Isnin, 12 September 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Cakap biar berlandas fakta

Posted:

Cakap biar berlandas fakta

Cakap biar berlandas fakta

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 11 Sept. - Pemimpin pembangkang perlu memastikan setiap kenyataan yang dibuat adalah berlandaskan fakta dan bukannya bertujuan meraih populariti dan undi semata-mata.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini bagi mengelakkan berulangnya kes yang menimpa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu apabila beliau mengangkat komunis sebagai hero dalam tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Katanya, sedangkan kenyataan semberono Mohamad atau Mat Sabu itu hanya menimbulkan kemarahan orang ramai terutama keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam tragedi itu.

''Ini jelas memperlihatkan keperibadian orang (Mat Sabu) yang bercakap. Ia jelas menunjukkan kedangkalannya. Saya tahu bahawa orang ramai boleh menilai kenyataannya itu.

''Bukan orang Melayu sahaja marah, malah kaum Cina dan India pun marah kerana pada zaman darurat dahulu ketika komunis cuba hendak mengambil tampuk pemerintahan negara ini ramai yang dibunuh oleh mereka.

''Malah kaum lain juga dizalimi apabila rumah-rumah mereka dibakar kerana enggan bekerjasama dengan komunis," katanya ketika berucap pada majlis sambutan hari raya anjuran Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Sawah di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin; Ketua Pegawai Eksekutif Sains, Datuk Rosman Abdullah dan Pengerusi JKKK Kampung Kuala Sawah, Ab. Mutalib Sulaiman.

Jelas Mohamad, isu yang dibangkitkan oleh Mat Sabu ini bukan hanya melibatkan satu kaum semata-mata tetapi melibatkan semua kerana komunis bukanlah penuntut kemerdekaan yang sebenar.

Tambahnya, kenyataan itu hanya menambah luka kepada ahli keluarga pasukan keselamatan yang terlibat dalam tragedi itu selepas Mat Sabu dengan semberono mengatakan penyerang balai polis itu yang terdiri daripada komunis adalah hero.

''Inilah kuasa Allah hendak ditunjukkan kepada rakyat bahawa kerana tamak dan haloba mereka untuk mendapatkan kuasa dan simpati dari pengundi, mereka lupa apa yang mereka perkatakan.

''Tindakan mereka ini bukan hanya akan memakan diri sebaliknya akan menimbulkan kebencian kepada orang ramai," tegasnya.

Makna anjur pertemuan dengan pesakit, penghidap kanser

Posted:

Makna anjur pertemuan dengan pesakit, penghidap kanser

Makna anjur pertemuan dengan pesakit, penghidap kanser


TENGKU Puteri Lela Wangsa Pahang, Tengku Meriam Sultan Ahmad Shah (tengah belakang) bersama sebahagian ahli-ahli Majlis Kanser Negara (Makna) di Majlis Meraikan Wira Kanser di Cempaka International Ladies College (CILC) di Bandar Enstek, Nilai, semalam.


NILAI 11 Sept. - Majlis Kanser Nasional (Makna) menganjurkan pelbagai aktiviti bagi sekumpulan pesakit dan penghidap kanser yang masih hidup serta penjaga mereka dalam acara "Makna Meraikan Wira Kanser" yang diadakan selama tiga hari di Cempaka International Ladies College, Bandar Enstek dekat sini.

Pengurus Besar Makna Farahida Mohd. Farid berkata, 147 peserta dari seluruh negara menyertai pelbagai aktiviti dalam acara tersebut, yang dimulakan dengan lawatan ke Aquaria KLCC, Kuala Lumpur semalam.

Petang ini, mereka berkonvoi ke Palace of The Golden Horses untuk menghadiri majlis makan malam yang merupakan kemuncak aktiviti itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Farahida berkata, acara Makna Meraikan Wira Kanser antara lain bertujuan mengenali dan mengeratkan hubungan antara Makna dan pesakit kanser sejak Makna ditubuhkan 16 tahun lepas.

"Selain meraikan pesakit kanser yang berjaya menangani penyakit yang mereka hadapi, ia juga untuk memupuk sikap prihatin dan kesedaran di kalangan kakitangan, sukarelawan Makna serta individu lain dengan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Kita berharap ini akan memberi peluang kepada individu serta golongan korporat untuk bersama-sama meluangkan masa dan berkongsi pengalaman serta memberi sokongan moral kepada para pesakit kanser untuk tabah mengharungi kehidupan mereka," katanya.

— BERNAMA

Tiga kampung di Rantau jadi inap desa

Posted:

Tiga kampung di Rantau jadi inap desa

Tiga kampung di Rantau jadi inap desa

SEREMBAN 11 Sept. - Kerajaan negeri sedang merancang beberapa aktiviti di Rantau dekat sini selepas tiga buah kampung di kawasan itu digazetkan sebagai kawasan inap desa atau homestay baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiga kampung yang dipilih oleh Kementerian Pelancongan untuk dijadikan kawasan inap desa adalah Kampung Saga Ulu, Kampung Saga Tengah dan Kampung Saga Hilir.

Jelas Mohamad, kawasan itu dipilih memandangkan ia mempunyai nilai komersial selain mempunyai daya tarikan tersendiri untuk menarik lebih ramai pelancong bercuti sambil menikmati suasana kampung.

''Kita telah mengenal pasti produk pelancongan di kawasan ini bertemakan sukan air dan antara aktiviti yang dirancang termasuklah sukan berkayak dan River Cruise di sepanjang sungai berdekatan sepanjang 3.5 kilometer," katanya.

Beliau berucap pada majlis Sambutan Hari Raya anjuran Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Sawah di sini hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau memberitahu, perbincangan akan diadakan dengan semua pengerusi JKKK kampung bagi memilih rumah yang sesuai untuk dijadikan sebagai inap desa.

''Malah, saya difahamkan kawasan ini juga akan dibangunkan dengan beberapa prasarana termasuk calet selain kem bina semangat," katanya.

Beliau percaya dengan adanya aktiviti inap desa itu sektor pelancongan akan dapat dipertingkat dalam memenuhi matlamat kerajaan untuk mempertingkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini.

''Malah, kita jangka ia memberi faedah jangka panjang dengan menjana ekonomi selain mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan itu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved