Khamis, 15 September 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Rakyat alami hakisan perpaduan?

Posted:

Rakyat alami hakisan perpaduan?

Rakyat alami hakisan perpaduan?


Apakah anak-anak kecil ini akan membesar bersama-sama dengan nilai-nilai perpaduan dan tolak ansur yang sememangnya di tanam sejak di bangku sekolah?


SEBERKAS lidi yang diikat tidak mudah dipatahkan tetapi lidi yang dilerai dari ikatan, sebatang demi sebatang senang dipatah.

Ini kisah yang sering diajar untuk menunjukkan jika kita tidak bersatu-padu, kita akan menjadi lemah seperti sebatang lidi tetapi jika kita bersepakat, kekuatan kita bak seberkas kayu lidi, teguh dan padu.

Betapa cantiknya orang tua dahulu menggambarkan kepentingan permuafakatan, persepakatan dan istilah yang sering dilaung-laungkan hari ini iaitu perpaduan.

Kita juga ada peribahasa yang dalam maknanya untuk menggambarkan betapa pentingnya perpaduan seperti 'bersatu kita teguh bercerai kita roboh', 'berat sama dipikul ringan sama dijinjing' dan 'bulat air kerana pembetung bulat kata kerana muafakat'. Sudah tentunya juga kita mengharapkan masyarakat majmuk atau berbilang kaum di Malaysia hidup 'bagai aur dengan tebing', perumpamaan yang menggambarkan keadaan kehidupan yang harmoni, tolong menolong antara satu sama lain.

Kita tentunya tidak mahu melihat masyarakat berbilang kaum Malaysia dengan tiga kaum utama, Melayu, Cina dan India dan berpuluh-puluh etnik yang lain di Sabah dan Sarawak bersikap 'seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing!"

Realiti semasa

Lalu seperti tidak kena apabila isu perpaduan masih dipersoal selepas lebih lima dekad kita membebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Namun inilah realiti hari ini.

Pokok persoalannya ialah seakrab atau semesra mana hubungan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini? Justeru polemik isu perpaduan nasional ini boleh diibaratkan seperti peribahasa Melayu 'rumah sudah siap pahat masih berbunyi'.

Jika benar berlaku hakisan perpaduan, di mana silapnya dan apakah masih ada sinar di hujung terowong?

"Perpaduan Nasional atau perpaduan kebangsaan adalah satu perkara yang paling elusif di antara cita-cita kebangsaan dan cita-cita besar negara.

"Sehingga hampir 54 tahun kita masih membicarakannya kerana kita masih belum bertemu dengan satu formula atau satu penawar bagaimana kita dapat membangunkan perpaduan dengan secara yang paling mantap dan harmonis sekali, " demikian pandangan Datuk Omar Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dalam wawancara dengan Bernama di pejabat PSM, Wisma Sejarah di sini baru-baru ini.

Sebelum merdeka

Tidak timbul isu perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum negara ini sebelum merdeka tetapi dalam masa yang sama juga menurut Omar, tidak ada juga pergeseran yang ketara.

Masing-masing kaum nampaknya gembira dengan kehidupan sendiri dan ketika itu juga tidak ada usaha untuk membuat penyatuan atau memperteguh ikatan perpaduan.

"Kita berada di bawah penjajahan dan mereka meletakkan kaum-kaum yang ada dalam tembok masing-masing. Kita hidup macam di bawah pemerintahan apartheid. Kita berkembang dan maju sendirian.

"Ini cara pihak kolonial mengekalkan pemerintahannya di sini iaitu membahagi-bahagikan orang Cina di sekolahnya, orang Melayu di sekolahnya dan orang India di sekolahnya.

"Kaum-kaum ini duduk di tempat asing daripada orang lain, orang Melayu di kampung-kampung pinggir sungai, orang Cina di bandar-bandar besar dan orang India di estet," jelasnya.

Menurut Omar, pihak Inggeris dapat mengekalkan keadaan keseimbangan kaum menerusi dasar pecah dan perintah mereka.

Pihak Inggeris, bagaimanapun, kata beliau memang sedar keperluan mengadakan keadaan di mana semua kaum di negara ini mempunyai kesatuan yang bersatu padu.

"Sebab itulah apabila kita menuntut kemerdekaan, pihak Inggeris meletakkan syarat iaitu orang Melayu, Cina dan India mesti bersatu-padu dalam satu bentuk perikatan atau satu bentuk persatuan politik," tambah Omar.

Contoh terbaik mengambil contoh terdekat negara jiran, Indonesia, Omar berkata negara itu adalah contoh terbaik di mana soal perpaduan kebangsaan dicapai sebelum kemerdekaan lagi.

Jelasnya, sejak 1928 lagi apabila memperjuangkan kemerdekaan mempunyai apa yang dipanggil sebagai "Sumpah Pemuda" iaitu satu bangsa, satu negara dan satu bahasa iaitu Indonesia.

"Jadi apabila mereka memploklamir kemerdekaan pada 1945 yang kemudian diiktiraf pada 1949, mereka sudah tidak ada masalah mengenai soal-soal pokok yang berlegar tentang perpaduan nasional atau perpaduan kebangsaan.

"Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa Indonesia dan tidak ada tentangan oleh bahasa-bahasa yang lebih besar seperti bahasa Jawa. Tidak ada kekacauan dalam perkara itu meskipun negara itu terdiri daripada 3,000 pulau.

"Walapun begitu, ini tidak bermakna tidak ada soal pemisah yang timbul selepas itu seperti soal pemisah Acheh yang lebih merupakan cerminan kepada masalah politik di mana soal keadilan dan penyamarataan ekonomi tidak berjalan dengan baik," kata Omar.

Beliau juga memberi contoh negara Vietnam dan Myanmar (Burma) yang juga telah mencapai kejayaan dalam soal-soal perpaduan.

Asas perpaduan

Kepimpinan awal negara ini sememangnya telah memikirkan perkara-perkara yang boleh dijadikan sebagai asas untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum.

Menurut Omar satu daripadanya ialah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, keadaan ini mula terhakis apabila timbul aliran liberalisasi di mana kedudukan bahasa-bahasa lain diperkukuh.

Dalam mempersoalkan bahasa, Omar berkata ia ada kait mengait dengan soal aliran persekolahan.

"Kita mempunyai satu matlamat besar mengikut Penyata Razak yang mahu melihat semua anak Malaysia Cina, India, Melayu belajar di bawah satu bumbung mengikut kurikulum yang sama, bahasa pengantar yang sama dan akhirnya mengambil peperiksaan yang sama.

"Tetapi bila ada akta pada 1996, apa yang terjadi ialah pengukuhan sekolah-sekolah aliran vernakular dan saya tidak nampak bagaimana penyatuan aliran ini dapat dilaksanakan sebagai satu daripada matlamat kita untuk mencapai perpaduan.

"Aliran-aliran ini berlari atas satu rel yang selari dan tidak ada satu tempat di mana mereka akan bertemu, masing-masing dengan haluan masing-masing, tidak ada titik pertemuan," katanya.

Omar memberi keutamaan kepada sekolah rendah untuk memupuk semangat kebangsaan, semangat perpaduan dan semangat kekitaan kerana di peringkat itulah pelajar senang dilentur.

"Ramai orang bercakap dengan cara nostalgia ketika mereka mengikuti pengajian di sekolah Inggeris dan bagaimana mereka berkawan baik dengan kaum Cina, India dan lain-lain.

"Inilah yang sepatutnya terjadi dalam sistem pendidikan nasional kita di mana sekolah kebangsaan menjadi sekolah perdana dan semua anak Cina, Melayu dan India dapat bergaul dengan baik," tambahnya.

PERPADUAN NASIONAL: JANGAN LUPA SEJARAH

Posted:

PERPADUAN NASIONAL: JANGAN LUPA SEJARAH

PERPADUAN NASIONAL: JANGAN LUPA SEJARAH


Rakyat Malaysia mampu menikmati hidup yang aman dan harmoni kerana sikap tolak ansur dan perpaduan antara kaum. - gambar hiasan


LAHIRNYA apa yang dipanggil sebagai Rukun Negara selepas Tragedi 13 Mei dilihat sebagai satu usaha murni kerajaan untuk menangani konflik perkauman dengan secara telus.

Pengisytiharan Rukun Negara yang dibuat 31 Ogos 1970 diharap menjadi kunci untuk membuka jalan kepada usaha mewujudkan suasana keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Rukun Negara ialah satu daripada piagam yang besar yang dihasilkan di negara ini yang terbahagi kepada dua, iaitu cita-cita dan prinsip, dan ini mendapat persetujuan daripada semua kaum pada masa itu.

"Rakyat Malaysia juga perlu mengambil berat dan menghayati falsafah di sebalik cita-cita dan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jika mereka mahu kehidupan yang aman dan harmoni.

"Dalam masa yang sama kerajaan perlu menggerakkan kembali kempen untuk memberi kefahaman dan penghayatan terhadap Rukun Negara," kata Datuk Omar Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) kepada Bernama baru-baru ini.

Rukun Negara berpaksikan lima prinsip utama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Intipati cita-cita Rukun Negara pula ialah mencapai perpaduan lebih erat di kalangan seluruh masyarakat, memelihara cara hidup demokratik, mencipta masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, menjamin cara hidup yang liberal dan melahirkan masyarakat progresif.

Kata Omar Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 menerusi Rancangan Malaysia Kedua untuk tempoh 20 tahun adalah respons kepada 13 Mei bertujuan merawat penyakit dan kepincangan sosial serta ekonomi yang mendatari tragedi besar itu.

Di bawah dasar itu, masyarakat Malaysia disusun semula supaya ia menjadi lebih adil dengan sistem ekonomi diperbaiki untuk pembasmian kemiskinan semua kaum.

Langkah juga diambil bagi memastikan kekayaan negara dapat diimbangi dan diagih-agihkan secara lebih adil dan saksama khasnya antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Omar berpendapat DEB selepas 20 tahun pelancarannya mencapai kejayaan besar bagi semua kaum walaupun bagi bumiputera prestasinya tidak mencapai sasaran.

"Namun demikian, DEB adalah instrumen paling efektif dalam membangun keyakinan masyarakat dan memperkasa kestabilan negara," katanya.

Setelah lebih 40 tahun Tragedi 13 Mei berlaku, mungkin ramai yang ingin melupuskannya terus daripada ingatan mereka supaya igauan buruk peristiwa berdarah ini tidak menghantui kehidupan khususnya generasi muda negara.

Dalam hal ini, apa yang diperlukan ialah kesungguhan semua pihak memastikan sejarah hitam itu tidak berulang dan kita juga tidak memerlukan tragedi berdarah untuk mengajar kita betapa pentingnya erti perpaduan.

Namun perkembangan mutakhir membimbangkan Omar menjadikan beliau tidak begitu optimistik apabila diaju soalan prospek pencapaian perpaduan nasional.

Beliau menuding kepada apa yang disifatkannya sebagai "partisan politic"atau politik berat sebelah yang dianggapnya merosakkan sebarang usaha besar untuk kepentingan kebangsaan. Keutamaan diberi hanya kepada politik kepartian walaupun ia jelas bertentangan dengan kepentingan negara.

Partisan politic, katanya, menyumbang kepada pergeseran kaum dan ini terbukti dalam tragedi 13 Mei.

"Segala-galanya dipolitikkan sehingga amat menyukarkan institusi negara dan badan pentadbiran berjalan dengan baik," katanya.

Jika tekanan memperleceh institusi negara terus menerus dikempen oleh pembangkang lama kelamaan kewibawaannya akan terhakis dan akibatnya amat buruk.

"Keadaan sekarang menunjukkan ada bahagian masyarakat yang seolah-olah kehilangan kepercayaan kepada institusi kerajaan, tak percaya kepada polis, tak percaya kepada sistem kehakiman dan tak percaya kepada pemimpin kerajaan.

"Ini satu perkara yang dahsyat dan sindrom ketidak percayaan ini adalah satu penyakit besar kepada bangsa Malaysia. Inilah hasil permainan partisan politic," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved