Januari 2012.

Kenaikan kadar baharu itu tentulah atas nama pemodenan dan penambahbaikan yang dilakukan melalui pindah milik premis berkenaan kepada pemilik baharu.

Apakah pilihan yang ada pada para peniaga yang sedia ada di sana.

Pilihan yang pasti tentulah merintih seperti bait yang terdapat dalam lagu Warisan: "Air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang."

Para peniaga dan pengusaha yang menjadi penerus kelangsungan PKNS selama ini mungkin terpaksa menjadi mangsa seperti mana bait-bait seterusnya dalam lagu Warisan iaitu: "Tergadai seluruh harta benda, Akibat sengketa sesamalah kita. Cinta lenyap di arus zaman."

Pentadbiran kerajaan Selangor dan juga PKNS mungkin tidak setuju dengan pandangan ini kerana bagi mereka tiga buah aset meganya termasuk SACC Mall di Shah Alam dan ibu pejabatnya sendiri iaitu Menara PKNS di Petaling Jaya perlu dipindah milik untuk menjana pendapatan berganda.

Menurut Pengurus Korporat PKNS, Norhisham Mohd Ghouth kepada akhbar Sinar Harian kelmarin, tiga bangunan tersebut hanya mengalami proses pengambilalihan sebagai usaha PKNS untuk menjana pendapatan sedia ada menerusi pelaburan dalam Real Estate Investment Trust (REIT).

Ini bermakna aset-aset tersebut tidak dijual. Sebaliknya ia adalah usaha mereka untuk menaikkan nilai harta tersebut. Ringkasnya, ia adalah pelaburan!

Barangkali kerajaan negeri Selangor mencontohi 'kepakaran' kerajaan Kelantan dalam proses memindahkan para peniaga Melayu ke Kompleks Tok Guru di Kota Baru yang pastinya tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada para peniaga.

Tentu mereka juga telah mempelajari kaedah menyahkan para peniaga Melayu di Kompleks Komtar di atas kepintaran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menggandakan kadar sewa atas nama penambahbaikan.

Sudah menjadi rahsia yang menjadi perbualan umum mengenai tindak-tanduk kerajaan negeri Selangor pimpinan DAP tetapi ditopengkan dengan Menteri Besar PKR, meleburkan pelaburan warisan seperti Yayasan Selangor. Cabang pendidikan khususnya untuk menaikkan tahap pencapaian anak-anak Melayu dari desa yang telah berjasa itu akan diundurkan.

Dua buah bangunan berjasa yang menjadi asrama pusat yayasan itu di Kampung Pandan, Kuala Lumpur bakal dikorbankan atas nama pelaburan juga.

Kononnya lokasinya yang dihimpit oleh pembangunan pelbagai tidak sesuai lagi sebagai asrama. Ironinya, beberapa buah sekolah di kawasan itu termasuk Sekolah Aminuddin Baki (SAB) tidak pula ditimpa masalah – kerana ia bukan milik Kerajaan Negeri Selangor. Jika sekolah-sekolah berkenaan milik Selangor, pasti akan dileburkan juga.

Kini giliran Kompleks PKNS. yang terletak di Seksyen 14 Shah Alam, dah lebur... Bila pula kompleks PKNS di Bangi akan menerima nasib yang sama...? Adakah Kompleks PKNS Bangi masih belum cukup tinggi nilainya sebelum ia menerima nasib yang sama! Atau, kompleks di Bangi itu akan dileburkan seiring dengan 'pelaburan' hartanah milik Yayasan Selangor di Klang kelak?

Patutkah Datuk Nik Aziz Nik Mat dipersalahkan di Kelantan atau Guan Eng di Pulau Pinang? Salah jugakah Tan Sri Khalid Ibrahim yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor. Atau, ada pihak lain yang patut disalahkan.

Buat masa ini kita ucapkan 'tahniah' terlebih dahulu kepada pengundi Melayu di Shah Alam dan Selangor amnya kerana kejayaan mereka membuka peluang kepada usaha menggadai apa sahaja yang boleh dijadikan wang! Mungkinkah Melayu terus layu...?

DATUK BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ ialah bekas Ahli Parlimen Hulu Langat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved