Isnin, 12 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Hotel wakaf model berciri Islam

Posted:

Hotel wakaf model berciri Islam

Hotel wakaf model berciri Islam

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my


HOTEL Wakaf yang masih dalam pembinaan di Jalan Masjid Abidin hanya dijangka siap dan mula beroperasi pertengahan tahun hadapan.


KUALA TERENGGANU 11 Sept. - Hotel wakaf pertama di negeri ini yang sedang dibangunkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan dijadikan model hotel berciri Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata, ciri-ciri tersebut meliputi pelbagai aspek perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kelak.

Katanya, selain berada dalam persekitaran masjid, reka bentuk dan corak perkhidmatan kakitangannya kelak akan disesuaikan dengan kehendak agama manakala kemudahan seperti kolam renang akan diasingkan antara lelaki dan perempuan serta berbumbung.

"Hotel setinggi tujuh tingkat bernilai RM37.4 juta berhampiran Masjid Abidin di pusat bandar raya ini yang awalnya dijangka siap Oktober ini mungkin hanya akan siap awal tahun depan dan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2012," ujarnya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, hotel bertaraf tiga bintang itu dengan 180 bilik diharap dapat menampung keperluan dalam industri pelancongan negeri.

"Hotel yang belum diberi nama itu mula dibina pada Mei 2010 bagi mengatasi masalah kekurangan bilik hotel di bandar raya ini di samping menjana pendapatan bagi kegiatan Maidam dan menyediakan peluang pekerjaan," katanya.

Wan Harujan yakin hotel itu akan mendapat sambutan memandangkan kedudukannya dekat dengan masjid, perhentian bas dan Pasar Kedai Payang dan Masjid Abidin yang bersejarah.

Beliau berkata, Maidam memperoleh peruntukan bagi membiayai pembinaan hotel itu dari Jabatan Wakaf dan Haji Malaysia (Jawhar) dalam mempelbagai pendekatan menjana ekonomi tanah wakaf.

Katanya, Maidam bercadang membina tempat letak kereta bertingkat untuk kemudahan penginap kerana kawasan lapang yang agak terbatas dan kemudahan letak kereta agak terdesak di kawasan strategik itu.

Menurut beliau, hotel itu dijangka memberi peluang pekerjaan kepada hampir 100 orang terutama anak-anak yatim dan fakir miskin yang menerima bantuan zakat.

"Sekumpulan anak-anak yatim dan dari keluarga fakir miskin itu kini sedang dilatih di beberapa agensi pelancongan sebelum mereka diterima sebagai tenaga pekerja di hotel itu," katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, rancangan membina sebuah lagi hotel wakaf di Kampung Perlima berhampiran Pasar Besar Kedai Payang dan Dataran Shahbandar dijangka menjadi kenyataan pada tahun depan.

"Ia agak memakan masa kerana kerana menunggu kelulusan kerajaan berhubung penyusunan semula lot-lot tanah untuk disatukan meliputi tapak seluas 2,543 meter persegi.

"Projek hotel bajet yang melibatkan penyertaan pemaju swasta itu dianggarkan melibatkan kos RM20 juta dan bakal menyediakan 210 bilik," ujarnya.

Telaga gas metana: Pemilik gali telaga lain

Posted:

Telaga gas metana: Pemilik gali telaga lain

Telaga gas metana: Pemilik gali telaga lain

KUALA TERENGGANU 11 Sept. - Pemilik sebuah telaga tiub yang mengeluarkan gas metana di Kampung Padang Macang, Manir dekat sini tidak berhasrat menggunakan telaga tersebut sebaliknya akan menggali telaga lain untuk mendapatkan bekalan air tidak lama lagi.

Wan Fatimah Wan Deraman, 59, memberitahu, pun begitu dia tidak akan menutup tiub di telaga yang mengeluarkan gas berkenaan bagi mengelakkan gas tersebut terkumpul dan boleh menyebabkan kebakaran berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Katanya, dia dan ahli keluarganya akan menunggu sehingga keadaan kembali seperti sedia kala sebelum menggali telaga lain.

"Biarlah keadaan tenang dulu selepas itu barulah kami gali telaga yang lain.

"Tentang telaga ini kami belum tahu apa yang akan dilakukan tetapi buat masa sekarang saya perlu pastikan api terus menyala bagi memastikan ia tidak terkumpul di bawah kerana bimbang ia boleh menyebabkan kebakaran," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini kelmarin.

Beliau ditemui susulan penemuan gas oleh seorang buruh, Musa Omar, 48, Selasa lalu selepas menggali telaga tiub itu pada kedalaman kira-kira 11 meter dari permukaan tanah.

Kejadian itu telah menggemparkan penduduk sekitar kerana ia disifatkan pelik dan merupakan kejadian pertama berlaku di negeri ini.

Dalam pada itu, Jabatan Mineral dan Geosains negeri turut mengesahkan gas tersebut merupakan gas metana yang terhasil daripada pemendapan sisa tumbuhan lama kerana ia merupakan kawasan paya satu ketika dahulu.

Bagaimanapun, gas yang dihasilkan itu bersifat setempat dan jumlahnya tidak banyak dan akan habis dalam masa antara seminggu hingga dua minggu lagi.

Sementara itu, Wan Fatimah ketika menceritakan kejadian itu ujarnya, sebelum ini dia menggunakan air yang dibekalkan oleh Syarikat Bekalan Air Terengganu (Satu) namun ketika sambutan Aidilfitri lalu penggunaannya yang meningkat menyebabkan berlakunya masalah tekanan air.

Jelasnya, oleh sebab itu, dia meminta seorang buruh menggali sebuah telaga bagi memudahkan bekalan air diperolehi.

"Tetapi tidak sangka pula kejadian ini berlaku dan selepas berita ini tersebar rumah saya tidak putus dikunjungi orang ramai seawal pukul 6 pagi hingga tengah malam yang ingin melihat sendiri bagaimana gas tersebut terhasil," katanya.

Konvoi amal ceriakan anak yatim

Posted:

Konvoi amal ceriakan anak yatim

Konvoi amal ceriakan anak yatim


Zainol Samah mengibarkan jalur gemilang tanda pelepasan 100 buah motosikal berkuasa tinggi konvoi amal ke rumah anak yatim sempena Program Ride Amal Jom Raya Bersama Anak Yatim 2011 di perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kelantan, kelmarin.


KOTA BHARU 11 Sept. - Sebanyak 100 motosikal berkuasa tinggi menyertai konvoi amal ke rumah anak yatim sempena Program Ride Amal Jom Raya Bersama Anak Yatim 2011 yang berlepas dari pekarangan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kelantan di sini semalam.

Program anjuran Rock Riders Big Bike Club Kelantan itu turut disertai beberapa pegawai dan anggota polis dari IPK yang mengadakan majlis hari raya di Rumah Anak Yatim Markas Al-Aitam, Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh.

Kumpulan terbabit yang berkonvoi sejauh 100 kilometer dari Kota Bharu dilepaskan oleh Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Bahagian Operasi, Supritendan Zainol Samah.

Ketika ditemui beliau berkata, kerjasama antara polis dan kumpulan terbabit yang mewakili orang awam diharap mengakrabkan lagi hubungan kedua belah pihak.

"Penyertaan polis dalam program ini antara yang ditekankan dalam aspek kepolisan komuniti sebagai usaha bersama-sama masyarakat membanteras jenayah. Di samping itu ia membantu melancarkan konvoi amal dan kerja-kerja kebajikan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu ahli jawatankuasa penganjur, Muhamad Afandi Yahya berkata, kumpulan tersebut akan menceriakan kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut dengan menjamu mereka 2,000 cucuk sate tajaan Umi Sate dari Pengkalan Chepa di samping pemberian duit raya.

"Program ini sering diadakan oleh pihak penganjur untuk berkongsi kegembiraan dengan pihak yang memerlukan terutama sempena Syawal yang kita raikan kini.

"Melalui bantuan pihak polis, konvoi berjalan lancar dan kami berharap lebih banyak lagi kerja-kerja amal yang melibatkan masyarakat akan dapat dilaksanakan pada masa hadapan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved