Khamis, 15 September 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Tentang golongan tolak perpaduan

Posted:

Tentang golongan tolak perpaduan

Tentang golongan tolak perpaduan

Oleh SAIFULIZAM MOHAMADpengarang@utusan.com.my


Sulaiman Saloomi


KUALA LUMPUR 14 Sept. - Golongan yang menolak perpaduan termasuk mereka yang mengaku alim perlu ditentang kerana tindakan tersebut amat jelas berlawanan dengan al-Quran dan hadis yang menyuruh umat Islam bersatu-padu.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi berkata, bagi mereka yang arif dalam agama tetapi menolak perpaduan, pendirian tersebut jelas bukan disandarkan kepada ajaran Islam sebenar, sebaliknya hanya sekadar pendapat peribadi.

Ini kerana, menurutnya, Islam tidak pernah menyuruh umatnya berpecah-belah, sebaliknya umatnya diperintahkan supaya bersatu-padu seperti yang dinyatakan menerusi al-Quran dan hadis.

Beliau berkata, umat Islam harus sedar tanpa perpaduan ia akan memudahkan tugas musuh-musuh Islam yang selama ini sentiasa berusaha memecah-belahkan lagi masyarakat supaya negara akhirnya menjadi porak-peranda.

"Ingat, di luar sana terdapat musuh-musuh Islam yang terdiri daripada golongan kafir musyrik serta fahaman tertentu seperti Syiah yang sentiasa menunggu peluang untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

"Oleh itu, saya amat mengharapkan umat Islam di Malaysia mengekalkan perpaduan tanpa mengira mazhab mahu pun pendirian politik agar negara ini terselamat daripada sebarang bencana serta mala petaka akibat perpecahan," katanya kepada Utusan Malaysia di Bangi, hari ini.

Sheikh Sulaiman juga adalah pensyarah di Universiti Ummul Qura, Mekah selain memegang jawatan sebagai Ketua Majlis Pentadbiran Pejabat Dakwah dan Kesedaran Islam di Mekah.

Beliau merupakan pakar dalam fahaman Syiah dan bidang kajiannya ketika mengambil sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) juga berkaitan dengan fahaman itu.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram itu berada di negara ini sejak Jumaat lalu sempena lawatan peribadi beliau selama lapan hari.

Menurut Sheikh Sulaiman, golongan menolak perpaduan akan menerima hukuman berat yang bukan sahaja ditanggung oleh mereka, malah pengikut sehingga hari kiamat kerana menentang arahan Allah.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, setiap umat Islam di Malaysia secara umumnya wajib mempertahankan negara ini daripada sebarang anasir yang cuba merosakkan keamanan dan keharmoniannya.

Katanya, bagi golongan seperti pemimpin politik, ulama, media, golongan profesional serta mana-mana pihak berpengaruh dalam masyarakat pula, hukumnya adalah fardu ain.

"Secara peribadi, saya gembira melihat suasana Islam di Malaysia. Di negara ini terdapat organisasi berteraskan Islam seperti Lembaga Tabung Haji dan begitu juga dengan pelaksanaan sistem kewangan Islam.

"Syariat Islam juga berkembang dengan baik. Universiti-universiti berteraskan Islam juga wujud di negara ini. Selain itu, sistem pembelajaran Islam di Malaysia juga boleh dianggap maju ke hadapan. Di sini juga tidak kurang banyaknya buku-buku yang membicarakan tentang Islam," katanya.

Beliau berkata, perkembangan Islam tidak akan berlaku jika suasana di Malaysia tidak berada dalam keadaan baik serta stabil.

"Nasihat saya pelihara negara ini baik-baik, ia satu amanah yang wajib dilaksanakan. Kekalkan perpaduan dan elakkan perpecahan.

"Musuh-musuh Islam sentiasa mencari peluang untuk memporak-perandakan umat dan perkara ini perlu diawasi bagi memastikan Islam di Malaysia sentiasa terpelihara," katanya.

Proton serah 8 kereta elektrik

Posted:

Proton serah 8 kereta elektrik

Proton serah 8 kereta elektrik

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak dan Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan tanda bagus pada majlis penyerahan kereta elektrik Proton di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh (kanan)


PUTRAJAYA 14 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima tiga unit kereta elektrik (EV) model Proton Saga dan lima unit 'Range Extender Electric Vehicle' (REEV) model Proton Exora untuk digunakan dalam urusan rasmi kerajaan daripada Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton).

Penyerahan kereta-kereta elektrik yang akan digunakan oleh Pejabat Perdana Menteri dan empat buah kementerian terpilih itu dilakukan dalam satu majlis ringkas di pekarangan Bangunan Perdana Putra di sini.

Empat kementerian itu ialah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Turut hadir pada majlis penyerahan itu ialah Penasihat Proton yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Penyerahan yang memenuhi fasa pertama Program Kenderaan 'Fleet Test' itu bertujuan mendapatkan maklum balas serta data mengenai penggunaan kenderaan elektrik Proton tersebut yang merangkumi sistem, teknologi dan reka bentuk kereta serta tingkah laku pengguna.

Serentak dengan penyerahan itu, Proton menyediakan kemudahan stesen pengecas kenderaan tersebut di premis Pejabat Perdana Menteri serta empat kementerian terbabit.

Sistem pengecas untuk kegunaan rumah juga akan dibekalkan kepada pemandu kenderaan terbabit.

Proton Saga EV merupakan sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya manakala Proton Exora REEV pula adalah sebuah kenderaan elektrik penambah jarak.

Kenderaan elektrik ini berbeza dengan kereta jenis hibrid yang terdapat di pasaran negara ini kerana ia menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya untuk mengecaj bateri, berbanding kereta hibrid yang menggabungkan enjin petrol dan bateri berkuasa elektrik.

Menurut Proton, projek ini merupakan satu usaha mengeluarkan kenderaan mesra alam dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api petrol yang tahap pengeluarannya ketika ini semakin berkurangan serta berharga tinggi.

Sindiket penipuan wang melalui Internet tumpas

Posted:

Sindiket penipuan wang melalui Internet tumpas

Sindiket penipuan wang melalui Internet tumpas

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan wang melalui Internet yang didalangi warga Afrika dengan tertangkapnya tujuh anggota kumpulan penjenayah itu di Seksyen 14, Petaling Jaya, dekat sini baru-baru ini.

Siasatan mendapati kumpulan sindiket terbabit yang mula beroperasi mulai awal tahun ini terlibat dalam 12 kes penipuan, membabitkan kerugian berjumlah hampir RM242,321.14.

Mereka yang ditangkap ialah masing-masing seorang lelaki warga Sierra Leonne, Jordan dan Pakistan serta empat rakyat tempatan termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 27 tahun.

Siasatan polis mendapati kebanyakan suspek yang ditangkap mahir dalam bidang teknologi maklumat termasuk lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Rangkaian serta Kejuruteraan Awam dari kolej swasta di ibu negara tetapi menyalahgunakan ilmu pengetahuan itu untuk melakukan jenayah siber di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan (gambar) berkata, modus operandi (MO) kumpulan sindiket terbabit adalah mendapatkan maklumat perbankan Internet mangsa seperti nama pengguna, nombor laluan dan nombor telefon pengguna menggunakan taktik 'phishing'.

'Phishing' adalah perbuatan mendapatkan maklumat peribadi melalui kiosk seperti nama pengguna, kata laluan dan maklumat kad kredit dengan menyamar sebagi individu sah dalam komunikasi elektronik.

Menurut Syed Ismail, suspek memperoleh maklumat mangsa yang dimuat turun melalui perisian yang dipasang pada kiosk dalam bank yang menjalankan perbankan Internet.

"Sindiket kemudian membuat panggilan kepada pemilik akaun atau telefon dengan menyamar sebagai pekerja syarikat telekomunikasi dan memberitahu kononnya talian telekomunikasi yang digunakan oleh mangsa akan mengalami gangguan perkhidmatan selama kira-kira dua jam kerana kerja-kerja menaik taraf.

"Setelah menelefon mangsa, mereka akan datang ke mana-mana cawangan syarikat telekomunikasi yang berkaitan untuk mendapatkan kad SIM gantian tanpa pengetahuan pemilik sebenar," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Bukit Perdana di sini hari ini.

Syed Ismail berkata, suspek akan memperdayakan pekerja syarikat telekomunikasi dengan mengemukakan laporan polis palsu yang direka sendiri dengan menyatakan kononnya mereka telah disamun dan kehilangan telefon serta kad pengenalan.

Selain laporan polis palsu, katanya, anggota sindiket juga akan mengemukakan salinan kad pengenalan dan menyamar sebagai pemilik telefon berdaftar dengan syarikat telekomunikasi itu dengan mengekalkan butir-butir pengenalan diri mangsa tetapi meletakkan gambar mereka.

"Mereka turut memalsukan surat memberi kuasa yang kononnya telah ditandatangani oleh pemilik telefon yang berdaftar dengan syarikat telekomunikasi tersebut," katanya.

Menurut Syed Ismail, dokumen palsu dikemukakan itu menyakinkan pekerja syarikat telekomunikasi terbabit untuk menyerahkan SIM kad gantian yang akan digunakan oleh suspek bagi mendapatkan kod kuasa transaksi (TAC) wang dari akaun mangsa, malah maklumat itu turut disalahgunakan untuk memohon kad kredit menggunakan nama mangsa.

Beliau berkata, di peringkat seterusnya, sindiket akan membuat pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga iaitu milik anggota kumpulan sindiket melalui perbankan Internet ataupun perkhidmatan Western Union tanpa pengetahuan mangsa.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman diketuai, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din telah menjalankan siasatan dan berjaya memberkas tujuh suspek di beberapa lokasi di kawasan Millenium Square, Seksyen 14, Petaling Jaya pada Sabtu dan kelmarin.

"Polis turut merampas beberapa barang yang digunakan oleh sindiket dalam kegiatan penipuan itu termasuk satu komputer bersama unit pemprosesan pusat (CPU), kad kredit dipercayai dicuri, buku akaun simpanan bank, kad sim dan mikro pelbagai syarikat telekomunikasi, komputer riba, thumb drive, salinan kad pengenalan serta laporan polis palsu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved