Isnin, 12 September 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Khazanah berharga di Muzium Negara

Posted:

Khazanah berharga di Muzium Negara

Khazanah berharga di Muzium Negara

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
pengarang@utusan.com.my


IBRAHIM Ismail adalah penggerak utama untuk menjayakan pameran bertajuk Keajaiban Khazanah Kapal Karam di Muzium Negara, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR 11 Sept. - Perairan negara ini sememangnya kaya dengan seribu satu misteri dan di dasarnya terkandung sejarah penting yang membuktikan kegemilangan sesuatu peradaban pada suatu ketika dulu.

Kapal merupakan medium penting pada zaman dahulu yang berfungsi sebagai pengangkutan untuk menghubungkan sesuatu peradaban melalui aktiviti-aktiviti perdagangan antara sesebuah kerajaan.

Bermula 15 Ogos sehingga 15 Oktober ini, Muzium Negara mengembalikan kegemilangan zaman tersebut dengan mempamerkan 240 artifak yang ditemui dari 13 buah kapal karam di sekitar perairan negara yang pasti memberikan pengalaman berharga terutamanya kepada peminat sejarah.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail berkata, pameran yang bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang dengan bayaran RM3 itu diadakan bagi memaparkan penemuan terbaharu koleksi kapal karam yang ditemui di beberapa lokasi di negara ini.

Katanya, antara lokasi kapal-kapal karam yang dipamerkan pada pameran bertajuk 'Keajaiban Khazanah Kapal Karam' itu adalah di Selat Melaka, Laut China Selatan, perairan di Johor dan Terengganu.

"Kebanyakan kapal-kapal yang karam ini merupakan kapal yang membawa barangan perdagangan yang sekali gus membuktikan bahawa perairan negara kita, terutamanya di Selat Melaka merupakan laluan perdagangan yang penting pada satu ketika dulu.

"Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kapal-kapal ini karam iaitu terlibat dalam peperangan, berlanggar batu karang atau pun berlanggar sesama kapal," katanya.


SATU reka bentuk kapal karam yang diperbuat semula untuk tontonan umum dipamer di Muzium Negara.


Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang akhbar mengenai pameran tersebut di Muzium Negara di sini, baru-baru ini.

Menurut Ibrahim, artifak yang dipamerkan termasuklah barangan dari China iaitu koleksi barangan seramik dan porselin seperti pinggan, mangkuk dan juga sudu.

Menurutnya, motif dan corak yang terdapat pada pinggan mangkuk yang ditemui membolehkan pihaknya menentukan daripada Dinasti manakah artifak itu.

"Dalam tempoh pameran ini juga, pihak muzium akan mendapatkan artifak-artifak dari negara serantau seperti Filipina, Indonesia, Thailand dan Vietnam untuk dipamerkan di sini.

"Pameran ini turut menjadi pendedahan yang baik kepada pengkaji-pengkaji yang berminat dengan artifak yang dipamerkan yang antaranya terdapat dari Dinasti Ming, Dinasti Song dan sebagainya," jelasnya.

Pembeli kecewa belum dapat CF

Posted:

Pembeli kecewa belum dapat CF

Pembeli kecewa belum dapat CF

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


PEMBELI unit Apartmen Fadason Fasa 4A2 menunjukkan surat mengarahkan mereka untuk mengambil kunci rumah di Kepong, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/ Irwan majid


KUALA LUMPUR 11 Sept. - Pembeli unit Apartmen Fadason Fasa 4A2, Kepong, kesal kerana walaupun mereka telah mendapat surat mengarahkan mereka untuk mengambil kunci namun unit itu masih belum mendapatkan sijil Layak Menduduki (CF).

Seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Mala, 37, berkata, walaupun mereka sudah mendapat kunci kelak tetapi mereka masih tidak dapat tinggal di rumah itu.

Katanya, perkara itu adalah sesuatu yang tidak adil kepada pembeli dan merugikan mereka kerana tempoh jaminan liabiliti yang ditanggung oleh pemaju bermula dari tarikh kunci diambil, selain tidak dapat tinggal di rumah itu setelah menunggu sekian lama.

"Proses untuk mendapatkan CF akan mengambil masa dan kami pun tidak tahu bila boleh dapat, boleh jadi tiga atau empat bulan.

"Dalam tempoh yang sama tempoh liabiliti yang ditanggung pemaju turut berjalan. Ini tidak adil kerana kami tidak tinggal di dalam rumah itu dan kami pun tidak tahu jika ada masalah (kerosakan)," katanya ketika ditemui di pangsapuri itu di sini hari ini.

Sebelum ini, projek pembinaan pembangunan bercampur tersebut telah tergendala selama empat tahun dan berikutan itu perjumpaan bersama pemaju Fadason Holdings Sdn. Bhd. serta pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diadakan pada 29 April lalu.

Hasil perjumpaan itu, pemaju berjanji untuk meneruskan projek berkenaan dan menyiapkannya selewat-lewatnya pada pertengahan September ini.

Sementara itu, seorang lagi pemilik, R. Yugeswaran, 29, berkata, sungguhpun mereka disuruh mengambil kunci bermula pada 9 September tetapi meter elektrik dan air bagi bangunan itu masih belum dipasang.

"Deposit untuk elektrik dan air yang berjumlah kira-kira RM700 telah pun mereka ambil sejak dua bulan lalu," ujarnya.

Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, kelewatan mendapatkan CF akan merugikan masa pembeli yang tidak dapat tinggal di rumah mereka.

"Saya meminta agar pihak pemaju dapat mengemaskinikan kekurangan yang ada serta meningkatkan kemudahan asas," jelasnya.

Taman Rakyat lebih indah, selesa dikunjungi

Posted:

Taman Rakyat lebih indah, selesa dikunjungi

Taman Rakyat lebih indah, selesa dikunjungi


TAMAN Rakyat di Klang kini lebih ceria selepas kerja-kerja menaik taraf taman rekreasi itu selesai dilaksanakan pada Ogos lalu.


KLANG 11 Sept. - Warga Klang kini dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa di Taman Rakyat apabila kerja-kerja menaik taraf taman rekreasi yang terletak di Jalan Tun Dr. Ismail, di sini itu siap dilaksanakan pada Ogos lalu.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah mempertingkatkan kemudahan di taman rekreasi itu, yang menjadi tumpuan warga Klang tanpa mengira hari, termasuk pada waktu pagi, petang mahupun malam.

Pengarah Jabatan Taman dan Rekreasi MPK, Muhammad Hijjaz Sanusi berkata, Taman Rakyat yang terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar dan wujud sejak 1998 menekankan konsep pembangunan rekreasi yang mengekalkan kawasan hijau dan pembentukan semula hutan sekunder.

"Taman seluas 81 ekar (32.7 hektar) ini memberi peluang kepada orang ramai terutamanya bagi penduduk Klang untuk beriadah sambil menikmati suasana yang nyaman.

"Taman Rakyat pernah memenangi anugerah Landskap Terbaik Peringkat Negeri Selangor pada tahun 2002 bagi kategori Taman Bandar," tambahnya.

Menurut Muhammad Hijjaz, pihaknya telah mengemukakan kertas cadangan bagi kerja-kerja pembangunan rekreasi bagi taman ini dan telah dipersetujui di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 8 Disember 2010 serta telah diluluskan.

"Kerja-kerja menaik taraf kemudahan rekreasi dan landskap di Taman Rakyat itu bermula pada 2 Mei 2011 dan siap sepenuhnya pada Ogos lepas dengan menelan kos RM198,375.20," katanya.

"Antara kerja-kerja menaik taraf itu adalah membina dan memperbaiki kemudahan sedia ada seperti membaik pulih lantai konkrit dan interlocking pavers, mengecat, memasang selusur pada tangga dan taman refleksologi serta platform di tanah lapang," jelasnya.

Selain itu, Jabatan Taman dan Rekreasi MPK turut menyediakan lebih 70 unit bangku taman, 30 unit bakul sampah, sepuluh unit meja berkelah dan lima unit fitness station.

Tambah beliau, pihaknya turut menjalankan penyenggaraan landskap untuk tempoh enam bulan meliputi kerja-kerja siraman, pembajaan, penggemburan, penggantian tanaman mati dan lain-lain.

Muhammad Hijjaz berkata, pembaharuan dan pengubahsuaian yang telah dijalankan menitikberatkan keselesaan kepada pengunjung dengan menyediakan lebih banyak kemudahan asas dan pilihan ruang untuk menjalankan aktiviti.

"Pengaruh visual juga diubah melalui penggunaan warna yang lebih berani dan ceria serta mencuba pelbagai spesies tanaman baru.

"Kerjasama dan kesedaran sivik oleh pengunjung amatlah diperlukan dan berkongsi tanggungjawab untuk mencegah salah laku, menjaga kebersihan dan memelihara harta benda awam," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved