Khamis, 15 September 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kerosakan landasan dibaik pulih

Posted:

Kerosakan landasan dibaik pulih

Kerosakan landasan dibaik pulih

Oleh MUHAMMAD AZRUL RADI
kota@utusan.com.my


Aminuddin Adnan bersalaman dengan kakitangan KTMB pada majlis Jalinan Mesra Aidilfitri KTMB di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Laluan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Sungai Buloh ke Rawang yang terkandas semalam akibat kerosakan pada landasan, kini di dalam proses dibaik pulih.

Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan berkata, kerosakan pada landasan tersebut disebabkan oleh faktor hujan berterusan.

"Hujan lebat dan berterusan semalam telah mencetuskan aliran arus deras sekali gus telah menghakis lantai landasan yang dibuat dari konkrit," jelasnya.

Menurutnya, hakisan tersebut juga telah mengakibatkan lantai pada landasan keretapi berlubang sedalam 40 kaki dan tidak selamat untuk digunakan.

"Situasi ini adalah sesuatu yang tidak dijangka dan KTMB kini sedang giat melakukan usaha baik pulih landasan tersebut yang mungkin memakan masa selama dua atau tiga hari.

"Selama proses baik pulih landasan tersebut, pihak KTMB telah menyediakan perkhidmatan bas dari Stesen Sungai Buloh ke Rawang sebagai alternatif lain untuk pengguna," katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis Jalinan Mesra Aidilfitri KTMB di Stesen KTMB Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi KTMB, Datuk Sri Ir. Mohd. Zin Mohamed.

Aminuddin dalam ucapannya pada majlis itu memberi penghargaan buat semua kakitangan KTMB yang begitu komited bertugas tanpa mengira waktu dan masa.

Ikhlas dakwa warga asing kuasai perniagaan

Posted:

Ikhlas dakwa warga asing kuasai perniagaan

Ikhlas dakwa warga asing kuasai perniagaan

PUTRAJAYA 15 Sept. - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendakwa lebih 50 peratus perniagaan kecil dan sederhana (IKS) di sekitar ibu negara dikuasai warga asing.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, situasi tersebut berlaku ekoran tiada pengawasan dan sikap lepas tangan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengeluarkan permit kepada warga asing untuk berniaga.

Beliau berkata, DBKL seharusnya turun padang membuat kajian seramai mana warga asing yang memonopoli perniagaan di kawasan tertentu di ibu negara.

"Mengikut pengamatan Ikhlas, warga Indonesia paling ramai berniaga di ibu negara terutamanya di Masjid India, selain Bangladesh. Perkara ini perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana kawasan terbabit seolah-olah menjadi milik mereka.

"Walaupun pada peringkat awal kaum Bumiputera yang memohon permit perniagaan, akhirnya permit tersebut disewakan kepada warga asing. Justeru DBKL perlu memainkan peranan menguruskan hal tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar memorandum pengesahan meminta pihak bertanggungjawab membayar ganti rugi bernilai RM817,205 kepada 317 peniaga yang mengalami kerugian semasa demonstrasi haram 9 Julai lalu.

Memorandum setebal 365 muka surat itu dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Peguam Negara, Mohamad Amsyari Mohamad Suhaimi.

Menurut Mohd. Ridzuan, Ikhlas yang mewakili peniaga seluruh negara itu menamakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 (Bersih 2.0) dan Patriot sebagai pihak bertanggungjawab sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian.

Katanya, Ikhlas tidak mengira parti politik dan bergerak sebagai badan bebas yang menjaga kebajikan ahli dan peniaga amnya.

"Antara kandungan memorandum itu ialah meminta Abdul Gani mengesahkan penglibatan dua pihak bertanggungjawab seperti yang didakwa iaitu Bersih 2.0 dan Patriot.

"Antara alasan yang diberikan ialah perhimpunan yang didalangi Datuk S. Ambiga (Bersih 2.0) dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (Patriot) itu telah menyebabkan sebilangan besar peniaga terpaksa menutup kedai pada hari berkenaan dan seterusnya menanggung kerugian," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan memberitahu, tuntutan tersebut akan dibawa ke mahkamah selepas mendapat pengesahan daripada Peguam Negara.

Lelaki tuntut hutang dari rakan, mati dibunuh

Posted:

Lelaki tuntut hutang dari rakan, mati dibunuh

Lelaki tuntut hutang dari rakan, mati dibunuh

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Gara-gara hutang, dua lelaki yang bersahabat baik menjadi musuh dan akhirnya bergaduh sehingga mengakibatkan seorang terbunuh di Bandar Baru Selayang, dekat sini malam tadi.

Hubungan baik dua sahabat terbabit menjadi keruh apabila salah seorang daripada mereka enggan membayar wang RM15,000 yang dipinjam sebelum itu.

Keengganan lelaki terbabit membayar balik pinjaman telah menyebabkan rakannya berang, lalu bertindak mencarinya di rumah dan menyerangnya dengan parang.

Disebabkan mahu mempertahankan diri, mangsa yang diserang bertindak balas dengan memukul rakannya menggunakan kayu menyebabkan lelaki itu maut akibat mengalami kecederaan di dahi dan dada.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa yang terbunuh, Wong Chee Sun, 61, sebelum kejadian, memaklumkan kepada anak perempuannya yang dia mahu ke rumah kawannya di Bandar Baru Selayang untuk menuntut hutang RM15,000 yang dipinjam lelaki tersebut.

"Mangsa bagaimanapun tidak pulang ke rumah walaupun sudah hampir setengah jam keluar menyebabkan isteri bersama dua anaknya menjadi bimbang lalu pergi mencarinya di rumah rakannya itu.

"Tiba di situ, mereka terkejut melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri di sebelah rakannya yang turut mengalami luka di tangan kiri dipercayai terkena parang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, mereka kemudian membawa mangsa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan tetapi lelaki warga emas terbabit disahkan mati tidak lama selepas itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, mangsa didapati mengalami bengkak di dahi dan dada yang dipercayai punca kematiannya.

Katanya, polis kemudian menahan rakan mangsa berusia 45 tahun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved